Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bantuan zakat RM500 kepada guru tahfiz diagih segera

SHAH ALAM, 3 SEPT: Lembaga Zakat Selangor meluluskan sebilangan permohonan guru pusat tahfiz untuk mendapat bantuan RM500 bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat Covid-19.

Pengerusi Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) berkata bantuan sekali bayar itu dijangka dimasukkan dalam akaun pemohon masa terdekat.

Menurut Muhammad Hafiz Muhammad Haneefa Al-Hafiz, pihaknya berterima kasih kepada LZS kerana mempermudahkan proses permohonan itu dengan menyediakan pautan khas.

“Kita anggarkan 1,000 hingga 2,000 guru akan mendapat bantuan itu, kita harap mereka memohonnya segera.

“Bantuan pusat tahfiz pula akan diperincikan selepas kita menghantar cadangan kepada LZS esok (hari ini) yang membabitkan 101 permohonan,” katanya di sini, semalam.

Pada 18 Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop mengumumkan bantuan RM500 setiap seorang kepada 1,000 guru tahfiz dan sumbangan RM1,500 bagi kesemua 250 buah tahfiz di Selangor bagi meringankan beban mereka.

Sebelum ini, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang RM200,000 kepada 250 pusat tahfiz di bawah Pitas untuk membayar kos utiliti dan sewa bangunan sepanjang perintah kawalan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

411 maahad tahfiz terima manfaat bantuan Mais

SHAH ALAM, 5 MAC: Sebanyak 411 maahad tahfiz di bawah Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) menerima manfaat hasil sumbangan RM100,000 daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Setiausaha Mais berkata bantuan menerusi peruntukan baitulmal diberikan kepada persatuan tersebut selaku penggerak utama institusi tahfiz Al-Quran persendirian di negeri ini.

“Mais berharap sumbangan disalur dapat membantu maahad tahfiz menyediakan kemudahan pembelajaran yang sempurna,” kata Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Beliau berkata, pemilihan penerima berdasarkan permohonan Pitas bagi membantu menaik taraf kemudahan infrastruktur pembinaan bangunan mengikut ketetapan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, Pengerusi Pitas Muhammad Hafiz Muhammad Haneefa berkata sumbangan berkenaan dapat membantu menaik taraf kemudahan maahad tahfiz terlibat di bawah seliaanya.

Bantuan itu disampaikan Pengerusi Mais, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf kepada Muhammad Hafiz semalam.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

PITAS gembira Belanjawan 2019 iktiraf institusi tahfiz

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 NOV: Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) melahirkan rasa gembira apabila Belanjawan 2019 mengiktiraf institusi tahfiz di negara ini.

Pengerusinya, Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa Al-Hafiz berkata, menerusi pembentangan belanjawan itu, Kerajaan melihat pendidikan tahfiz merupakan salah satu pendidikan arus perdana yang perlu diberi perhatian.

“Saya mewakili lebih 300 maahad tahfiz di Selangor dengan bilangan pelajar lebih 17,000 ingin menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH atas nikmat ini.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas pembentangan bajet sekali gus memperlihatkan Kerajaan mengiktiraf bidang pendidikan ini,” katanya menerusi akaun instagramnya, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan, Kerajaan akan menaikkan taraf dan menyelenggara semua sekolah dengan peruntukan RM652 juta dengan meliputi sekolah Tahfiz sebanyak RM50 juta.

Pada masa sama, sejumlah RM150 juta disediakan bagi melaksanakan program termasuk pembinaan masjid dan surau di seluruh negara, inisiatif ‘Khaira Ummah’ untuk melahirkan lebih ramai profesional di kalangan huffaz dan modul pembelajaran agama dengan penggunaan braille.

Mengulas lanjut, Muhammad Hafiz berkata, beliau berharap supaya bantuan tersebut terus sampai kepada kumpulan sasaran dengan baik dan lancar.

“Semoga bantuan ini diteruskan pada masa akan datang secara perkapita, sebaliknya bukan secara ‘one off’ sahaja.

“Malah saya berharap supaya ia sentiasa meningkat setiap tahun mengikut pendaftaran institusi tahfiz persendirian seluruh negara,” katanya.

