Categories
AGENDA GLOBAL

Singapura masuki fasa tiga 28 Dis, Vaksin Covid-19 tiba hujung tahun

SINGAPURA, 14 DIS: Singapura memasuki Fasa Tiga pembukaan semula ekonomi dan sosialnya pada 28 Disember ini, dan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 dijangka tiba ke sini hujung bulan ini.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam pengumuman beliau mengenai perkembangan Covid-19 yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara republik itu, hari ini.

“Kini tindakan kita dalam menentang Covid-19 bertambah kukuh. Kita terus meningkatkan keupayaan dalam aspek ujian dan prosedur. Kita juga meningkatkan keupayaan pengesanan kontak. Disebabkan usaha-usaha ini, kita sekarang sudah bersedia dengan Fasa Tiga,” katanya.

Singapura yang melaksanakan tempoh ‘pemutusan rantaian penularan’ selama lapan minggu bermula 7 April lepas bagi mengawal penyebaran pandemik itu, telah memasuki Fasa Kedua pembukaannya pada 19 Jun, selepas berada dalam Fasa Satu bagi tempoh hanya kira-kira dua minggu.

Menurut Lee di bawah Fasa Tiga, Singapura akan melonggarkan had kapasiti di kawasan awam, dan di tempat-tempat ibadat dengan “perubahan penting merujuk kepada persetujuan membenarkan kumpulan sehingga lapan jemaah berkumpul”, jumlah yang bertambah berbanding maksimum lima sebelumnya.

Bagaimanapun Perdana Menteri itu mengingatkan bahawa walaupun Singapura telah memasuki Fasa Tiga, “tempoh perjuangan masih panjang perlu diharungi sebelum beroleh kemenangan”.

“Virus Covid-19 masih belum dihapuskan sepenuhnya. Masih ada laluan jauh yang perlu ditempuhi,” katanya.

Lee mengakui di seluruh dunia, pandemik itu masih mengganas, dan sempadan antarabangsa masih kekal ditutup, menjadikan satu-satunya pilihan adalah “membuka semula sempadan kita dalam cara yang terkawal dan selamat”.

Singapura melaporkan kes pertama Covid-19 pada 23 Januari dan jumlah keseluruhan jangkitan ketika ini adalah 58,325.

Merujuk kepada vaksin, Lee berkata Pihak Berkuasa Sains Kesihatan republik telah meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech dalam menangani pandemik berkenaan.

“Kita juga menjangka lain-lain vaksin akan tiba di Singapura pada bulan berikutnya. Sekiranya semua berjalan mengikut rancangan, kita akan mempunyai vaksin yang mencukupi untuk semua di Singapura pada suku ketiga 2021,” kata Lee.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Singapura telah mewujudkan satu jawatankuasa yang dianggotai para doktor serta pakar bagi mencadangkan strategi vaksinasi.

Lee berkata kerajaan telah menerima pelbagai cadangan, antaranya cadangan supaya keutamaan diberikan kepada mereka yang berisiko tinggi seperti petugas kesihatan dan petugas barisan hadapan, di samping warga emas dan kumpulan rentan.

Seterusnya jawatankuasa itu mencadangkan supaya proses vaksinasi dijalankan secara berterusan untuk penduduk selebihnya, dan meliputi seluruh penduduk negara pulau itu hujung tahun depan.

“Saya benar-benar yakin dengan pakar kita. Saya bersama rakan sekerja yang lain akan mengambil vaksin itu terlebih dahulu. Ini bagi menunjukkan kepada anda, terutama yang telah berumur seperti saya, bahawa kami percaya vaksin itu selamat digunakan.

“Kita telah putuskan untuk menjadikan vaksin ini percuma kepada semua rakyat Singapura, dan juga penduduk jangka panjang yang menetap di sini ketika ini.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Perjanjian air: Malaysia, Singapura setuju penyelesaiaan secara damai

PUTRAJAYA, 9 APR: Malaysia dan Singapura bersetuju untuk mencari penyelesaian secara damai berhubung perjanjian air termasuk kemungkinan menyelesaikan pertikaian menerusi timbang tara atas dasar persetujuan bersama, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perjanjian air adalah antara isu yang dibincangkan Dr Mahathir dengan rakan sejawatan beliau dari Singapura, Lee Hsien Loong semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-9 di sini, hari ini.

Malaysia dan Singapura terikat di bawah Perjanjian Air Sungai Johor 1962. Bagi Malaysia, menyelesaikan isu yang lama tertangguh berkaitan semakan semula harga air merupakan satu keutamaan.

