Categories
SELANGOR

Pengalaman Ahli Majlis MBPJ jadi ‘senjata’ Halimey tawan Seri Setia

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 18 OGOS: Pengalaman sebagai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mematangkan Halimey Abu Bakar.

Ia sekali gus menjadikannya sebagai ‘senjata’ bagi pertempuran merebut kerusi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia kali ini.

Halimey yang berusia 46 tahun itu berkhidmat sebagai Ahli Majlis MBPJ sejak 2008 lagi.

“Sebagai anak tempatan, pelbagai masalah sebelum ini turut ditangani dan ketika Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin masih ada, saya turut bekerjasama membantunya dalam beberapa isu,” katanya ketika ditemui media selepas pengumuman calon bagi PRK DUN Seri Setia di Dewan Sivik MBPJ, pagi tadi.

Beliau yang pernah memegang jawatan Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Kelana Jaya itu turut berpengalaman menyelesaikan isu penduduk di sekitar Petaling Jaya.

Antaranya, menyelesai dan memindahkan perniagaan pasar malam PJS 10 ke PJS 8 Mentari pada 2009, kemudiannya pada 2010 beliau turut membantu bagi mempercepatkan proses pembinaan Masjid Al- Islamiah PJS 6 Kampung Lindungan.

Terbaru, pada 2018, Halimey turut berjaya membina semula kiosk di PJS 8 untuk peniaga-peniaga kecil.

Halimey berkata, fokus utama beliau sekiranya memenangi DUN Seri Setia ialah memfokuskan isu perumahan kos rendah.

“Saya juga akan cuba melihat isu kemiskinan bandar, PAKATAN akan terus memikul tanggungjawab membantu masyarakat dengan bantuan rakan-rakan parti komponen,” katanya.

Categories
SELANGOR

Berkempenlah secara berhemah – Ketua Polis IPD Petaling Jaya

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 18 OGOS : Semua parti bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia perlu berkempen dengan cara berhemah serta mengikut landasan undang-undang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, anggota polis memantau keseluruhan proses kempen sehingga pada hari mengundi mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya.

“Untuk permohonan permit ceramah, seperti biasa permohonan perlu dimajukan kepada Ketua Polis Petaling Jaya secara manual.

“Kita tidak buka permohonan secara online,” katanya kepada SelangorKini selepas Penamaan Calon PRK DUN Seri Setia di Dewan Sivik MBPJ, pagi tadi.

Sementara itu, Mohd Zani turut memaklumkan jumlah kehadiran penyokong bagi Parti KEADILAN dan juga PAS ketika proses penamaan calon ialah seramai 1,000 orang.

“Suasana aman sahaja sepanjang pagi tadi walaupun hujan berlaku secara tiba-tiba, namun sekali lagi ingin saya ingatkan, berkempenlah secara berhemah,” katanya.