Categories
AGENDA NASIONAL

Keselamatan pelajar di sekolah terkawal jika patuh SOP

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Pembukaan semula sekolah bermula pada akhir bulan Jun, pastinya memberi kelegaan kepada pelajar, guru dan ibu bapa setelah kira-kira tiga bulan sekolah diarahkan tutup susulan penularan pandemik Covid-19.

Namun, dalam keadaan pelajar dan guru teruja menjejakkan kaki di sekolah untuk menyambung kembali sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka yang tertangguh akibat wabak penyakit itu sejak Mac lepas, ibu bapa adalah antara yang risau terhadap aspek keselamatan anak mereka.

Menyedari kebimbangan itu, pelbagai perubahan dan persiapan rapi dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak sekolah bagi memastikan warga sektor pendidikan terhindar daripada wabak tersebut, sekali gus sesi persekolahan dapat berjalan dengan lancar.

Selepas hampir dua bulan sekolah dibuka semula sejak 24 Jun, tinjauan Bernama mendapati rata-rata ibu bapa berpuas hati dengan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) yang dilakukan bagi mengekang penularan Covid-19, termasuk dalam kalangan pelajar sekolah.

Antara SOP yang diperkenalkan ialah pemeriksaan suhu badan setiap hari bagi pelajar, guru dan individu yang berurusan dengan pihak sekolah, di samping arahan melarang ibu bapa menghantar anak yang bergejala atau tidak sihat untuk hadir ke sekolah.

Langkah itu bertepatan setelah mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah sejak April lepas.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Segambut, K. Selvakumar percaya sekiranya semua SOP itu dipatuhi, sudah tentu penularan wabak Covid-19 dalam kalangan warga sekolah dapat dikawal.

“SOP sedia ada oleh Kementerian Pendidikan ini bagus dan memadai kerana ia dibuat selepas banyak perbincangan beberapa bulan sebelum (sekolah) dibuka untuk menjaga keselamatan murid, guru dan orang ramai.

“Untuk memastikan SOP dapat dipatuhi sebaiknya, pihak PIBG juga perlu memainkan peranan bekerjasama dengan pihak sekolah. Misalnya, kami menyalurkan bantuan kepada sekolah dengan menaja beberapa alat penyukat suhu badan dan cecair pensanitasi tangan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata ahli jawatankuasa PIBG sekolah itu turut membantu pihak sekolah melalui kawalan pergerakan masuk murid-murid ke sekolah pada setiap pagi bagi mengelak kesesakan.

Selvakumar berkata selain pematuhan SOP di sekolah, ibu bapa perlu mendidik anak di rumah mengenai kepentingan menjaga jarak fizikal serta amalan penjagaan kebersihan diri seperti mencuci tangan dan pemakaian pelitup muka.

Sementara itu, Perdip Singh, 42, yang menghantar anaknya ke Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak, berkata pihak sekolah berjaya mendidik dan mengingatkan murid serta ibu bapa agar mematuhi SOP yang digariskan KPM.

“Pihak sekolah juga memaklumkan ibu bapa sekiranya ada sebarang maklumat berkaitan SOP dan COVID-19, malah sebelum sekolah dibuka, sekolah ada kongsikan link video menerangkan SOP persekitaran sekolah dan kelas.

“Saya dan anak menonton video itu bersama-sama dan saya juga menasihati anak supaya patuh SOP untuk keselamatan semua,” katanya yang mempunyai anak belajar di Tahun Enam.

KPM sebelum ini mengumumkan pembukaan semula sekolah bermula pada 24 Jun melibatkan pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa.

Sementara sesi persekolahan murid Tahun Lima, Tahun Enam, Tingkatan Enam Semester 1, kelas peralihan serta Tingkatan Satu hingga Empat dibuka semula pada 15 Julai, manakala bagi murid Tahun Satu hingga Empat pula bermula pada 22 Julai.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

PKPP: 310 individu berhibur di pusat hiburan dikompaun

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Polis mengeluarkan 310 kompaun dalam Operasi Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata operasi bermula 11 malam hingga 5 pagi tadi, dan hasil pemeriksaan di sebuah premis di Jalan PJU 7/3 Mutiara Damansara mendapati seramai 200 lelaki dan 110 wanita berumur lingkungan 20 hingga 30 sedang berkumpul di dalamnya.

