Categories
SELANGOR

PWS catat kutipan wakaf RM42 juta

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 8 MEI: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) mencatatkan kutipan wakaf tunai sebanyak RM10 juta manakala RM32 juta bagi wakaf khas pada tahun lalu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata, peningkatan bilangan pewakaf melalui potongan gaji sektor awam dan swasta hampir mencecah 13,000 orang.

Katanya, peningkatan itu menunjukkan pemahaman masyarakat Islam mengenai kepentingan wakaf dalam membangunkan ekonomi umat Islam sekali gus memberi kesan positif dalam pencapaian pengurusan wakaf khususnya wakaf tunai.

“Pada masa sama, beberapa pembinaan masjid turut dilaksanakan seperti Masjid Denai Alam yang menelan kos perbelanjaan sebanyak RM19 juta.

“Status terkini bagi pembinaan masjid terbabit, ia dalam tindakan penyediaan dokumen seperti penyediaan Pelan Kebenaran Merancang untuk dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan Majlis Berbuka Puasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Mohammed Khusrin berkata, bilangan pewakaf melalui potongan gaji di sektor awam masih di tahap yang rendah berbanding jumlah kakitangan awam di Selangor.

“Saya mencadangkan supaya ketua jabatan sektor awam mencontohi Majlis Perbandaran Subang Jaya yang mewajibkan setiap kakitangannya membuat potongan gaji bagi tujuan wakaf tunai.

“Pada masa sama, umat Islam di Selangor dinasihatkan untuk membayar zakat fitrah kepada amil yang bertauliah dan dilantik Lembaga Zakat Selangor (LZS),” katanya.

Sebanyak 27 cawangan LZS yang beroperasi tujuh hari seminggu sepanjang Ramadan ini.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

INFO 12 – Pentadbiran 4 Tahun Pakatan Di 4 Negeri, Atasi 50 Tahun Pemerintahan Umno-BN


Sinopsis

Info 12 Untuk 01102012

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 1 OKTOBER 2012 :

Pencapaian Ekonomi Empat Negeri PR Atasi Era Pemerintahan Umno-BN,
Wakaf Selangor Muamalat Untuk Pembangunan Kesihatan dan Pendidikan,
Pilihan Selangor Akhiri Kemarau 3 Tahun Julang Piala Sultan Selangor.

Categories
SELANGOR

Wakaf Selangor Muamalat Untuk Pembangunan Kesihatan dan Pendidikan

SHAH ALAM, 27 SEPT : Dalam usaha menambahbaik aktiviti wakaf, Bank Muamalat Malaysia Berhad dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) melancarkan “Wakaf Selangor Muamalat” bagi pengurusan dana wakaf di Selangor.

Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Mohd Munir Abdul Majid berkata, Bank Muamalat melalui 18 rangkaian cawangannya di negara ini akan mengumpul dan menguruskan dana waqaf secara usahasama dengan PWS.

Beliau berkata, kutipan dana wakaf ini akan disalurkan ke arah penambahbaikan dan pembangunan kesihatan serta pendidikan.

“Sebagai permulaan untuk dana wakaf, Bank Muamalat akan memberi sumbangan wakaf sebanyak RM1 juta. Kakitangan Bank Muamalat turut memberi sumbangan wakaf sebanyak RM75,040.

“Melalui kutipan daripada pembayaran berkala, hibah dan sumbangan langsung daripada sektor runcit dan korporat, kami menjangka dana wakaf ini akan berkembang dari semasa ke semasa,” kata Munir.

Majlis pelancaran perkhidmatan terbaru Bank Muamalat ini disempurnakan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Hotel Concorde, dekat sini pagi tadi.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Tambah Munir, skim ini mensasarkan kutipan dana sehingga RM 50 juta dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Menurutnya, pengurusan kutipan wakaf ini akan dilakukan menerusi pembentukan Jawatankuasa Pengurusan Bersama yang bertindak merangka serta melaksanakan aktivit-aktiviti wakaf.

“Perkhidmatan ini akan dilaksanakan tanpa sebarang bayaran kepada pelanggan sebagai tanggungjawab sosial korporat,” katanya lagi.