“Kami mengadakan perundingan yang aktif berkaitan semakan semula itu pada lewat tahun 90-an dan 2000,” kata Dr Mahathir pada sidang media yang penuh sesak, dengan turut dihadiri Lee, selepas pemukiman itu.

Isu berhubung perjanjian air antara kedua-dua negara kembali menjadi topik panas pada pertengahan tahun lepas apabila Dr Mahathir berkata, harga air mentah yang dijual kepada Singapura tidak munasabah dan beliau bercadang untuk merundingkan semula terma perjanjian.

Perjanjian itu, yang berakhir pada 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Johor kemudian membeli semula air terawat daripada republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Lee, sementara itu, berkata, menjadi matlamat kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam memastikan bekalan air yang lestari kepada kedua-dua pihak, yang akan mengurangkan kemungkinan timbulnya konflik di masa depan.

Beliau bagaimanapun membangkitkan kebimbangan Singapura berhubung pencemaran air di sungai Johor baru-baru ini dan kesan jangka panjangnya.

Menurut Lee, baru minggu lepas, kerja air oleh Lembaga Perbekalan Awam (PUB) Singapura di Kota Tinggi terpaksa ditutup disebabkan paras amonia yang tinggi dan sumber itu dikesan berpunca daripada kilang minyak sawit di Sedenak, Johor.

Beliau berkata, jika sungai Johor mengalami insiden seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim baru-baru ini, ia “akan menjadi satu bencana”.

Dilaporkan bahawa beribu-ribu orang terpaksa dirawat hospital susulan kes pencemaran di Sungai Kim Kim yang berlaku awal bulan lepas.

Lee berkata, sungguhpun Singapura berpendapat Malaysia telah kehilangan haknya untuk menyemak semula harga di bawah perjanjian itu, tetapi kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa Peguam Negara (AG) masing-masing akan mengadakan perbincangan pada November ini untuk memahami kedudukan undang-undang kedua-dua negara berhubung hak untuk semakan semula itu.

Mengenai hasil jangka panjang, Lee berkata, Johor telah membina loji air di sungai Johor di huluan kerja air PUB di Kota Tinggi, dan gabungan jumlah yang dikeluarkan oleh loji ini mungkin melebihi hasil mampan sungai.

“Kita perlu mengkaji bagaimana untuk memenuhi keperluan air Johor dan Singapura bagi perkara lain dalam Perjanjian Air. Kami juga bersetuju bahawa kedua-dua AG kita perlu meneruskan dialog dan saling memahami perspektif serta kepentingan masing-masing,” katanya.

Lee turut ditanya sama ada Singapura berpendapat permintaan Malaysia supaya perjanjian air itu dikaji semula sebagai munasabah dan berapakah harga yang dianggap sebagai munasabah.

“Saya beritahu Dr Mahathir, saya dapat memahami perspektif beliau kenapa beliau melihat keperluan politik untuk meminta supaya harga air dikaji semula. Tetapi saya juga menjelaskan kepada Dr Mahathir supaya melihat daripada sudut pandangan Singapura,” katanya.

Lee berkata, perjanjian air itu adalah dokumen dapatan asas bagi kerajaan Singapura dan mereka (kerajaan Singapura) terpaksa mematuhinya.

“Marilah kita mengorak langkah yang membolehkan kita membincangkan isu ini secara konstruktif dan mudah-mudahan kita dapat mencapai sedikit kemajuan.

“Satu daripada isu yang perlu kita bincangkan adalah tentang jaminan air dari Johor berikutan jumlah penduduk dan hasilnya untuk memastikan Singapura memperoleh 250,000 juta air sehari mengikut perjanjian,” katanya.

SUMBER/FOTO: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM Singapura tak sabar jumpa Tun M

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 MEI: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong diantara pemimpin dunia yang tidak sabar bertemu Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hsien Loong melalui laman facebooknya memberitahu, dia sudah menghubungi Tun Mahathir bagi mengucapkan tahniah atas perlantikan sekali lagi sebagai Perdana Menteri ketujuh Malaysia.

“Tun M mengatakan pada waktu ini beliau sibuk menghadiri mesyuarat bagi perlantikan kabinet, semoga dia terus berjaya dengan kabinet barunya dan sudah tentu saya tidak sabar berjumpa dengannya samaada di Malaysia mahupun Singapura,” tulisnya.

Selain ucapan tahniah, Hsien Loong turut berkongsi gambar lamanya bersama Tun M ketika menghadiri jamuan Hari Raya di Johor Baharu, pada 2001.

Sebelum itu, Kementerian Luar Negeri Singapura dalam kenyataannya berkata, sebagai negera jiran terdekat, Singapura berbesar hati untuk terus menjalinkan hubungan bersama kerajaan baru di bawah pentadbiran Tun Mahathir.