Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: MTUC gesa gubal dasar larang buang pekerja

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa supaya polisi penggajian lebih efektif yang boleh melindungi kehidupan pekerja ditampilkan, dan membolehkan mereka memperoleh pendapatan lebih baik.

Setiausaha Agungnya J. Solomon berkata kerajaan juga harus memperkenalkan Peraturan Penggajian Kecemasan yang melarang majikan memberhentikan pekerja sehingga ekonomi negara pulih daripada pandemik Covid-19.

“Ini akan membantu menjamin pekerjaan bagi pekerja, sesuatu yang sangat mereka perlukan pada masa-masa sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata meskipun terdapat kenaikan gaji pada 2009, pekerja masih dibelenggu kesusahan, kerana menurutnya kenaikan gaji dan pendapatan 4.4 peratus pada 2019 seperti yang dilaporkan Jabatan Perangkaan semalam, hanya menunjukkan peningkatan RM137.

Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan semalam berkata purata gaji dan upah bulanan diterima pekerja di negara ini meningkat daripada RM3,087 pada 2018 kepada RM3,224 atau 4.4 peratus pada 2019.

“MTUC menganggap kenaikan itu jauh di bawah apa yang diperlukan oleh rata-rata pekerja Malaysia dan keluarga mereka, terutama yang berada di kawasan bandar untuk bertahan dengan kenaikan kos sara hidup yang berterusan,” kata Solomon.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kurangkan program, fokus polisi

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 8 MEI: Pembuat dasar disaran untuk lebih fokus kepada pembentukan polisi berbanding memberi banyak tumpuan kepada penganjuran program.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, program kebiasaannya memerlukan perbelanjaan tinggi dan bersifat jangka pendek.

Katanya, tumpuan kepada polisi sebaliknya mampu memberi manfaat jangka panjang kepada generasi masa hadapan.

????????????????????????????????????

“Dalam tempoh lima atau 10 tahun lagi, Yang Dipertua dan saya mungkin tiada lagi kerana politik datang serta pergi setiap lima tahun sekali.

“Tetapi apa yang kita perlu pastikan, apabila sesuatu polisi diputuskan, ia adalah untuk anak dan generasi masa hadapan.

“Apa sahaja polisi diputuskan untuk tujuan itu mungkin tidak disenangi generasi masa kini tetapi dari masa ke masa, orang ramai pasti dapat melihat manfaatnya,” katanya, baru-baru ini.

Hannah yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor berkata, pembuat dasar termasuk Kerajaan Negeri juga pihak berkuasa tempatan perlu memastikan suara generasi muda diambil kira sebelum memutuskan sebarang polisi.

“Apabila membuat polisi, kita tiada pilihan melainkan membabitkan anak muda memberikan pandangan mereka.

“Selain itu, kita juga perlu lebih kreatif dan berfikir jauh ke hadapan supaya polisi dibuat bermanfaat untuk generasi akan datang dan tidak membebankan mereka,” katanya.

Hannah menerusi laman Facebook turut menyentuh misinya sebagai wakil rakyat untuk generasi akan datang.

“Doa berterusan saya sepanjang dalam politik, hindarkan saya daripada melakukan apa yang popular dan disenangi hari ini tetapi berpotensi membawa bencana kepada generasi akan datang,” katanya.