Categories
NASIONAL

Shuhaimi: TPM Manipulasi Isu Pinjaman PTPTN di Selangor Serang PM

SHAH ALAM, 14 JUN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan sengaja memanipulasikan keputusan penarikan penggantungan pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) untuk melemahkan pengaruh Perdana Menteri.

Demikian menurut Ketua Penerangan PKR, Shuhaimi Shafiei dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini.

“UMNO, terutamanya di Selangor patut berasa risau akan ‘pendek akal’ Menterinya yang ‘sama panjang akal’ dengan Timbalan Perdana Menteri yang dilihat, ‘sengaja lagi suka’ jika PM diserang oleh pelajar dan keluarganya!

“Ada sesuatu yang boleh dimanipulasikan di sana oleh TPM (Timbalan Perdana Menteri).

“Apatah lagi PM Najib Razak adalah Pengerusi UMNO Selangor,” menurut kenyataan akhbar tersebut.

Kenyataan akhbar itu turut berpendapat bahawa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mampu bertindak lebih matang berbanding Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin.

“Khaled Nordin patut ‘berasa malu’ dengan timbalanya yang jauh lebih matang dan terbuka.

“Penarikan balik sekatan itu sudah terlambat dan ia mengingatkan kepada pepatah Inggeris, ‘Once bitten, twice shy!’

“Khaled perlu diajar oleh ahli-ahli Umno,” menurut kenyataan itu lagi.

Sebelum ini pada 8 Jun baru-baru ini, PTPTN telah mengambil keputusan membekukan pinjaman kepada mahasiswa Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Khaled dan Muhyiddin dilaporkan menyokong keputusan PTPTN kerana mahu Selangor menyediakan pendidikan percuma seperti yang diwar-warkan oleh Pakatan Rakyat.

Setelah kedua menteri Umno-BN dan PTPTN dikecam hebat, keputusan itu ditarik semula dalam tempoh masa kurang 24 jam berikutnya.

Pendirian kerajaan persekutuan yang ‘flip flop’ dalam isu ini telah diserang bertubi-tubi oleh pemimpin Pakatan Rakyat dan sesetengah golongan masyarakat negara ini.