“Mereka telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 7) 2020.

“Kesemua mereka telah dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana kesalahan tersebut dan ini adalah bilangan kompaun yang tertinggi pernah dikeluarkan pada satu malam,” menurutnya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata 10 lelaki warga asing berumur lingkungan 25 hingga 30 tahun juga ditahan kerana disyaki bekerja di pusat hiburan tersebut tanpa permit yang sah dan kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 39(b) dan Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63.

Nik Ezanee berkata polis turut merampas pelbagai barangan elektronik dan wang tunai bernilai RM9,350, serta menahan seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun kerana disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit kerja serta operasi tanpa lesen di pusat hiburan.

Dalam kes berasingan, tujuh lelaki ditahan polis atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa premit dan gagal mengemukakan dokumen diri serta bekerja tanpa permit yang sah, dalam dua serbuan di Jalan SS 2/60, dan di premis Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat.

Menurut beliau, pada serbuan pertama di Jalan SS2/60 itu pada kira-kira 6.30 petang, lima lelaki warga asing berumur lingkungan 23 hingga 27 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta bekerja tanpa permit sah di dalam premis itu.

“Pada serbuan kedua kira-kira 10.50 malam di Amcorp Mall, dua lelaki warganegara berumur 23 dan 59 tahun yang dipercayai bekerja sebagai penjaga premis ditahan kerana disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah,” katanya

Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

75 individu ingkar PKP, tiga ditahan reman

SHAH ALAM, 22 JULAI: Seramai tiga daripada 75 individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam dikenakan tahanan reman, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata baki 72 lagi dikompaun ekoran kesalahan terlibat dalam aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial serta melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

“Operasi pemantauan yang dijalankan semalam melakukan 61,246 pemeriksaan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata seramai tiga warga asing ditahan kerana melakukan kesalahan membabitkan peraturan imigresen.

“Dari 1 Mei sehingga semalam, seramai 1,944 warga asing, 560 tekong dan 121 penyeludup ditahan manakala 73 bot serta 201 kenderaan dirampas kerana cuba menceroboh sempadan negara.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memasuki negara secara
haram,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

14 individu ingkar arahan PKP ditahan

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Seramai 14 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya daripada jumlah itu, seramai tiga individu direman dan 11 individu lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah membuat 62,386 pemeriksaan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Selain itu, katanya seramai sembilan warga asing ditahan dalam Operasi Benteng yang diadakan oleh pihak berkuasa dalam usaha mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Dalam operasi itu, 67 sekatan jalan raya telah diadakan dan 43,033 kenderaan diperiksa bagi menghalang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata semalam, seramai 707 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dari China, Indonesia, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura, Kemboja, Filipina, Hong Kong, Pakistan, Arab Saudi dan Jepun.

Jelasnya daripada jumlah itu 706 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala seorang lagi dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Menyentuh tentang 96 rakyat Malaysia yang tiba dari India pagi tadi, Ismail Sabri menjelaskan kesemua mereka akan menjalani kuarantin wajib 14 hari di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai, Negeri Sembilan.

“Pusat pemantauan ini akan diselia oleh petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga dikawal oleh PDRM. Oleh itu, pihak luar termasuk ahli keluarga tidak dibenarkan mengunjungi AKEPT,” katanya.

Sementara itu dalam pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP yang dijalankan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), 50 premis diberikan amaran kerana tidak mematuhi SOP.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sebahagian murid kembali ke sekolah hari ini

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Hampir empat bulan tidak menjejakkan kaki ke sekolah, kini giliran pelajar tingkatan satu hingga empat, murid tahun lima dan enam serta pelajar kelas peralihan pula kembali ke sesi persekolahan hari ini.

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat ancaman pandemik Covid-19 pada Mac lepas, semua pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah hanya menggunakan pendekatan ‘Home-Based Learning’ bagi meneruskan pembelajaran.

Mengambil maklum kekangan dihadapi oleh pelajar, ibu bapa dan guru semasa pelaksanaan pembelajaran dalam talian itu, keputusan pembukaan sekolah diumumkan oleh Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin dilihat tepat pada masanya bagi memastikan motivasi pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat ditingkatkan.

