Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPP: Ingat, patuhi SOP hindari kluster baharu

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Hari ini adalah hari terakhir persediaan dilakukan bagi pembukaan lebih banyak sektor sosial yang dibenarkan beroperasi, selepas lebih tiga bulan ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan sejak 10 Jun, sektor sosial mula dibuka beransur-ansur dengan kelonggaran dan kebebasan diberi kepada rakyat untuk ‘hidup’ dengan amalan kebiasaan baharu dan kawalan kendiri bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Selain pembukaan prasekolah, tabika serta tadika kerajaan dan swasta, mulai esok (1 Julai) juga lebih banyak kelonggaran termasuk membenarkan taman tema beroperasi, selain saringan suhu badan dilakukan sekali sahaja di pusat beli-belah.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 54 taman tema termasuklah taman tema air akan beroperasi semula, yang melibatkan lebih 10,000 tenaga kerja di seluruh negara.

Selain itu, pusat spa, pusat perapian kesihatan atau wellness dan urut kaki, pawagam, teater serta acara secara langsung di dewan tertutup dan juga aktiviti riadah kolam renang turut dibenarkan beroperasi pada 1 Julai.

Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan penganjuran majlis sosial termasuk majlis perkahwinan, majlis pertunangan, majlis berkaitan keagamaan seperti tahlil, akikah, doa selamat serta majlis sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari lahir mulai pada tarikh sama.

Acap kali Ismail Sabri dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan semua pihak supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk memastikan jarakan sosial dipatuhi pada setiap masa dan mengehadkan jumlah pengunjung berdasarkan kapasiti ruang serta saiz kawasan.

Bagi majlis sosial seperti majlis perkahwinan dan akad nikah pula, jumlah tetamu yang dibenarkan adalah tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa sama ada ia dijalankan di masjid, dewan, rumah ataupun lokasi lain.

Pastinya kita tidak mahu timbul pula kluster kenduri kahwin seperti di Bandar Baru Bangi sebelum ini atau pun kluster taman tema, atau apa jua kluster baharu sekalipun, maka sebab itulah pentingnya untuk kita mematuhi kawalan kendiri di kala berseronok.

Harus sentiasa ingat bahawa perang terhadap Covid-19 belum lagi tamat meskipun sudah ada petanda baik yang menyaksikan negara berada di landasan betul untuk menuju sifar kes, sekali gus bebas daripada ancaman Covid-19, berdasarkan kes jangkitan yang kembali mencatatkan satu angka semalam.

Semalam, tiga kes baharu dilaporkan, yang dua kes merupakan penularan dalam negara manakala satu lagi kes import, menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 8,637 kes dengan kebolehjangkitan 182 kes.

Tiada pertambahan kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal 121 kes, mewakili 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kursus Pasca Perkahwinan bakal ganti Program Insentif Perkahwinan Belia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 NOV: Kursus Pasca Perkahwinan bakal mengantikan Program Insentif Perkahwinan Belia yang diadakan sejak 2013, kata Dato’ Menteri Besar, Amiruddin Shari.

Katanya, penganjuran kursus berkenaan bagi mengatasi jumlah kes penceraian yang sangat membimbangkan di negeri ini.

Katanya, Kerajaan Negeri bercadang untuk melaksanakan kursus terbabit yang merangkumi isu pengurusan kewangan, emosi dan spiritual, penjagaan anak dan pengurusan keluarga.

“Kita akan menggunakan jumlah peruntukan yang digunakan untuk insentif perkahwinan belia bagi melaksanakan kursus kekeluargaan komprehensif kepada pasangan baru berkahwin.

“Mungkin pemberian elaun akan diberi kepada mereka yang datang ke kursus tersebut, namun ia belum diputuskan lebih lanjut,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Selangor 2019, di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pelaksanaan program pembangunan kekeluargaan itu bakal memberi impak berterusan untuk jangka masa panjang kepada pasangan.

“Selain itu juga program-program pemantapan institusi kekeluargaan dengan kerjasama agensi lain seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dalam mengukuhkan modul serta kursus perkahwinan kekluargaan yang sedi ada,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, kursus itu juga akan dibuka kepada pasangan bukan Islam.

“Namun modulnya akan diaturkan oleh agensi yang berkaitan untuk dilaksanakan,” katanya.

Menerusi belanjawan selangor 2013, Selangor mengumumkan pemberian insentif perkahwinan kepada belia yang layak sebanyak RM200, namun bermula 1 Januari 2014 insentif itu dinaikkan RM500 seorang.

Inisiatif itu bertujuan mensejahterakan rumah tangga dan keluarga khususnya anak Selangor atau yang bermastautin lebih 10 tahun.

Categories
WANITA & KEBAJIKAN

Perkahwinan mahal vs perkahwinan ‘lambak’

Oleh Lizawati Madfa
Gambar Remy Arifin

RAMAI anak-anak muda yang mahu mendirikan rumah tangga tetapi tidak berkemampuan dari segi kewangan, lebih-lebih lagi ketika kenaikan harga barang dan perkhidmatan kebelakangan ini.

Mana tidaknya, kos menjayakan sesuatu majlis bukan murah, sekurang-kurangnya RM20,000 perlu ada dalam tangan terutama bagi yang tinggal di bandar.

