Categories
AGENDA NASIONAL

Pelaburan besar di Turkmenistan bukti keyakinan Petronas

ASHGABAT (Turkmenistan), 26 OKT: Pelaburan besar Petronas di Turkmenistan mencerminkan keyakinannya bagi kerjasama jangka panjang dengan negara itu, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin berkata Petronas telah beroperasi di Turkmenistan selama 23 tahun sejak Julai 1996 dengan jumlah pelaburan bernilai US$10 bilion.

“Saya bangga dengan keupayaan rakyat Malaysia yang menguruskan operasi Petronas Carigali di Turkmenistan.

“Pagi tadi saya diberikan taklimat oleh Ketua Pegawai Operasi Petronas Carigali Turkmenistan, Ruslan Abdul Ghani di pejabat Petronas Ashgabat bersama pengurusan tertinggi Petronas Carigali,” katanya dalam catatan di laman Twitter rasminya hari ini.

Mohamed Azmin tiba di sini lewat malam Jumaat bagi mengiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan bermula Ahad (27 Oktober).

Lawatan Dr Mahathir itu adalah atas jemputan Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov yang telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada Disember 2011 dan November 2016.

Mohamed Azmin berkata Petronas beroperasi di Blok 1, yang terletak kira-kira 80 kilometer barat daya Turkmenbashy – kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) yang diberikan oleh kerajaan Turkmenistan.

Beliau berkata Turkmenistan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.2 peratus pada 2018 dengan nilai US$40.4 bilion.

Beliau berkata Ashgabat merupakan ibu negara Turkmenistan, sebuah negara pengeluar minyak dan gas dengan penduduk seramai 5.8 juta orang, dengan 89 peratus adalah masyarakat Muslim.

Selepas dua lawatan tertinggi dari pemimpin Turkmenistan pada 1994, kerajaan negara itu menyedari pengalaman dan kelayakan Petronas dalam bidang industri minyak dan gas, dan menjemput syarikat petroleum Malaysia itu melabur di negara berkenaan.

Pada 1996, Petronas diberikan 32 tahun PSC yang berakhir pada 2028 untuk mengeluarkan gas asli di kawasan Blok 1 di Laut Caspian.

Pada masa ini, Turkmenistan berada di kedudukan keempat teratas yang mempunyai simpanan gas asli di bawah tanah selepas Rusia, Iran dan Qatar.

Simpanan gas asli yang terbukti adalah sebanyak 20 trilion meter padu, namun, jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana masih banyak kawasan di negara ini masih belum diterokai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PETRONAS majikan paling menarik 2019

SHAH ALAM, 22 OGOS: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) sekali lagi dinobatkan sebagai pemenang anugerah Majikan Paling Menarik 2019 di Malaysia oleh agensi pengambilan pekerjaan utama dunia, Randstad.

Syarikat minyak dan gas nasional itu mengatasi dua syarikat multinasional lain iaitu Shell Malaysia yang berada di kedudukan kedua dan Nestlé (Malaysia) Bhd (ketiga).

Ketiga-tiga syarikat berkenaan menerima skor daya tarikan tertinggi dalam Penyelidikan Jenama Majikan, yang dipilih daripada 75 syarikat komersial terbesar di Malaysia berdasarkan saiz tenaga kerja.

Pengarah Urusan Randstad Malaysia dan Singapura, Jaya Dass dalam kenyataan mengucapkan tahniah kepada pemenang atas usaha cemerlang mereka mewujudkan jenama majikan yang kukuh, di sebalik pasaran yang semakin dinamik dan kompetitif.

“Apabila syarikat memupuk tempat kerja yang memberi inspirasi dan kuasa kepada kakitangan untuk berbangga dengan setiap pekerjaan dilakukan, maka pengalaman mereka akan lebih berharga.