 

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

PITAS jalin kerjasama buka peluang huffaz lanjutkan pelajaran

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 OKT: Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) menandatangani memorandum persefahaman bersama tiga institusi pendidikan dan satu syarikat swasta bagi membuka lebih peluang buat huffaz di Selangor melanjutkan pelajaran.

Acara menandatangani MOU itu berlangsung pada Majlis Konvokesyen Huffaz Kali Ke-2 2018 di Dewan Raja Musa Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

PITAS di wakili Pengerusinya Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa Al-Hafiz menjalinkan kerjasama bersama Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) yang diwakili Timbalan Rektor, Dr Dzulkefli Abd Hamid

Turut bersama dalam menandatangani MOU, Universiti Selangor (UNISEL) pula diwakili Dekan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Abdul Razak Aripin; Kolej Hafiz diwakili Pengarah, Muhamad Haneefa Husin sementara Syarikat Awfatech diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Razali Ahmad.

Sempena majlis konvokesyen ini, seramai 720 huffaz dianugerahkan Sijil Syahadah Ithbat 30 juzuk PITAS dan Sijil Penghargaan Khatam Hafazan Al-Quran 30 juzuk.

Secara keseluruhan, Negeri Selangor mempunyai 300 ma’ahad tahfiz yang berdaftar di bawah PITAS dengan 17,000 pelajar di dalam rekod Kerajaan Negeri.

Categories
SELANGOR

PITAS: Institusi pendidikan tahfiz tidak pernah sebar ideologi militan

SHAH ALAM 22 FEB: Institusi pendidikan tahfiz di Selangor tidak pernah terlibat dalam sebarang penyebaran ideologi Islamic States (IS) di negara ini.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS) , Ashri Lateh Al-Muqril berkata, 160 buah sekolah tahfiz yang berdaftar di negeri itu tidak pernah memberi galakan kepada pelajar mereka untuk menyertai mana-mana kumpulan militan.

Islamic-State“Kumpulan militan itu bukan hanya bercanggah dengan falsafah pendidikan tahfiz malah terpesong jauh dari ajaran agama Islam sebenar,” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata daripada jumlah sekolah tahfiz itu, 130 buah dengan bilangan pelajar kira-kira 10,000 orang bernaung di bawah PITAS.

Sekolah berkenaan menggunakan sukatan pelajaran yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Pendidikan tahfiz berteraskan tauhid bagi membina dan melahirkan insan ‘Rabani’ yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.

“Selain berkemampuan membentuk kehidupan diri sendiri, masyarakat, negara dan dunia sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

“Jihad dalam aliran tahfiz tidak sampai kepada tahap memikul senjata dan keluar berperang.

“Sebaliknya menuntut ilmu yang berguna seperti ilmu menghafal Al-Quran yang merupakan jihad yang lebih besar pada dunia akhir zaman ini,” kata Ashri.

Ashri berkata kes membabitkan seorang pelajar tahfiz berusia 14 tahun ditangkap dalam perjalanan menyertai jihad IS di Syria baru-baru ini adalah bersifat individu serta terpencil dan tidak mencerminkan seluruh pelajar tahfiz di Selangor ataupun di negara ini.

“Saya terkejut apabila membaca berita seorang pelajar tahfiz perempuan ditangkap polis apabila cuba berjihad ke Syria dan ini adalah kes pertama melibatkan pelajar aliran tahfiz.

“Saya percaya bahawa pelajar terbabit terpengaruh dengan dakyah IS ketika berada di luar sekolah atau pada waktu cuti kerana kebanyakan sekolah tahfiz tidak membenarkan pelajarnya melayari internet walaupun kami ada menyediakan kelas komputer,” katanya.

Gadis berkenaan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL Rabu lepas disyaki cuba menyertai kumpulan militan IS di Syria.

Gadis yang berasal dari Muar, Johor itu adalah pelajar pengajian agama di sebuah institut tahfiz di Shah Alam.

Ashri berkata isu gadis itu akan dibincangkan pada mesyuarat agung PITAS bulan depan bagi mencari jalan untuk menyekat fahaman IS dari terus menular dan meracuni pemikiran pelajar tahfiz.

“Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga…kita perlu ambil langkah pencegahan awal bagi memastikan perkara ini tidak terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan berbincang dengan JAIS.

EZY