Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit diniaga 4.1385/1435 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Urus niaga ringgit melantun semula ke paras 4.13 berbanding dolar AS ketika dibuka pagi ini, dirangsang oleh pengukuhan harga minyak mentah di tengah-tengah hasil bon AS dan dolar AS yang mereda.

Data pembuatan tempatan yang semakin baik dengan menyaksikan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) IHS Markit Malaysia mengembang kepada 49.9 pada Mac daripada 47.7 bulan sebelumnya tahun ini, turut menyokong pengukuhan mata wang tempatan.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan disebut harga pada 4.1385/1435, lebih tinggi berbanding dolar AS daripada 4.1440/1470 pada penutupan urus niaga petang Khamis.

Ketua Strategi Pasaran Global Stephen Innes berkata penurunan hasil AS dan pemulihan yang menyaksikan pengukuhan semula harga semalaman minyak mentah seharusnya dapat membantu pergerakan nilai matawang tempatan minggu ini.

Sementara itu, Ambank Research dalam nota penyelidikannya berkata data PMI pembuatan untuk bulan Mac menandakan pemulihan ketara keadaan operasi di keseluruhan sektor pembuatan dan ini akan terus dapat merancakkan urus niaga ringgit.

Menurut IHS Markit, bacaan PMI bulan Mac iaitu 49.9 adalah yang tertinggi sejak Julai 2020.

“Mengenai tinjauan ringgit untuk hari ini, kami menjangkakan bahawa unit tempatan itu akan diniagakan pada paras sokongan antara 4.1208 dan 4.1311 manakala halangan atau rintangan antara 4.1591 dan 4.1701,” katanya.

Ketika ini, minyak mentah penanda aras Brent meningkat 3.38 peratus kepada US$64.86 setong.

Pada pembukaan urus niaga pagi ini, ringgit bagaimanapun disebut harga rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Unit tempatan itu menyusut berbanding pound Britain kepada 5.7277/7350 daripada 5.7063/7112, turun berbanding euro kepada 4.8706/8781 daripada 4.8646/8690 dan jatuh berbanding yen kepada 3.7405/7454 daripada 3.7387/7418.

Ringgit turut lega berbanding dolar Singapura kepada 3.0776/0816 daripada 3.0774/0803.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit diniaga dalam jajaran kecil, semakan OPR jadi fokus

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Ringgit dijangkakan terus terperangkap dalam jajaran kecil, minggu depan dengan tumpuan diberikan kepada semakan semula kadar dasar semalaman (OPR).

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenyataan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) harus diberi perhatian dengan teliti terutama mengenai bagaimana bank pusat melihat tempoh pasca-moratorium yang akan berakhir pada akhir bulan ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM dijadual berlangsung pada 10 Sept, 2020, dengan sebilangan penganalisis menjangkakan penurunan sebanyak 25 mata dalam OPR.

“Data terbaharu agak bercampur-campur. Kami melihat eksport Julai lebih baik daripada yang dijangkakan apabila ia berkembang 3.1 peratus tetapi Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pada bulan Ogos turun di bawah 50 mata,” katanya kepada Bernama.

Eksport Malaysia meningkat 3.1 peratus tahun ke tahun pada bulan Julai, walaupun pada kadar yang lebih perlahan daripada 8.0 peratus bulan Jun.

Daripada segi nilai, ia adalah yang kedua tertinggi pada RM92.5 bilion, selepas rekod tertinggi dicatatkan pada tahun 2018, berbanding dengan RM82.8 bilion pada bulan Jun, yang memberi petunjuk bahawa ekonomi secara beransur-ansur telah pulih daripada kemerosotan ekonomi direkodkan pada suku kedua, kata Kenanga Research.

Pada suku kedua, ekonomi menguncup 17.1 peratus daripada pertumbuhan marginal 0.7 peratus yang dicatatkan pada suku pertama.

PMI Malaysia IHS Markit, yang menjadi petunjuk prestasi perkilangan, turun 49.3 pada Ogos daripada 50.0 pada Julai.

IHS Markit berkata pengeluaran pembuatan stabil pada bulan Ogos, tetapi kehilangan beberapa momentum yang dilihat semasa pemulihan awal daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan petunjuk terkini adalah susulan daripada peningkatan pada bulan Jun dan pertumbuhan yang dicatat pada bulan Julai.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit diniagakan mengukuh berbanding dolar AS pada 4.1470/1520 daripada 4.1630/1680 pada minggu sebelumnya.

Ia mencapai paras 4.1400, tertinggi dalam tempoh tujuh bulan pada Selasa lepas selepas cuti selama tiga hari termasuk sambutan Hari Kebangsaan pada Isnin (31 Ogos).

Ringgit turut mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0410/0458 daripada 3.0581/0629 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding yen kepada 3.9393/9444 berbanding 3.9561/9583.

Unit tempatan itu meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5143/5213 daripada 5.5251/5322 dan naik berbading euro kepada 4.9150/9214 daripada 4.9486/9562 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.1490/1540 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu mengukuh selepas Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS naik kepada 56 daripada 54.2 pada Ogos.

Pada 9.09 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1490/1540 berbanding dolar AS daripada 4.1400/1450 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata kemerosotan kecil dijangka berikutan dolar AS mengukuh tetapi sentimen ringgit yang meningkat tidak terjejas dalam persekitaran harga minyak meningkat dan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang menggalakkan.

“Permintaan terhadap bon MGS akan kekal kukuh menjelang jangkaan pengurangan kadar oleh Bank Negara Malaysia dalam masa terdekat ketika harga minyak dilihat stabil dan pada aliran meningkat,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0454/0508 daripada 3.0490/0539 pada Selasa dan meningkat berbanding yen kepada 3.9097/9152 daripada 3.9149/9207 semalam.

Ringgit naik berbanding pound kepada 5.5476/5547 daripada 5.5671/5742 semalam dan meningkat berbanding euro kepada 4.9336/9412 daripada 4.9593/9665.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Prestasi eksport Malaysia mampu meningkat – Ambank

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Prestasi eksport Malaysia mampu meningkat di masa depan didorong oleh pemulihan sederhana sektor semikonduktor pada masa sama, demikian menurut AmBank Research.

Dalam nota penyelidikan hari ini ia berkata pandangan optimis itu sebahagiannya menyusuli keputusan kerajaan untuk membenarkan lebih banyak industri menyambung semula operasi dengan ada di antaranya mencecah kapasiti penuh sejak 4 Mei lepas.

Ini jelas dipaparkan menerusi peningkatan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) Malaysia pada Mei lepas yang menjadi petunjuk awal bahawa kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19 berkemungkinan mulai reda.

PMI IHS Markit Malaysia meningkat kepada 45.6 pada Mei 2020 berbanding paras terendah pada 31.1 menerusi tinjauan pada April 2020.

Syarikat-syarikat di negara lain juga bertindak meningkatkan operasi perniagaan di tengah-tengah penularan pandemik tersebut.

Lebihan dagangan Malaysia meningkat semula pada Mei kepada RM10.4 bilion iaitu kenaikan sebanyak 14.7 peratus bagi tahun ke tahun, didorong oleh penyusutan ketara import berbanding eksport dan merupakan peningkatan besar berbanding defisit sebanyak RM3.4 bilion pada April.

Malah, lebihan dagangan pada Mei itu adalah angka bulanan tertinggi dicatatkan sejak Mei 2008 dan kali keempat bagi Malaysia merekodkan lebihan melebihi RM10 bilion tahun ini.

-BERNAMA