“Kami (Randstad) berharap dapat melihat lebih banyak syarikat memberi tumpuan kepada pengukuhan jenama majikan mereka untuk meningkatkan kualiti hubungan dengan pekerja,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Kumpulan Pengurusan Sumber Manusia PETRONAS, Datuk Raiha Azni Abd Rahman berkata, syarikat itu sentiasa menghargai dan komited memberi pengalaman positif kepada kakitangannya.

“Program pembangunan kepimpinan dan keupayaan PETRONAS yang terkemuka menawarkan peluang pertumbuhan kerjaya kepada pekerja kami di seluruh dunia dan terbukti menghasilkan bakat terbaik.

“Kami terus memupuk persekitaran tempat kerja yang kondusif untuk pekerja, termasuk pelaksanaan pengaturan kerja yang fleksibel, reka bentuk semula tempat kerja, meningkatkan faedah dan penggunaan teknologi digital,” katanya.

Berikut adalah 10 Majikan Paling Menarik 2019 di Malaysia:

1. Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS)
2. Shell Malaysia
3. Nestlé (Malaysia) Berhad
4. Intel Malaysia Sdn. Bhd.
5. Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn. Bhd.
6. AirAsia Berhad
7. IBM Malaysia Sdn. Bhd.
8. Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd.
9. Sime Darby Berhad
10. Sony EMCS (Malaysia) Sdn. Bhd.

Categories
NASIONAL

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pantau Kompleks Pengerang

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sedang memantau keadaan di Kompleks Bersepadu Pengerang, di Johor.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam ciapannya di Twitter hari ini berkata, Petronas dan pihak berkuasa relevan sedang menyiasat kejadian kebakaran serta letupan yang berlaku di kompleks itu, awal pagi tadi.

Beliau berkata, menurut polis, dua individu menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Terdahulu, Petronas dalam satu kenyataan mengesahkan letupan dan kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang kira-kira 1.25 pagi tadi.

Katanya, pasukan kecemasan dan kebakaran digerakkan ke lokasi kejadian dan api dapat dipadamkan dalam 30 minit kemudian.

 

Categories
NASIONAL

Saksi rasa gegaran letupan di Pengerang

JOHOR BAHRU, 12 APRIL: Letupan dan kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Kota Tinggi, pada awal pagi ini, dipercayai menyebabkan satu gegaran kuat di kawasan sekitar, menurut beberapa saksi.

Seorang daripadanya, Mohd Azizi Mahmun, 24, yang tinggal di Taman Ramunia Indah berdekatan kawasan kejadian berkata, dia merasakan pintu rumahnya seperti ditendang ketika kejadian itu berlaku.

“Ketika kejadian, saya sedang tidur dan tersedar akibat satu gegaran kuat,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

“Alarm (alat penggera) kereta juga semua berbunyi. Saya dan jiran kemudian keluar dan ternampak ada kepulan asap dan api di kawasan itu,” katanya yang penyelaras tapak bagi sebuah syarikat di kompleks berkenaan.

Mohd Azizi berkata, dia juga dapat menghidu bau gas akibat letupan berkenaan.

“Orang ramai boleh nampak kejadian kerana lokasinya dekat tepi jalan. Apatah lagi di kawasan Tanjung Pengelih, boleh nampak semua.

“Tetapi sekarang saya rasa keadaannya sudah terkawal kerana tiada arahan mana-mana pihak untuk kami (penduduk) berpindah. Saya pun nak ke tapak selepas ini untuk melihat keadaan,” katanya.

Seorang lagi saksi, Muslim Mustafa, 30, berkata dia turut merasai gegaran kuat kira-kira 1.30 pagi.

“Saya tengah tidur ketika terdengar satu bunyi letupan kuat berlaku. Bunyi itu menyebabkan pintu rumah saya bergegar dan semua jiran keluar melihat apa yang berlaku.

“Tidak lama selepas itu, saya nampak ada kereta ambulans dan bomba menuju ke kawasan kejadian,” katanya yang bekerja sebagai pengawal bahan di tapak projek terbabit.

