Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD: Pekerja selain perkhidmatan perlu dilarang ke pejabat

PUTRAJAYA, 2 JULAI: Pekerja selain dalam perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan tidak boleh bekerja di pejabat atau tempat kerja sepanjang tempoh PKPD, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Peringatan tersebut susulan pengumuman pelaksanaan PKPD di beberapa mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur mulai esok hingga 16 Julai.

“Justeru, majikan adalah dikehendaki mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja-pekerja bekerja dari rumah (BDR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata majikan digesa supaya mematuhi arahan PKPD dan tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan khususnya dari segi penetapan kapasiti kehadiran pekerja di pejabat atau tempat kerja seperti yang ditetapkan.

Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima banyak aduan daripada pekerja bahawa mereka diugut oleh majikan untuk hadir bekerja seperti biasa dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka diberhentikan kerja.

Saravanan berkata sekiranya pekerja masih diarahkan oleh majikan untuk hadir ke tempat kerja, aduan boleh disalurkan kepada KSM menerusi aplikasi Working for Workers (WFW).

Selain kategori aduan BDR, aplikasi itu juga mempunyai 16 kategori aduan lain membabitkan isu perburuhan.

“KSM sentiasa memberi perhatian terhadap aduan-aduan yang diterima dan tindakan sewajarnya akan diambil oleh kementerian,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 1,878 aduan direkodkan melalui aplikasi WFW dalam tempoh 23 Mei hingga semalam berhubung aduan majikan tidak membenarkan pekerja BDR.

Antara negeri yang merekodkan paling banyak jumlah aduan BDR ialah Selangor dengan 696 aduan, diikuti Kuala Lumpur (505 aduan), Johor (196 aduan) dan Pulau Pinang (123 aduan).

Sejumlah 59 kompaun berkaitan ketidakpatuhan kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat atau tempat kerja dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi tempoh 1 Jun hingga 1 Julai, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

37 perkhidmatan perlu dibenar beroperasi sepanjang PKP

SHAH ALAM, 12 JAN: Sebanyak 37 perkhidmatan perlu dalam lima sektor ekonomi utama dibenar beroperasi di enam negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata perkhidmatan itu meliputi sektor pengilangan dan pembuatan di bawah seliaannya selain pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi di bawah bidang kuasa agensi lain.

“Tatacara operasi piawai (SOP) untuk sektor pengilangan dan pembuatan yang di bawah tanggungjawab Miti boleh dimuat turun di http://www.miti.gov.my.

“Keputusan membenarkan lima sektor ini beroperasi bagi menjamin proses pemulihan semula ekonomi
negara, kemampanan perniagaan, mengelak kadar tinggi kehilangan pekerjaan serta memastikan keperluan asas dan kritikal diperoleh.

“Tindakan yang bertanggungjawab ini memberi impak positif khususnya dalam usaha memastikan pertumbuhan ekonomi negara, pelaburan tempatan dan asing serta kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata enam negeri tersebut adalah pemacu aktiviti ekonomi utama negara serta penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 66.3 peratus.

“Selangor menyumbang kepada KDNK sebanyak 24.2 peratus, Wilayah Persekutuan (16.9 peratus), Johor (9.4 peratus ), Pulau Pinang (6.7 peratus ), Sabah (6.0 peratus ) dan Melaka (3.1 peratus).

“Antara pertimbangan penting yang turut diambil kira oleh kerajaan adalah keperluan untuk menjamin kestabilan aktiviti eksport negara,” katanya.

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP selama 14 hari di enam negeri berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini hingga 26 Januari.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lapor polis jika majikan bukan perkhidmatan perlu paksa kerja

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Laporan polis boleh dibuat terhadap majikan yang tidak tersenarai sebagai perkhidmatan perlu yang masih beroperasi dan mengarahkan pekerja hadir bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam soalan lazim melibatkan kementerian itu berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan berkata jika majikan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan itu, ia adalah satu kesalahan jenayah.

“(Kesalahan) di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” menurut KSM.

Sementara itu, KSM berkata majikan dalam perkhidmatan perlu pula harus mengurangkan bilangan petugas yang hadir bekerja kepada tahap paling minimum atau sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah semasa, dalam tempoh itu.

Menurut kementerian itu, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac dalam usaha menangani wabak Covid-19, majikan juga perlu memastikan pergerakan pekerja terbabit dihadkan.

Perkara ini berdasarkan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Tambah KSM, majikan juga perlu menyediakan alat saringan suhu badan, mengambil bacaan suhu badan pekerja setiap hari serta memastikan pekerja mematuhi prosedur pencegahan Covid-19.

Selain itu, majikan hendaklah menyediakan cecair pembasmi kuman, melaksanakan proses sanitasi dan pembersihan perlu serta memastikan garis panduan amalan terbaik penjarakan sosial disediakan dan dilaksanakan.

Tegas KSM, majikan tersenarai dalam perkhidmatan perlu, berhak untuk tidak membayar gaji pekerjanya jika didapati enggan bertugas sepanjang tempoh ini.

KSM menyatakan majikan wajib membayar gaji penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan pekerja bergaji harian dibayar mengikut kadar upahan yang telah dipersetujui antara majikan dan pekerja di dalam surat tawaran atau kontrak perkhidmatan atau surat kenaikan gaji terkini.

“Untuk pekerja yang upahnya tidak tetap maka kadar hariannya hendaklah tidak kurang daripada kadar gaji minimum seperti dalam Perintah Gaji Minimum 2020,” kata KSM.

Dalam tempoh itu juga, majikan boleh meminta pekerjanya untuk menjalankan kerja bersesuaian dari rumah, dan perlu membayar gaji pekerja berserta elaun yang berkaitan hendaklah dibayar.

KSM berkata sekiranya majikan enggan membayar gaji dalam tempoh tersebut, pekerja boleh mengemukakan aduan secara dalam talian melalui e-mel rasmi Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Majikan juga wajib membayar upah atau gaji pekerja di luar skop Akta Kerja 1955 / Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) / Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) kerana perkara ini telah termaktub dalam kontrak perkhidmatan yang dipersetujui antara majikan dan pekerja,” kata KSM.

Jelas KSM, majikan tidak boleh memaksa pekerja menggunakan cuti tahunan atau cuti tanpa gaji pekerja sepanjang tempoh ini kerana perintah telah dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sebarang pertanyaan berhubung isu majikan dan pekerja boleh berurusan dengan Bilik Gerakan Pemantauan Pekerjaan COVID-19 KSM, menghubungi talian 03-8889 2359 / 8886 2409 / 8890 3404 atau e-mel [email protected] ; [email protected] ; [email protected]

-BERNAMA