Bagi yang berselera tinggi pula, silap-silap terpaksa membuat pinjaman bank demi merealisasi sebuah perkahwinan impian.

Ada pula pasangan yang sekadar mahu majlis pernikahan ala kadar tetapi terpaksa melayan karenah dan kehendak ibu bapa.

“Saya dan kekasih memang memilih untuk bernikah sahaja disusuli kenduri kesyukuran sikit, tetapi ibu bapa pula mahu majlis perkahwinan besar-besaran.

“Mereka malu jika jiran serta saudara mara bertanya serta takut orang lain salah anggap kami sudah terlanjur,” luah seorang remaja yang enggan namanya didedah.

15

Itulah antara masalah yang kedengaran dalam tinjauan Selangor Kini di Majlis Perkahwinan Perdana Belia Selangor di perkarangan Stadium Shah Alam, bulan lalu.

Dalam majlis yang disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu, seramai 45 pasangan pengantin dirai dengan lima daripada mereka diijab kabul di pentas.

“Untuk menyertai majlis inipun, saya dan kekasih tidak dibenarkan
keluarga kerana malu jika orang beranggapan kami tidak berkemampuan hingga terpaksa nikah secara ‘berlambak’.

“Sebenarnya kami ada wang simpanan tetapi rasanya tidak mencukupi untuk menganjurkan majlis sepertimana keinginan keluarga.

“Tidak pula tahu bila betul-betul berkemampuan kerana saya hanya
juruteknik kilang elektronik sementara kekasih pula pembantu jurujual sebuah pusat membeli belah,” kata seorang mempelai berusia 26 tahun.

10

Masalah sedemikian bukan dihadapi pasangan itu sahaja tetapi ramai lagi yang terbeban dan tertekan untuk mendirikan masjid.

Seharusnya setiap orang bersikap lebih terbuka selaras dengan ajaran Islam yang menganjurkan saranan supaya tidak bermewah-mewah dalam melangsungkan perkahwinan.

Ada hadis sahih menyebut: “Wanita yang paling banyak mendapat
kurnia ialah wanita yang murah mas kahwinnya, yang senang nikahnya dan baik budi pekertinya dan wanita yang jahat ialah wanita yang mahal mas kahwinnya, payah nikahnya dan yang buruk budi pekertinya.”

11Jelas,  perkahwinan harus dirai secara sederhana, bukan sahaja lebih
mudah, kos rendah, malah mendapat keredhaan-Nya.

“Dahulu, majlis perkahwinan saya dan bekas suami dirai meriah dengan hampir RM70, 000 dihabiskan, kononnya sekali seumur hidup.

“Terus terang, sejurus selesai kami termenung mengenangkan duit terbang dalam masa begitu singkat. Malah, terpaksa pula bersusah payah kumpul wang semula untuk kehidupan lepas berkahwin.

“Lebih malang lagi, perkahwinan mahal itu berakhir dengan talak satu selepas setahun kami bersama,” kata seorang pengunjung, Sarimah Adnan.

Beliau menasihati orang ramai untuk tidak menjejaki langkahnya,
sebaliknya menganjurkan majlis perkahwinan sederhana dan menggunakan wang simpanan untuk masa hadapan.

“Ataupun boleh sahaja menyertai majlis anjuran Kerajaan Selangor kerana yang penting akad nikahnya.

“Kalau perlu, boleh adakan kenduri kecil-kecilan di rumah untuk sahabat dan sanak saudara. Cara ini rasanya lebih baik.

“Tidak perlu fikir pandangan orang kerana percayalah – walau beratus ribu habis pun orang akan tetap mencari kesalahan dan kekurangan untuk mengata,” katanya yang berasal daripada Johor.

9

Ketika Majlis Perkahwinan Perdana Belia Selangor berakhir tetapi masih diperkatakan,  berlangsung perkahwinan antara artis, Rozita Che Wan dengan pasangannya, juga seorang artis, Zain Saidin dengan tajaan mencecah RM13 juta.

Bayangkan, tajaan sebanyak itu digunakan majlis akad nikah belia yang mahu mendirikan rumah tangga, mungkin beribu-ribu pasangan dapat disatukan secara sah.

“Alangkah bagusnya jika tajaan itu digunakan bagi menganjurkan
program seperti anjuran Kerajaan Selangor kerana kami belia sangat mengalu-alukannya.

“Ini dapat mengurangkan kadar masalah sosial dan pergaulan bebas di kalangan muda-mudi,” kata Hakeemullah Ismail 23, dari Meru, Klang.

Beliau dan pasangannya, Nurul Izzari Anuar antara lima pasangan yang dinikah dalam Majlis Perkahwinan Perdana Belia yang turut menyediakan insentif RM500.

Namun, bukan mudah mengubah mentaliti masyarakat yang galak menjadikan proses perkahwinan sebegitu rumit sedangkan dalam Islam, perkahwinan mudah dan langsung tidak membebankan.

Selain kepuasan diri, sebahagian masyarakat juga sibuk mengejar puji-pujian tetamu hingga terlupa, sesungguhnya hati manusia tidak pernah puas.

Untuk apa berkejar-kejaran mendapatkan redha manusia sedangkan redha Allah itulah yang paling utama.

* Lizawati Madfa ialah wartawan Selangor Kini