Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerjasama UMNO-MCA-PAS hipokrit – Dr Mahathir

PONTIAN, 14 NOV: Kerjasama MCA dan PAS, dengan UMNO memainkan peranan sebagai orang tengah, yang dilihat semakin terjalin baru-baru ini adalah tidak ikhlas serta hipokrit dan hanya dilakukan untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pemimpin pembangkang daripada MCA mahupun PAS sentiasa bertindak lain daripada apa yang dicakapkan terutama dalam isu kerjasama kedua-dua parti.

“Tidak ikhlas. Hipokrit. Di depan (orang Melayu) konon (mereka) pejuang Melayu, bila mai (datang) sini (Tanjung Piai) (sokong) bukan Melayu …kira kepentingan untuk menang pilihan raya,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) itu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi sarapan pagi bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) Tanjung Piai di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Presiden PAKATAN Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor merangkap Pengarah Jentera PAKATAN bagi PRK Parlimen Tanjung Piai Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Perdana menteri ditanya mengenai kerjasama MCA-PAS melalui orang tengah mereka, UMNO yang dilihat agak pelik kerana sebelum ini MCA dan PAS tiada persefahaman dan tidak bersetuju dalam banyak perkara terutama berkaitan Islam dan Melayu.

Malah, PAS telah menyatakan sokongan kepada MCA untuk bertanding pada PRK Parlimen Tanjung Piai dan turut membantu kempen MCA.

Justeru, Dr Mahathir berkata rakyat dan pengundi dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai seharusnya lebih bijak dengan menilai perjuangan Pakatan Harapan demi keperluan negara.

“Walaupun ada isu orang Cina, ada isu orang Melayu, ada isu orang India, tapi apabila kita tumpu kepada keperluan negara kita, kita ketepikan perkara itu.

“Kita cari jalan untuk selesaikan pertikaian itu kerana kita tahu di Malaysia kita tak boleh layan sama rata semua orang. Apabila kita dapati semua bersatu hati dan menerima kerajaan campuran, negara kita akan maju,” katanya.

Pada PRK ini, calon PAKATAN Karmaine Sardini berdepan cabaran calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam, Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pengundian PRK itu ditetapkan Sabtu ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN yakin menang besar di Tanjung Piai

JOHOR BAHRU, 12 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) yakin boleh memenangi kerusi parlimen Tanjung Piai sekali gus meraih majoriti lebih besar ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini berbanding kemenangan ketika Pilihan Raya Umum ke-14.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata keyakinan itu adalah berdasarkan kepada kaji selidik yang dilakukan di kawasan parlimen berkenaan.

Beliau berkata jentera PAKATAN juga sudah turun membuat program dari rumah ke rumah serta ceramah secara kecil-kecilan, supaya dapat menyentuh hati serta mendekati rakyat.

“Kita harap (boleh dapat) lebih (majoriti) sebab kita sekarang adalah kerajaan. Setakat ini, kempen terus berjalan dengan agresif dan kita ingin pastikan masyarakat di bawah sana, orang-orang kampung tahu bahawa pentingnya dan perlunya mereka sokong kerajaan sekarang.

“Semalam pun ada ceramah mega di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PRK) dan pimpinan parti yang datang, saya lihat mendapat sambutan dan respons yang sangat positif jadi berdasarkan kaji selidik terkini, Insyaallah saya cukup yakin kerajaan PAKATAN dapat kekalkan kerusi di Tanjung Piai,” kata Dr Sahruddin, yang juga Pengarah Jentera PAKATAN bagi PRK Tanjung Piai, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keyakinan PAKATAN untuk memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti besar.

Pada PRU lepas, penyandang kerusi berkenaan Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 524 undi mengalahkan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-MCA) serta Nordin Othman (Pas-Berjasa).

Dr Sahruddin berkata demikian kepada pemberita selepas temubual khas Seleksi Konti Radio RTM sempena Pra-Belanjawan Johor 2020 di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Johor berkata kerajaan negeri akan sentiasa berusaha menyelesaikan masalah-masalah dan isu yang timbul demi kesejahteraan masyarakat di kawasan terbabit.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih di atas usaha dan bantuan yang diberikan pucuk pimpinan parti dan kerajaan yang bersama-sama untuk memastikan kemenangan PAKATAN di Tanjung Piai.

Ketika ditanya dakwaan mengenai masyarakat India terpinggir ketika kempen PRK kali ini, beliau menafikan kenyataan itu, sebaliknya menjelaskan telah melantik dua pegawai khas berbangsa India untuk menjaga kepentingan kaum itu di negeri ini.

Pelantikan mereka sekali gus menunjukkan kerajaan negeri mengambil berat mengenai kepentingan kaum India di Johor.

Dr Sahruddin turut menambah kombinasi exco dan pegawainya yang berbilang kaum disifatkan sebagai terdiri daripada cina dan india merupakan kombinasi terbaik.

“Kita tidak mahu seseorang hanya fokus sesuatu tempat sebagai contoh saya di Bukit Kepong, jadi saya fokus Bukit Kepong sahaja. Exco dan pegawai saya hendaklah fokus kepada seluruh negeri Johor, jadi tidak ada isu yang mengatakan masyarakat India tertinggal,” kata beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

82 peratus selesai undi awal setakat 1 tengah hari

PONTIAN, 12 NOV: Pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang berlangsung hari ini merekodkan jumlah peratusan pergi mengundi sebanyak 82 peratus daripada 280 pengundi yang layak mengundi, setakat pukul 1 tengah hari ini.

Pengundian dijalankan di Bangunan Perkep, Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian (IPD) di sini bermula pukul 8 pagi dan dijangka tamat pukul 5 petang ini.

Sebanyak dua saluran iaitu bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup dan Pekan Nanas telah pun dibuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan 280 anggota dan pegawai polis menunaikan tanggungjawab mereka.

Namun satu daripada saluran itu iaitu DUN Pekan Nanas telah pun ditutup secara rasmi pada pukul 1 tengah hari manakala sebuah lagi saluran iaitu DUN Kukup masih berlangsung proses pengundian.

Mengikut pecahan, 210 pegawai dan anggota polis bertugas di kawasan DUN Kukup, manakala 18 orang bertugas di kawasan DUN Pekan Nanas.

Seramai 38 orang pula bertugas di luar daerah dan 14 telah pun bersara.

Terdahulu, tinjauan Bernama di lokasi, mendapati cuaca yang baik membantu proses pengundian berjalan lancar dengan 10 pegawai dan anggota polis dari IPD Pontian turut ditugaskan untuk menjaga keselamatan.

Proses pengundian turut memperlihatkan kehadiran anggota pemerhati SPR dan ejen setiap calon.

Beberapa orang calon yang bertanding dalam pilihan raya itu juga dilihat melawat pusat pengundian berkenaan dengan yang terawal tiba ialah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pada pukul 7.56 pagi.

Ini diikuti calon Gerakan Wendy Subramaniam yang tiba pukul 8.03 pagi, calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini pada 8.20 pagi, calon Bebas Faridah Aryani Abd Ghaffar pada 10.10 pagi dan calon Berjasa Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (10.15 pagi). Seorang lagi calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock masih tidak kelihatan kelibatnya melawat pusat berkenaan.

PRK Tanjung Piai adalah PRK kesembilan diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos tahun lepas.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung. Pengundian dijalankan Sabtu ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Calon PRK Tanjung Piai tinjau pengundian awal

PONTIAN, 12 NOV: Calon-calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini meninjau sendiri proses pengundian awal bagi PRK itu yang dijalankan di Bangunan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini.

Paling awal adalah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang tiba sebelum pusat pengundian itu dibuka pada 8 pagi, diikuti calon-calon lain iaitu Wendy Subramaniam (Gerakan), Karmaine Sardini daripada Pakatan Harapan (PH), Faridah Aryani Abd Ghaffar (Bebas) dan Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz daripada Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa).

Seorang lagi calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock tidak kelihatan sehingga 11 pagi.

Calon-calon yang ditemui masing-masing berharap semua anggota Polis yang layak untuk mengundi awal itu dapat hadir menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

“Sewajarnya anggota-anggota polis yang terlibat untuk mengundi awal hari ini, turun menunaikan kewajipan dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dan rakyat,” kata Karmaine

Calon Gerakan Wendy Subramaniam pula meluangkan masa selama 20 minit untuk melihat proses pengundian awal itu dengan melawat kedua-dua saluran iaitu saluran satu bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas dan saluran dua bagi DUN Kukup.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mustafa Bakri Salleh ketika ditemui pemberita berharap agar proses undi awal itu berjalan dengan lancar.

