Categories
NASIONAL

PRK Rantau tiada unsur sabotaj

PORT DICKSON, 21 APRIL: KEADILAN dalam siasatan awalnya mengesahkan tiada unsur sabotaj pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, pada 13 April lalu.

Bagaimanapun, presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap berhubung isu itu.

“Berdasarkan laporan awal setakat ini tiada. Saya tidak nampak sebarang tanda sabotaj.

“Laporan lengkap saya belum terima kerana ia akan dibawa kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun selaku Pengarah PRK DUN Rantau,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Sebelum itu, beliau ditemui pada Program Sambutan Hari Bumi Sedunia peringkat DUN Bagan Pinang bersama Hari Ladang Pejabat Pertanian Port Dickson, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Rantau bukanlah satu perkara mengejutkan kerana kawasan terbabit kubu kuat Barisan Nasional (BN) untuk tempoh masa lama.

“Kita dalam politik harus terima kenyataan bahawa kawasan itu (Rantau) adalah kawasan kubu (BN). Jadi, saya rasa perkara itu bukan satu yang mengejutkan, kalau kalah di kubu PH seperti Permatang Pauh atau Port Dickson barulah jadi masalah.

“Sebagai pemimpin dan ketua, saya perlu menunjukkan contoh yang baik dan meneruskan perjuangan walaupun penilaian awal menunjukkan peluang untuk menang di Rantau amat sukar,” katanya.

PRK DUN Rantau menyaksikan BN yang diwakili Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya mempertahankan kerusi DUN itu selepas menewaskan calon PH, Dr S Streram dengan majoriti 4,510 undi.

Categories
NASIONAL

PRK Rantau catat peratusan keluar mengundi 79.31 peratus – SPR

SEREMBAN, 13 APR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi berbanding enam PRK sebelum ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pada PRK kali ini, jumlah peratusan keluar mengundi adalah 79.31 peratus melebihi sasaran 70 peratus yang ditetapkan sebelum ini.

“Saya agak gembira kerana semua pengundi keluar mengundi dalam suasana yang aman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan PRK DUN Rantau di sini, hari ini.

Beliau berkata, faktor personaliti dan kesedaran pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka menjadi antara penyumbang peratusan keluar mengundi itu.

“Bagi pihak SPR pula kita adakan kempen seperti biasa macam kempen ‘Jom Kita Mengundi’… saya rasa media massa, televisyen juga telah berjaya menaikkan minat pengundi untuk keluar mengundi. Terima kasih juga kepada media massa,” katanya.

PRK DUN Rantau adalah yang ke tujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) dan DUN Semenyih (2 Mac).

PRK DUN Semenyih mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 73.35 peratus, DUN Sungai Kandis (49.4 peratus), Balakong (43 peratus), Seri Setia (44.1 peratus) sementara PRK Parlimen Port Dickson (58.2 peratus) dan Parlimen Cameron Highlands (68.79 peratus).

Mengulas mengenai laporan berhubung kesalahan yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Azhar Azizan berkata, 23 laporan diterima setakat semalam.

“Laporan polis sebanyak 50 manakala laporan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tiada. Secara amnya kesalahan kecil seperti pasang banner, adakan kempen tanpa permit dan juga kempen yang ada permit kata kempen bergerak – tetapi diadakan secara statik,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang menunjukkan kertas undinya selepas beliau mengundi, Azhar Azizan berkata, perkara itu perlu disemak terlebih dahulu.

“Saya pun tak tahu… saya kena baca peraturan dan menelitinya, yang saya tahu undi adalah rahsia dan kerahsian undi seseorang itu orang lain tidak boleh pecahkan kerahsiaan itu, kalau dia yang nak pecahkan, itu saya kurang pasti sama ada ia dihalang undang-undang atau tidak,” katanya.

