Categories
AGENDA NASIONAL

Kuwait mudah tewaskan Harimau Malaya 4-1

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Setelah lebih 550 hari tidak beraksi dalam sebarang pertandingan kompetitif, skuad Harimau Malaya mempamerkan prestasi lesu apabila ditewaskan Kuwait 4-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium The Seven, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Kuwait, penghuni ranking 148 dunia ternyata lebih garang apabila memperoleh gol pertama pada minit ke-21 melalui sepakan jarak jauh Ahmad Aldhefeery apabila Mohd Farizal Marlias, gagal menyekat percubaannya dalam aksi pemanas badan yang bermula pada 7.15 malam waktu tempatan (11.15 malam waktu Malaysia) pada Ahad.

Bagaimanapun, penyerang neutralisasi baharu Harimau Malaya, Guilherme de Paula menyamakan kedudukan melalui hantaran lintang dari La’Vere Lawrence Corbin-Ong, tujuh minit kemudian. Kedudukan kekal 1-1 hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memutuskan merombak pasukan dengan hanya mengekalkan de Paula dan Syamer Kutty Abba untuk barisan kesebelasan utama skuad negara.

Selepas aksi berlangsung tiga minit pertama, pemain muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin, yang membuat penampilan sulung dalam pasukan senior ini, memperoleh peluang uhtuk menjaringkan gol namun berjaya disekat penjaga gol tuan rumah.

Pasukan tuan rumah yang berjersi biru mendahului sekali lagi menerusi tandukan Fahad Alhajeri pada minit ke-55, manakala penyerang Shabaib Alkhaldi meledakkan satu lagi gol pada minit ke-61 bagi menggegarkan gawang pasukan Malaysia yang kini menduduki tangga ke-153 dunia.

Kuwait terus berpesta gol apabila ketua pasukan Fahad Al-Alabraim meledakkan gol melalui sepakan percuma ke gawang negara pada minit ke-68 sekali gus memaksa Cheng Hoe menggantikan penjaga gol Samuel Somerville dengan Khairulazhan Khalid.

Skuad Harimau Malaya akan mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan menentang pasukan ranking ke-99 dunia, Bahrain di Manama pada Jumaat, sebelum kembali ke Dubai bagi menghadapi aski kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023.

Skuad Harimau Malaya akan meneruskan aksi kelayakan Kumpulan G menentang UAE pada 3 Jun, diikuti Vietnam (11 Jun) dan menamatkan saingan berdepan Thailand pada 15 Jun, dengan sasaran layak ke Piala Asia 2023 di China.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya beraksi adalah ketika menentang Indonesia dengan berjaya mencatat kemenangan 2-0, sebelum dunia dilanda pandemik Covid-19 memaksa perlawanan kelayakan itu ditangguhkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Bandaraya Shah Alam aksi pemanas badan UiTM FC hadapi Liga-M

SHAH ALAM, 17 FEB: Kelab bola sepak UiTM FC bakal menggunakan aksi persahabatan Piala Bandaraya Shah Alam 2021 sebagai medan pemanas badan sebelum menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM FC Sdn Bhd Mustaza Ahmad berkata kejohanan persahabatan itu juga penting untuk UiTM FC mempamerkan aksi terbaik bagi menguji kesiapsiagaan pasukan itu memandangkan latihan pramusim Liga-M tidak sampai tiga minggu sebelum sepak mula pada 5 Mac ini.

“Perlawanan persahabatan itu yang bermula hujung minggu ini di Stadium UiTM Shah Alam turut melibatkan pasukan tidak kurang handalnya iaitu Perak FC dan Terengganu FC II.

“Kita kena ambil kesempatan untuk mulakan persiapan musim ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran aksi persahabatan Piala Bandaraya Shah Alam 2021, di sini, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam Datuk Haris Kasim yang menyampaikan penajaan berjumlah RM300,000 kepada UiTM FC bagi penganjuran kejohanan persahabatan itu dan juga program latihan berpusat pramusim.

Mustaza berkata segala garis panduan telah diterangkan kepada pasukan terlibat bagi memastikan kejohanan persahabatan itu berlangsung dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Konsep gelembung sukan diberi penekanan utama kerana kita juga turut menjalankan program latihan berpusat pramusim melibatkan tiga pasukan berkenaan. Pemain serta pegawai yang terlibat hanya dibenarkan bergerak dari hotel ke tempat latihan dan perlawanan sahaja.

