Categories
AGENDA NASIONAL

Stesen LRT, MRT dan monorel di ibu kota ditutup hingga 3 petang

SHAH ALAM, 21 JAN: Perkhidmatan beberapa stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel KL di Kuala Lumpur akan ditutup sementara waktu esok.

Rapid KL menerusi Facebook memaklumkan penutupan mulai 7 pagi hingga 3 petang dilakukan atas faktor keselamatan awam dan nasihat daripada polis.

“Pelanggan dihormati, Rapid KL ingin memaklumkan penutupan sementara waktu beberapa stesen perkhidmatan LRT, MRT terpilih dan kesemua stesen Monorel pada Sabtu (esok),” menurutnya.

Penutupan stesen berkaitan melibatkan laluan LRT Ampang / Petaling, LRT Kelana Jaya, MRT Kajang dan Monorel KL.

Categories
AGENDA NASIONAL

Laluan LRT dari Stesen Sentul Timur ke PWTC terganggu akibat trek diceroboh

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Laluan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang/Sri Petaling mengalami gangguan dari Stesen LRT Sentul Timur ke Stesen LRT PWTC susulan kejadian pencerobohan trek oleh seorang wanita pada pukul 4.45 petang hari ini.

Rapid KL dalam kenyataan bagaimanapun berkata perkhidmatan Laluan LRT Ampang/Sri Petaling dari Stesen LRT Putra Heights menuju Stesen LRT Ampang sehingga Stesen LRT Sultan Ismail beroperasi seperti biasa dan Rapid KL turut menyediakan bas perantara percuma selang 30 minit untuk ke Stesen LRT Sentul Timur dan sebaliknya.

“Penceroboh wanita yang masih belum dikenal pasti itu maut dalam insiden tersebut. Polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Sentul, Kementerian Kesihatan, Hospital Kuala Lumpur dan Agensi Pengangkutan Awam Darat, berada di lokasi untuk mengumpul bukti dan memulakan penyiasatan.

“Kami sangat berdukacita atas kejadian ini dan memohon maaf kepada para penumpang kami berikutan gangguan perkhidmatan ini. Demi keselamatan semua pihak, Stesen LRT Sentul Timur dan Stesen LRT PWTC akan ditutup sehingga dimaklumkan kelak,” menurut kenyataan itu.

Susulan insiden berkenaan, Rapid KL memohon orang ramai agar berhenti berkongsi gambar-gambar insiden tersebut bagi menghormati privasi mangsa dan mengelak membuat spekulasi tentang motif pencerobohan trek itu.

“Rapid KL akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan terperinci dapat dijalankan. Kami juga sedang memulakan audit komprehensif terhadap langkah-langkah keselamatan dan keselamatan stesen-stesen kami bagi meminimumkan risiko kejadian insiden seumpama ini pada masa akan datang,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima bazar Ramadan Rapid KL di Selangor tutup mulai 8 Mei

SHAH ALAM, 6 MEI: Lima bazar Ramadan Rapid KL di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Selangor ditutup mulai Sabtu ini, kata Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Syarikat itu dalam kenyataan berkata bazar tersebut meliputi stesen LRT Kelana Jaya, Glenmarie, Pandan Indah dan Putra Heights yang beroperasi sejak 13 April.

“Penutupan ini selaras pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor,” katanya.

Prasarana menjelaskan operasi bazar di stesen LRT Cempaka ditutup lebih awal pada 1 Mei selepas lokasi berkenaan tersenarai dalam kawasan berisiko tinggi.

Bagaimanapun, syarikat terbabit memaklumkan bazar Ramadan di stesen LRT Damai di Kuala Lumpur kekal beroperasi seperti biasa.

“Prasarana ingin mengucapkan terima kasih kepada pengunjung dan peniaga yang memberikan sokongan atas inisiatif ini walaupun terpaksa mengharungi cabaran wabak Covid-19,” kata Prasarana.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD Plaza Hentian Kajang: Rapid KL alih laluan perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) esok di Plaza Hentian Kajang, dekat sini, beberapa laluan perkhidmatan bas di bawah kendalian Rapid KL akan dialihkan.