Klip video dan gambar kejadian itu turut tular di Facebook dan Twitter.

Turut sama berkongsi klip video itu dalam laman berkenaan ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Berikutan itu, ramai netizan mendoakan supaya kejadian terbabit tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa dan semua pekerja di lokasi kejadian dilaporkan selamat. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Dua cedera susulan kebakaran, letupan di Pengerang

JOHOR BAHRU, 12 APRIL: Dua warga tempatan disahkan cedera dalam insiden kebakaran di satu daripada lot tapak projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, dekat Kota Tinggi, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Ahsmon Bajah yang mengesahkan perkara itu berkata, kejadian berlaku kira-kira 1.20 pagi tadi.

Katanya, Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) dengan lima kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Petronas RAPID Pengerang dengan kekuatan 30 kakitangan diaktifkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan berhubung insiden itu.

“Kebakaran dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada 2.15 pagi tadi.

“Kedua-dua mangsa yang merupakan pengawal keselamatan itu dirawat sebagai pesakit luar di Pusat Kecemasan Perubatan RAPID Pengerang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahsmon berkata, siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan akan dibuat bersama-sama Jawatankuasa Keselamatan Dan Sosial (Jaksas) Johor, Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah dan pihak Pengurusan Keselamatan Petronas RAPID Pengerang.

“Pihak polis memuji tindak balas ERT Petronas RAPID Pengerang yang dapat mengawal sepenuhnya insiden terpencil ini dalam masa singkat,” katanya.

Sementara itu, Petronas dalam satu kenyataan berasingan mengesahkan satu letupan dan kebakaran berlaku di Kompleks Bersepadu Pengerang.

Bagaimanapun, siasatan sedang dijalankan. -BERNAMA

Categories
EKONOMI

Petronas ambil alih 10% kepentingan dalam medan minyak Al Khazzan Oman

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melalui anak syarikatnya PC Oman Ventures Ltd, (PCOVL) telah menyelesaikan transaksi pengambilalihan kepentingan 10 peratus dalam Blok 61 medan gas Al Khazzan Oman daripada Makarim Gas Development LLC (MGD).

Dalam satu kenyataan, Petronas berkata, MGD adalah subsidiari syarikat minyak penerokaan dan pengeluaran LCC Oman (OOCEP).

Katanya, penyelesaian transaksi itu dirasmikan pada majlis yang diadakan di Muscat, Oman selepas syarat-syarat untuk transaksi telah dipenuhi

“Berikutan pengambilalihan tersebut, PCOVL dan MGD memegang kepentingan masing-masing 10 peratus dan 30 peratus manakala BP Exploration Ltd sebagai pengendali 60 peratus kepentingan.

“Pengambilalihan tersebut menandakan langkah penting dalam merealisasikan strategi pertumbuhan Petronas dalam sektor huluan di rantau ini dan di peringkat global ketika ia menyelaras aktivitinya bagi memastikan bekalan tenaga yang mampan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Petronas bayar dividen RM24 bilion kepada kerajaan tahun ini

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menyemak semula jumlah pembayaran dividen untuk kerajaan kepada RM24 bilion tahun ini daripada RM19 bilion yang diumumkan pada Mac lepas.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata kenaikan itu didorong oleh peningkatan harga minyak serta pendapatan kumpulan berkenaan.

“Pada separuh pertama 2018, Petronas merekodkan perolehan sebanyak RM117.2 bilion iaitu peningkatan sebanyak 8.0 peratus berbanding RM108.1 bilion bagi tempoh sama pada 2017.

“Ini didorong oleh tumpuan berterusan kumpulan ini terhadap usaha memacu kecemerlangan operasi dan pelaksanaan inisiatif penambahbaikan perniagaan, disokong oleh harga komoditi dan margin yang lebih tinggi,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan separuh pertama 2018 kumpulan itu di sini, hari ini.