Namun, pihak sekolah dan pelajar perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerana penularan wabak Covid-19 masih ada dalam komuniti dan setiap orang perlu membiasakan diri dengan kebiasaan baharu.

Sementara itu, pembukaan semula sekolah bagi murid tahun satu hingga empat pula adalah minggu berikutnya iaitu 22 Julai.

Selain pelajar dan guru, ibu bapa juga turut sibuk menyusun kembali jadual, mengatur masa dan menguruskan keperluan harian anak-anak bagi memastikan aktiviti pembelajaran berjalan lancar.

Pembukaan semula sekolah untuk murid bukan kelas peperiksaan awam itu dilaksanakan secara berperingkat setelah mengambil kira saranan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sebelum ini, sesi persekolahan dibuka semula kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam pada tahun ini iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa.

Mengenai perkembangan Covid-19, terdapat empat kes baharu semalam, kesemuanya melibatkan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan leka dengan kelonggaran, Covid-19 belum tamat

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Biarpun banyak kelonggaran diumumkan kerajaan namun tidak bermakna negara kini bebas Covid-19.

Sebaliknya, orang ramai masih mempunyai tanggungjawab memerangi pandemik itu dengan mempertingkatkan kawalan kendiri dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Selepas panggung wayang boleh beroperasi, terbaharu kerajaan mengumumkan kebenaran operasi pusat hiburan keluarga termasuk arked permainan dan pusat karaoke bermula Rabu.

Sebelum ini, mereka yang minat menyanyi hanya menggunakan aplikasi ‘Smule’ atau set karaoke di rumah sepanjang PKP, maka kelonggaran yang diberikan itu pastinya amat ditunggu.

Bukan sahaja dapat menyanyi dan menonton wayang, kerajaan turut membenarkan operasi arked permainan, taman funfair indoor, hiburan pendidikan, gim permainan kanak-kanak dan hiburan permainan berasaskan peralatan mesin.

Selain itu, liga bola sepak tempatan juga akan kembali beraksi walaupun tanpa penonton, orang ramai masih boleh menyaksikan menerusi televisyen.

Justeru, orang ramai perlu lebih prihatin ketika berada di tempat awam dan seandainya ada ahli keluarga mempunyai simptom seperti batuk dan selesema, seharusnya kekal berada di rumah bagi mengelakkan jangkitan terutama kepada kanak-kanak.

Namun, orang ramai perlu beringat, kepatuhan terhadap SOP serta kawalan kendiri amat dituntut kerana misi untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19 di negara ini belum selesai.

Meskipun penularan Covid-19 di negara ini masih rendah, namun semalam negara kembali mencatat kes penularan tempatan selepas dua hari sifar iaitu lima kes membabitkan tiga kes dalam kalangan warganegara manakala dua kes bukan warganegara.

Jumlah kes baharu juga kembali kepada dua angka iaitu 13 kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: 76 individu ingkar PKPP dikenakan tindakan

SHAH ALAM, 10 JULAI: Seramai 76 individu dikenakan tindakan semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 13 daripada mereka ditahan reman manakala 63 dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ialah melakukan aktiviti dalam kelab malam membabitkan 12 individu, aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan sosial (52) dan aktiviti melanggar tatacara operasi piawai (SOP) (12),” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata Operasi Benteng dilaksanakan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) berjaya menahan 10 warga asing.

“Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terbabit dengan kegiatan ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPP: Tahap pematuhan SOP di masjid, surau memuaskan

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di masjid serta surau di seluruh negara dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) setakat ini adalah memuaskan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata berdasarkan pemantauannya, jemaah mengamalkan jarakan sosial dan SOP lain.

“Perkara ini (pematuhan SOP), saya amat berpuas hati dan diharap dapat diteruskan sehingga keadaan aman dan stabil daripada wabak Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Replika Kunci Van Jenazah kepada Penjara Sungai Buloh, dekat sini sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga menerima laporan secara mingguan berhubung pematuhan SOP di masjid dan surau di seluruh negara.

Ini akan dilakukan sehingga 31 Ogos ini, katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata pihaknya akan terus menyalurkan sebarang bentuk bantuan yang diperlukan oleh Jabatan Penjara.

