Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: Barisan pemimpin PAKATAN bakal turun padang

PONTIAN, 8 NOV: Lebih ramai barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) akan mula turun ‘padang’ dalam fasa kedua Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bagi membantu kempen dan memberi sokongan kepada calon parti gabungan itu, Karmaine Sardini.

Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata antara pemimpin tertinggi PAKATAN yang dijangka hadir adalah Pengerusi PAKATAN iaitu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya lagi, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bakal memberi ceramah serta bertemu jentera parti bagi memastikan kerusi Parlimen itu terus dipertahankan wakil daripada PAKATAN.

“Datuk Seri Anwar dijangka memberi empat ceramah umum, bertemu jentera dan memberi arahan kepada parti (bantu berkempen) di kawasan Parlimen ini bermula pukul 6 petang hingga 12 tengah malam pada 11 November ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) PAKATAN Teluk Kerang, dekat sini hari ini.

Turut hadir Karmaine yang juga merupakan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai.

“Setakat pengamatan saya, sudah masuk fasa kedua (tempoh berkempen)…minggu depan kita akan menyaksikan pimpinan utama PAKATAN akan turun padang dimulai dengan hari Isnin (11 November) Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudian ada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan saya fikir akan ada lapisan barisan kepimpinan yang akan silih berganti,” kata Shamsul Iskandar.

Beliau turut menjelaskan kurangnya penglibatan pemimpin utama PAKATAN pada fasa pertama PRK itu kerana kebanyakan pemimpin mempunyai jadual yang padat serta kekangan masa berikutan perlu menghadiri persidangan Parlimen.

“Kita sedia maklum bahawa kita punya kekangan kerana ada sesi Parlimen tetapi kita akan cuba selitkan mana-mana masa kelapangan (untuk turun bantu calon berkempen)…macam saya, semalam habis (sidang Parlimen) dalam pukul 7 malam saya sempat memberi tiga ceramah sejurus tiba dari Kuala Lumpur,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November, manakala pengundian awal pada 12 November ini.

PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan Karmaine dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Wendy Subramaniam mewakili Gerakan serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham Dr Md Farid yang mewakili PAKATAN menang dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengundi Melayu sedar kepentingan calon PAKATAN – Muhyiddin

PONTIAN, 7 NOV: Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sudah ada kecenderungan daripada pengundi Melayu di Parlimen Tanjung Piai tentang pentingnya untuk memilih calon Pakatan Harapan (PAKATAN) berbanding calon lain pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) itu 16 November ini.

Beliau berkata ini kerana kerajaan PAKATAN melalui calon mereka Karmaine Sardini, komited untuk membangunkan Tanjung Piai menerusi pelbagai tawaran dan pakej menarik, di peringkat negeri dan peringkat nasional yang menanti untuk dilaksanakan.

“Umumnya ada peningkatan, tapi saya beritahu mereka belum lagi memadai, kalau boleh lebih besar. Tempoh untuk beberapa hari akan datang, tempoh yang agak kritikal, untuk pertamanya kita jelaskan apakah yang diperjuangkan PAKATAN dan calon kita. Komitmen kita adalah terus membangunkan Tanjung Piai sebagai satu kawasan berpotensi dan antara perkara kita yang kita berikan perhatian adalah masalah isu kos sara hidup.

“Saya dalam mesyuarat dengan Perdana Menteri telah berbincang untuk melihat tindakan berkesan diambil untuk menangani kos harga barang, mencukupi, mengeluarkan bekalan jangka panjang dan sebagainya,” katanya di sini hari ini.

Menteri Dalam Negeri itu berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Karmaine pada hari keenam kempen PRK tersebut.

Muhyiddin berkata isu lain yang turut dibincangkan adalah mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda, infrastruktur kesihatan, rumah mampu milik dan pelan pembangunan industri pelancongan di Tanjung Piai.

“Satu lagi saya bincang, kita minta di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, satu pelan pembangunan industri pelancongan diwujudkan di Tanjung Piai kerana ada potensi pelancongan, hasil makanan dan tempat-tempat menarik.

“Malahan saya fikir kita boleh mulakan bila-bila masa. Untuk buat perancangan, galakkan homestay, dan produk pelancongan baru. Ini satu tawaran kita untuk bangunkan Tanjung Piai sebagai kawasan pelancongan,” katanya.

