Categories
ADN SELANGOR

400 pekerja KDEBWM Kajang terima suntikan Selvax DUN Balakong

SHAH ALAM, 17 OGOS: Seramai 400 pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) Kajang menerima suntikan menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Balakong semalam.

Ahli Dewan Negeri Wong Siew Ki berkata pihaknya menghargai pekerja terbabit mengatakan walaupun ramai daripada mereka buta huruf tetapi masyarakat bergantung kepada perkhidmatan golongan itu.

“Saya masih ingat kesusahan yang kita hadapi bulan lepas semasa sebahagian pekerja KDEBWM telah dijangkiti Covid-19 dan sebahagian lagi di bawah kuarantin kendiri.

“Perkhidmatan kutipan sampah hampir terjejas di beberapa kawasan pada masa itu. Lindungan kepada pekerja-pekerja kita perlu diadakan dan berharap dengan program ini mereka lebih terlindung dan juga melindungi komuniti kita,” katanya di Facebook.

Pekerja KDEBWM menerima suntikan Selvax Komuniti DUN Balakong di pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall semalam.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Manakala sebanyak dua juta dos vaksin pula kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Categories
ADN SELANGOR

Pemilik kebun disaran amal kaedah tanam sampah, elak hutan terbakar

SHAH ALAM, 24 FEB: Pemilik kebun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong disaran mengamalkan kaedah menanam sampah tanpa melakukan pembakaran terbuka.

Wakil rakyatnya Wong Siew Ki berkata kebiasaan membakar sampah perlu dihentikan bagi mengelak risiko kebakaran hutan termasuk perumahan penduduk berhampiran.

“Pengurusan sampah yang paling teruk adalah membuangnya secara haram dan bakar secara terbuka. Isu ini kerap berlaku merata-rata tempat di Balakong.

“Jika berlaku kebakaran, ia boleh beri kesan negatif terhadap alam sekitar selain penduduk perlu menanggung kerugian harta benda,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut menasihati penduduk mengasingkan sisa berkaitan ke dalam lubang khas bagi membolehkan proses penguraian selain menghubungi pihak berkuasa tempatan untuk mengutip sampah pukal yang dikumpul di rumah.

Terdahulu, Siew Ki mengulas insiden kebakaran hutan berlaku antara The Peak dan Cheras Perdana pada jam 7 petang kelmarin yang disyaki berpunca daripada pembakaran sampah atau kebun secara terbuka.

Seramai 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang serta Bandar Tun Hussein Onn bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

Categories
SELANGOR

Siew Ki tekad berkhidmat baik, terus usaha Tien Chee

OLEH HAFIZAN TAIB

BALAKONG, 8 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong baharu, Wong Siew Ki, bertekad memberikan perkhidmatan terbaik bagi memenuhi harapan rakyat di kawasan itu.

Wakil rakyat Pakatan Harapan (PAKATAN) itu juga berjanji akan meneruskan usaha dirintis mendiang Ng Tien Chee yang telah menabur bakti dengan cemerlang selama dua penggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

“Terima kasih kepada rakyat yang mengundi dan memberi kemenangan kepada saya serta saya berjanji akan berusaha berkhidmat dengan baik untuk rakyat.

“Ia juga adalah sebenarnya kemenangan rakyat yang mahukan suara mereka didengar dan diberi perhatian,” katanya dalam sidang media selepas diumumkan Suruhanjaya Pilihanraya sebagai pemenang dalam Pilihan Raya Kecil DUN Balakong di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Siew Ki berkata, antara usaha awalnya adalah melihat beberapa program dirancang Tien Chee yang tergendala untuk digerakkan semula.

“Saya juga akan bertemu dengan penduduk di DUN ini bagi melahirkan penghargaan kepada mereka yang memilih saya sebagai wakil rakyat,” katanya.

Beliau turut memberikan penghargaan kepada jentera parti yang bekerja keras di sepanjqng tempoh kempen PRK itu demi merealisasikan kemenangannya.

Siew Ki memperoleh 22,508 undi dengan menewaskan calon MCA, Tan Chee Teong (3,975) dengan majoriti 18,533.

Categories
SELANGOR

Hujan di Balakong, peratusan keluar undi masih rendah

OLEH NADIAH ZAMLUS

BALAKONG, 8 SEPT: Cuaca hujan secara tiba-tiba sejak jam 12 tengahari tadi antara faktor mendorong peratusan keluar mengundi, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong masih rendah.

Salah seorang pengundi, Ng Tian Nee berkata, ekoran keadaan cuaca itu, dia tidak dapat membawa ibunya keluar mengundi.

