Categories
NASIONAL

Rosmah tidak ke mahkamah, kemuka sijil cuti sakit

KUALA LUMPUR, 5 APR: Datin Seri Rosmah Mansor tidak hadir pada prosiding sebutan kesnya yang didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek tenaga solar, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana tidak sihat.

Pada mulanya kes itu bermula pukul 9 pagi di mana pasukan pembelaan dan pendakwaan dilihat memasuki ke kamar hakim.

Selepas prosiding dalam kamar hakim Collin Lawrence Sequerah, media dimaklumkan bahawa mahkamah mahu melihat ‘sijil tidak sihat untuk hadir ke mahkamah’ dan kes ditangguhkan selama tiga jam.

Pada pukul 12 tengahari mahkamah bersidang dan peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili isteri bekas perdana menteri itu mengemukakan sijil cuti sakit dan sijil tidak sihat untuk hadir ke mahkamah kepada hakim berkenaan.

“Dia tidak sihat untuk hadir ke mahkamah hari ini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar kemudiannya membuat permohonan secara lisan memindahkan kes rasuah projek tenaga solar membabitkan Rosmah ke Mahkamah Tinggi 2 di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

“Ini kerana, kes pengubahan wang haram membabitkan Rosmah dan kes rasuah bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rizal Mansor, akan didengar di mahkamah sama (Mahkamah 2),” katanya.

Bagaimanapun, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah membantah permohonan berkenaan, dengan alasan pihak pendakwaan perlu membuat permohonan secara bertulis.

Hakim menetapkan 23 April untuk mendengar permohonan berkenaan.

Pada 15 November tahun lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Projek Solar Berskala Besar pertama Malaysia di Kuala Langat beroperasi

SHAH ALAM 31 OKT: Pembangunan Projek Solar Berskala Besar (LSS) pertama dan terbesar di Malaysia mencapai tarikh awal (IOD) dengan tenaga pertama dijana ke Grid Nasional pada minggu lalu.

Tenaga Nasional (TNB) dalam kenyataan media berkata projek LSS itu dibangunkan di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor mampu menjana kapasiti penuh sebanyak 50 megawat (MW) sebelum akhir tahun.

Katanya, loji dengan 230,000 panel solar dan gentian kabel optik sepanjang 10 kilometer (km) dengan kuasa 132 kilovolt (kV) dibangunkan bermula Julai 2017 oleh anak syarikat milik penuh TNB iaitu TNB Sepang Solar Sdn Bhd di atas tanah seluas 98 hektar.

“TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. merupakan rakan kerjasama kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bagi projek LSS,” katanya.

Projek LSS bukti aspirasi dan komitmen TNB ke arah pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia.

Ia juga mencerminkan kecekapan dan kepakaran TNB dalam RE serta memiliki reputasi sebagai pemaju projek tenaga.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menetapkan sasaran sebanyak 20 peratus daripada tenaga elektrik negara akan dijana menerusi sumber boleh diperbaharui menjelang 2030.

Kira-kira 53 peratus penjanaan kuasa di Semenanjung adalah daripada arang batu manakala 42 peratus daripada gas asli dan lima peratus adalah hidro dan berbentuk RE.