“Semua pegawai dan anggota saya telah bersiap sedia utk mengundi awal bagi PRK Parlimen Tanjung Piai dan kita harap sepanjang hari ini daripada 8 pagi hingga 5 petang berjalan dengan lancar dan harap semua pengundi awal turun untuk mengundi,” katanya..

Bagi memastikan proses undi awal itu berjalan dengan lancar, Mustafa berkata seramai 10 pegawai dan anggota polis daripada IPD Pontian ditugaskan untuk menjaga keselamatan serta mengawal proses undi awal bagi PRK tersebut.

Berdasarkan tinjauan Bernama di lokasi, proses mengundi awal berjalan lancar dan cuaca berada dalam keadaan baik.

PRK tersebut diadakan susulan kematian wakil rakyatnya iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai 52,986 pengundi terdiri daripada 52,698 orang pengundi biasa, 280 pengundi awal (pegawai dan anggota polis), serta lapan orang pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara. Hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bersatu yakin menang PRK Tanjung Piai – Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 11 NOV: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin akan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dengan terdapat petanda ramai pengundi yang dahulu menyokong Barisan Nasional (BN) kini menyokong Pakatan Harapan (PAKATAN), kata Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita sedar tentang masalah di situ (Tanjung Piai), kita percaya kita dapat mengatasi masalah (di situ),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata masih ada penduduk Tanjung Piai yang menganggap beliau masih Presiden UMNO.

“Yang ni kita kena hadap. Saya bukan presiden UMNO lagi. Saya ni Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri PAKATAN.

“Saya akan turun berkempen pada Rabu ini (13 Nov) dan harap pada masa itu mereka tidak anggap saya presiden UMNO lagi,” katanya.

Ditanya adakah kehadirannya untuk berkempen di Tanjung Piai boleh menarik orang ramai untuk mendengar ceramah PAKATAN memandangkan pada masa ini, ceramah MCA dilihat lebih diterima masyarakat di sana, Dr Mahathir berkata: “Saya tidak tahu, kita lihat saja hari selepas esok.”

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November ini susulan kematian Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PAKATAN pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Calon PAKATAN Karmaine Sardini berdepan saingan calon Barisan Nasional (BN), Gerakan, Berjasa dan dua calon bebas.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata jumlah keahlian Bersatu di seluruh negara semakin meningkat dan mencecah kira-kira 500,000 orang dengan keahlian paling tinggi direkodkan di Sabah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tak perlu undi pembangkang untuk buat kerajaan ‘mendengar’

PONTIAN, 11 NOV: Rakyat tidak perlu untuk mengundi pembangkang pada Pililhan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai 16 November ini, hanya untuk memastikan kerajaan “mendengar” rintihan mereka, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Meskipun mengakui PRK Tanjung Piai adalah satu pertandingan sengit, beliau yakin dengan kewibawaan calon Pakatan Harapan (PAKATAN) Karmaine Sardini dan telah mengarahkan jentera PKR untuk beri sokongan sekuatnya kepada Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai itu.

“Ketika mendengar taklimat pimpinan Keadilan (PKR) mengenai proses undian di Tanjung Piai. Mereka beri maklumat tentang keluhan yang banyak daripada rakyat mengenai beberapa isu.

“Jadi kita dengar dan saya merasakan tak perlu kita (rakyat) undi pembangkang… kerana kita (kerajaan) dengar… keluhan mereka (daripada isu) petani, nelayan, pekebun kecil, pengangguran daripada kalangan pelajar, kemudahan kesihatan dan pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas sesi sembang santai di Pejabat PKR Cabang Tanjung Piai di sini, hari ini.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut memberi contoh bagaimana kerajaan “mendengar” dengan kehadiran beberapa pemimpin PAKATAN termasuk Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal serta beberapa menteri, yang hadir pada majlis melibatkan Karmaine.

Ketika ditanya mengenai kurangnya kehadiran masyarakat pada ceramah PAKATAN ketika kempen, beliau berkata perkara itu memang biasa di setiap kempen pilihan raya.

“Itu biasa. Orang nak dengar… Anwar sebagai Ketua Pembangkang dan Anwar sebagai PAKATAN sekarang, tak sama. Isu yang sama, tapi nadanya lain,” kata beliau sambil tersenyum.

Beliau turut menjelaskan “kehadiran” masyarakat setempat menunjukkan mereka mahu mendengar isu yang disampaikan.

“Contest pilihan raya ini bukan contest ceramah tetapi contest isi dan contest meraih sokongan,” kata Anwar.

Ketika ditanya lebih lanjut samada kehadiran itu akan diterjemahkan ke dalam undi, beliau berkata: “jika anda perhatikan corak pilihan raya yang lepas, saya menghimpunkan sokongan penuh di semua dewan undangan yang saya kunjungi tetapi kita tidak menang semua kerusi berkenaan”.

“Tetapi sekiranya anda mengukur hanya dengan nombor, sudah tentu kita boleh menang tetapi itu tidak perlu,” katanya.

Yang turut hadir ialah Dr Sahruddin, yang juga pengarah jentera pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai bagi PH serta beberapa pemimpin PKR Johor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahathir seru masyarakat Tanjung Piai datang ceramah mega PAKATAN

PONTIAN, 11 NOV: Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa pengundi dan penduduk dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai untuk hadir satu ceramah mega di sini bersempena dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu, Rabu ini.

Dalam satu video ringkas, beliau menggunakan strategi tersebut supaya pengundi menghadiri ceramah mega PAKATAN yang dijadual diadakan di tapak Terminal Bas Kukup Laut, yang bertujuan mendekati masyarakat setempat.

“Saya ingin jemput semua pengundi Tanjung Piai untuk hadir ceramah mega Pakatan Harapan Rabu ini 13 November jam 8 malam. Jemput hadir beramai-ramai,” kata perdana menteri dalam satu video berdurasi 22 saat yang diterima pengamal media yang berkampung di sekitar Tanjung Piai hari ini.

Di akhir video tersebut, tertera poster beliau dan maklumat berkaitan ceramah tersebut dan dijangkakan kepimpinan tertinggi PH akan hadir bersama calon mereka, Karmaine Sardini.

Dr Mahathir merupakan antara pemimpin kanan PAKATAN yang dijangka hadir pada ceramah mega itu.

PRK itu menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon PH Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mewakil Barisan Nasional, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas. Pengundian akan dijalan Sabtu ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada salahnya Chin Tong bantu Karmaine – Guan Eng

GEORGE TOWN, 11 NOV: Tiada salahnya bagi Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong membantu calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai Karmaine Sardini untuk berkomunikasi dengan komuniti Cina dalam kawasan pilihan raya itu, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Kami semua berada dalam gabungan PAKATAN dan kami mahu membantu satu sama lain, jadi kami menawarkan bantuan itu, untuk menunjukkan bahawa kami (dianggotai) berbilang kaum. Saya tidak nampak di mana salahnya, kami saling membantu sebagai sebahagian daripada sebuah pasukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Teknikal Tahunan CATA ke-40 di sini hari ini.

Beliau menegaskan Chin Tong tidak diberikan jawatan rasmi, sebaliknya hanya untuk menyokong Karmaine.

Guan Eng berkata demikian ketika diminta mengulas tentang dakwaan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bahawa pelantikan Chin Tong mencerminkan ketidakupayaan calon PAKATAN untuk menjaga kebajikan masyarakat daripada pelbagai kaum.

Menteri Kewangan berkata memandangkan Chin Tong juga dari Johor, sememangnya bertepatan bagi beliau menawarkan diri untuk membantu Karmaine semasa kempen pilihan raya kecil itu.

“Kami berada dalam gabungan yang sama, jadi kami mahu membantu satu sama lain. Jika ada sesiapa yang menawar diri untuk membantu dalam kawasan pilihan raya saya, saya juga sedia menerimanya,” katanya, dan menambah, beliau akan turut membantu jika diperlukan.

PRK Tanjung Piai pada 16 November ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine (PAKATAN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Barisan Nasional), Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah) dan dua calon bebas iaitu pengasas pusat tuisyen Dr Ang Chuan Lock, serta ahli perniagaan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: Polis terima 28 laporan

PONTIAN, 11 NOV: Polis telah menerima sebanyak 28 laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, bermula dari hari penamaan calon pada 2 November lepas sehingga pagi tadi.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata daripada jumlah itu, pihak polis telah membuka tiga kertas siasatan.