“Kita telah pergi hampir ke semua penjara di Lembah Klang dan lebih banyak program akan diadakan pada masa akan datang,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPP: Polis tahan 77 individu, sembilan warga asing

SHAH ALAM, 4 JULAI: Polis menahan 77 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) melalui hasil pemeriksaan Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu 13 orang direman manakala 64 lagi dikompaun menerusi 69,023 pemeriksaan di seluruh negara semalam.

“Antara kesalahan terbabit termasuk aktiviti sukan sentuh (15), pub atau kelab malam (12) dan 50 individu melanggar tatacara operasi piawai (SOP),” kata menteri kanan (kluster keselamatan) dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut menahan sembilan warganegara asing kerana kesalahan imigresen menerusi 66 sekatan jalan raya Op Benteng dan memeriksa 35,704 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) terutamanya di lorong tikus.

Secara keseluruhan pemantauan dilakukan di 4,056 pasar raya, 5,545 restoran serta 1,775 penjaja, 1,586 kilang, 3,805 bank dan 1,093 pejabat kerajaan.

Selain itu, 1,225 terminal pengangkutan darat, 260 terminal pengangkutan air serta 121 terminal pengangkutan udara juga dipantau Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ingkar PKPP, polis tahan 71 individu

SHAH ALAM, 2 JULAI: Polis menahan 71 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menerusi Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan semalam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu 29 telah direman manakala 42 lagi dikompaun.

“Antara kesalahan dilakukan termasuk 34 terlibat dengan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial, melanggar tatacara operasi piawai (14), pusat karaoke atau pusat hiburan (12), refleksologi (tujuh) dan kelab malam (empat),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata sebanyak 4,248 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 16,615 anggota membuat pemantauan di 4,117 pasar raya, 5,819 restoran serta 2,008 penjaja, 1,517 kilang, 3,881 bank dan 1,016 pejabat kerajaan semalam.

“Operasi itu turut memantau 1,263 terminal pengangkutan darat, 234 terminal pengangkutan air serta 120 terminal pengangkutan udara,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Naik yuran: Pengusaha tadika perlu bincang dengan ibu bapa

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Pengusaha taman didikan kanak-kanak (tadika) perlu berbincang dengan ibu bapa terlebih dahulu, sekiranya mahu menaikkan kadar yuran pasca Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengerusi Persatuan Tadika Malaysia (PTM) Eveleen Khoo berkata, tindakan itu perlu bagi mendapatkan persetujuan ibu bapa supaya tidak wujud ketidakpuasan hati dan mereka bersedia sewajarnya, jika pihak tadika ingin menaikkan kadar yuran secara tiba-tiba.

Tidak menolak kemungkinan sesetengah tadika terpaksa menaikkan kadar yuran, bagi menampung peningkatan kos menyediakan keperluan pencegahan Covid-19, namun beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima maklumat atau aduan ibu bapa berkenaan isu itu.

“Mungkin pengusaha perlu membeli pelitup muka dan cecair pembasmi kuman, selain perlu menyediakan makanan kepada murid-murid bagi tadika yang tidak membenarkan mereka membawa makanan daripada rumah masing-masing.

“Hanya Kementerian Pendidikan (KPM) yang boleh meluluskan sama ada yuran itu boleh naik atau tidak, tadika (yang berdaftar dengan KPM) tidak boleh sesuka hati naikkan yuran, perlu melalui KPM dan Jawatankuasa Institusi Pendidikan Swasta,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Jidin ketika ditanya mengenai hal berkaitan yuran tadika pada sidang medianya di Putrajaya, berkata: “Ini kali pertama saya dengar, saya akan mendapatkan maklumat mengenainya.”

Prasekolah, taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman didikan kanak-kanak (tadika), dibuka kembali di seluruh negara mulai hari ini, selepas lebih tiga bulan ditutup susulan pandemik Covid-19.

Dilaporkan hari ini terdapat sebilangan pengusaha tadika didakwa menaikkan kadar yuran antara 10 hingga 15 peratus, dengan alasan perlu menampung peningkatan kos kesan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), selain jumlah pelajar yang semakin berkurangan.

Sependapat dengan Eveleen, Pengerusi Pertubuhan Penggalak Membaca Malaysia (PPMM) Chahaya Abdul Manan berkata, pengusaha tadika perlu terlebih dahulu merancang sesi pembelajaran sebelum membuat keputusan menaikkan yuran.