Ditanya mengenai strategi PH memenangi Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang kalah sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, Timbalan Presiden PH itu berkata sokongan semua pihak baik pengundi Melayu dan bukan Melayu perlu terus dipertahankan dan tidak meletakkan jentera dalam keadaan selesa tetapi sentiasa bekerja keras dan bersiap sedia.

Muhyiddin berkata PAKATAN juga sedar wujud sentimen berkaitan penurunan sokongan pengundi Cina berikutan isu kos sara hidup dan ekonomi

“Ada yang berkata ini bukan isu baru Tan Sri, tetapi sudah tiga empat tahun. Kalau dikira, itu bukan zaman PAKATAN tetapi zaman BN. Kita menghadapi bahana perbuatan itu. Soal skandal berleluasa, wang berbilion (hilang), 1MDB, Felda, Tabung Haji.

“ Jadi kita peringatkan balik., selama setahun tengah (PAKATAN memerintah), boleh ubah 60 tahun (masalah sewaktu BN memerintah)? Yang penting bagi pengundi Cina, dia yakin, tapi nak tengok dalam tempoh dua tiga tahun akan datang. Ini pilihan raya kecil. Anda rasa (Datuk Seri Dr) Wee Jeck Seng (calon BN) boleh beri suntikan yang baik, tingkatkan segala-galanya? Mustahil,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Pada PRK ini, Karmaine berdepan pertandingan enam penjuru, melawan calon BN daripada MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Hari pengundian PRK ditetapkan pada 16 November ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

37 kesalahan sepanjang kempen PRK Tanjung Piai – SPR

PONTIAN, 7 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 37 kesalahan sepanjang berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di sini sejak 2 November lepas sehingga semalam.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini berkata kesalahan direkodkan berdasarkan kepada lawatan dan pemantauan yang dilakukan oleh Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

Ia meliputi 33 kesalahan pemasangan bahan kempen statik di premis awam seperti di surau, perhentian bas, sekolah, tanda arah, tiang elektrik dan balai raya, yang dibuat oleh tiga parti iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PAKATAN) dan Gerakan.

Sementara tiga kesalahan lain pula adalah berkaitan bahan kempen yang berunsur provokasi dan tidak mempunyai maklumat pencetak serta satu kesalahan lagi membabitkan pemasangan papan iklan di kawasan larangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

SPR berkata dalam tempoh sama, pihaknya turut mencatatkan sembilan laporan polis dengan enam daripadanya berkaitan kes seorang pemimpin yang didakwa memberi ucapan berbaur perkauman di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chio.

Tiga lagi laporan adalah masing-masing mengenai kejadian papan iklan milik calon Gerakan yang dijatuhkan pihak yang tidak dikenali; dakwaan bendera PH dicabut dan dipatahkan di kawasan Kebun Baru Kukup Laut dan dakwaan calon BN memberikan tender pelaksanaan Sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) secara rundingan langsung.

SPR berkata pihaknya memantau 42 ceramah atau program parti setakat semalam dan didapati tiada laporan berhubung perbuatan rasuah atau salah guna kuasa diterima oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Bersatu di Hospital Pontian pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Pada PRK ini, calon PH Karmaine Sardini berdepan pertandingan enam penjuru, melawan calon BN daripada MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Hari pengundian PRK ditetapkan pada 16 Nov ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR nafi tidak berlaku adil kepada semua parti, calon bertanding

PONTIAN, 7 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menafikan dakwaan pihaknya tidak berlaku adil kepada semua parti dan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata merujuk kepada insiden di Pasar Awam Pekan Nanas, tindakan Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) menurunkan bahan-bahan kempen adalah selaras dengan peruntukan ditetapkan.

“Terdapat satu kain rentang Parti Gerakan (ucapan perayaan Deepavali), lapan unit kain rentang Pakatan Harapan dan enam unit kain rentang tanpa pemilikan yang tiada maklumat pencetak.