PRK DUN Rantau menyaksikan Mohamad Hasan mempertahankan kerusi DUN itu selepas menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PH hormati keputusan pengundi DUN Rantau – Anwar

SEREMBAN, 13 APR: Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan yang diambil pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang memilih Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Mohamad, Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan malam ini berkata, kekalahan itu merupakan peringatan kepada pimpinan PH agar memberi perhatian sewajarnya terhadap kebimbangan rakyat berkaitan isu ekonomi dan kos sara hidup.

“Saya melahirkan keyakinan PH akan kembali bangkit mendapat sokongan rakyat selepas ini. Terima kasih juga kepada jentera Keadilan (PKR) serta parti komponen PH yang lain kerana berjaya menunjukkan kematangan dan contoh baik ketika sesi kempen,” kata Presiden PKR yang juga Anggota Parlimen Port Dickson itu.

Sementara itu, Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kekalahan dalam PRK DUN Rantau tidak akan menjejas sebarang perancangannya bagi negeri ini.

Katanya, walaupun kalah, PH masih mendahului komposisi DUN Negeri Sembilan dengan 20 kerusi berbanding pembangkang 16 kerusi.

“Kita tidak akan berhenti di sini kerana ia tidak melibatkan perkara yang menjejaskan kredibiliti kerajaan. Tidak kira berlaku atau tidak berlaku kekalahan ini saya akan bekerja 24 jam untuk memastikan keselesaan rakyat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) PH, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan akan dijalankan jika ada laporan mengenai dakwaan unsur sabotaj yang menyebabkan kekalahan PH pada PRK berkenaan.

Pada PRK itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO mempertahankan kerusi DUN Rantau buat penggal keempat selepas menewaskan tiga pencabarnya termasuk Dr S. Streram yang mewakili PH dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu memperoleh majoriti 4,510 undi, selepas mendapat 10,397 undi manakala Dr Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau mendapat 5,887 undi manakala Malarvizhi dan Mohd Nor, masing-masing memperoleh 83 serta 79 undi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mohamad pertahan kerusi DUN Rantau buat penggal keempat

SEREMBAN, 13 APR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya sebelum ini selepas memenanginya pada pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan hari ini.

Mohamad, 63, yang juga pemangku Presiden UMNO, menang dengan majoriti 4,510 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Dr S. Streram, 60, dan dua calon Bebas iaitu suri rumah, R. Malarvizhi, 51, dan bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin, 67.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memperoleh 10,397 undi, Dr Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau dan pakar bius mendapat 5,887 undi manakala Malarvizhi dan Mohd Nor, masing-masing memperoleh 83 serta 79 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Nizam Tajul Arus di pusat penjumlahan undi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Bandar Sri Sendayan, pada 8.45 malam ini.

Kemenangan Mohamad bagi kerusi itu merupakan kali keempat sejak disandangnya pada 2004.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Rantau: Proses pengundian berjalan lancar – Polis

SEREMBAN, 13 APR: Proses pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sehingga semua 14 pusat pengundian ditutup pada 5.30 petang ini, berjalan lancar.

“Pada keseluruhannya keadaan adalah terkawal dan proses mengundi berjalan dengan lancar,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supt Mohd Rosli Ishak kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis memberikan kawalan ketat terhadap semua pergerakan peti undi yang akan dibawa ke pusat penjumlahan undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, dekat sini untuk pengiraan undi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi keluar mengundi setakat 4 petang ialah 74 peratus dan keputusan dijangka diumumkan selewat-lewatnya 10 malam.

DUN Rantau dengan keluasan 15,960.74 hektar, mempunyai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebih 118 pengundi awal.

Daripada jumlah itu, 55.51 peratus atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh orang).

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, Timbalan Presiden UMNO yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili Barisan Nasional serta dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Rantau: 74% mengundi setakat 4 petang, peratusan tertinggi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 APR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau meraih peratusan keluar mengundi tertinggi apabila kira-kira 74 peratus dicatatkan sehingga jam 4 petang tadi.

Catatan itu mengatasi peratusan keluar mengundi PRK DUN Semenyih yang mencatatkan 73.3 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Jumlah itu dijangka terus meningkat apabila pusat mengundi ditutup pada jam 5.30 petang nanti.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini mensasarkan sebanyak 70 peratus daripada 20, 804 pengundi keluar mengundi pada PRK kali keenam selepas Pilihan Raya Umum lalu.

