Categories
NASIONAL

ECRL bukan ‘gula-gula’ untuk PRK Rantau – Dr Wan Azizah

SEREMBAN, 12 APR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disambung semula bukanlah ‘gula-gula’ untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Timbalan Perdana Menteri berkata, semakan semula projek berkenaan termasuk mengubah jajaran untuk memberi faedah kepada Negeri Sembilan itu telah dibuat sejak sekian lama.

“Semakan semula dibuat supaya ia lebih sesuai dan lebih beri kesan…ECRL menjurus kepada merangsang pembangunan ekonomi dan bukan ‘gula-gula’.

“Bukan ‘gula-gula (kerana) sebab PRK kita nak buat, tetapi untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni warga emas, Miri Abdul Manan, 95, antara pengundi tertua pada PRK berkenaan.

Projek ECRL berkenaan diumum disambung semula pada kos lebih rendah susulan permeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Wakil Khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin yang mengetuai rundingan dilapor berkata, bahawa pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.

Projek ECRL itu dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Sementara, Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PH, dalam ucapan ringkasnya pada program ramah mesra bersama penduduk Kampung Pasir Linsum, berkata adalah tidak mustahil untuk PH memenangi kerusi DUN Rantau pada PRK esok.

“Jangan lupa saya pun tak sangka saya jadi Timbalan Perdana Menteri, jadi boleh kita menang (PRK) insya-Allah, jadi kita kena kerja kuatlah,” katanya.

Justeru, beliau menyeru pengundi di Rantau agar menyokong dan memberi kepercayaan kepada calon PH, Dr S. Streram untuk menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

PRK Rantau ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH Dr S Streram, calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon bebas iaitu suri rumah R.Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Atur strategi komunikasi tarik pengundi atas pagar

SEREMBAN, 12 APRIL: Pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu mengatur strategi komunikasi dengan berkesan bagi menarik pengundi atas pagar, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, kata Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, strategi itu memainkan peranan penting bagi menghalang pengundi atas pagar terpedaya dengan isu dibangkitkan pembangkang.

“Kita perlu memberi penerangan kepada pengundi dengan lebih jelas supaya mereka tidak keliru dengan apa yang kita nak bawa,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada ceramah PH sempena kempen PRK itu, malam tadi.

Jika usaha yang dibawa kerajaan tidak dihuraikan dengan jelas, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ia membuka peluang kepada pembangkang untuk memperdaya pengundi atas pagar dengan pelbagai isu.

Justeru, beliau menyeru kepada barisan pimpinan PH supaya sentiasa melahirkan idea baharu dan memperkenalkan dasar terbaik untuk kebaikan rakyat.

PRK DUN Rantau pada Sabtu ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Dr S. Streram, calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas, suri rumah, R. Malarvizhi dan bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Streram yakin umum manifesto saat akhir bantu kemenangan

SEREMBAN, 11 APRIL: Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan pengumuman manifesto pada saat-saat akhir untuk melonjakkan calonnya, Dr S. Streram mendahului calon lain pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau, Sabtu ini.

Dr Streram berkata, manifesto itu sudah hampir siap dan dijangka dilancarkan pada bila-bila masa sebelum tempoh berkempen tamat, pada 11.59 malam esok.

“Saya sudah lihat draf akhir manifesto dan seperti yang saya nyatakan sebelum ini, manifesto itu turut merangkumi isu setempat.

“Saya bertanding bukan untuk beri janji kosong, saya bercakap berkenaan fakta, apa yang saya mahu lakukan untuk masyarakat di sini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program pemeriksaan mata percuma di Balai raya Kampung Siliau, di sini hari ini.

Difahamkan manifestonya mengandungi tujuh isu utama.

Mengulas kenyataan Pengerusi MCA Seremban, Siow Koi Voon yang menyatakan pengundi Cina di Rantau “rindu” bekas menteri besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan akan mengundi calon Barisan Nasional itu, Dr Streram berkata MCA hanya bermimpi.

“Saya nak tanya, berapa banyak kerusi mereka (MCA) di Parlimen sekarang? Anda fikir kaum Cina sokong mereka? Apapun saya rasa mungkin (anggota) MCA juga akan undi saya,” katanya berseloroh.

