Categories
SELANGOR

Polis Klang siasat video tular anggota minta wang sogokan

SHAH ALAM, 4 JULAI: Polis membuka satu kertas siasatan tatatertib susulan tular rakaman video anggotanya didakwa meminta wang sogokan daripada pemilik sebuah kenderaan pacuan empat roda yang di percayai berlaku di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata pihaknya telah mengenal pasti anggota yang terlibat dalam insiden itu.

“Polis menyeru supaya pemilik akaun atau mana-mana orang yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan kejadian supaya menghubungi polis Klang Utara untuk membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook Polis Daerah Klang Utara.

Nurulhuda berkata kejadian berkenaan dikesan pihaknya susulan hantaran semula rakaman video oleh pemilik akaun Twitter @fahmynazrul semalam yang memaparkan anggota polis tersebut disyaki meminta wang sogokan daripada pemilik kenderaan terbabit.

Terdahulu tular rakaman video kamera papan pemuka berdurasi 1.02 saat bertarikh 1 Julai lepas memaparkan dua anggota polis menahan seorang lelaki di tepi jalan sebelum didakwa meminta sejumlah wang.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis buru lima lelaki disyaki lakukan samun bersenjata di Klang

SHAH ALAM, 15 JUN: Polis sedang memburu lima lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah pejabat di Klang, tiga hari lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata dalam kejadian 3 pagi 12 Jun itu, lapan lelaki meluru masuk ke pejabat tersebut dan terus memukul seorang pembantu kedai menggunakan senjata seperti batang besi, rantai besi dan kerusi.

“Suspek turut mengambil dua rantai emas milik mangsa serta kad mesin juruwang automatik (ATM) dan membuat transaksi memindahkan sejumlah wang daripada akaun mangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Shamsul Amar berkata pada 10.50 malam hari yang sama, pihaknya telah memberkas tiga lelaki di sekitar kawasan Klang yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

“Dua daripada suspek masing-masing didapati mempunyai enam rekod jenayah lampau,” katanya sambil menambah kesemua suspek direman lima hari dari 13 hingga 17 Jun ini.

Menurut beliau polis turut merampas satu batang besi vakum, satu penyahkod kamera litar tertutup dan sebuah telefon bimbit daripada kesemua suspek.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan empat lelaki cedera, samun pemandu kereta di Klang

SHAH ALAM, 19 APRIL: Empat lelaki ditahan polis selepas bertindak menarik seorang lelaki keluar dari kereta dan memukulnya dengan kayu di Taman Sentosa dekat Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan berkata dalam kejadian 4.30 petang, mangsa yang memandu bersama sepupunya dilanggar dari arah belakang oleh kereta jenis Honda Civic yang dinaiki empat lelaki.

“Suspek kemudian bertindak memecahkan cermin kereta, menarik mangsa keluar dan memukulnya dengan kayu. Malah telefon bimbit milik sepupu mangsa turut dirampas,” kata Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli menerusi kenyataan.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan kes berkenaan selepas dua video kejadian itu tular di media sosial dan bertindak mengesan semua suspek.

Katanya, suspek berusia 23 tahun hingga 35 tahun ditangkap antara jam 7 petang hingga 11 malam tadi di sekitar daerah berkenaan.

“Ujian awal saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis syabu. Kes disiasat mengikut Seksyen 394/427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belasah pekerja kerana puasa, polis tahan empat individu

SHAH ALAM, 15 APRIL: Polis Klang Selatan menahan empat individu, yang disyaki terlibat dengan kejadian berkaitan dua pekerja lelaki yang telah dipukul secara bergilir, kerana berpuasa.

Dalam kenyataan semalam, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada pukul 4.16 petang tadi di Balai Polis Klang, berkaitan kejadian dua lelaki tersebut yang dipukul secara bergilir di bahagian belakang badan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa telah dipukul dengan menggunakan sebatang rotan oleh majikannya dan seorang lagi pekerja.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku semasa lelaki tersebut berada di rumah majikannya di Bukit Tinggi, Klang dipercayai berpunca daripada majikan memarahi mangsa kerana berpuasa,” katanya.

Shamsul Amar berkata, majikan lelaki tersebut juga telah mengambil sepucuk pistol yang berada di pinggang salah seorang daripada dua lelaki tersebut, dan mengacukan ke arahnya dan mengeluarkan ugutan yang menghina agama.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 298 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek akan direman di Mahkamah Klang esok.

“Polis Daerah Klang Selatan ingin menegaskan bahawa kes ini tidak melibatkan sebarang isu perkauman,” katanya.

Beliau juga menasihatkan masyarakat atau mana-mana individu agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan berkongsi sebarang provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman, sehingga menjejaskan keharmonian kaum dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang bertindak di luar batasan undang- undang.

-BERNAMA