Hari ini seramai 20,793 daripada 20,804 pengundi DUN Rantau keluar mengundi di 14 pusat mengundi dan seramai 11 orang telah mengundi secara pos sebelum ini.

Pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi tadi dan ditutup pada jam 5.30 petang nanti.

PRK DUN Rantau iaitu PRK ketujuh diadakan berikutan keputusan mahkamah membatalkan kemenangan penyandang, Datuk Seri Mohamad Hasan dari Barisan Nasional (BN).

Ia menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Dr S Streram, Mohamad (BN) serta dua calon Bebas, R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

Categories
NASIONAL

PRK Rantau: 55% keluar mengundi hingga jam 1 tengah hari

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 APR: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau mencecah 55 peratus sehingga jam 1 tengah hari tadi.

Jumlah itu diumumkan di laman media sosial facebook Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) manakala sejam sebelumnya ia mencatatkan peratusan pada kadar sekitar 47 peratus.

SPR mensasarkan sebanyak 70 peratus akan keluar pada PRK kali ini.

Hari ini seramai 20,793 daripada 20,804 pengundi DUN Rantau akan keluar mengundi di 14 pusat mengundi.

Manakala seramai 11 orang telah mengundi secara pos sebelum ini.

Pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi dan ditutup 5.30 petang nanti.

PRK DUN Rantau iaitu PRK ketujuh diadakan berikutan keputusan mahkamah membatalkan kemenangan penyandang, Datuk Seri Mohamad Hasan dari Barisan Nasional (BN).

Ia menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Dr S Streram, Mohamad (BN) serta dua calon Bebas, R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

Categories
NASIONAL

Disiplin penyokong parti politik kurang memuaskan – SPR

SEREMBAN, 13 APR: Disiplin penyokong parti politik pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, hari ini, kurang memuaskan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata, ini kerana masih terdapat beberapa barong yang didirikan berhampiran pusat mengundi.

“Perjalanan PRK berjalan lancar (setakat 11.30 pagi), saya sudah lawat tiga pusat mengundi, cuma disiplin calon dan parti politik agak kurang memuaskan kerana terdapat barong-barong panas masih dibina.

“Macam di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bandar Seri Sendayan, ada dua barong tetapi yang beroperasi hanya dari satu pihak iaitu Pakatan Harapan (PH).

“Walaupun saya sendiri suruh berhentikan, mereka berhentikan 15 minit namun minit ke 16 sudah mula balik, saya kena bagi amaran dua kali baru berhenti, kemudian mula balik semak pula pakai telefon bimbit,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembinaan barong di sekitar pusat mengundi bagi menyemak saluran pengundi yang ingin mengundi.

Setakat pukul 11 pagi, Azhar Azizan berkata, jumlah peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 38 peratus.

“Bagi saya memuaskan kalau tiga jam dah 38 peratus, ada lagi enam jam setengah, kalau lagi 38 peratus lagi sudah 76 peratus… tak berani nak cakap tetapi kalau ikut trend dan dari segi logik sepatutunya pada 5.30 perang sudah boleh dapat 70 peratus,” katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang kejadian tidak diingini seperti kekecohan atau pergaduhan berlaku setakat ini.

“Kita tidak mahu kekecohan berlaku, kalau kita suruh berhenti tetapi mereka nak teruskan juga, kita guna pendekatan lembut, kita rakam peristiwa untuk kita buat laporan polis dikemudian hari.

PRK DUN Rantau hari ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, calon Barisan Nasional yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Rantau: Pengundi dinasihat keluar mengundi awal, elak provokasi

SEREMBAN, 13 APR: Polis menasihatkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini, untuk keluar mengundi lebih awal, bagi mengelak kesesakan trafik pada sebelah petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Supt Mohd Rosli Ishak berkata, trafik dijangka sesak, memandangkan beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) terletak berdekatan pekan Rantau yang merupakan jalan utama.