“Pasukan PP-KPR telah menurunkan bahan-bahan kempen tersebut dan tindakan ini adalah selaras dengan Seksyen 11(1) (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata dalam masa sama, semua bahan kempen atau cetakan tersebut juga diikat pada pagar pasar, iaitu struktur awam di mana ia tidak dibenarkan diletakkan di tempat berkenaan sama ada melibatkan bahan pameran pilihan raya atau tidak.

Kesemua bahan kempen tersebut diturunkan dan tindakan berkenaan dipersetujui oleh wakil parti yang hadir tanpa bantahan, katanya.

“Sehubungan itu, dakwaan laporan berita pada 5 November 2019 bahawa SPR tidak berlaku adil adalah tidak benar. Setiap tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh SPR adalah berdasarkan kepada peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Menurut Azhar, dalam memastikan aktiviti kempen pada setiap pilihan raya umum atau pilian raya kecil dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang ditetapkan, SPR mewujudkan PP-KPR bagi memantau dan mengawal aktiviti calon dan parti politik sepanjang tempoh berkempen sehingga tamat hari mengundi selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Katanya bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, SPR melantik empat pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya bermula pada hari penamaan calon, 2 November lepas dan berakhir 11.59 malam, 15 November dan pasukan itu sudah mula bertugas sejak hari penamaan calon sehingga keputusan rasmi pilihan raya diumumkan.

“Keanggotaan PP-KPR sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 27C Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah terdiri daripada seorang Pegawai Penguat Kuasa (Ketua PP-KPR), seorang wakil PDRM (Polis Diraja Malaysia), seorang wakil PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) dan seorang wakil dari setiap parti atau calon yang bertanding,” katanya.

Fungsi dan bidang tugas PP-KPR berdasarkan kepada Seksyen 27E Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah merangkumi rondaan dan pemantauan aktiviti calon, menurunkan bahan kempen terlarang, memberhentikan ucapan/syarahan terlarang, mengawal dan aktiviti berkempen, kata Azhar.

Menurut Azhar, maklumat ringkas berkaitan tindakan penguatkuasaan serta statistik laporan PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ) yang dipantau oleh SPR akan dipaparkan setiap hari sepanjang tempoh berkempen dalam Facebook, Twitter dan portal SPR.

“Justeru, SPR sentiasa komited dalam memastikan setiap urusan pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil, telus dan tidak menyebelahi mana-mana pihak,” katanya.

Dua hari lepas, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dilaporkan meminta SPR supaya bertindak adil kepada semua parti dan calon yang bertanding pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

Lau dilapor berkata beliau hairan dengan tindakan SPR yang tidak membenarkan jentera partinya meletakkan gegantung di satu lokasi berhampiran pasar awam dan tepi jalan berdekatan masjid di Pekan Nanas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Srikandi Bersatu amalkan politik matang dalam PRK Tanjung Piai

PONTIAN, 7 NOV: Jentera Srikandi Bersatu mengamalkan sikap berpolitik yang matang dan tidak akan sesekali melancarkan serangan peribadi terhadap calon lawan semata-mata untuk meraih simpati pengundi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November nanti.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata pihaknya pada ketika ini hanya memfokuskan usaha untuk “menceritakan” tentang dasar-dasar dilakukan kerajaan bagi membawa kesejahteraan kepada rakyat terutama yang berada di luar bandar.

Selain itu, pihaknya juga mahu berusaha menerangkan tentang jasa Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, bekas wakil rakyat Parlimen itu kepada penduduk setempat.

“Kita (Srikandi) ceritakan apakah kebaikan yang dibawa atau pun visi dan misi kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) pada masyarakat Tanjung Piai. Itu cara kempen di peringkat Srikandi, sebab itu kita sering membuat program yang lebih menyantuni rakyat bagi mendekatkan diri dengan mereka.

“Contohnya, sekarang ini di bawah kementerian, kita bukan sahaja menekankan pembangunan infrastruktur dan fizikal malah mahu mengimbanginya dengan pembangunan sosial ekonomi dan modal insan. Kalau tidak, sampai bila pun bila dikaitkan dengan luar bandar, ia akan dikaitkan dengan kemiskinan,” kata Menteri Pembangunan Luar Bandar itu.

