Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Singapura teroka pedagogi baharu pengajaran, pembelajaran Islam

SINGAPURA, 18 OGOS: Singapura sedang meneroka pendekatan dan pedagogi baharu dalam pengajaran dan pembelajaran Islam bagi membantu dan mencorak model untuk kolej Islamnya sendiri.

Ini dinyatakan oleh Perdana Menteri republik itu Lee Hsien Loong di dalam ucapan Bahasa Melayunya sempena Rapat Hari Kebangsaan 2019 yang berlintas langsung di ITE College Central di sini hari ini.

Katanya Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang memainkan peranan penting dalam masyarakat Melayu Islam Singapura akan melancarkan Post-graduate Certificate in Islam in Contemporary Socities (PCICS) pada tahun hadapan.

“Kursus ini adalah bagi siswazah agama di luar negara apabila mereka pulang ke sini. Ini supaya mereka dilatih untuk mereka menerapkan apa yang mereka pelajari dalam konteks Singapura.

“Kami juga berharap untuk meneroka pendekatan dan pedagogi baru dalam pengajaran dan pembelajaran Islam. Ini akan membantu dalam mencorak model untuk kolej Islam kita sendiri yang bakal melatih generasi Asatizah yang baru di Singapura,” kata Lee.

Menurutnya, Singapura mahu golongan Asatizah yang bermutu tinggi dan menjadi pemimpin yang berkeyakinan pada masa hadapan.

Katanya satu jawatankuasa bagi mengkaji cara-cara meningkatkan profesionalism Asatizah juga telah dibentuk dan diketuai oleh Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman.

“Ia sebagai lanjutan daripada Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Saya nanti-nantikan saranan mereka,”katanya.

Dilaporkan di sini pada Februari bahawa bilangan guru agama Islam yang diakreditasi di bawah skim kebangsaan di Singapura telah meningkat kepada lebih 4,000, naik daripada 3,000 pada 2017.

ARS, yang menjadi wajib mulai 2017, memerlukan guru agama untuk mematuhi kod etika yang termasuk tidak menggalakkan ekstremisme atau keganasan, atau tidak membantah kumpulan kaum dan agama yang lain.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM Singapura tak sabar jumpa Tun M

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 MEI: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong diantara pemimpin dunia yang tidak sabar bertemu Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hsien Loong melalui laman facebooknya memberitahu, dia sudah menghubungi Tun Mahathir bagi mengucapkan tahniah atas perlantikan sekali lagi sebagai Perdana Menteri ketujuh Malaysia.

“Tun M mengatakan pada waktu ini beliau sibuk menghadiri mesyuarat bagi perlantikan kabinet, semoga dia terus berjaya dengan kabinet barunya dan sudah tentu saya tidak sabar berjumpa dengannya samaada di Malaysia mahupun Singapura,” tulisnya.

Selain ucapan tahniah, Hsien Loong turut berkongsi gambar lamanya bersama Tun M ketika menghadiri jamuan Hari Raya di Johor Baharu, pada 2001.

Sebelum itu, Kementerian Luar Negeri Singapura dalam kenyataannya berkata, sebagai negera jiran terdekat, Singapura berbesar hati untuk terus menjalinkan hubungan bersama kerajaan baru di bawah pentadbiran Tun Mahathir.