Katanya pihaknya telah menugaskan, sembilan pegawai dan 56 anggota trafik, bagi memastikan kelancaran trafik di semua 14 PDM.

“Kita juga minta mereka mematuhi arahan diberikan petugas, sepanjang perjalanan pilihan raya bagi memastikan kelancaraan trafik dan proses pengundian,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Rantau di sini hari ini.

Beliau turut menasihati penyokong parti yang bertanding sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan dan mengelak daripada mencetuskan sebarang provokasi di PDM.

Sebanyak 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran dibuka 8 pagi hingga 5.30 petang hari ini, bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu.

Sebanyak 20,793 pengundi biasa layak mengundi, selepas 96 peratus daripada 110 pengundi awal terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjalankan tanggungjawab masing-masing Selasa lepas.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas, suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

PRK itu diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

SUMBER/FOTO: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pengundian PRK DUN Rantau bermula

SEREMBAN, 13 APR: Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bermula sebaik sahaja 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran dibuka tepat pada pukul 8 pagi ini.

Proses mengundi yang berlangsung sembilan jam setengah itu membabitkan seramai 20,793 orang daripada keseluruhan 20,804 orang pengundi biasa layak mengundi dengan 11 daripadanya mengundi secara pos, sebelum ia ditutup pada 5.30 petang ini.

Pada 9 April lepas, seramai 110 pengundi awal terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia serta pasangan dan Polis Diraja Malaysia selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing dan ia merekodkan peratusan keluar mengundi sebanyak 96 peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menempatkan seramai 515 petugas di semua pusat pengundian dan menjangkakan 70 peratus pengundi di kawasan DUN itu akan keluar mengundi.

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca baik pada sebelah pagi dan ribut petir di satu dua tempat pada sebelah petang di Seremban, esok.

PRK berkenaan menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Dr S. Streram; calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan; dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Dr Streram dijangka mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Rantau, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Malarvizhi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua ,manakala Mohd Nor tidak mengundi memandangkan beliau pengundi kawasan DUN Gemencheh, Tampin.

Pusat penjumlahan undi diadakan di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Sri Sendayan.

Daripada jumlah tersebut 20,804 pengundi, 55.51 peratus atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh).

PRK itu diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PH boleh menang PRK Rantau walau dilihat sukar – Dr M

SERI KEMBANGAN, 12 APR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai keyakinan Pakatan Harapan (PH) mampu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau esok walaupun ia dilihat sukar.

Walaupun saingan sengit, kita harap dapat menang, Margin menang atau kalah adalah kecil, katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Malam Gala Persatuan Bekas Pelajar MRSM (Ansara), 2019 di sini malam ini.

Turut hadir, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amirudin Hamzah dan Presiden Ansara, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH Dr S. Streram, calon Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Terdahulu, dalam ucapan beliau pada majlis itu, Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia perlu mencontohi cara masyarakat Jepun yang sentiasa bekerja keras dan mengamalkan sistem nilai hidup mulia.

Katanya, rakyat Malaysia juga boleh mencapai kejayaan dengan berpegang kepada cara hidup sedemikian.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kemenangan PH penting demi masa depan golongan muda – Anwar

SEREMBAN, 12 APR: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau esok penting demi masa depan golongan muda di kawasan tersebut, kata Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, banyak projek yang menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan akan dilaksanakan sekiranya calon PH, Dr S. Streram menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

“Ini adalah untuk faedah anak-anak kita dan generasi akan datang…Ini kamu kena fikir betul-betul masa depan golongan muda di negeri ini yang kebanyakan mereka tiada peluang pekerjaan,” katanya semasa sesi menziarahi masyarakat India di Taman Bunga Raya, Rantau, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Presiden PKR itu meluangkan masa lebih kurang 45 minit melawat masyarakat India di Bandar Sri Sendayan selepas program Santai Sendayan bersama masyarakat sekitar dan solat Jumaat di Masjid Kariah Linsum.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R.Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

SUMBER: BERNAMA