Selain Dr Streram dan Mohamad, PRK itu juga ditandingi dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Rantau: Polis buka 15 kertas siasatan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 APR: Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban mengesahkan setakat ini pihaknya menerima 73 laporan sepanjang berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pegawai Media Polis PRK DUN Rantau, Deputi Superintendan Ahmad Jamaludin ketika ditemui media di Balai Polis Rantau menjelang proses pengundian awal berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 15 kertas siasatan telah dibuka.

“Setakat hari ini, kita telah menerima lebih kurang 238 permohonan permit dan kesemuanya telah diluluskan. Selain itu, 73 laporan polis telah diterima dan 15 kertas siasatan dibuka.

“Bagi 15 kertas siasatan yang dibuka adalah di bawah kesalahan pilihan raya dan juga pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

“Begitupun, tiada apa yang serius berlaku yang dan semuanya berjalan dengan lancar,” katanya, lapor Astro Awani.

Seramai 110 daripada jumlah keseluruhan 118 pengundi awal bagi PRK Rantau Pilihan akan mengundi pada hari ini.

Mereka adalah 74 anggota tentera serta pasangan yang akan mengundi di Pangkalan Udara Sendayan dan 36 anggota polis yang akan mengundi di Balai Polis Rantau.

Baki seramai lapan pengundi yang terdiri daripada anggota tentera akan mengundi secara pos.

Categories
NASIONAL

PRK Rantau: Proses pengundian awal bermula

SEREMBAN, 9 APR: Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bermula 8 pagi ini selepas dua pusat pengundian masing-masing di Pangkalan Udara (PU) Sendayan dan Balai Polis Rantau, dibuka.

Ia membabitkan seramai 110 orang daripada jumlah keseluruhan 118 pengundi awal dengan lapan daripadanya mengundi secara pos.

Proses pengundian di PU Sendayan, yang merupakan pusat latihan iktisas atau profesional bagi melatih pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam bidang logistik, pentadbiran dan pengurusan, membabitkan seramai 74 anggota tentera serta pasangan.

Di Balai Polis Rantau pula, ia membabitkan seramai 36 anggota polis yang akan menunaikan tanggungjawab mereka.

Proses pengundian awal berlangsung selama empat jam sehingga 12 tengah hari.

DUN Rantau yang memiliki keluasan 15,960.74 hektar, mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebihnya pengundi awal.

Daripada jumlah tersebut, 55.51 peratus atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh).

PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) serta DUN Semenyih (2 Mac).

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, calon Barisan Nasional iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Rantau: Pengundi perlu ‘rehatkan’ Tok Mat – Saifuddin

SEREMBAN, 9 APR: Pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau boleh membantu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan untuk ‘berehat’ selepas berakhir PRK ini dengan tidak mengundinya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini bagi membolehkan Mohamad memberi fokus beliau untuk memulihkan UMNO.

“Meskipun Mohamad dikenali sebagai seorang yang gemar membantu orang ramai di DUN ini, BN bukan lagi parti memerintah dan Mohamad boleh memberikan fokus beliau untuk memulihkan UMNO.

“Kita mahukan pembangkang yang kuat, jadi saya fikir lebih baik orang Rantau tolong Tok Mat dengan ‘merehatkan’ beliau selepas PRK ini,” katanya pada satu program ceramah di Bandar Ekar, di sini, malam tadi.

Beliau juga berkata, pengundi perlu memberikan kemenangan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram kerana kerajaan PH sedang berusaha memulihkan kembali negara ini.

Beliau memberi contoh kerajaan sedang berusaha memulihkan Felda dengan cara membentang Kertas Putih Felda di Parlimen, Rabu ini, yang akan menjelaskan kerugian Felda dan bagaimana untuk memulihkan institusi berkenaan.

“Tok Mat kalau menang di sini bolehkah dia memulihkan Felda? Kenapa saya cerita mengenai Felda di sini? Sebab UMNO yang lingkupkan Felda dan calon UMNO ada di PRK Rantau.

“Biar PH menang di sini bagi memudahkan PH memulihkan Felda. PH kini kerajaan di Negeri Sembilan, PH juga kerajaan di Putrajaya,” katanya.

PRK DUN Rantau, 13 April ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, Mohamad dan dua calon Bebas, suri rumah R.Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Rantau: Cuaca diramal tidak menentu pada hari pengundian awal

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 APRIL: Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan cuaca tidak menentu sepanjang proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, yang bermula esok.