Pada 2017, pembayaran dividen Petronas kepada kerajaan berjumlah RM16 bilion.

Keuntungan bersih kumpulan itu meningkat 54 peratus kepada RM26.6 bilion berbanding RM17.3 bilion pada separuh pertama 2017.

Wan Zulkiflee berkata Petronas turut menjangkakan purata harga minyak mentah Brent mencecah di bawah US$73 setong menjelang akhir tahun ini.

“Bagaimanapun, mengambil kira pandangan konservatif untuk perancangan perbelanjaan bagi 2019, kami menjangkakan minyak mentah Brent itu berada sekitar US$66 setong bagi purata tahunan berikutan ketidaktentuan bekalan dan permintaan,” katanya.

Selain itu, mengulas pertikaian membabitkan aktiviti minyak dan gas (O&G) di Sarawak, Wan Zulkiflee berkata Petronas menyerahkan perkara itu kepada kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk membincangkan aspek peratusan royalti dan sebarang keputusan susulan akan berpandukan hasil perbincangan tersebut.

Menurutnya, Petronas telah memberi input, implikasi dan senario berkaitan namun tidak terbabit dalam perbincangan berkaitan.

“Bagaimanapun, bagi operasi harian, kami masih berbincang aktif dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) iaitu entiti dilantik oleh kerajaan Sarawak mengenai pengaturan tugas yang dipersetujui bersama oleh semua pihak terbabit.

“Tempoh yang kami ada bagi menyelesaikan perkara ini dengan Petros adalah sehingga akhir tahun depan.

“Ini penting kerana kami perlu memastikan industri minyak dan gas (O&G) Malaysia kekal berdaya tahan dan menjadi destinasi pelaburan menarik untuk syarikat O&G asing,” katanya.

Wan Zulkiflee berkata kerajaan Sarawak membuat tuntutan terhadap aktiviti O&G dan telah memulakan usaha kawal selia aktiviti berkenaan sejak 1 Julai lepas.

Dalam pada itu, mengulas prospek kumpulan, beliau berkata Petronas akan mengekalkan pendirian berhati-hati dan akan terus meninjau lebih banyak peluang pertumbuhan bagi memastikan kemampanannya untuk tempoh jangka panjang.

“Kami menjangkakan prestasi keseluruhan sehingga akhir tahun adalah sebagai memuaskan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Untung bersih Petronas Gas meningkat kepada RM537.08 Juta

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Keuntungan bersih Petronas Gas Bhd (PetGas) meningkat kepada RM537.08 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2018 daripada RM425.93 juta yang direkodkan pada suku yang sama 2017.

Perolehan meningkat 15.7 peratus kepada RM1.36 bilion daripada RM1.17 bilion pada tempoh yang sama, didorong terutamanya terminal regasifikasi gas asli cecair baharu syarikat itu di Pengerang, Johor, yang memulakan operasi komersial pada November 2017 selain perolehan lebih tinggi daripada semua segmen.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, PetGas berkata keuntungan bersih bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun, 2018 bertambah kepada RM1.04 bilion daripada RM889.09 juta pada tempoh sama 2017.

Perolehan meningkat kepada RM2.71 bilion daripada RM2.34 bilion bagi tempoh yang sama.

Berdasarkan prestasi syarikat, PetGas berkata loji pemprosesan gas miliknya telah mencapai 100 peratus kebolehpercayaan, sekali gus mengekalkan piawaian berkelas dunia.

“Prestasi pengekstrakan loji cecair secara konsisten telah melebihi sasaran sepanjang suku kedua, menjadikan bahagian pendapatan berstruktur berasaskan prestasi yang diperoleh adalah lebih tinggi berbanding suku yang sama,” menurut PetGas.

Mengenai prospek, PetGas berkata, ia masih berbincang dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memuktamadkan garis panduan tarif bagi perkhidmatan pengangkutan dan regastifikasi gas selepas 2018.

