Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

ATM gerak 1,780 anggota bantu pantau pematuhan PKPB

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Seramai 1,780 anggota melibatkan Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia digerakkan melalui Op Penawar bagi membantu pihak berkuasa dalam penugasan sekatan jalan raya dan rondaan Mobile Patrol Vehicle (MPV).

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, bagi penguatkuasaan terbaharu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuat kuasa semalam, ATM telah mengaturgerakkan seramai 621 anggota.

Beliau berkata, seramai 165 anggota pula telah diaturgerakkan bagi Op Penawar di kawasan PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di Sabah.

“Ini melibatkan kawasan-kawasan terutamanya di Tawau, Semporna, Tambunan, Keningau dan Lahad Datu, manakala di Kedah seramai 73 anggota diaturgerak bagi penugasan sekatan jalan raya dan rondaan MPV, serta kawalan keselamatan di sekitar kawasan Penjara Pokok Sena.

“Kesemua penugasan di seluruh negara turut melibatkan rondaan pematuhan di lokasi tumpuan awam seperti di pasar umum, premis perniagaan dan pasar raya dan ia diaturgerakkan mengikut penugasan semasa dan akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata seramai 12 pegawai dan 60 anggota sokongan perubatan Perkhidmatan Kesihatan ATM melalui Kor Kesihatan Diraja (KKD), akan ditugaskan di Hospital Medan ATM di Tawau, Sabah untuk jangka masa sekurang-kurangnya tiga bulan bermula 17 Oktober ini.

Anggota polis dan tentera memeriksa pengguna motosikal yang melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Kuching pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA

“Mereka terdiri daripada enam pakar perubatan, empat orang pegawai perubatan, seorang pegawai farmasi, seorang pegawai tadbir hospital dan 62 anggota paramedik dan elemen sokongan, yang akan berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta diletakkan di bawah pengurusan Hospital Tawau,” katanya.

Beliau berkata pada peringkat awal Hospital Medan yang akan beroperasi di Kompleks Sukan Tawau ini, mempunyai kapasiti 100 katil termasuk empat katil Unit Rawatan Rapi (ICU) yang akan memberi rawatan khusus kes-kes selain Covid-19, bagi membolehkan Hospital Tawau memfokuskan perkhidmatan rawatan kes Covid-19.

Jelasnya, keupayaan hospital juga boleh dipertingkatkan pada bila-bila masa termasuk dewan bedah dan Unit Dependensi Tinggi (HDU), selain Perkhidmatan Kesihatan ATM juga terlibat secara langsung dalam pewujudan pusat rawatan sementara Covid-19, di Penjara Pokok Sena di Kedah.

“Ini adalah bagi merawat banduan-banduan yang didapati positif Covid-19. Ia juga bertujuan mengurangkan risiko penularan wabak ini kepada komuniti, sekiranya banyak pergerakan keluar masuk pesakit Covid-19 dalam kalangan banduan berkenaan,” katanya.

Affendi berkata ATM turut melaksanakan penerbangan menggunakan pesawat angkut jenis C130H dari No. 20 Skuadron, yang membawa peralatan perubatan, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan sampel ujian Covid-19 dari Sabah termasuk Labuan, bagi menampung keperluan pusat kesihatan di negeri itu dengan kerjasama KKM, pada Isnin lepas.

“Penerbangan itu juga membawa pulang sampel ujian Covid-19 dari Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau, untuk dihantar ke makmal-makmal di Semenanjung Malaysia bagi tujuan ujian sampel,” katanya.

Beliau berkata, ATM sentiasa komited dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan demi kesejahteraan negara dan rakyat.

“Masyarakat dinasihatkan agar dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada ATM dan Polis Diraja Malaysia, termasuk agensi penguatkuasaan keselamatan lain dalam penguatkuasaan PKPB dan PKPDB ini, agar tidak menimbulkan sebarang permasalahan yang boleh merumitkan keadaan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD Bersasar di Penjara Alor Setar bermula tengah malam esok – menteri

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di kawasan Penjara Alor Setar, Kedah, termasuk kuarters kakitangan, selama 14 hari bermula 12.01 tengah malam esok (6 Oktober).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPDB itu bertujuan membendung jangkitan dan penularan Covid-19 di situ selain membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan penjara itu. Mengambil kira peningkatan jumlah kes yang berlaku, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan PKPDB secara pentadbiran,” katanya dalam kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, sebarang pergerakan keluar dan masuk melibatkan kawasan tersebut termasuk lawatan oleh keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata seramai 433 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam dengan 345 individu telah dikompaun, 60 direman dan bakinya dijamin.

Beliau berkata antara kesalahan ialah tidak memakai pelitup muka (157 orang), aktiviti dalam pub atau kelab malam (126), gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri (49), penjarakan fizikal (46), aktiviti perjudian (36), menggaji warga asing tanpa permit yang sah (18), serta satu tangkapan pendatang tanpa izin.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata 76 pendatang tanpa izin dan seorang penyeludup ditangkap semalam dalam operasi bersepadu melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan agensi-agensi lain yang mengawal ketat sempadan negara.

“Daripada jumlah itu, pasukan ATM Rejimen Pertama Kor Armor Diraja berjaya menahan 27 pendatang tanpa izin atas kesalahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta cuba untuk keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan di sekitar Hotel Tiara, Desaru, Bandar Penawar, Johor,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 101 sekatan jalan raya Operasi Benteng juga dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM, Aksem dan ATM.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

MB: Peluang bersenam, taman awam dibuka hingga petang

SHAH ALAM, 12 MEI: Kerajaan Negeri setuju membuka semula semua jenis taman kepada rakyat untuk melakukan aktiviti riadah, kata Dato’ Menteri Besar.

Bagaimanapun Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, aktiviti pendakian dan perkhemahan belum lagi dibenarkan buat masa ini.

“Taman kini dibenarkan untuk rakyat beriadah dari 7 pagi hingga 7 malam. Aktiviti memancing juga dibenarkan,” katanya dalam kenyataan selepas perbincangan dengan pelbagai pihak berkuasa negeri susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga 9 Jun yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor akan mengeluarkan pekeliling lebih terperinci bagi tujuan rujukan dan penguatkuasaan lanjut bermula 13 Mei sehingga 9 Jun.

“Sebarang bentuk aktiviti atau perkara lain yang tidak diperincikan adalah kekal tertakluk seperti digariskan dalam tatacara operasi piawai (SOP) disediakan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Pada 1 Mei lalu, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKPB bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan sejak 18 Mac bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini.

PKPB yang sebelum ini dilaksanakan dari 4 Mei hingga 12 Mei lalu membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi semula, tertakluk kepada SOP Kementerian Kesihatan (KKM), selain orang ramai dibenarkan bergerak melebihi radius 10 kilometer (km) dari kediaman.