“Latihan akan dijalankan di padang Dewan Agong Tuanku Canselor dan Kompleks Sukan UiTM. Setiap hari hanya dua sesi latihan dibenarkan sebelum perlawanan bermula antara UiTM FC menentang Terengganu FC II,” katanya.

Kejohanan persahabatan itu bakal menyaksikan UiTM FC akan bertemu Terengganu FC II pada Jumaat ini, Terengganu FC II bertemu Perak FC (21 Feb) dan Perak FC berdepan tuan rumah, UiTM FC pada 23 Feb.

Sementara itu, Mustaza berkata UiTM FC menyambut baik inisiatif CEO Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan agar mereka yang terlibat dalam Liga-M menjadi antara terawal dalam industri sukan yang menerima suntikan vaksin Covid-19.

Beliau berkata langkah itu secara tidak langsung mampu mengurangkan kos perbelanjaan kelab bola sepak melakukan ujian saringan Covid-19 khususnya bagi pasukan ‘kecil’.

Katanya, setakat ini lima ujian saringan Covid-19 yang dijalankan ke atas kesemua pemain dan pegawai UiTM FC menunjukkan keputusan negatif.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SELANGOR SUKANKINI

Atlet Sukma ikuti perlawanan persahabatan, kem berpusat untuk tingkat prestasi

SHAH ALAM, 31 OGOS: Program latihan atlet Sukan Malaysia (Sukma) Selangor diubah termasuk kerap mengadakan perlawanan persabahatan bagi meningkat prestasi.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri berkata atlet turut mengikuti kem berpusat dengan menjemput pakar psikologi bagi menguatkan mental serta memastikan mereka kekal bersemangat walaupun lama tidak bertanding.

“Memandangkan tiada kejohanan utama dianjurkan pada tahun ini kita ubah suai latihan atlet, kita tidak mahu prestasi merosot, kita mahu mereka kekal fokus dan berdisiplin.

Sesi psikologi sukan oleh Dr Jamatul Shahidah Shaari bersama pasukan Kanu Sukma Selangor di Kolam ORS, Kg Hang Tuah, Bestari Jaya. Foto: MSN Selangor

“MSN juga telah atur sesi kem berpusat bagi memastikan atlet lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan memantapkan mental dan menaikkan semangat mereka,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini.

Sukma Johor 2020 yang ditangguh susulan penularan Covid-19 dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan manakala Para Sukma berlangsung bermula 5 hingga 10 April.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Harimau Malaya uji Bahrain aksi persahabatan antarabangsa 2 Okt

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Skuad Harimau Malaya bakal berdepan pasukan ranking ke-99 dunia, Bahrain pada aksi pemanas badan di tempat lawan, 2 Oktober ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata perlawanan persahabatan berkenaan merupakan medan persediaan skuad kebangsaan sebelum berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi keenam kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di tempat lawan pada 8 Oktober nanti.

Beliau berkata bagaimanapun, badan induk itu perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan untuk terbang ke Bahrain memandangkan kerajaan masih menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Baru-baru ini, FAM dan Bahrain FA sudah mencapai persetujuan secara lisan untuk mengadakan aksi persahabatan di tempat lawan, namun kita perlu menunggu lampu hijau daripada kerajaan sebelum terbang ke sana.

“Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dijangka memanggil beberapa pemain bagi menjalani latihan pusat, seminggu sebelum mereka terbang ke Bahrain,” jelas Stuart kepada Bernama, baru-baru ini.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di tempat lawan yang menyaksikan Malaysia tewas 0-1.

Selepas aksi berdepan UAE, Malaysia dijadual melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober, sebelum menamatkan pusingan awal kelayakan menentang Thailand di Bangkok pada 17 November ini.

Malaysia kini berada pada kedudukan selesa di tangga kedua Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Hanya UAE yang berada di tangga keempat dengan enam mata memiliki kelebihan satu aksi sementara pendahulu, Vietnam unggul dengan 11 mata diikuti Thailand pada kedudukan ketiga (lapan mata) dan Indonesia tercorot tanpa sebarang mata.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini menangguhkan kesemua perlawanan kelayakan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sejak Mac lepas susulan penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA