Categories
SELANGOR

Hujan di Balakong, peratusan keluar undi masih rendah

OLEH NADIAH ZAMLUS

BALAKONG, 8 SEPT: Cuaca hujan secara tiba-tiba sejak jam 12 tengahari tadi antara faktor mendorong peratusan keluar mengundi, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong masih rendah.

Salah seorang pengundi, Ng Tian Nee berkata, ekoran keadaan cuaca itu, dia tidak dapat membawa ibunya keluar mengundi.

“Ibu saya tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda, disebabkan mudah jatuh sakit, saya terpaksa mengelakkanya daripada terkena hujan.

“Memang dia agak sedih kerana tidak dapat mengundi tetapi apakan daya, demi kesihatannya dia terpaksa berkorban,” katanya.

Melalui ramalan kaji cuaca, SelangorKini mendapati hujan beserta ribut petir dijangka berlaku sehingga jam 5 petang nanti.

Pada jam 10 pagi, peratusan keluar mengundi di DUN Balakong ialah 15 peratus sebelum meningkat kepada 25 peratus, pada jam 12 tengahari.

Namun sehingga jam 1 petang, kenaikan peratusan mengundi hanya tiga peratus sahaja.

Kini, kurang dua jam lagi pusat mengundi akan ditutup, namun peratusan keluar mengundi hanya pada kadar 31 peratus sahaja.

Categories
SELANGOR

Jabatan Penerangan Selangor ronda ‘rayu’ pengundi keluar

OLEH NADIAH ZAMLUS

BALAKONG, 8 SEPT: Jabatan Penerangan Selangor melalui unit hebahannya membuat rondaan siaraya sejak 4 September lalu bagi meningkatkan jumlah pengundi sempena pilihan raya kecil kali ini.

Pegawai Penerangan Daerah Hulu Langat, Hafizan Hamzah berkata, hal itu kerana pihaknya mahu pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia lebih peka untuk keluar mengundi.

“Sehingga hari mengundi, kami tetap membuat rondaan siaraya menggunakan kenderaan jabatan dan dijangkakan akan tamat sebelum jam 4 petang nanti.

“Antara lokasi yang sudah dironda termasuk Kampung Baharu Balakong, Bandar Tun Hussein Onn, Sunga Chua dan Sungai Balak,” katanya kepada SelangorKini.

Sehingga jam 1 petang tadi, statistik keluar mengundi yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Balakong ialah 28 peratus, sementara Seri Setia 31 peratus.

 

Categories
SELANGOR

SPR mudahkan urusan mengundi

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 8 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya menyediakan kemudahan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan wanita mengandung membuang undi di aras bawah khususnya di pusat mengundi membabitkan tingkat atas bangunan.

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, langkah itu diambil bagi memudahkan urusan dengan persetujuan bersama ejen pengundian.

“Setakat ini semuanya berjalan lancar dan berjaya dikawal Ketua Tempat Mengundi (KTM).

“Sebagai contoh orang muda yang ada masalah kesihatan, kita bawa kertas undi ke bawah dengan persetujuan ejen, jadi mereka tidak perlu naik ke atas,” katanya kepada media selepas meninjau perkembangan proses pembuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Seaport.

Sejak jam 8.30 pagi, beliau melawat pusat mengundi di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Subang dan Dewan D’ Kelana.

Dalam sidang media sama, Othman turut menyeru orang awam menunaikan tanggungjawab mengundi memandangkan tempoh masa diperuntukkan kurang dari empat jam.

Ini kerana sehingga jam 1 tengahari, statistik keluar mengundi bagi N.27 Balakong hanya sekitar 28 peratus ,manakala N.32 Seri Setia 31 peratus.

Categories
SELANGOR

Siew Ki: “Saya yakin menang. Jika tidak, saya tak bertanding”

OLEH NADIAH ZAMLUS

BALAKONG, 8 SEPT: Calon DAP, Wong Siew Ki, dengan yakin menyatakan beliau akan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, hari ini.

Siew Ki berkata, beliau tidak akan berani untuk bertanding jika mengetahui dirinya akan kalah di tangan Calon MCA, Tan Chee Teong.

“Ada yang bertanya sejauh mana keyakinan saya untuk menang. Jika saya kata menang, orang akan kata sombong, tetapi saya perlu kata yang Pakatan Harapan (PAKATAN) akan menang lagi kali ini.

“Jika saya tidak berani menyatakan kemenangan, awal-awal lagi saya akan ‘cabut’.

“Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan berterusan kepada saya,” katanya ketika membuat tinjauan proses mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Batu 11, Cheras, hari ini.

Siew Ki berkata, dia turut berpuas hati dengan kelancaran proses mengundi yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Sekarang tanggungjawab hanya terserah pada pengundi sahaja. Tolonglah keluar untuk mengundi kerana ini adalah tanggungjawab pada negara,” katanya.

Categories
SELANGOR

Peratusan rendah, SPR tak puas hati

OLEH NADIAH ZAMLUS

BALAKONG, 8 SEPT: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong sehingga jam 10 tadi didapati hanya pada kadar 15 peratus.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato’ Mohamed Elias Abu Bakar berkata, pihaknya mahu pengundi yang berdaftar keluar seramai mungkin bagi membolehkan peratusan terbabit terus meningkat.

“Jika ditanya pada SPR berhubung peratusan keluar mengundi hingga jam 10 tadi. Sememangnya kami tidak berpuas hati, tetapi pusat pengundiaan baru dua jam dibuka, maka kita masih tidak boleh buat kesimpulan awal.

“Disebabkan itu, saya menyeru kepada pengundi supaya turun segera untuk menunaikan tanggungjawab,” katanya ketika membuat tinjauan proses pengundi, di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tun Hussien Onn 2, Cheras, pagi ini.

Selain pusat berkenaan, Mohamed Elias turut melawat Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Balakong, Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perimbun dan SMK Cheras Perdana.

Pada masa sama, beliau turut berpuas hati dengan proses pengundiaan yang berjalan lancar di semua pusat mengundi, hari ini.

“Saya juga melihat pengundi sudah membuat semakan awal sebelum ke saluran masing-masing. Jadi, ia membolehkan proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang kesesakan.

“Sekali lagi saya nasihatkan kepada pengundi, keluarlah mengundi dengan segera,” katanya.

Categories
SELANGOR

Hukum parti sebantal dengan perasuah dan perompak

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 8 SEPT: Kerjasama politik antara PAS dan Umno menyebabkan parti itu gagal membuat pertimbangan tepat apabila sanggup memberi sokongan kepada pihak yang terbabit dengan rasuah serta merompak kekayaan negara.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, menggesa pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menghukum PAS kerana sanggup menyokong parti perasuah dan perompak.

“Berapa ramai golongan berpendapatan kecil, kos hidup naik dan kos pendidikan naik. Halimah tak nampak, sedangkan bulan terang benderang tetapi tak nampak sebab bantalnya sama, tilamnya sama, katilnya sama.

“Saya nak isytiharkan malam ini di hadapan rakyat Seri Setia, ayuh pertahankan prinsip mana-mana individu, kelompok, parti yang menyokong perasuah dan perompak mereka perlu dihukum. Kebumikan parti ini di DUN Seri Setia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Grand Finale Pakatan Harapan (PAKATAN) PRK DUN Seri Setia, di sini, malam tadi.

Mohamed Azmin berkata, calon PAS, Dr Halimah Ali, sekali lagi melakukan kesilapan apabila memberi sokongan kepada pihak yang menyebabkan kehidupan rakyat terbeban ekoran pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan.

Ketika menyentuh pemilihan Halimey Abu Bakar sebagai calon PAKATAN, Mohamed Azmin menegaskan, beliau seorang anak muda yang sangat layak mewakili penduduk Seri Setia.

Katanya, selain sudah berkhidmat sebagai Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya selama hampir 10 tahun, namun ibu bapanya juga seorang yang sangat dihormati.

“Kita ada anak muda yang bukan satu dua hari kita kenal. Buat apa nak pilih orang yang baru 21 hari baru nak perkenalkan diri di sini, sedangkan kita ada anak muda yang dah dua dekad berjuang, di sini,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Selamat mengundi dengan penuh amanah dan berhemah

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 8 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, mengucapkan mengundi buat warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan DUN Balakong yang menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK), hari ini.

Ucapan itu dimuat naik menerusi cicipan di laman Twitter @AmirudinShari.

Beliau turut mengingatkan pengundi supaya keluar awal serta mengundi dengan penuh berhemah

“Laksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berhemah.

“Keluarlah mengundi awal pagi supaya dapat mengelakkan kelewatan akibat kesesakan dan cuaca buruk, pada waktu petang,” katanya.

Sehingga jam 9 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan statistik keluar mengundi bagi N.27 Balakong sekitar sembilan peratus, manakala N.32 Seri Setia pula 12 peratus.

Categories
SELANGOR

DAP yakin menang di Balakong

OLEH NADIAH ZAMLUS

BALAKONG, 8 SEPT: DAP Selangor melahirkan keyakinannya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, kali ini.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Dato’ Teng Chang Khim berkata, keyakinan itu disebabkan rekod cemerlang yang dikekalkan partinya sepanjang memegang kerusi DUN terbabit.

