Categories
PENDAPAT RENCANA

Semangat kibar Jalur Gemilang, media sosial antara jadi pilihan

Oleh Norhidayu Zainal dan Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Gaya hidup masyarakat hari ini banyak berubah rentetan amalan kebiasaan baharu yang tercetus dek penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk, Malaysia.

Tempiasnya turut terasa bagi persiapan sambutan Hari Kebangsaan ke-63 pada 31 Ogos ini yang pastinya melakar sejarah baharu buat rakyat Malaysia, apabila buat julung kalinya, acara perbarisan dan perarakan diadakan mengikut kebiasaan baharu dan hanya akan disiarkan melalui saluran televisyen.

Tinjauan Bernama di sekitar ibu kota pula mendapati kibaran Jalur Gemilang sama ada di bangunan pejabat, gedung perniagaan, kenderaan dan rumah dilihat masih kurang meriah, seolah-olah rakyat tidak bersemangat memperingati dan menyambut hari bersejarah itu.

Mengulas perkara itu, aktivis sosial Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata tumpuan masyarakat hari ini berubah sepenuhnya dek kehadiran pandemik Covid-19 sekali gus menangkis dakwaan rakyat kurang semangat cintakan negara.

Sebaliknya, jelas beliau, masyarakat lebih selesa menyambut Hari Kebangsaan secara bersederhana sebagaimana menyambut perayaan lain sebelum ini.

2020 Tahun Mencabar, Luar Biasa

Mohammad Shatar yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata 2020 adalah tahun yang luar biasa kerana seluruh dunia diancam wabak itu dan ia merupakan antara soal hidup dan mati.

“Rakyat bukan tidak patriotik, cuma mereka memberi lebih perhatian terhadap keselamatan diri kerana perasaan trauma, fobia dan ketakutan masih menghantui akibat daripada ancaman wabak itu,” katanya kepada Bernama sambil menambah keadaan diburukkan lagi dengan kewujudan pelbagai kluster baharu sehingga menyebabkan rakyat sangat berhati-hati dalam setiap tindakan mereka.

Melihat kepada senario penularan pandemik Covid-19 yang masih belum reda, Mohammad Shatar menggalakkan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing sebagai usaha menyemarakkan sambutan hari kebangsaan, meskipun dalam suasana normal baharu.

“Sekurang-kurangnya, (sambutan) tidaklah begitu lesu…dan Jalur Gemilang pula dipasang di rumah sendiri dan tidak mendedahkan kita kepada risiko terkena jangkitan.

“Jika dahulu kita berhimpun dan berarak, sekarang kita cuba patuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal ketika meraikan hari bersejarah kali ini,” katanya.

Bijak Guna Media Sosial Zahir Patriotisme

Sementara itu, pelajar institut pengajian tinggi awam, Adam Iman Azmi, 19, berpendapat masyarakat kini perlu bijak memanfaatkan penggunaan teknologi khususya media sosial bagi menzahirkan semangat patriotisme kepada negara.

Pelajar semester dua jurusan Sains Komputer, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata antara yang popular dan menjadi ikutan dalam media sosial adalah di laman Twitter apabila ramai pengguna internet mengirim mesej dengan menggunakan emotikon Jalur Gemilang sebagai memperingati sambutan Hari Kebangsaan.

“Saya berpendapat masyarakat hari ini tidak lagi memilih mengibarkan Jalur Gemilang secara fizikal sebaliknya beralih arah kepada alam maya.

“Ini adalah budaya baharu seiring dengan peredaran zaman dan generasi yang kini lebih sinonim dengan alam maya…dan ini juga cara kami dalam menzahirkan semangat rasa cintakan negara,” katanya.

Turut senada, Azlina Johari, 32, yang menyifatkan usaha “menyibarkan” Jalur Gemilang di laman sosial sebagai idea bernas dan menarik, namun ia seharusnya dilakukan sepanjang masa.

“Sepatutnya, kita semua harus dengan rela hati kibarkan Jalur Gemilang sepanjang tahun, tanpa perlu menunggu adanya program sambutan Bulan Kebangsaan ataupun kempen tertentu,” katanya menambah, sikap patriotisme perlu dijiwai seluruh rakyat Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Norma baharu: Masyarakat perlu letak agenda negara melebihi peribadi

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Masyarakat perlu meletakkan agenda negara sebagai keutamaan harian melebihi agenda peribadi, dalam konteks pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) seperti yang ditetapkan kerajaan, selari dengan pembudayaan norma baharu mencegah penularan Covid-19.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, meskipun pemupukan budaya baharu itu mengambil sedikit masa, namun ia akan tetap berjaya dan sebati dalam kalangan masyarakat, sekiranya dipraktikkan secara menyeluruh ketika negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Tujuannya bukan untuk menyusahkan masyrakat, bukan juga untuk sukarkan kehidupan masyarakat, tetapi untuk pastikan negara dalam keadaan selamat,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Pembudayaan Norma Baharu Perkasa Komuniti’ terbitan Bernama TV malam tadi.

“Masyarakat ketika ini seolah-olah sudah lupa senario atau realiti sebenarnya, kerana majoritinya menjangka bahawa Covid-19 sudah dapat dihapuskan secara holistik. Akhir-akhir ini kealpaan masyarakat melaksanakan perintah (SOP), angka kes baharu meningkat kepada dua angka.

“Saya yakin masyarakat dan kerajaan tidak mahu melaksanakan PKP asal, kerana akan beri impak negatif kepada sektor ekonomi dan negara,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Rosnah Ramly berkata, amat penting masyarakat untuk memahami bagaimana virus Covid-19, boleh menjangkiti dan merebak kepada orang ramai.

“Ia merebak melalui rembesan batuk dan bersin dengan jarak satu meter, itu asasnya. KKM sentiasa nyatakan dan memberi peringatan kepada masyarakat, untuk memakai pelitup muka sekiranya bergejala dan pentingkan amalan jarak fizikal.

“Kadang-kadang masyarakat tidak sedar setelah memasukkan tangan ke dalam hidung dan mulut dan droplets itu jatuh pada permukaan dan apabila disentuh boleh terkena jangkitan. Pematuhan dan pembudayaan norma baharu ini amat penting bukan sahaja kerana adanya Covid-19, mungkin sahaja satu hari nanti ada jangkitan lain yang tidak diketahui,” katanya.

Beliau menegaskan, KKM mahukan masyarakat untuk sentiasa beringat dan mengamalkan budaya 3W iaitu, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka di tempat awam, yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala, dan amaran dari KKM, yang lebih berkonsep peringatan seperti elakkan bersalaman atau bersentuhan.

Bagaimanapun, beliau memuji berdasarkan laporan harian Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, tahap pematuhan masyarakat terhadap SOP yang ditetapkan adalah pada tahap tinggi, dan hanya sebilangan kecil sahaja yang ingkar.

Pada 8 Ogos lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu dan buku Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti Bagi Mencegah Penularan Covid-19, yang memuatkan konsep pembudayaan norma baharu dan strategi kerajaan ketika PKPP.

Buku 26 muka surat itu yang diterbitkan KKM, turut memaparkan tindakan yang perlu diambil baik dari sudut orang perseorangan, keluarga dan komuniti, sepanjang tempoh pelaksanaan PKPP.

– BERNAMA