METMalaysia melalui laman sesawangnya memaklumkan, cuaca pada awal pagi diramalkan cerah namun bertukar ribut petir, pada waktu petang.

“Suhu pada waktu pagi bermula dari 24 hingga 32 darjah celcius, sementara waktu petang 30 hingga 33 darjah celcius,” kata kenyataan itu.

Ramalan berkenaan dikeluarkan Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Metereologi Malaysia.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan seramai 20,926 pemilih layak mengundi bagi PRK Rantau mengikut Daftar Pemilih Induk Tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 25 Februari.

Ia terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir luar negara.

Pada 18 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangannya di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak sah dan terbatal.

Calon KEADILAN bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr S Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi itu.

Categories
NASIONAL

PRK Rantau: Semak maklumat sebelum mengundi

SEREMBAN, 7 APRIL: Pengundi di Bahagian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.27 Rantau yang tidak menerima kad pengundi (Voter’s Card) boleh membuat semakan maklumat pengundian mereka lebih awal sebelum hari pengundian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Azhar Azizan Harun berkata pengundi yang tidak menerima kad tersebut kemungkinan telah berpindah dan mereka boleh membuat semakan melalui saluran-saluran antaranya melayari portal SPR di www.spr.gov.my.

“Selain itu mereka juga boleh menghubungi talian 03-88927018 atau menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak atau SMS ke 15888 (taip SPR SEMAK NO.KAD PENGENALAN).

“Bagi pengundi yang telah menerima Voter’s Card atau telah mengetahui maklumat pengundian, mereka tidak perlu membuat semakan di barung semakan SPR sebaliknya boleh terus ke saluran mengundi.

“Manakala bagi pengundi yang baru membuat semakan, mereka disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, para pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan voter’s card atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Voter’s Card dan catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi,” katanya.

PRK DUN Rantau akan diadakan pada 13 April ini manakala hari mengundi awal pada 9 April. –BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Rantau: Sokongan kaum India dapat pastikan kemenangan PAKATAN

SEREMBAN, 6 APRIL: KEADILAN yakin sokongan padu masyarakat India kepada calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Dr S. Streram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, tidak mustahil memberi kemenangan kepada parti itu

Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin berkata, pengundi di Rantau perlu memastikan kemenangan calon PAKATAN bagi memastikan kelancaran parti pentadbir negara meneruskan khidmatnya kepada rakyat.

“Walaupun ini hanya PRK, tetapi jangan main-main ini masa depan tuan puan… kalau kaum India semua sokong kita 100 peratus, saya jamin calon kita akan menang,” katanya semasa berucap di program Hi-Tea Taman Kelab Tuanku, di sini, hari ini.

“Pilih wakil rakyat dari PAKATAN, beliau sekarang mewakili kerajaan negeri dan kerajaan negeri sekarang ialah PAKATAN yang juga merupakan kerajaan persekutuan, kita semua satu parti apa-apa bantuan, khidmat dan sebagainya lebih senang untuk kita buat kerja,” katanya.

DUN Rantau mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal serta empat orang pengundi tidak hadir luar negara, dan daripada jumlah itu, 55.51 peratus atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh).

PRK DUN Rantau merupakan PRK ketujuh selepas PRU14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) serta DUN Semenyih (2 Mac).

— BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Gelar bukan Melayu “penumpang”, Tok Mat bermuka-muka

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 APRIL: Kenyataan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan, bahawa masyarakat bukan Melayu hanya menumpang di negara ini menonjolkan dua wajah sebenarnya ketika berhadapan pengundi.

Justeru, Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Mohamad perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat khasnya pengundi di Rantau.

“KEADILAN mendesak Mohamad memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan menarik balik kata-kata beliau serta pengundi Rantau perlu menterjemahkan sendiri sifat dua wajahnya apabila berhadapan pengundi Melayu dan bukan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. 

Katanya, selain bersifat perkauman, kenyataan Mohamad menuntut supaya pengundi membalas budinya semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan jelas menunjukkan sikap tidak ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat.

Shamsul berkata, tuntutan ‘mengenang budi’ itu terpaksa dibuat setelah beliau terlepas cakap dengan mendakwa bukan Melayu hanyalah ‘penumpang’ di negara ini ketika berucap di hadapan kelompok Melayu, baru-baru ini.