Rapid KL dalam kenyataan hari ini menyatakan laluan yang terlibat adalah Rapid KL laluan 450, Bas Smart Selangor bagi laluan KJ01 dan KJ04, serta laluan Bas Perantara MRT T464.

“Bagi perkhidmatan Rapid KL laluan 450 dari Hab Lebuh Pudu, laluan akan berakhir di Stesen MRT Kajang. Para penumpang boleh naik atau turun di Stesen MRT Kajang dan meneruskan perjalanan mereka menggunakan perkhidmatan alternatif.

“Bagi perkhidmatan Smart Selangor laluan KJ01 ke Bandar Kajang dan KJ04 ke Presint 3, Putrajaya, laluan-laluan tersebut akan dialihkan dan memulakan operasi dari Stesen MRT Stadium Kajang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bagi perkhidmatan Bas Perantara MRT laluan T464 dari Teras Jernang ke Stesen MRT Kajang, juga tidak akan melalui Plaza Hentian Kajang.

“Sehubungan itu, Rapid KL ingin mengingatkan para penumpang untuk sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang terbaik, memakai pelitup muka serta mengamalkan kawalan kendiri.

“Dalam memainkan peranan untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 terhadap pelanggan dan kakitangan Rapid Bus, pelbagai langkah-langkah telah diambil menurut prosedur operasi standard seperti disinfeksi dalaman bas setelah tamat perkhidmatan, penjejakan kontak menggunakan kod QR dan saringan kesihatan kapten bas sebelum memulakan tugas,” katanya.

Kerajaan hari ini memutuskan untuk melaksanakan PKPD selama 14 hari melibatkan kawasan Flat Sungai Emas dan Plaza Hentian Kajang di Selangor berkuat kuasa 28 Oktober ini hingga 10 November depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aplikasi Moovit bantu penumpang Rapid Bus rancang perjalanan

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), pengendali operasi perkhidmatan bas Rapid KL, Go KL dan SMART Selangor, hari ini mengumumkan ketersediaan maklumat sebenar lokasi bas menerusi aplikasi Moovit.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij berkata dengan aplikasi itu, penumpang dapat menyemak lokasi semasa sebenar bagi laluan bas di Lembah Klang termasuk bas perantara Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Go KL dan beberapa laluan perkhidmatan bas Smart Selangor terpilih.

“Selain itu, ia menyajikan pilihan perjalanan lain seperti kombinasi perkhidmatan bas dan rel, memberikan maklumat hentian bas dan jangkaan masa perjalanan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dengan adanya kemudahan maklumat perjalanan ini melalui aplikasi telefon pintar, penumpang juga boleh menanti bas mereka sambil bersantai atau melakukan aktiviti lain sementara menunggu ketibaan bas.

“Kerjasama dengan Moovit merupakan sebahagian inisiatif Rapid Bus untuk menjalinkan kolaborasi bersama pembangun aplikasi pihak ketiga yang terpilih. Kemudahan itu akan memanfaatkan ribuan pengguna perkhidmatan bas awam di Lembah Klang,” katanya.

Muhammad Yazurin berkata sebelum ini, pihaknya telah melancarkan perkongsian data masa nyata atau ‘real-time’ bersama Google Maps pada 18 Jun lepas.

“Kedua-dua inisiatif ini menandakan satu titik baharu dalam perkongsian data kedudukan bas secara real-time bagi kemudahan para pelanggan kami.

“Inisiatif-Inisiatif kolaboratif ini adalah pelopor kepada inisiatif perkongsian data terbuka yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut merancang meluaskan rangkuman data lokasi kepada perkhidmatan bas perantara MRT, Rapid Penang di Pulau Pinang dan Rapid Kuantan di Pahang pada masa hadapan.