Beliau yang ditemui ketika bersarapan bersama penduduk setempat di Warung Abang Dol di Kampung Duku, di sini, berkata demikian sebagai mengulas tindakan sesetengah pihak yang sanggup mewujudkan akaun Facebook palsu semata-mata untuk memburuk-burukkan calon parti PAKATAN, Karmaine Sardini, 66.

Isnin lepas, Timbalan Pengerusi Amanah Johor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad mendedahkan kewujudan akaun berkenaan yang berniat untuk “merendah-rendahkan” Karmaine dengan cara yang sangat negatif.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November ini, susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid, 42, yang mewakili PAKATAN pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Karmaine berdepan dengan pertandingan enam penjuru menentang Barisan Nasional (BN), Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon bebas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengundi jangan terpengaruh berita palsu

PONTIAN, 7 NOV: Pengundi Tanjung Piai tidak seharusnya terpengaruh dengan berita palsu tetapi sebaliknya memberikan sepenuh keyakinan kepada calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, dengan menjadi lebih celik media, pengundi tidak akan dengan mudah terpengaruh dengan berita palsu, terutamanya ketika kempen pilihan raya kecil.

“Ia bergantung sama ada penduduk Tanjung Piai boleh menjadi lebih celik media dan tidak membenarkan berita palsu mempengaruhi keputusan (pilihan raya kecil),” katanya kepada pemberita selepas ‘sesi kopitiam’ di Kampung Penerok, di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian menjawab soalan sama ada penyebaran berita palsu akan menjejaskan peluang untuk Pakatan Harapan memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mengakui beliau dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah menjadi mangsa berita palsu.
 
“Kita kini berada dalam masa di mana terdapatnya banyak berita paslu. (Sebagai contoh) Di kawasan Melayu (ada orang) mengatakan Dr Mahathir adalah boneka DAP dan di kawasan Cina, mereka katakan Lim Kit Siang adalah boneka Dr Mahathir. Kami berdua bukan boneka.

“Tetapi sebenarnya ialah) kami berdua sedang memainkan peranan masing-masing demi negara ini,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November ini, susulan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang mewakili PAKATAN pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Karmaine berdepan pertandingan enam penjuru menentang BN, Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon bebas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: Pengundi atas pagar penentu kemenangan

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Kira-kira 18 peratus pengundi atas pagar akan menjadi penentu kemenangan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, kata Pengerusi Kluster Pendidikan Politik dan Demokrasi Institut Darul Ehsan (IDE), Amidi Abdul Manan.

Beliau berkata berdasarkan kajian yang dibuat institut itu, pengundi berkenaan yang merupakan golongan kali pertama dan kedua mengundi akan membuat keputusan berdasarkan keberkesanan kempen parti bertanding selain pengaruh media.

“Kelompok pengundi ini masih belum memutuskan untuk memilih mana-mana parti dan bakal membentuk keputusan sama ada akan menjadi satu pernyataan ketidakpuasan hati atau sokongan kepada kerajaan,” katanya selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Selain itu, Amidi berkata penyokong tegar yang telah membuat pilihan terhadap parti masing-masing merupakan kelompok yang besar di Tanjung Piai.

“Hasil kajian mendapati sekitar 70 peratus daripada kelompok ini telah pun membuat pilihan berkaitan dengan parti. Ini menunjukkan bahawa pengundi tegar itu tidak lari, malah jumlah pengundi tegar masih lagi sama buat Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November ini susulan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, yang mewakili PAKATAN pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Calon PAKATAN berdepan calon BN, Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon bebas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sejak Cameron Highlands, PAKATAN letak calon terbaik

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) dilihat berjaya meletakkan calon tepat untuk berdepan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru.

Ketua Penyelidik dan Felo Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata pemilihan calon tepat ini pertama kali sejak PRK Cameron Highlands pada Januari tahun ini.

Beliau turut menjelaskan kelemahan calon-calon PAKATAN dalam dua PRK lain, iaitu Semenyih dan Rantau.

Bagaimanapun, katanya BN yang meletakkan calonnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng diramal akan memberi tentangan sengit terhadap calon PAKATAN, Karmaine Sardini.

“Walaupun Umno dan PAS membawa agenda Penyatuan Ummah kedua-dua parti ini menyokong calon bukan Melayu untuk memberi mesej jelas kepada pengundi bukan Melayu.