“Ibu saya tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda, disebabkan mudah jatuh sakit, saya terpaksa mengelakkanya daripada terkena hujan.

“Memang dia agak sedih kerana tidak dapat mengundi tetapi apakan daya, demi kesihatannya dia terpaksa berkorban,” katanya.

Melalui ramalan kaji cuaca, SelangorKini mendapati hujan beserta ribut petir dijangka berlaku sehingga jam 5 petang nanti.

Pada jam 10 pagi, peratusan keluar mengundi di DUN Balakong ialah 15 peratus sebelum meningkat kepada 25 peratus, pada jam 12 tengahari.

Namun sehingga jam 1 petang, kenaikan peratusan mengundi hanya tiga peratus sahaja.

Kini, kurang dua jam lagi pusat mengundi akan ditutup, namun peratusan keluar mengundi hanya pada kadar 31 peratus sahaja.

Categories
NASIONAL

Majikan perlu beri pelepasan kakitangan mengundi esok

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kementerian Sumber Manusia meminta majikan sektor swasta memberikan pelepasan kepada kakitangan yang bekerja untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong, esok.

Katanya, hak untuk mereka mengundi diperuntukkan di bawah Seksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bahkan majikan tidak dibenar mengenakan penalti atau memotong gaji pekerja yang tidak hadir bekerja bagi tujuan terbabit.

“Kementerian meminta majikan sektor swasta mengambil langkah seperti memberi ‘time-off’ kepada pekerja yang mengundi di tempat pengundian berdekatan atau memberi hari kelepasan kepada pekerja yang bekerja berjauhan dengan tempat mengundi.

“Pekerja yang memerlukan lebih daripada satu hari untuk ke tempat pengundian boleh mengambil cuti tahunan. Majikan hendaklah merundingkan soal pemberian ‘time off’, hari kelepasan yang digantikan dan cuti tahunan dengan pekerja berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, majikan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 boleh didakwa dan didenda RM5,000 atau penjara setahun jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya mengisytiharkan 8 September ini sebagai tarikh PRK DUN Balakong dan DUN Seri Setia.

Categories
SELANGOR

2,801 pengundi awal PRK Balakong, Seri Setia mula mengundi

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Seramai 2,801 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia mula mengundi, bermula jam 8 pagi tadi.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 31 daripadanya adalah pengundi awal bagi DUN Balakong manakala 2,770 lagi bagi kawasan DUN Seri Setia.

Kesemua pengundi awal di DUN Balakong adalah anggota polis dan mereka akan mengundi di Ruang Legar Kuarters Balai Polis Seri Kembangan dengan pusat pengundian awal dibuka bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Sementara itu di PRK Seri Setia, 2,770 pengundi awal yang terbabit merangkumi 2,597 anggota tentera dan pasangan mereka serta 173 anggota polis.

Proses pengundian awal bagi anggota tentera dan pasangan akan diadakan di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Subang manakala anggota polis pula akan menunaikan tanggungjawab di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia, Shah Alam.

Pusat pengundian awal di PRK Seri Setia dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang.

Selepas proses pengundian awal selesai, kertas undi akan disimpan di lokap balai polis dan hanya akan dikira secara berkelompok di pusat pengiraan undi masing-masing, pada malam 8 September ini.

PRK Balakong dan PRK Seri Setia masing-masing menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PAKATAN) Wong Siew Ki berdepan calon MCA, Tan Chee Teong di Balakong, manakala calon PAKATAN Halimey Abu Bakar akan bertembung dengan calon PAS, Dr Halimah Ali di PRK Seri Setia.

DUN Balakong dan DUN Seri Setia masing-masing mempunyai 62,219 dan 52,650 pengundi berdaftar yang layak mengundi, pada PRK Sabtu ini.

*Sumber: BERNAMA

Categories
SELANGOR

PRK DUN Balakong: Siew Ki dedah rashia kekal stamina sepanjang kempen

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

CHERAS, 26 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Wong Siew Ki mengakui, minum air mineral mencukupi dan rehat secara konsisten, menjadi amalan untuk beliau kekal berstamina sepanjang tempoh berkempen.

Siew Ki bagaimanapun berkata, meskipun jadual hariannya sangat padat sejak mula berkempen 18 Ogos lalu, tetapi masih menerapkan disiplin diri untuk tidur sekurang-kurangnya enam jam sehari.

“Cuaca yang panas dan kering sangat mudah untuk jatuh sakit, jadi pasukan kempen saya sentiasa menasihatkan saya supaya berehat secukupnya, selain minum air herba serta air mineral yang banyak untuk kekal ‘hydrated’.

