Categories
AGENDA NASIONAL

STFC cadang PKP lebih bersasar di Selangor

SHAH ALAM, 19 MEI:  Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menyarankan kerajaan persekutuan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih bersasar bagi membendung penularan virus dan menjaga ekonomi rakyat.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad  menjelaskan kerajaan persekutuan tidak wajar membuat penilaian berdasarkan jumlah harian kes berikutan kepadatan penduduk di negeri ini adalah 6.9 juta, apatah lagi ada banyak sektor perindustrian.

“Selangor tidak boleh dikatakan yang paling parah kes Covid-19 kerana negeri ini menduduki tempat keempat selepas Sabah, Kuala Lumpur dan Sarawak dari segi nisbah penduduk.

“Selain itu, kebolehjangkitan juga bukanlah tinggi berbanding negeri lain. Kita mahu ‘lockdown’ yang lebih tersasar, lebih efektif dan lebih berkesan,” katanya dalam sidang media bersama EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud.

Dzulkeply juga mengingatkan kerajaan persekutuan supaya menimbang penderitaan rakyat termasuk golongan peniaga, pekerja dan pelajar yang bakal terjejas teruk jika PKP penuh dilaksanakan.

Beberapa wakil rakyat di Selangor turut menyaran kerajaan persekutuan menyediakan bantuan bagi memastikan kebajikan penduduk terpelihara sepanjang perintah kawalan dijalankan.

Semalam, Kementerian Kesihatan bercadang menguatkuasakan PKP penuh dan lebih ketat di Selangor jika usaha sedia ada gagal mengekang penularan wabak.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat: Pastikan kebajikan rakyat jika laksana PKP penuh

SHAH ALAM, 19 MEI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh di Selangor wajar dilaksana jika langkah itu dapat mengekang penularan Covid-19.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof bagaimanapun berkata kerajaan perlu memikirkan alternatif agar kebajikan rakyat tidak terabai dalam tempoh itu.

Edry Faizal Eddy Yusof

“Jika kerajaan umumkan PKP penuh, kita perlu terima. Tetapi perlu diingatkan kita tidak boleh laksana PKP sepenuhnya tetapi menutup sebelah mata berhubung kebajikan rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

ADN Sentosa Dr G Gunarajah turut berkongsi pendapat sama dan bersetuju perintah itu dilaksanakan seperti PKP 1.0 yang menutup semua sektor ekonomi dan mengehadkan pergerakan.

Dr Gunarajah R George

“Saya cadangkan laksana semula PKP seperti siri satu sebelum ini sekurang-kurangnya dua minggu atau sebulan. Nyawa rakyat perlu diutamakan, ekonomi boleh diusahakan untuk pulih selepas berakhirnya tempoh perintah,” katanya.

ADN Sekinchan Ng Suee Lim ketika ditemui pada protes aman bersama pesawah di Sekinchan pada 27 APRIL 2021. FOTO MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

Bagaimanapun ADN Sekinchan mengakui berat hati untuk menerima pelaksanaan semula PKP penuh namun beliau reda jika langkah tersebut boleh mengurangkan kes.

“Walaupun berat hati menerima hakikat PKP semula di Selangor seperti PKP 1.0 yang akan memberi tamparan hebat kepada ekonomi, namun demi memerangi Covid-19 maka kita sebagai pemimpin dan rakyat perlu bekerjasama serta kekal patuhi SOP (tatacara operasi piawai),” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan bercadang menguatkuasakan PKP penuh dan lebih ketat di Selangor jika usaha sedia ada gagal mengekang penularan wabak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan cuba sebaik mungkin elak laksana PKP penuh

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Kerajaan akan mencuba sebaik mungkin untuk mengelakkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya yang menghalang sebarang aktiviti ekonomi dengan penutupan semua perniagaan dan kilang.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Zakiah Jaafar berkata negara tidak mampu untuk menangani krisis ekonomi yang lebih serius dan berpanjangan.

“Secara dasarnya, dengan pendekatan PKP kedua yang dilaksanakan sekarang, dianggarkan kita mungkin memerlukan antara empat hingga enam minggu untuk meratakan lengkungan keluk Covid-19 bagi mencapai satu tahap yang boleh ditampung oleh sistem perkhidmatan kesihatan negara yang ada pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) terbitan Bernama TV malam tadi.

Menurutnya, pelaksanaan PKP kali kedua ini adalah berbeza berbanding PKP pada tahun lepas memandangkan lebih 90 peratus sektor dan perniagaan dibenarkan beroperasi mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan majikan, pekerja dan usahawan supaya mematuhi SOP yang ditetapkan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan Permai bernilai RM15 bilion baru-baru ini, merangkumi 22 inisiatif bagi memerangi pandemik Covid-19 serta mengurangkan kesannya kepada masyarakat dan ekonomi.

-BERNAMA