Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat sokong pinda akta air, beri hukuman berat

SHAH ALAM, 5 SEPT: Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik bersetuju Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Kualiti Alam Sekeliling dipinda bagi memberi hukuman lebih berat kepada pesalahnya.

Najwan Halimi berkata demikian berhubung cadangan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin melalui Twitternya malam tadi.

“Syor sama telah dikemukakan tatkala saya bahas usul Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Sumber Air Selangor berhuhung Pencemaran Sumber Air Sehingga Menyebabkan Henti Tugas Tidak Berjadual Loji-Loji Rawatan Air Dan Pembekalan Semasa Kecemasan, Julai lalu,” katanya melalui medium sama.

Semalam, Najwan yang juga ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air bagi Dewan Negeri Selangor meminta undang-undang pencemaran air diperketatkan bagi menghalang pencemaran berulang sehingga menjejaskan ramai pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau berpendapat Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 harus dipinda segera supaya hukuman lebih berat dapat dikenakan terhadap pesalah pencemaran air serta membolehkan hukuman penjara dan jumlah denda dipertingkatkan berikutan peruntukan sedia ada kurang tegas sehingga banyak pihak berani melanggar undang-undang.

Khairy dalam cadangannya berkata, “Wajar kerajaan meminda Akta Industri Perkhidmatan Air & Akta Kualiti Alam Sekeliling untuk memperuntukkan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang mencemarkan sumber air. Sumber air perlu dilihat sebagai kategori keselamatan negara. Akan dibawa ke Jemaah Menteri”.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan cadang pinda akta waktu kerja anjal

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Pengenalan cuti paterniti, peningkatan tempoh cuti bersalin, sistem aturan kerja anjal dan penambahbaikan pelindungan bagi menangani gangguan seksual di tempat kerja adalah antara perkara yang dicadang dalam pindaan Akta Kerja 1955.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata cadangan meminda Akta Kerja 1955 adalah bagi menambah baik standard minimum pekerjaan, selaras dengan standard perburuhan di peringkat antarabangsa.

“Selain itu dalam memperkemas pelaksanaan waktu kerja yang lebih fleksibel dalam membantu pekerja mendapat bayaran gaji yang setimpal, kementerian juga bercadang untuk mewujudkan peruntukan baharu berhubung sistem aturan kerja fleksibel di bawah Akta Kerja 1955, bersesuaian dengan pasca-Covid-19 yang mana norma baharu akan kita cadangkan.

“Peruntukan ini juga akan memperincikan berhubung permintaan bertulis daripada pekerja kepada majikannya untuk mengubah terma dan syarat pekerjaan pekerja berhubung dengan fleksibiliti pekerja berkenaan termasuk jam dan hari bekerja serta tempat pekerjaan berdasarkan syarat tertentu yang dipersetujui oleh majikan dan pekerja,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata usaha itu secara tidak langsung dapat mengurangkan kos seseorang pekerja dalam menjalankan tugas selepas ini.

Awang berkata demikian bagi menjawab soalan Jugah Anak Muyang @ Tambat (Bebas-Lubok Antu) yang ingin tahu adakah kerajaan akan mengkaji undang-undang buruh dan memperbaharui pasaran buruh.

Menjawab soalan tambahan Jugah sama ada kerajaan merancang menawarkan gaji yang lebih baik kepada rakyat, Awang berkata sehingga kini 56 majlis bandar raya dan majlis perbandaran melaksanakan kadar gaji minimum RM1,200 sebulan dan usaha untuk memastikan semua pihak melaksanakan kadar gaji yang sama akan diteruskan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Prosedur pelantikan KP SPRM perlu dipinda

TELUK INTAN, 10 Jun : Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mencadangkan supaya Seksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dipinda bagi menambah baik prosedur pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada masa akan datang.

Ketika mencadangkan agar pindaan itu dibuat pada sidang Dewan Rakyat akan datang, Nga berkata ketika ini seksyen berkenaan memperuntukkan kuasa kepada Perdana Menteri untuk melantik mana-mana individu menerajui agensi penguatkuasaan itu.

“Pindaan itu perlu memasukkan klausa supaya sebelum pelantikan dibuat (individu yang dilantik) perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama.

“Oleh itu, proses pelantikan pada masa akan datang ialah (nama) individu yang dicadangkan oleh perdana menteri, diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi latar belakangnya kemudian perdana menteri membuat penilaian terakhir sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk lantikan,” katanya.

Nga yang juga Anggota Parlimen Teluk Intan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia cawangan Hilir Perak kali ke-21 di sini, hari ini.

Pada 4 Jun lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan peguam Latheefa Beebi Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM berkuatkuasa 1 Jun.

Latheefa mengambil alih daripada Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon untuk memendekkan kontrak perkhidmatan yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei tahun depan. -BERNAMA