“Prestasi syarikat pula dijangkakan kekal stabil susulan sokongan aliran pendapatan kukuh dan mampan hasil Perjanjian Pemprosesan Gas, Perjanjian Pengangkutan Gas dan Perjanjian Perkhidmatan Regastifikasi sedia ada yang telah dimeterai dengan Petronas,” menurut PetGas.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Ahmad Nizam dilantik Pengerusi Petronas

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Nizam Salleh sebagai Pengerusi Petronas berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan itu, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin akan kekal sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat minyak negara itu.

Ahmad Nizam berpengalaman dalam industri minyak dan gas selama 37 tahun, turut menyandang pelbagai jawatan sepanjang kerjaya beliau di Petronas.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI GLOBAL

Petronas peroleh 6 blok minyak dan gas di Mexico

BISNES 3 FEB: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) memperoleh enam daripada 19 blok minyak dan gas dalam lelongan yang diadakan di Mexico.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan dua daripada enam blok tersebut dianugerahkan kepada unit Petronas, PC Carigali manakala selebihnya secara bersekutu dengan syarikat lain.

Kesemua blok berkenaan terletak di daerah Tamaulipas, di pantai timur laut Mexico.

Menurut Pengurus Negara PC Carigali di Mexico, Faisal Bakar, Petronas mahu meneroka kawasan blok-blok berkenaan dan mencari minyak dan gas.

Dalam lelongan itu juga, Royal Dutch Shell meraih sembilan blok dengan empat daripadanya sebagai pembida tunggal, empat secara konsortium dengan Qatar Petro­leum dan satu menerusi kerjasama dengan syarikat gergasi minyak, Petroleos de Mexico (Pemex).

Pemex pula memperoleh empat blok dengan dua daripada secara sendirian manakala dua lagi menerusi konsortium dengan syarikat lain.

Mexico menganggarkan lelongan tersebut, yang paling penting sejak negara berkenaan membuka sektor tenaga kepada firma asing sejak 2014, akan menjana pelaburan sehingga AS$93 bilion (RM361.16 bilion) kepada negara memandangkan blok-blok tersebut akan dibangunkan.

Secara keseluruhan blok tersebut dianggarkan memiliki 4.2 bilion tong minyak.

Timbalan Setiausaha Tenaga negara itu, Aldo Flores berkata, ia menandakan satu kejayaan kepada sektor minyak di Mexico.

“Pelaburan berjumlah AS$93 bilion itu mampu mewujudkan 230,000 peluang pekerjaan bagi tempoh 15 tahun pertama. Pengeluaran pula akan bermula seawal 2028,” katanya.

Menjelang pusingan bidaan, kerajaan sebelum itu dilaporkan berkata, hanya menjangkakan tujuh daripada 29 blok yang ditawarkan akan dianugerahkan tetapi akhirnya ia menawarkan 19 blok dengan 10 blok tidak menerima bidaan.

Blok-blok minyak dan gas yang dilelong pada Rabu lalu boleh mengepam lebih 1.5 juta tong setiap hari dan empat bilion kaki padu gas setiap hari menjelang 2032. Mexico ketika ini mengeluarkan kira-kira 1.9 juta tong setiap hari.

Dengan menerima AS$525 juta (RM2.04 bilion) secara tunai daripada syarikat-syarikat yang memenangi blok berkenaan, ia dapat disalurkan kepada dana kerajaan.

SUMBER: REUTERS

 

Categories
EKONOMI

Petronas Dagangan jana untung RM438.3 juta

KUALA LUMPUR 11 NOV: Keuntungan sebelum cukai Petronas Dagangan Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September 2017 melonjak kepada RM438.3 juta berbanding hanya RM325.59 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatan meningkat kepada RM6.69 bilion daripada RM5.48 bilion, selepas dipacu oleh kenaikan sebanyak tiga peratus dalam kuantiti jualan dan pertambahan 18 peratus pada harga purata jualan, seiring dengan harga purata yang lebih tinggi Mean of Platts Singapore.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus, berkata keputusan itu diraih selepas syarikat mempergiatkan kempen jualan, pemasaran konvensional dan digital.