Pengguna perkhidmatan bas Rapid KL boleh memuat turun aplikasi Moovit daripada Google Play atau Apple App Store.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rapid KL lanjut operasi sempena ambang tahun baharu

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2020 esok, waktu operasi rangkaian rel transit dan bas Rapid KL akan dilanjutkan waktu operasinya bagi memenuhi keperluan orang ramai yang menghadiri sambutan itu.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia melibatkan 13 stesen rel transit LRT (Light Rail Transit ), MRT (Mass Rapid Transit), Monorel, BRT (Rapid Transit Bus) serta 14 laluan bas Rapid KL dan perantara MRT.

Stesen yang akan dilanjutkan perkhidamatan sehingga jam 1.30 pagi itu ialah LRT Laluan Kelana Jaya melibatkan stesen USJ 7, Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC dan Ampang Park, manakala untuk Laluan Ampang/Sri Petaling melibatkan stesen Bandaraya dan Masjid Jamek.

Bagi laluan MRT Laluan Sungai Buloh pula stesen terlibat ialah Kajang: Pasar Seni, Bukit Bintang, Maluri, Mutiara Damansara, manakala bagi Laluan Monorel Kuala Lumpur melibatkan stesen Bukit Bintang dan BRT Laluan Sunway membabitkan Sunway Lagoon.

“Stesen-stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa tetapi penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu bas Rapid KL yang melanjutkan waktu perkhidmatan hingga jam 1.30 pagi ialah laluan Taman Sri Muda-Pasar Seni (nombor laluan 751), Subang Suria-Pasar Seni (772), Pandan Mewah-Mushi Abdullah (300), Taman Sentosa-Pasar Seni (640), Terminal Kajang-Lebuh Pudu (450), Taman Melawati-Munshi Abdullah (220), Taman Dato’ Senu-Pasar Seni (180), Taman Jasa Utama-Medan Pasar (173), dan Puchong Utama-Pasar Seni (600).

Untuk Bas Perantara MRT pula memlibatkan destinasi ke Kwasa Sentral (laluan T802 dan T803 (gabungan), Sungai Buloh laluan T101 dan T105 (gabungan), T102/T103 dan Stadium Kajang (T460) selain Laluan BRT-Sunway membabitkan stesen Sunway Lagoon.

Bagaimanapun, terdapat enam stesen bagi Laluan Sunway-BRT yang akan dilanjutkan sehingga 1 pagi iaitu USJ 7, South Quay, SunU-Monash, Sun Med, Mentari dan Sunway Setia Jaya.

RapidKL turut menyeru orang ramai supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan terutama di kawasan yang akan menganjurkan acara dan pertunjukan untuk menyambut ambang Tahun Baharu 2020.

Sebarang makluman lanjut orang ramai boleh mengikuti Twitter dan Facebook MyRapidKl atau melayari web: www.myrapid.com.my.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rapid KL sedia dua perkhidmatan sempena Thaipusam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 JAN: Rapid Bus Sdn Bhd akan menyediakan dua perkhidmatan khas untuk kemudahan pengguna mengunjungi Batu Caves, sempena sambutan Thaipusam, pada 21 Januari ini.

Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataan berkata, perkhidmatan selama dua hari bermula pada 20 hingga 21 Januari itu bagi menggalakkan pengunjung menggunakan pengangkutan awam, sekali gus mengelakkan kesesakan di kawasan terbabit.

“Sebanyak 18 buah bas disediakan untuk laluan dari Hab Bas Pasar Seni ke Batu Caves melalui Jalan Ipoh dan Jalan Kuching.

“Manakala dua bas disediakan dari stesen LRT Gombak ke Batu Caves melalui jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dengan kekerapan masing-masing 15 minit dan 30 minit,” katanya.

Kenyataan sama turut menyebut, kadar tambang sehala dikenakan adalah RM3 bagi laluan dari Pasar Seni dan RM2 dari stesen LRT Gombak, manakala kaedah pembayaran adalah tunai sahaja.