Katanya satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 membabitkan kenyataan seorang pemimpin yang berunsur hasutan ketika memberi ceramah baru-baru ini, manakala selebihnya mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, dalam kes yang dilaporkan, kita belum ada buat sebarang tangkapan, cuma kita telah pun mengambil keterangan saksi-saksi yang terlibat.

“…dan lagi dua masih dalam siasatan antaranya yang melibatkan papan iklan (parti bertanding) tumbang…kita telah siasat dan kita dapati tiada unsur jenayah,” katanya dalam sidang media khas bagi PRK itu, di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, satu kes telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut berhubung laporan mengaitkan seorang calon PRK itu.

Satu lagi kes dirujuk ke Jabatan Peguam Negara berhubung kenyataan seorang presiden parti, tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 447 permit kempen politik telah dikeluarkan oleh polis bagi PRK tersebut iaitu 75 permit dikeluarkan untuk Pakatan Harapan (PAKATAN), BN sebanyak 264, Gerakan (99), Berjasa (4) dan Bebas (5).

Mohd Kamarudin turut mengingatkan semua parti politik agar mematuhi setiap peraturan sepanjang tempoh berkempen termasuklah membuat permohonan permit bagi tujuan berkempen.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berharap proses hari mengundi awal membabitkan seramai 280 pegawai dan anggota polis berjalan lancar esok.

PRK itu menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon PH Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mewakil BN, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis terima 24 laporan, tiga kertas siasatan dibuka

JOHOR BAHRU, 10 NOV: Polis Diraja Malaysia (PRDM) menerima 24 laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din bagaimanapun berkata sehingga kini hanya tiga yang dibuka kertas siasatan.

Beliau berkata antara kes yang dibuka kertas siasatan termasuk kes bendera parti yang dilaporkan telah dicabut di sekitar Kampung Baru Permas dan kes berkaitan kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai kes basikal lajak, katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena Majlis Perhimpunan Bulanan PDRM Johor, di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, dua kes daripadanya telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

Dalam perkembangan sama, Mohd Kamarudin berkata pihaknya menjangkakan kempen pilihan raya menjadi semakin agresif menjelang hari pengundian pada 16 November nanti.

“Kita tidak mahu kempen seperti melakukan provokasi antara satu sama lain yang boleh mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.

Kita harapkan proses kempen yang menggunakan kenderaan mendapatkan permit dari pihak polis supaya kerja-kerja pemantauan mudah dilakukan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut berkata, PDRM menyediakan 3,050 anggota yang akan bertugas sekiranya berlaku bencana banjir.

Sebanyak 226 anggota dari semua jabatan IPK di negeri terlibat dalam perhimpunan bulanan ini dan sebanyak 82 telah menerima surat penghargaan sebagai petugas cemerlang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN berdepan cabaran hebat PRK Tanjung Piai jika…

JEMPOL, 9 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) berdepan cabaran hebat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai jika rakyat menilai prestasi semasa pakatan itu dalam mentadbir kerajaan selama lebih setahun, kata Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata bagaimanapun jika rakyat dapat memahami betapa sukarnya kerajaan hari ini mengendali dan mengemudi pentadbiran sekarang, mereka (rakyat) akan memberikan sokongan.

“Kita akui memang ada cabaran, sebab orang (rakyat) ukur kita bukan berbanding dengan yang lama (kerajaan terdahulu), kalau berbanding yang lama kita akan menang, tetapi mereka (rakyat) ukur kita setelah satu tahun setengah kita perintah.

“Tetapi saya yakin Insya Allah jika mereka dapat fahami betapa sukarnya kita mengendalikan dan mengemudi pentadbiran hari ini, mereka akan beri sokongan,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi KEADILAN Negeri yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzi dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan dan kepimpinan keseluruhannya tidak boleh mengharapkan dokongan rakyat terus menerus sekiranya tidak dapat menjana pertumbuhan ekonomi secara positif dan tidak dapat agihkan kekayaan itu kepada rakyat.

