Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ismail Sabri: PKPD Plaza Hentian Kajang lanjut dua minggu

SHAH ALAM, 9 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian Kajang yang dijadual berakhir esok dilanjutkan 14 hari lagi, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati masih terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan terbabit.

“Sehubungan itu atas nasihat KKM, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju melanjutkan PKPD di Plaza Hentian Kajang selama 14 hari bermula 11 hingga 24 November,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau juga memaklumkan PKPD di Flat Sungai Emas, Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32 Kuala Langat yang berkuat kuasa sejak 28 Oktober lalu ditamatkan esok seperti dijadualkan.

Menurutnya, keputusan diambil selepas mendapati tiada kes positif Covid-19 baharu dilaporkan di kawasan berkenaan.

“Sebanyak 1,024 saringan dilaksanakan. Daripada jumlah ini, seramai 992 disahkan negatif manakala 32 orang positif dan sudah menerima rawatan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD Plaza Hentian Kajang: Bantuan makanan bersasar bakal diagih

SHAH ALAM, 29 OKT: Bantuan bakul makanan bersasar akan diagih dalam masa terdekat kepada penduduk di kawasan Plaza Hentian Kajang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Langat, Najmuddin Jemain berkata pihaknya mengumpul maklumat mereka yang layak menerima bantuan makanan kering dianggarkan bernilai RM100.

“Kerajaan Negeri minta senarai (maklumat penerima) selewat-lewatnya esok dan pengagihan akan terus dibuat kepada mereka yang berkenaan selepas tarikh tersebut.

“Bantuan ini terhad kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan warganegara Malaysia sahaja memandangkan kedai runcit masih beroperasi seperti biasa yang membolehkan penduduk membeli sendiri keperluan harian masing-masing,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga pegawai daerah Hulu Langat mengingatkan penduduk tidak bimbang dan tidak melakukan pembelian panik sepanjang arahan itu dikuatkuasakan.

Menurutnya, penduduk diminta mematuhi semua tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan rangkaian Covid-19 dapat diputuskan.

“Sebarang pemakluman akan dimaklumkan kepada penduduk menggunakan hebahan pembesar suara daripada Jabatan Penerangan Hulu Langat,” katanya.

PKPD di Plaza Hentian Kajang berkuat kuasa semalam sehingga 10 November membabitkan 7,500 penduduk.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan Negeri teliti pelaksanaan PKPD di Kajang, Banting

SHAH ALAM, 28 OKT: Kerajaan Negeri meneliti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Sungai Emas, Banting dan Plaza Hentian Kajang yang bermula hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata beliau akan mengemukakan cadangan yang sesuai dalam mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara dalam tempoh 14 hari pelaksanaan bagi memastikan penularan Covid-19 dapat ditangani.

“Saya akan meneliti bagaimana PKPD pentadbiran atau setempat yang dilaksanakan di Sungai Emas, dalam mukim Tanjung 12, Kuala Langat dan juga Hentian Kajang (Hulu Langat) kerana di sanalah tempat paling banyak yang menyebabkan (dua) daerah itu merah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD akan dikuatkuasakan di Flat Sungai Emas dan Plaza Hentian Kajang sehingga 10 November.

Flat Sungai Emas membabitkan 1,300 penduduk manakala Plaza Hentian Kajang pula membabitkan 7,500 penduduk.

Kes Covid-19 di Selangor kekal tiga angka dengan 126 kes direkodkan semalam dengan 59 daripadanya dikesan menerusi saringan kluster, 42 kes saringan kontak rapat, 24 kes saringan lapangan dan satu kes import.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD Plaza Hentian Kajang: Rapid KL alih laluan perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) esok di Plaza Hentian Kajang, dekat sini, beberapa laluan perkhidmatan bas di bawah kendalian Rapid KL akan dialihkan.

Rapid KL dalam kenyataan hari ini menyatakan laluan yang terlibat adalah Rapid KL laluan 450, Bas Smart Selangor bagi laluan KJ01 dan KJ04, serta laluan Bas Perantara MRT T464.

“Bagi perkhidmatan Rapid KL laluan 450 dari Hab Lebuh Pudu, laluan akan berakhir di Stesen MRT Kajang. Para penumpang boleh naik atau turun di Stesen MRT Kajang dan meneruskan perjalanan mereka menggunakan perkhidmatan alternatif.

“Bagi perkhidmatan Smart Selangor laluan KJ01 ke Bandar Kajang dan KJ04 ke Presint 3, Putrajaya, laluan-laluan tersebut akan dialihkan dan memulakan operasi dari Stesen MRT Stadium Kajang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bagi perkhidmatan Bas Perantara MRT laluan T464 dari Teras Jernang ke Stesen MRT Kajang, juga tidak akan melalui Plaza Hentian Kajang.

“Sehubungan itu, Rapid KL ingin mengingatkan para penumpang untuk sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang terbaik, memakai pelitup muka serta mengamalkan kawalan kendiri.

“Dalam memainkan peranan untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 terhadap pelanggan dan kakitangan Rapid Bus, pelbagai langkah-langkah telah diambil menurut prosedur operasi standard seperti disinfeksi dalaman bas setelah tamat perkhidmatan, penjejakan kontak menggunakan kod QR dan saringan kesihatan kapten bas sebelum memulakan tugas,” katanya.

Kerajaan hari ini memutuskan untuk melaksanakan PKPD selama 14 hari melibatkan kawasan Flat Sungai Emas dan Plaza Hentian Kajang di Selangor berkuat kuasa 28 Oktober ini hingga 10 November depan.

– BERNAMA