Categories
NASIONAL

PRK Rantau catat peratusan keluar mengundi 79.31 peratus – SPR

SEREMBAN, 13 APR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi berbanding enam PRK sebelum ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pada PRK kali ini, jumlah peratusan keluar mengundi adalah 79.31 peratus melebihi sasaran 70 peratus yang ditetapkan sebelum ini.

“Saya agak gembira kerana semua pengundi keluar mengundi dalam suasana yang aman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan PRK DUN Rantau di sini, hari ini.

Beliau berkata, faktor personaliti dan kesedaran pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka menjadi antara penyumbang peratusan keluar mengundi itu.

“Bagi pihak SPR pula kita adakan kempen seperti biasa macam kempen ‘Jom Kita Mengundi’… saya rasa media massa, televisyen juga telah berjaya menaikkan minat pengundi untuk keluar mengundi. Terima kasih juga kepada media massa,” katanya.

PRK DUN Rantau adalah yang ke tujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) dan DUN Semenyih (2 Mac).

PRK DUN Semenyih mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 73.35 peratus, DUN Sungai Kandis (49.4 peratus), Balakong (43 peratus), Seri Setia (44.1 peratus) sementara PRK Parlimen Port Dickson (58.2 peratus) dan Parlimen Cameron Highlands (68.79 peratus).

Mengulas mengenai laporan berhubung kesalahan yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Azhar Azizan berkata, 23 laporan diterima setakat semalam.

“Laporan polis sebanyak 50 manakala laporan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tiada. Secara amnya kesalahan kecil seperti pasang banner, adakan kempen tanpa permit dan juga kempen yang ada permit kata kempen bergerak – tetapi diadakan secara statik,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang menunjukkan kertas undinya selepas beliau mengundi, Azhar Azizan berkata, perkara itu perlu disemak terlebih dahulu.

“Saya pun tak tahu… saya kena baca peraturan dan menelitinya, yang saya tahu undi adalah rahsia dan kerahsian undi seseorang itu orang lain tidak boleh pecahkan kerahsiaan itu, kalau dia yang nak pecahkan, itu saya kurang pasti sama ada ia dihalang undang-undang atau tidak,” katanya.

PRK DUN Rantau menyaksikan Mohamad Hasan mempertahankan kerusi DUN itu selepas menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Peratusan keluar mengundi melebihi sasaran

OLEH NADIAH ZAMLUS

KAJANG, 2 MAC: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih melebihi sasaran iaitu mencecah 73.35 peratus.

Maklumat rasmi itu dimaklumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun pada jam 8 malam tadi.

Jumlah peratusan itu sekali gus melepasi sasaran ditetapkan SPR sebelum itu iaitu sebanyak 70 peratus sahaja.

DUN Semenyih mencatatkan sejumlah 53,411 pengundi biasa layak untuk mengundi pada PRK kali ini selepas kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 11 Januari lalu.

Jumlah itu berdasarkan daftar pemilih pada suku ketiga 2018 yang dikemas kini sehingga 11 Januari lalu.

Categories
SELANGOR

50 peratus keluar mengundi PRK Semenyih sehingga jam 1 tengahari

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEMENYIH, 2 MAC: Sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan 54,503 pemilih berdaftar keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, setakat jam 1 tengahari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya menyasarkan 70 peratus keluar mengundi dalam PRK kali ini dan berharap orang ramai dapat keluar melaksanakan tanggungjawab itu.

“Kita berharap sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus dapat dicapai. Tetapi di Cameron Highland kita cuma dapat 68.9 peratus.

“Kita harap pengundi (dan) pihak parti dapat menyeru penyokong masing-masing untuk keluar mengundi. Daripada segi trendnya itu juga diharap dapat diperbaiki,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rinching, di sini.

Sementara itu, Azhar berkata, perjalanan proses pengundian juga berjalan lancar setakat ini dengan masa menunggu hanya 20 hingga 30 minit jika dibandingkan pada PRU14 lalu.

Ketika diminta mengulas berhubung kekecohan berlaku antara penyokong parti di Kampung Sesapan sebentar tadi, Azhar berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan insiden terbabit.

Difahamkan, pergaduhan itu tercetus apabila terdapat individu yang meletakkan kain rentang memaparkan imej isteri mantan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan turut tertera tulisan mengatakan ‘Dia adalah Boss’.

“SPR tak dapat laporan berkaitan isu ini. Apapun, kita harap kalau ada ia dapat dihentikan kerana boleh menimbulkan masalah ketenteraman orang awam,” katanya.

Categories
SELANGOR

PRK Semenyih: 858 anggota dan pasangan buang undi awal hari ini

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 FEB: Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Semenyih bermula hari ini membabitkan 858 orang daripada jumlah keseluruhan 951 orang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pusat pengundian awal dibuka jam 8 pagi sehingga 5 petang manakala pusat mengundi di Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, waktu pengundian ditutup jam 2 petang.

“Semua pengundi awal adalah anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan akan mengundi di Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih seramai 761 orang dan Discress Room 97 orang.

“Manakala sebahagiannya 93 orang anggota polis PGA telah mengundi secara pos,” katanya.

Beliau berkata, proses pengundian awal akan disaksikan setiap ejen calon bertanding selain Pemerhati Pilihan Raya daripada wakil organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilantik SPR.

SPR juga menyiarkan proses pengundian awal menerusi ‘Live Facebook’.

“Kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi pada 26 Februari sebaliknya semua peti undi awal disimpan di tempat selamat iaitu di lokap balai polis.

“Pada 2 Mac nanti, peti undi itu akan dibawa ke pusat pengiraan undi di pusat pengundian ditetapkan SPR sambil disaksikan ejen calon masing-masing.

“Pemerhati pilihan raya yang dilantik juga dibenarkan untuk memerhati proses pengiraan undi,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

PAS mampu pertahan kerusi DUN Sungai Limau

anwar whiteKUALA LUMPUR, 3 OKTOBER :  PAS memiliki peluang cerah untuk mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau, Kedah semasa pilihan raya kecil (PRK) di kawasan itu pada 4 November nanti, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, Pakatan Rakyat (PR) akan memastikan seluruh jenteranya membantu calon PAS untuk memenangi pilihan raya itu.

“Insya Allah kita yakin (menang) ekoran pelbagai isu timbul sekarang antaranya kenaikan harga barang, petrol dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan bahawa pilihan raya kecil bagi DUN Sungai Limau, Kedah akan diadakan pada 4 November.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 23 Oktober – yang memberi peluang kepada calon untuk berkempen selama 12 hari termasuk pada hari penamaan.

Penyandang kerusi tersebut, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 September lalu akibat masalah kesihatan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Mei lepas, Azizan yang juga mantan menteri besar Kedah memperoleh 13,294 undi menewaskan Mohd Fazillah Mohd Ali daripada BN dengan majoriti 2,774 undi.

Categories
NASIONAL

Izzah Sanggah SPR, Kemuka Surat Aduan Sebagai Bukti

Izzah SPR 01

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyanggah kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang mendakwa pihaknya tidak menerima sebarang makluman membatalkan senarai pemilih yang didakwa meragukan sebelum memfailkan permohonan semakkan.

Sebaliknya Izzah mendedahkan satu surat yang ditandatangani Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Baria bagi membuktikan bahawa pihak suruhanjaya telah menerima surat berkenaan.

Selain itu, surat peguam melalui Tetuan Chooi & Company turut diterima dan disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan SPR, Nur Ezdiani Rolen.

“Pembatalan nama-nama yang alamat berdaftarnya tidak lengkap atau tidak wujud terkandung dalam Rang-Rang Daftar pemilih Lembah pantai P121 yang mana semua nama yang kita bantah kita maklumkan kepada SPR.

“Kita sebut di perenggan terakhir sila maklumkan secara bertulis dalam masa tujuh hari dari tarikh di sini sama ada pihak tuan akan membatalkan nama-nama terkandung yang dilampirkan bersama surat.

“Jika kami tidak menerima apa-apa jawapan atau jawapan yang tidak boleh diterima, kami telah diarahkan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tuan tanpa notis selanjutnya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau turut mempersoalkan mengapa soal tidak menghubungi SPR sebelum difailkan ke mahkamah dibangkitkan sedangkan pihaknya melakukan perkara berkenaan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Pada saya kenyataan ini lagilah menghancurkan sebarang kredibiliti yang masih ada dalam SPR. Bukan sahaja mereka (tidak) mengambil serius dengan (dakwaan) pengundi hantu kita tonjolkan tapi boleh membuat dakwaan yang tidak berasas,” ujarnya.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan lebih 4,600 pengundi yang didakwanya meragukan dalam Rang Daftar Pemilih dalam Parlimen Lembah Pantai.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Siar Rakaman Manifesto Mahfuz Dakwa Aziz Diperguna Umno-BN

SHAH ALAM 23 JUN : Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof didakwa dipergunakan Umno-BN selepas menyedari melakukan kesilapan membuat tawaran kepada semua parti politik membentangkan manifesto di media elektronik kawalan mereka dalam kempen Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) nanti.

Dakwaan itu dibuat Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika mengulas kenyataan dibuat Abdul Aziz  bahawa hanya siaran rakaman dibenarkan bagi tujuan itu terhadap semua parti politik dan bukannya secara langsung.

Laporan media menyiarkan kenyataan Abdul Aziz yang menyatakan ketetapan itu dibuat bagi mengelakkan penyiaran bahan yang mungkin menyentuh peribadi seseorang, mengancam keselamatan dan ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti  kaum serta agama.

“Siapa dia (Abdul Aziz) untuk buat kenyataan seperti ini,” katanya kepada TVSelangor ketika dihubungi di sini hari ini.

Mahfuz berkata, Abdul Aziz dengan peranannya sebagai Pengerusi SPR perlu bersikap berkecuali dalam perkara ini.

“Maka dengan ini alasan diberikan hanya siaran rakaman dibenarkan bagi mengelakkan pelbagai perkara tidak diingini timbul dan menuduh parti  pembangkang sering memanipulasi sesuatu isu. Namun sebenarnya Umno-BN yang sering mengambil kesempatan dengan memanipulasi sesuatu perkara itu demi kepentingan mereka,” katanya.

Syarat dikenakan itu juga jelasnya bertujuan supaya parti pembangkang khususnya Pakatan Rakyat (Pakatan) menolak tawaran dikemukakan itu bagi memberikan perspektif negatif terhadap gabungan itu di mata rakyat.

“Pemimpin Umno-BN menyedari mereka akan mendapat kesan yang negatif berikutan penyiaran itu maka syarat begini dikenakan supaya parti pembangkang menolaknya,” ujarnya.

Pada 7 Jun lalu, Rais berkata parti politik kini dibenarkan membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi RTM selepas kertas kabinet mengenainya diluluskan Jemaah Menteri.

Akses media yang bebas dan adil antara 22 saranan dibuat Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang diserahkan kepada SPR selepas mereka meluluskan tanpa bahas di Dewan Rakyat pada 3 April lalu.