Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS agih pek makanan kepada pelajar Politeknik Shah Alam

SHAH ALAM, 28 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam menyerahkan pek makanan kepada 556 pelajar Politeknik Shah Alam yang terkandas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnafnya Abdul Basith Hamid berkata bantuan khas Covid-19 bernilai lebih RM50,000 bagi meringankan beban pelajar terutama dari keluarga berpendapatan rendah.

“Lebih 500 pelajar yang terkandas ini tidak dapat pulang ke rumah masing-masing atas pelbagai sebab dan mereka tinggal di asrama serta kawasan sekitar.

“Pendapatan keluarga mereka rendah, jadi mereka kekurangan bekalan. Justeru, LZS mengambil insiatif menyumbangkan pek makanan mentah dan pelajar ini akan masak sendiri,” katanya dalam video yang disiarkan di Facebook LZS.

Abdul Basith turut meminta orang ramai melaksana tanggungjawab membayar zakat bagi membantu golongan memerlukan yang semakin bertambah di Selangor.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Shah Alam Dr Mohd Zahari Ismail berterima kasih kepada LZS atas kesudian mengagihkan bekalan makanan kepada pelajarnya.

“Kami sangat bersyukur kerana bantuan ini membolehkan pelajar menyara kehidupan untuk tempoh lebih sebulan di samping meneruskan pengajian kerana sekarang musim peperiksaan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Mesin ‘gedegang’ mudahkan pengasingan sampah

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 22 NOV: Penggunaan mesin ‘gedegang’ kitar semula hasil inovasi pelajar Politeknik Shah Alam memudahkan proses pengasingan sampah sekali gus menggalakkan aktiviti kitar semula dalam kalangan masyarakat.

Ketua Projeknya, Muhammad Amirul Haqim Abd Razak berkata, idea menghasilkan mesin itu tercetus apabila mendapati tong kitar semula disediakan di kawasan awam tidak mempunyai ruang mencukupi bagi membuang sampah.

“Saya lihat tong kitar semula untuk kertas, kaca, tin dan plastik itu tidak cukup ruang sehingga ada orang awam menyalahgunakan tong itu dengan meletakkan jenis sampah yang tidak boleh dikitar semula.

“Jadi, kami terfikir mencipta mesin membantu orang ramai membuat pengasingan sampah dengan membuang sampah seperti tin dan botol minuman ke dalam mesin di tempat awam.

“Setiap pembuangan sampah di dalam mesin itu, pengguna diberikan token daripada mesin seperti wang, gula-gula atau kupon parkir sebagai galakan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas memenangi tempat pertama bagi institusi pengajian tinggi awam dalam kategori Anugerah Inovasi Rendah Karbon di sini, hari ini.

Muhammad Amirul, yang juga pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrik berkata, sebanyak 100 botol dan tin minuman berjaya dikumpul hasil daripada penggunaan mesin itu di kawasannya selama lima hari.

“Ini merupakan kesan positif kerana mesin ini boleh digunakan di mana-mana sahaja. Kami juga merancang menambah baik mesin ini seperti meletakkan kamera litar tertutup dan menggunakan kuasa solar,” katanya.