“Saya turut ‘mencuri’ masa lapang ketika berkempen untuk tidur sebentar kerana tidak mungkin sebagai seorang calon untuk keluar berjumpa pengundi dengan mata lebam akibat tidak cukup tidur,” katanya.

Sebelum itu, Siew Ki melakukan aktiviti senaman dan bersarapan pagi bersama Dr Ong Kian Ming serta penduduk sekitar di Lake Valley, Bandar Tun Hussein Onn, di sini, pagi ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain sokongan daripada pasukan PAKATAN, sokongan daripada anggota keluarganya turut membantu Wong dalam menjaga kesihatan sepanjang hari berkempen yang masuk minggu kedua.

“Apabila muka saya muncul di kaca televisyen, ibu saya akan menelefon saya untuk mengingatkan saya menjaga kesihatan ketika cuaca panas, ia sekali gus juga menaikkan semangat saya untuk kekal berstamina sepanjang berkempen,” katanya.

Menurut laman sesawang rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia, Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada bacaan sederhana di sekitar Semenanjung iaitu melebihi 50 bermula awal Ogos lepas sehingga semalam (25 Ogos).

Berdasarkan pemerhatian yang berkongsi jadual kempen pula, Siew Ki sekurang-kurangnya mempunyai satu acara setiap pagi dan petang lawatan ‘walkabout’ ke kawasan sekitar seperti pasar, pusat perniagaan, taman perumahan, gerai dan perkarangan rumah ibadat.

Jumlah lokasi berkempen itu juga tidak termasuk kempen berupa ceramah pada waktu malam yang kadangkala disertai kepimpinan parti peringkat kebangsaan sehingga lewat malam di dua atau tiga lokasi berdekatan.

Categories
SELANGOR

Semak dan imbang MCA sudah ketinggalan

OLEH SHEEDA FATHIL

CHERAS, 20 OGOS: Tindakan MCA untuk menjadi semak dan imbang kepada Kerajaan Negeri disifatkan sudah ketinggalan, kata Wong Siew Ki.

Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong itu berkata, langkah terbabit tidak bertepatan kerana semua parti dalam PAKATAN sudah lama melaksanakan semak dan imbang.

“Tindakan MCA untuk jadi semak dan imbang sebenarnya sudah ketinggalan kerana PAKATAN sudah buat dahulu.

“Lagipun PAKATAN sendiri gabungan daripada empat parti. Jika ada antara kami buat salah, kita akan betulkan kesilapan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Pengedaran Bendera Malaysia di Pekan Batu 11, di sini, semalam.

Turut hadir memeriahkan program Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim.

Kenyataan itu susulan tindakan MCA yang mengumumkan manifesto dengan ikrar menjadi pihak yang membuat semak dan imbang kepada kerajaan.

Namun, Siew Ki berkata, MCA perlu ingat mereka juga banyak menggubal dasar yang mengongkong rakyat dan media, sebelum ini.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ahli Majlis MPSJ calon DUN Balakong

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 OGOS: Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, Wong Siew Ki akan menjadi calon untuk bertanding, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, pada September ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, nama Siew Ki dicadangkan pemimpin DAP Selangor ekoran kerja yang dilakukannya di peringkat akar umbi.

“Beliau turut membantu kami menghasilkan bahan kempen untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 9 Mei lalu.

“Selain itu, kami mahu memberi peluang kepada ahli wanita untuk menjadi calon,” katanya selepas membuat pengumuman itu, di ibu pejabat DAP, hari ini.

Sementara itu, Siew Ki berjanji akan meneruskan legasi Eddie Ng Tien Chee untuk menambah baik keadaan, di DUN Balakong.

“Saya akan pergi ke setiap rumah dan melawat pengundi untuk lebih memahami keperluan mereka.

“Lagipun kita ada masa lebih 20 hari untuk berkempen dan berjanji melakukan terbaik serta tidak menghampakan pengundi Balakong,” katanya.

Kerusi DUN Balakong kosong selepas Adunnya,Eddie Ng maut dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, pada 20 Julai lalu.

Pada PRU14 lalu, Ng mengalahkan calon MCA, Lim Chin Wah dan calon PAS, Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti 35,538 undi.

Categories
SELANGOR

SPR terima pemakluman rasmi kekosongan kerusi DUN Balakong

PUTRAJAYA 27 JUL: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, kata Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemakluman rasmi itu diterima daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim hari ini.

Kekosongan kerusi tersebut adalah berikutan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee akibat kemalangan di Lebuh Raya Grand Saga pada 20 Julai lepas.

Sehubungan itu, Mohamed Elias berkata, SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada Isnin (30 Julai) pukul 10 pagi di Ibu Pejabat SPR di sini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ia termasuklah tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut, katanya.

SUMBER: BERNAMA