“Konsep Malaysia Baharu sedikit sebanyak mempengaruhi Tanjung Piai kerana kebangkitan populisme dan politik. Awalnya kita menjangkakan selepas PRU14 ia akan reda, sebaliknya kian melonjak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pembentangan Khas Ilham Centre: Unjuran 7 Siri PRK dan Prediksi P165 Tanjung Piai di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) di sini semalam.

Mohd Yusri yang juga penyelidik dari Pusat Penyelidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu berkata sejak PRU 2008 dan 2013, PAKATAN dengan konsisten berjaya mengurangkan majoriti Jeck Seng, penyandang selama tempoh itu.

Dr Mohd Yusri Ibrahim. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagaimanapun katanya momentum PAKATAN melonjak naik dan berada pada titik pertemuan pada PRU14 dengan menguasai kerusi tersebut dengan majoriti 500 undi atau satu peratus dari keseluruhan undi.

“Faktor mempengaruhi keputusan itu ialah persempadanan semula kawasan Melayu dari 51 peratus meningkat kepada 57 peratus. Calon PAKATAN waktu itu Melayu manakala BN Cina. Berbanding sebelum ini DAP-MCA (Cina bertemu Cina), tetapi PRU14 (Melayu-Cina).

“Mengambil kira faktor kaum, 57 peratus ialah Melayu dan selebihnya Cina serta sedikit India,” katanya.

Berdasarkan keputusan pilihan raya lalu, calon PAKATAN Datuk Dr Md Farid Md Rafik, menang di 11 daerah mengundi sementara Jeck Seng memenangi 16 daerah mengundi.

Namun seperti beberapa PRK lalu, pengundi bukan Melayu tidak sepenuhnya pulang mengundi.

PRK di kawasan pedalaman Johor itu berlangsung pada 16 November ini susulan kematian Dr Md Farid, 42,seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Selain calon PAKATAN dan BN, PRK kali ini turut disertai empat calon lain termasuk Gerakan dan Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa).

Ilham Centre akan mendedahkan hasil kaji selidik mereka pada 14 November ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 20 akaun Facebook palsu burukkan calon PAKATAN dikesan

PONTIAN, 6 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengesan lebih 20 akaun Facebook palsu yang memburukkan calon parti itu dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor Zulkefly Ahmad berkata kewujudan akaun itu berniat untuk “merendah-rendahkan” calon PAKATAN, Karmaine Sardini, 66, dengan cara yang sangat negatif.

“Jumlah (akaun FB palsu) saya rasa banyak dan lebih 20 yang dalam pemantauan termasuk berkaitan calon kita, Haji Karmaine Sardini,” katanya kepada pemberita ketika menyertai kempen di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi Peradin di Kampung Belokok dekat sini malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri berkata pihaknya akan terus memantau keadaan ini bagi memastikan semua calon boleh berkempen secara sihat.

Pihaknya juga kata beliau, tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika didapati terdapat unsur-unsur fitnah disebarkan oleh akaun berkenaan.

“Namun sehingga kini tiada laporan rasmi diterima berhubung akaun ini dan oleh itu, kita menggalakkan rakyat atau pengamal media yang mendapat berita palsu supaya membuat laporan polis atau kepada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) secara dalam talian,” katanya. 

-BERNAMA 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: PAKATAN ada peluang menang

PUTRAJAYA, 6 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) berpeluang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, namun penyokong termasuk pemimpin perlu terus bekerja kuat dan berkempen, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya harap penduduk di sana (Tanjung Piai) sedar bahawa kemenangan PAKATAN bermakna janji boleh ditunaikan kerana kami menjadi kerajaan di peringkat Johor dan pusat.

“… kemenangan Barisan Nasional (BN) atau MCA umpamanya, kalau mereka menang pun mereka tidak boleh buat apa-apa kerana tidak dapat tukar kerajaan Johor dan pusat. Ini sesuatu yang kita harap pengundi akan mengambil kira dan memberi undi kepada PAKATAN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PAKATAN, di sini malam tadi.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November ini susulan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang mewakili PAKATAN pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

PAKATAN berdepan dengan pertandingan enam penjuru menentang BN, Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon bebas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Serangan peribadi bukan cara saya – Karmaine

PONTIAN, 5 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak sekali-kali akan menggunakan strategi ‘serangan peribadi’ dalam kempen, hanya kerana mahu memenangi hati rakyat dan mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen itu.