“Mereka boleh menjalankan dua sesi pembelajaran misalnya, sebilangan murid di sebelah pagi dan selebihnya boleh dibuat pada waktu petang, jadi mungkin mereka tak perlu naikkan yuran, ia bergantung kepada penyelesaian pengusaha sendiri.

“Namun, kalau pengusaha dah fikir tapi masih tak dapat cara untuk tampung kos, mereka terpaksa juga naikkan yuran memandangkan kos operasi tadika yang tinggi selain membayar kos sewa dan gaji guru,” katanya.

Chahaya berkata, tidak mustahil ada sesetengah ibu bapa akan menukar anak mereka ke tadika lain, susulan terbeban dengan kenaikan yuran di tadika sedia ada.

Meluahkan kebimbangannya beliau berkata, keadaan itu mungkin akan mempengaruhi emosi anak-anak kerana perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Bagaimanapun, rata-rata pengurusan tadika yang dihubungi Bernama memaklumkan tidak mengambil langkah itu, malah ada juga premis yang menawarkan potongan harga yuran bagi membantu ibu bapa yang terbeban, dengan impak pandemik itu.

Guru besar sebuah tadika di Keramat, di sini, Salmiah Jusoh berkata, setakat ini yuran yang dikenakan di premisnya masih sama sebagaimana sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan 18 Mac lepas.

Mengakui berdepan sedikit kesukaran, namun pihaknya cuba bertahan tanpa menambah bebanan kepada ibu bapa, dengan cara mengurangkan sedikit bayaran gaji guru di tadika itu.

“Sekiranya memang kita tak dapat nak tampung, baru kita akan ada berbincang dengan ibu bapa sama ada perlu atau tidak, untuk meminta tambahan yuran,” katanya.

Seorang ibu Yasmin Ahmad, 33, berkata, tiada kenaikan yuran dikenakan pihak tadika tempat anaknya belajar, sebaliknya ibu bapa diberikan diskaun 20 peratus, dengan tujuan membantu meringankan kewangan.

“Diskaun ini diberikan untuk bayaran penggal ini dan saya rasa tidak wajar kalau tadika menaikkan yuran, sebab sewaktu PKP pun ibu bapa masih membayar yuran penuh,” kata ibu kepada seorang anak perempuan yang memulakan sesi pembelajaran hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengendali pawagam mula operasi 2 Julai, ikut SOP

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Lotus Five Stars Cinemas (LFS) akan memulakan operasi semula dengan membenarkan 30 peratus penonton daripada kapasiti penuh pawagam pada setiap tayangan mulai 2 Julai ini, menurut Ketua Pegawai Eksekutif LFS, Datuk R. Doraisingam Pillai.

Beliau menegaskan LFS akan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pihak berkuasa dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi kelonggaran dalam memulakan operasi susulan pandemik Covid-19.

“Misalnya, dalam pawagam dengan kapasiti 200 orang, hanya 60 penonton sahaja dibenarkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Isnin lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa aktiviti pawagam, teater dan juga live event akan dibenarkan dibuka semula bermula 1 Julai ini.

Mula ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu, kesemua aktiviti itu dibenarkan beroperasi di dalam kawasan atau dewan tertutup tetapi dengan syarat perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan.

Doraisingam turut merayu agar kerajaan akan memberikan kelonggaran yang dikenakan terhadap pawagam dengan membenarkan sekurang-kurang 50 hingga 60 peratus jumlah penonton pada setiap tatyangan pada masa akan datang.

Menurutnya, penonton dapat menyaksikan filem Inggeris pada pertengahan bulan depan manakala peminat filem Tamil perlu menunggu sehingga Oktober ini berikutan sekatan Covid-19 di India.

Dalam perkembangan lain, Doraisingam, yang juga presiden Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia (MMAF), berkata sejumlah RM800,000 telah dikumpul menerusi Tabung Shopee MMA Covid-19 untuk pekerja sektor kesihatan yang berkhidmat ketika penularan Covid-19.

Menurutnya, inisiatif Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan MMAF dengan kerjasama platform beli-belah dalam talian, Shoppe, yang dilancarkan April lalu itu, diharap dapat mengumpul sekurang-kurangnya RM1 juta menjelang hujung bulan ini.

– BERNAMA