Justeru katanya tugas jentera pilihan raya bagi PRK Parlimen Tanjung Piai haruslah memberi penjelasan kepada rakyat apa yang kerajaan hari ini warisi dari kerajaan terdahulu dan apakah langkah yang telah kerajaan ambil untuk mengatasinya.

“Kadang-kadang maklumat itu tidak sampai, jadi itulah tugas kita untuk sampaikan agar rakyat dapat gambaran sebenar kepimpinan kerajaan hari ini,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Bersatu di Hospital Pontian pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Berhubung konvensyen hari ini, Anwar menegaskan parti itu perlu kembali berbicara soal rakyat, masalah kemiskinan, di samping membantu kerajaan dalam menjana pertumbuhan ekonomi.

“Saya mahu ahli-ahli jangan lupa terutamanya bila kita tubuh kerajaan kita sibuk dengan jawatan, perebutan, pengaruh kuasa…kita mesti ingat parti ditegakkan untuk jaga kepentingan rakyat,” katanya.

Konvensyen sehari itu disertai kira-kira 800 ahli KEADILAN dari seluruh Negeri Sembilan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: Lima hari terakhir bakal saksi perubahan pengundi

PONTIAN, 9 NOV: Lima hari terakhir kempen menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November ini dijangka menyaksikan perubahan besar dari segi sikap pengundi di kawasan parlimen itu, sekali gus menjadi penentu kejayaan kepada parti yang bertanding.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata meskipun ada cakap-cakap menyatakan Barisan Nasional (BN) boleh memenangi kerusi parlimen itu, ia tidak boleh dinilai melalui kehadiran kepada ceramah semata-mata.

Sebaliknya, PAKATAN ada cara tersendiri untuk menilai sokongan rakyat kepada pakatan berkenaan, kata beliau.

“Semua rakan dalam PAKATAN yang bekerja, mereka tahu…situasi agak dinamik. Dalam mana-mana pilihan raya, makin hampir dengan tarikh nak mengundi, situasi bertambah lebih dinamik.

“Hari ni begini, pagi lain, petang lain, malam lain. Lima hari yang terakhir ni akan beri satu impak besar dari segi perubahan sikap pengundi terhadap parti yang bertanding,” kata Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perjalanan kempen BN yang didakwa lebih positif.

Justeru itu, beliau berharap dengan penglibatan pimpinan tertinggi PAKATAN termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang bakal turun padang, akan dapat memberi ruang dan peluang untuk semua pemimpin menjelaskan secara terperinci mengenai hal berkaitan kerajaan PAKATAN termasuk di peringkat negeri.

“Jadi ini boleh meyakinkan pengundi tentang apa yang kita akan lakukan untuk tempoh yang akan datang,” kata Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto BERNAMA

PRK Tanjung Piai menyaksikan calon PAKATAN, Karmaine Sardini menerima tentangan calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Ketika ditanya mengenai dakwaan masih ada jarak antara pegawai kerajaan dan kerajaan PAKATAN, Muhyiddin mengakui perkara itu masih wujud memandangkan kerajaan PAKATAN baru memerintah selama setahun setengah dan memerlukan masa.

“Kita mengambil alih sebuah kerajaan yang mana telah terbentuk terbentuk di bawah BN selama 61 tahun. Dalam sistem kerajaan, ada pegawai kerajaan dalam jabatan awam dan mereka ini agak sudah biasa dengan dasar yang diamalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Jadi sebab itu, inilah perkara yang sedang kita uruskan supaya mereka faham dasar kerajaan PH. (Bagaimanapun) Mereka harus komited, kerana yang diamalkan dalam sistem demokrasi ini, pegawai kerajaan mesti taat pada kerajaan semasa.

“Tugas pegawai kerajaan adalah menguruskan pentadbiran kerajaan. Adalah tidak adil, kalau mereka telah diberi tanggungjawab itu tetapi tidak menyempurnakan,” katanya.

Justeru itu, Muhyiddin berharap agar ia dapat diselesaikan segera, sekali gus membantu kepada proses pelaksanaan dasar yang lebih berkesan.

“Yang penting bagaimana anggota pentadbiran atau pegawai kerajaan segera mewujudkan jalinan kerjasama. Saya fikir pimpinan kerajaan PH biasa bersikap terbuka,” kata beliau.

-BERNAMA