Meskipun menjadi mangsa ‘serangan peribadi’ oleh pembangkang, calon PAKATAN Karmaine Sardini, 66, bertekad tidak akan berbuat demikian, sebaliknya memastikan kempen beliau menjanjikan satu ‘pertandingan yang sihat’.

Tidak sampai dua jam selepas diumumkan menjadi calon PH, Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai itu bukan sahaja diperli sebagai ‘calon tua’, malah Diploma Lanjutan dalam Senibina yang diterima beliau dari Institut Teknologi Mara pada tahun 80-an turut dituduh palsu.

“Bila diserang mengenai kelulusan saya, banyak kawan yang membela saya, termasuk bekas bos saya sendiri. Yang perlu buktikan bukan saya tetapi orang yang menuduh itu.

“Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Roslin Husin sendiri turut keluarkan kenyataan dan mengesahkan saya pernah bekerja di bawahnya sebagai arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pada ketika itu dia Ketua Pengarah. Jadi bila isu ini terjawab, dah tak keluar lagi (dakwaan sebegitu),” kata beliau dalam satu temuramah bersama Bernama, di sini.

Bagi beliau, seorang ahli politik kena bersifat terbuka dan matang, serta tidak cepat melatah dengan sebarang ‘serangan peribadi’.

Yang paling penting, beliau sendiri tidak akan menggunakan strategi yang sama untuk melawan lawannya.

“Saya tak pernah selidik (latar belakang) mereka (calon-calon lain),” katanya.

Ditanya mengenai strategi PAKATAN untuk menawan 17 daripada 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang gagal ditawan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU), Karmaine berkata penting untuk berjumpa dengan semua pengundi bagi menjelaskan PAKATAN adalah parti yang memerintah.

“Usaha kita sedang lakukan untuk mengekalkan kawasan yang kita menang..dalam masa yang sama berusaha untuk menawan pengundi-pengundi di 17 PDM yang lain..jadi kita akan berjumpa dengan semua pengundi dalam masa kempen ini,” kata beliau.

Karmaine menghadapi pertandingan enam penjuru melawan calon Barisan Nasional daripada MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, selain calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pengundian bagi PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir akan turun berkempen PRK Tanjung Piai

BANGKOK, 4 NOV: Kem Pakatan Harapan (PAKATAN) di kawasan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai akan menerima suntikan semangat baharu tidak lama lagi, susulan persetujuan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir untuk turun berkempen bagi calonnya, Karmaine Sardini.

“Saya akan (turun berkempen)… sekurang-kurangnya sekali,” kata Dr Mahathir yang juga adalah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dalam persidangan media di sini sempena Sidang Kemuncak Asean ke-35 bersama media Malaysia hari ini.

PRK kerusi parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon bebas iaitu pengasas pusat tuisyen, Dr Ang Chuan Lock; dan seorang ahloi perniagaan, Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Ia diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung. Pada PRU14, Allahyarham Md Farid menang dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

PAKATAN dalam usaha mempertahankan kerusi parlimen itu meletakkan Karmaine yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, sebagai calonnya, manakala BN meletakkan bekas penyandang, Wee.

Sementara itu merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi untuk tidak mengenakan apa-apa sekatan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak susulan ketidakhadiran beliau di perbicaraan mahkamah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Khamis lepas, Dr Mahathir berkata beliau tidak akan mempersoalkan keputusan hakim berkenaan.

“Dia (Najib) diberi cuti dan tidak hadir di mahkamah, tapi dia boleh bekempen di Tanjung Piai… kita tidak mempersoalkan para hakim, mereka (hakim) yang memutuskan,” katanya.

Khamis lepas Najib tidak menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mendapat cuti sakit (MC) hadir di perbicaraan ekoran matanya yang bengkak, namun beliau dilihat berada di Johor pada sebelah malamnya, dikatakan untuk menghadiri majlis penamaan calon PRK berkenaan pada hari berikutnya.

-BERNAMA