Categories
NASIONAL

Program batal palsu, Azmin hadir di Permatang Pauh

Oleh: NORHAYATI UMOR

BUKIT MERTAJAM, 24 APR: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turun di Permatang Pauh, sekali gus menafikan program membabitkan beliau di kawasan berkenaan dibatalkan.

Mohamed Azmin terus ke beberapa lokasi sejurus tiba di Permatang Pauh, kira-kira jam 7 petang, semalam.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor, dilihat hadir di Majlis Perasmian Bilik Gerakan Permatang Rawa bersama Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman.

Azmin PKRSelepas itu, Mohamed Azmin mula bergerak ke Kuala Mengkuang untuk melancarkan bilik gerakan di lokasi berkenaan bagi DUN Penanti, pada jam 11 malam.

Kehadiran beliau disambut mesra Adun Kubang Rotan, Nasir Mustafa dan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail.

Sebelum ini, terdapat dakwaan Mohamed Azmin disingkirkan dari semua program PKR sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

Khabar angin itu mempunyai kaitan dengan mesyuarat tergempar di Selangor yang membabitkan pemimpin PKR dan PAS bagi membincangkan kerjasama antara dua parti menjelang PRK berkenaan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Calon PKR Permatang Pauh diumum dalam tempoh terdekat

Oleh: HAFIZAN TAIB

KAJANG, 14 APR: PKR dijangka mengumumkan calonnya di Permatang Pauh dalam masa terdekat berikutan persiapan rapi dijalankan pimpinan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen berkenaan, pada 7 Mei ini.

Hal itu termasuk melancarkan jentera pilihan raya parti yang akan dihadiri sendiri Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, malam ini.

Wan Azizah berkata, PKR bersiap sedia menghadapi PRK itu dan sudah mempunyai calon sesuai.

azizah“Insya Allah, kita akan letak calon yang diharapkan mampu menarik perhatian dan mendapat undi daripada pengundi Permatang Pauh.

“Kena ada calon, takkan nak bertanding tanpa calon. Calon akan diisytihar kelak,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas berkenaan beliau yang dikatakan sebagai calon untuk pilihan raya itu, Wan Azizah hanya menjawab ‘ura-ura ada ura-ura’.

Kawasan Permatang Pauh diisytiharkan kosong baru-baru ini apabila petisyen pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang Dipertuan Agong yang difailkan keluarganya dilupuskan pihak lembaga pengampunan.

Anwar dijatuhi hukuman lima tahun penjara dalam kes Fitnah 2, pada Februari lalu.

-NFN-

Categories
NASIONAL

PRK Rompin 5 Mei, Permatang Pauh 7 Mei

SHAH ALAM, 10 APR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin akan diadakan pada 5 Mei ini susulan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam satu nahas helikopter yang terhempas, pada 4 April lalu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada satu sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau yang sebelum ini pernah mengatakan PRK berkenaan berkemungkinan akan diadakan serentak dengan PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini menegaskan tarikh itu tidak sesuai kerana ia cuti umum untuk Pahang.

spr on black 01“Ia tak menghalang SPR untuk mengadakannya lebih awal daripada Permatang Pauh, asalkan ikut syarat dalam Malaysia dan undang-undang lain.

“Pada asalnya, nak adakan serentak pada 7 Mei, tapi bagi Pahang ia Hari Hol iaitu cuti umum untuk negeri itu dan banyak program yang diatur dari tengah hari dan sebelah malam melibatkan pihak istana serta ketua jabatan.

“Kalau diadakan pada tarikh itu, ia tidak sesuai,” katanya yang memetik laporan Malaysia Insider.

Sementara itu, hari penamaan calon ditetapkan pada 24 April dan pengundian awal pada 30 April.

Categories
NASIONAL

Biar PKR tentukan calon Permatang Pauh

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 FEB: PKR berhak menentukan calon paling sesuai untuk diletakkan di kerusi Parlimen Permatang Pauh jika Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad berkata, kerusi yang disandang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dijadikan pemangkin untuk memperkukuhkan PR.

khalid samad“Siapa yang hendak diletakkan sebagai calon terserah kepada PKR kerana itu kerusi mereka,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Katanya, Permatang Pauh perlu dijadikan batu loncatan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) untuk menumbangkan BN.

Menyentuh soal siapa yang bakal menerajui PR selepas ketiadaan Anwar, beliau berkata, ketiga-tiga parti mempunyai kekuatan masing-masing.

“Jangan ada perebutan teraju kepimpinan kerana semua parti ada kekuatan masing-masing. Bincang secara baik, siapa yang akan menggantikan Anwar,” katanya.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Anwar selepas beliau gagal mengenepikan rayuan terhadap kes Fitnah 2.

-NFN-