Categories
AGENSI SELANGOR

Plats bakal diperluas, tidak hanya jual juadah berbuka

PETALING JAYA, 4 MEI: Inisiatif Platform Selangor (Plats) tidak hanya terhad ketika Ramadan, sebaliknya bakal dikembangkan untuk menjual barangan lain.

Pengurus Projek Shamsul Nashriq berkata ia susulan permintaan daripada peniaga untuk meluaskan fungsi e-dagang tersebut bagi mempromosi dan memasarkan produk tempatan.

“Plats ada kekuatan tersendiri yang perlu digunakan sebaiknya, bukan sekadar tempat untuk rakyat mencari makanan ketika Ramadan sahaja.

“Aspirasi kita supaya Plats dikembangkan dalam tempoh jangka panjang sebagai tempat rakyat Selangor menjual pelbagai jenis produk,” katanya kepada SelangorKini.

Platform e-dagang yang dibangunkan Kerajaan Negeri menjual pelbagai makanan bermula dari hidangan pembuka hingga pencuci mulut, yang boleh ditempah melalui www.plats.com.my.

Pada 18 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Plats bagi membantu peniaga di Selangor menjana pendapatan tambahan ketika Ramadan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Warga Shah Alam boleh nikmati nasi briyani, popia melalui Plats

SHAH ALAM, 27 APRIL: Penduduk Shah Alam kini boleh menikmati aneka juadah berbuka puasa melalui Platform Selangor (Plats), meskipun tiada penganjuran bazar Ramadan tahun ini.

Platform e-dagang yang dibangunkan Kerajaan Negeri menjual pelbagai makanan bermula dari hidangan pembuka hingga pencuci mulut, yang boleh ditempah melalui www.plats.com.my.

Antaranya Nasi Daging Utara Air Asam, Nasi Briyani Ayam Merah, Asam Pedas Mama, Nasi Ayam Seksyen 6, Mee Rebus Haji Wahid, Soto Johor, Don Kari Kepala Ikan dan Popia S S Asli.

Untuk pemanis mulut, warga bandar raya itu boleh memilih menu popular seperti apam balik Sungai Besar, kuih lopes, pulut sekaya, bubur kacang dan putu perak warisan.

Orang awam juga boleh mendapatkan menu lain seperti Sotong Bakar Original Morib, Murtabak Amelia Thamby Hussin, roti john ayam atau daging, rojak pasembor, rojak tauhu Johor dan laksa.

Air tebu yang sinonim ketika Ramadan juga disediakan di samping beberapa minuman lain antaranya kelapa, bandung, jus buah dan aneka air balang.

Pada 18 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pelaksanaan Plats bagi membantu peniaga di Selangor menjana pendapatan tambahan ketika Ramadan susulan pembatalan bazar di seluruh negara.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: e-bazar Ramadan tidak bercanggah arahan Kerajaan Pusat

SHAH ALAM, 18 APRIL: Dua saluran e-dagang Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats) yang diperkenal Kerajaan Negeri sempena kedatangan Ramadan tidak bercanggah dengan arahan Kerajaan Pusat, kata Dato’ Menteri Besar

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua saluran melalui pelaksanaan e-bazar Ramadan Selangor sama dengan amalan perniagaan e-panggilan yang dibenarkan menteri kanan (kluster keselamatan).

“Kita ambil keputusan ini kerana melihat peniagaan e-panggilan dibenarkan untuk penghantaran makanan daripada restoran serta (premis) makanan segera di seluruh Malaysia termasuk Selangor.

“Justeru, pelaksanaan e-bazar akan menggunakan konsep itu. Cumanya, kita gabungkan peniaga-peniaga di satu tempat dengan kawalan agar tidak menjadi tumpuan penyebaran Covid-19.

“Jadi, saya kira kita tidak melanggar kerana kita mengambil kira pandangan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa operasi e-panggilan masih dibenarkan,” katanya dalam wawancara dalam talian dengan TV Al-Hijrah malam ini.

Pada 8 April lalu, Selangor mengumumkan inisiatif tempahan dalam talian menggantikan bazar Ramadan secara fizikal.

Sebanyak 15 lokasi akan dipilih menjadi dapur berpusat yang diseliakan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dengan kerjasama Hijrah Selangor.

Namun, Kerajaan Pusat pada 16 April lalu tidak membenarkan bazar Ramadan secara pandu lalu mahupun tempah dan ambil dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Dalam wawancara berkenaan, Amirudin turut menerangkan kaedah dan syarat operasi e-bazar.

– Maksimum empat peniaga untuk satu restoran

– Antara 10 hingga 15 peniaga untuk satu dewan

– Tempahan dibuat hingga jam 1 tengah hari. Penghantaran sejam kemudian.

Sebanyak 77 pusat pengumpulan dikenal pasti meliputi 10 dewan seliaan pihak berkuasa tempatan dan 67 restoran bakal menyediakan juadah berbuka puasa.

Penghantaran dibuat syarikat penghantar seperti Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.