“KEADILAN melihat tuntutan Mohamad ini sebagai terdesak, angkuh, malah memalukan diri sendiri memandangkan adat Melayu tidak sesekali mengajar bangsanya menuntut supaya dikenang perkara baik yang sudah dilakukan,” katanya.

Ahli Parlimen Bukit Katil itu turut menyifatkan perbuatan Mohamad sama seperti mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melontarkan kenyataan “you help me, I help you”, pada pilihanraya umum lalu.

Shamsul berkata, KEADILAN sentiasa berpegang teguh kepada prinsip bahawa sesiapa sahaja yang dilantik memikul tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negeri haruslah menggalas mandat itu dengan penuh amanah, dedikasi dan rendah diri serta tidak menuntut balasan.

“KEADILAN komited bersama-sama calon Pakatan Harapan, Dr S. Streram, Menteri Besar Negeri Sembilan serta Kerajaan Negeri bertekad menyelesaikan isu perumahan rakyat mampu milik yang terbengkalai serta tidak dapat diselesaikan kerajaan BN terdahulu,” katanya.

Categories
NASIONAL

PRK Rantau: Polis terima 11 laporan

SEREMBAN, 1 APR: Polis menerima 11 laporan setakat dua hari tempoh berkempen antaranya membabitkan kesalahan berkempen tanpa permit, kata Pegawai Perhubungan Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, DSP Ahmad Jamaludin.

Beliau berkata daripada kesemua laporan diterima, satu sudah dibuka kertas siasatan manakala yang lain masih dalam siasatan.

“Satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, berkempen tanpa permit yang sah manakala selebihnya masih dalam siasatan. Antara laporan polis itu termasuk berhubung kehilangan pas media dan lain-lain laporan berkaitan pemantauan semasa kempen PRK DUN Rantau,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini, polis meluluskan 15 permohonan permit daripada pihak yang bertanding untuk mengadakan ceramah umum dan tinjauan mesra.

“Setakat ini, tahap keselamatan dalam keadaan terkawal dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan semua pihak yang menjalankan kempen supaya memohon permit bagi tujuan kelulusan, pemantauan dan keselamatan.

Sementara itu, Balai Polis Rantau dan Pangkalan Udara (PU) Sendayan merupakan lokasi bagi pengundian awal, 9 April ini.

PRK DUN Rantau pada 13 April ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S Streram, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan daripada Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas, R. Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

– BERNAMA

 

 

Categories
NASIONAL

PRK Rantau: SPR keluar 23 kertas undi pos

SEREMBAN, 31 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengeluarkan 23 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pengerusinya Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan berkata pengeluaran tersebut dijalankan Petugas Pilihan Raya di Bilik Orkid, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban meliputi beberapa kategori undi pos.

Katanya kategori itu termasuk Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara iaitu penjawat awam yang berkhidmat di luar negara dan pasangannya serta pelajar sepenuh masa di luar negara dan pasangannya di India, Rusia dan Singapura yang membabitkan seramai empat pengundi.

“Manakala seramai 19 orang pengundi yang terdiri daripada 11 orang petugas pilihan raya dan lapan orang anggota tentera (Borang 1A),” katanya.

Bagaimanapun katanya tiada permohonan diterima bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan).

Azhar Azizan berkata proses pengeluaran kertas undi pos itu turut dijalankan dengan kehadiran wakil-wakil calon daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selain disiarkan secara langsung melalui Facebook SPR bagi menunjukkan kepada orang ramai bahawa ia dijalankan secara telus dan adil.

“Pemerhati daripada Institut Darul Ehsan, Pertubuhan Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan Malaysia, Malaysia For Free And Fair Elections (MAFREL) dan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem Dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) turut hadir ke sesi tersebut,” katanya.

Sehubungan itu SPR katanya mengingatkan semua pengundi pos agar menanda kertas undi yang diterima dengan betul dan segera mengembalikannya semula kepada Pegawai Pengurus PRK DUN N.27 Rantau sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu pada 13 April ini.

Katanya, pengundi juga diingatkan agar tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial dan sekiranya perbuatan ini dilakukan, tindakan undang-undang akan diambil dan jika disabitkan serta didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sewajarnya. -BERNAMA