“Paling penting, saya harap pengundi terus turun padang dan manfaatkan peluang yang diberikan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, mendiang Eddie Ng Tien Chee mengekalkan kerusi Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon Barisan Nasional dan PAS dengan majoriti 35,538 undi.

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Halimey selesai buang undi bersama keluarga

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 8 SEPT: Calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar, selesai membuang undi, di Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, pada jam 8.45 pagi.

Halimey, 46, yang mengenakan kemeja merah jambu sedondon bersama isterinya, Suhati Bakri, 45, tiba pada jam 8.30 pagi yang turut ditemani ibu beliau, Khalijah Md Yusuf, 73, dan adik lelakinya, Salimey Abu Bakar, 40.

Halimey membuang undi di saluran lima manakala ibunya di saluran satu, sementara isterinya mengundi, di Dewan Taman Datuk Hormat.

Ketika ditemui media sejurus selesai proses pembuangan undi, beliau berharap orang ramai menjalankan tanggungjawab lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan hujan.

“Saya menggesa semua pengundi untuk keluar mengundi lebih awal dan mendoakan segalanya berjalan lancar, hari ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Cuaca cerah di Balakong

OLEH NADIAH ZAMLUS

BALAKONG, 8 SEPT: Cuaca pada hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pagi ini, dalam keadaan baik.

Tinjauan SelangorKini mendapati, lebih 100 pengundi mula hadir seawal jam 7.30 pagi di Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Batu 11, Cheras.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini mengumumkan DUN Balakong mempunyai 62,188 pengundi berdaftar.

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, pengundi juga dinasihatkan supaya merancang masa dan tidak memilih untuk keluar mengundi di saat akhir walaupun tempoh waktu mengundi dilanjutkan, dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang.

Pihaknya turut mensasarkan kira-kira 70 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab mengundi, pada PRK kali ini.

Peratusan itu dijangka lebih tinggi berbanding PRK Sungai Kandis, pada 4 Ogos lalu.

DUN Balakong menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan, Wong Siew Ki dan calon MCA, Tan Chee Teong.

PRK DUN Balakong diadakan ekoran kematian penyandangnya, Eddie Ng Tien Chee, dalam kemalangan jalan raya, pada 20 Julai lalu.

 

 

Categories
SELANGOR

PRK DUN Seri Setia bermula

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 8 SEPT: Pusat mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia sudah mula dibuka bagi membolehkan orang awam menunaikan tanggungjawab, hari ini.

Sebanyak 16 pusat mengundi dibuka dengan 109 saluran membabitkan jumlah pengundi keseluruhan 53,492 orang.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan, Halimey Abu Bakar dan calon PAS, Dr Halimah Ali.

Halimey akan membuang undi bersama keluarga di Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan sementara Halimah tidak membuang undi, di sini.

DUN Seri Setia diisytiharkan kosong selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada 2 Ogos lalu akibat barah usus yang dihidapinya, sejak dua tahun lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Allahyarham Dr Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PRK Sungai Kandis pengajaran buat Seri Setia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 SEPT: Peratusan keluar mengundi yang begitu rendah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, pada 4 Ogos lalu menjadi pengajaran buat PRK Seri Setia.

Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Arifin Mohd Munir berkata, publisiti meluas dan kempen kesedaran perlu diperhebatkan untuk memastikan pengundi di kawasan terbabit lebih efektif.

“Peranan ini bukan sahaja dilakukan jentera parti politik terbabit tetapi perlu dibantu agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan, media dan pelbagai pihak selain komitmen utama Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Bagi menangani isu yang berlaku di Sungai Kandis, publisiti lebih meluas perlu untuk memaklumkan senarai kawasan perumahan, taman, kampung dan flat yang terbabit dalam pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.

Khairul Arifin berkata, IDE turut membuat tinjauan terhadap pengundi PRK Sungai Kandis bagi mengetahui antara punca kemerosotan peratusan mengundi, di situ.

Katanya, terdapat segelintir responden berterus terang apabila tidak mengetahui mereka adalah pengundi terbabit dalam PRK berkenaan.

“Secara asasnya mood pengundi tidak sama antara pilihan raya umum dan PRK, kekeliruan juga banyak timbul di lokaliti bersempadan, justeru parti politik bertanding perlu terus menasihatkan pengundi untuk terus keluar mengundi.

“Kepada pengundi N32 DUN Seri Setia, turunlah mengundi, tunaikan tanggungjawab anda pada 8 September ini dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang,” katanya.