“Waktu perkhidmatan bagi dua perkhidmatan khas ini bermula dari jam 5 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan RapidKL di 03-7885 2585 atau berhubung dengan kami melalui saluran media sosial Rapid KL.

Categories
NASIONAL

LRT laluan Kelana Jaya terkandas lagi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 SEPT: Perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya terkandas kali kedua dalam tempoh seminggu, pagi tadi.

Hal itu menyebabkan warga kota yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja terjejas dan terpaksa berpatah balik.

Pada jam 9.41 pagi tadi, akaun Twitter RapidKL mengumumkan perkhidmatan LRT laluan itu dihentikan apabila bekalan elektrik terputus antara stesen Setiawangsa dan KLCC.

Insiden terbabit menyebabkan segelintir penumpang terpaksa keluar daripada gerabak tren yang terhenti.

Penumpang terpaksa berjalan di sepanjang landasan LRT ke stesen terdekat di tengah hujan, mengikut beberapa coretan media sosial.

Pada jam 10.11 pagi, RapidKL mengumumkan bahawa bekalan elektrik disambung semula selepas semua penumpang berjaya dipindahkan.

Rabu lalu, Rapid Rail Sdn Bhd yang mengendalikan perkhidmatan LRT dan monorail meminta maaf kepada penumpang yang terpaksa berdepan gangguan dan kelewatan di sepanjang laluan Kelana Jaya itu.

-AA-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Persatuan Bas Henti-Henti Dakwa Rapid Penyebab Muflis

william-radipKL-copy

PETALING JAYA, 29 MAC: Ahli Parlimen Selayang, William Leong mendedahkan Pan Malaysia Bus Operators Association’s (PMBOA) mendakwa syarikat bas Rapid KL yang dimiliki Kumpulan Prasarana Negara Berhad faktor  menyebabkan ahli gabungannya berdepan muflis.

Dalam sidang media itu William memaparkan surat aduan pihak PMBOA kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang tidak diendahkan.

Dalam surat bertarikh 9 Januari daripada PMBOA kepada SPAD, persatuan terbabit merungut bahawa ahli-ahlinya tidak dapat bersaing dengan bas Rapid yang turut rancangan untuk meluaskan perkhidmatan bas Rapid ke seluruh negara.

Pada masa ini bas Rapid menjana keuntungan RM180 million, tetapi menerima subsidi sebanyak RM280 million berbanding dengan pengusaha syarikat bas henti-henti yang tidak menerima subsidi.

William juga memaklumkan, sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya, pengusaha syarikat bas henti-henti akan diberikan peranan yang sesuai untuk membantu perkhidmatan bas Rapid.

Menurutnya kegagalan perkhidmatan syarikat bas henti-henti hingga mengakibatkan pengambilalihan oleh Prasarana berpunca daripada masalah polisi yang lemah.

“Apa yang diperlukan adalah satu sistem koridor di mana sesebuah syarikat yang diberikan laluan berpendapatan tinggi, mesti diwajibkan melalui laluan-laluan yang kurang mendatangkan keuntungan.

“Kalau tiga syarikat dibenarkan bersaing hanya untuk laluan berpendapatan tinggi, maka mereka tidak akan memberikan perkhidmatan di laluan yang lain,”katanya.

Selain itu, pengusaha bas henti-henti tetap akan mempunyai peranan untuk membawa penumpang, sebagai contoh, dari Petaling Jaya dan kawasan persekitaran ke bandar.

“Kemudian, di bandar, ada perkhidmatan bas (milik  negeri), maka kedua-dua operasi ini tidak akan bersaing antara satu sama lain,” katanya pada satu sidang media di ibupejabat PKR hari ini.

Rapid kini beroperasi di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan terbaru dilancarkan di Kuantan.

Beliau menambah PR juga akan menjamin tempoh servis laluan bagi syarikat bas henti-henti, agar syarikat terbabit boleh mendapatkan pinjaman dari pihak bank bagi menambah bilangan bas.