“Usaha ini terbukti menghasilkan keputusan positif khususnya dari segi jumlah jualan dan keuntungan kasar,” katanya dalam satu kenyataan.

Perniagaan runcit merekodkan kenaikan keuntungan kasar sebanyak 35 peratus berikutan aliran menaik dalam harga produk, manakala perniagaan komersial mencatatkan lonjakan keuntungan kasar sebanyak 17 peratus, disumbangkan oleh peningkatan jumlah dalam bahan api pesawat dan diesel.

“Perniagaan gas petroleum cecair mencatatkan 46 peratus pertambahan dalam keuntungan kasar selaras dengan peningkatan sebanyak lima peratus dalam volum selepas pelaksanaan program insentif baharu oleh syarikat bagi memacu jualan yang lebih tinggi di tengah-tengah persaingan yang sengit,” katanya.

Keuntungan kasar dalam perniagaan minyak pelincir menurun sebanyak lima peratus akibat jumlah hasil yang rendah termasuk kos produk yang lebih tinggi.

Petronas Dagangan berkata, dalam suku di bawah kajian, syarikat juga melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam Petronas Energy Philippines Inc. dan sebanyak 40 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat bersekutu, Duta Inc kepada P-H-O-E-N-I-X Petroleum Philippines Inc, menghasilkan keuntungan berjumlah RM424.6 juta.

Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan sebelum cukai Petronas Dagangan menokok kepada RM1.06 bilion daripada RM858.97 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun sebelum ini, dan perolehan naik kepada RM19.74 bilion daripada RM15.59 bilion.

Mengenai prospek syarikat pula katanya, Petronas Dagangan akan mengukuhkan lagi rangkaian dan terus mengembangkan segmen e-dagangnya, dengan memanfaatkan e-peruncit seperti Shopee, Lazada Malaysia dan 11street bagi mempelbagaikan saluran pemasaran termasuk meningkatkan lagi, pengalaman pelanggannya.

“Dalam suku tahun berikutnya, Petronas Dagangan akan berusaha untuk memacu pertumbuhan jumlah, sambil memastikan pengurusan inventori yang lebih cekap, bekalan, pengedaran serta operasi pengoptimum perbelanjaan,” katanya.

Beliau menambah perniagaan komersil dan perniagaan LPG akan ditumpukan bagi mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran, disamping meningkatkan lagi, margin produk dalam pasaran pelincir.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Petronas nafi mahu buang 5,000 pekerja tahun depan

KUALA LUMPUR 16 SEPT: Petronas hari ini menafikan dakwaan seorang blogger syarikat itu merancang untuk memberhentikan 5,000 pekerja pada tahun depan dalam apa yang dikatakan sebagai satu lagi pusingan “pengurangan kakitangan” di seluruh kumpulan.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat minyak nasional itu menafikan sepenuhnya dakwaan blogger Syed Akbar Ali di laman web OutSyed the Box.

Menurut syarikat minyak itu, proses semakan semula perniagaan kumpulan yang dijalankan tahun lepas telah membabitkan 2,300 pekerjaan seperti yang diumumkan sebelum ini dan pada masa ini tidak ada rancangan untuk melaksanakan satu lagi proses berskala sedemikian.

“Petronas, bagaimanapun, komited untuk membina budaya kerja berprestasi tinggi di mana pengoptimuman tenaga kerja dan penyelarasan berfungsi merupakan proses berterusan yang memerlukan keupayaan dan akauntabiliti yang lebih tinggi serta penilaian prestasi yang lebih ketat dalam kalangan pekerjanya,” katanya.

SUMBER: BERNAMA