Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen umum garis panduan terkini keluar masuk rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menetapkan garis panduan terkini bagi warganegara Malaysia yang ingin keluar dan masuk ke dalam negara sehingga berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

JIM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan beberapa kategori bagi ketetapan itu antaranya golongan yang tidak perlu memohon kelulusan, perlu memohon kelulusan dan tidak dibenarkan keluar negara serta prosedur untuk masuk semula ke Malaysia.

“Golongan yang tidak perlu memohon kelulusan JIM adalah diplomat dan tanggungan yang ingin bertugas di luar negara; pelajar yang menyambung pengajian dan baru mendapat tawaran belajar; pelajar yang mengambil peperiksaan; dan pemegang Pas Jangka Penjang Luar di Luar Negara (Pemastautin Tetap/Pas Residen/Pas Kerja dan lain-lain).

“Bagi golongan yang perlu memohon kelulusan JIM adalah warganegara Malaysia yang pernah mempunyai pergerakan masuk ke Malaysia dalam tempoh PKP; yang baru dapat tawaran bekerja; menghadiri mesyuarat/seminar/pameran/urusan perniagaan; urusan kecemasan; dan mengiring anak untuk belajar,” menurut kenyataan itu, di sini.

Mengulas lanjut, jabatan itu memaklumkan kategori yang tidak dibenarkan keluar dari negara adalah golongan yang ingin melancong dan lawatan biasa ke atas ahli keluarga yang lain.

Bagi prosedur untuk masuk semula ke Malaysia, jabatan itu menetapkan bahawa warganegara yang pernah atau tidak pernah keluar dalam tempoh PKP juga dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa perlu kelulusan dari JIM.

“Namun demikian, mereka tidak dibenarkan keluar negara semula tanpa mendapat kebenaran dari JIM walaupun mempunyai Pas Jangka Panjang di luar negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut JIM, warganegara Malaysia dari negara yang disekat atau memegang pas lawatan jangka panjang dari negara disekat dibenarkan masuk ke Malaysia walaupun pernah keluar dalam tempoh PKP.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mediasi boleh dijalankan secara dalam talian – PKPMP

PUTRAJAYA 2 JUN: Mediasi di mahkamah kini boleh dijalankan secara dalam talian, tanpa kehadiran pihak-pihak terbabit ke mahkamah.

Mediasi secara dalam talian ini merupakan satu inisiatif Badan Kehakiman, dalam memastikan akses kepada keadilan dapat diberikan kepada semua peringkat masyarakat, seiring dengan normal baharu yang diamalkan pada masa kini.

Mengikut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), sesi mediasi secara dalam talian berkenaan, merupakan alternatif kepada mediasi yang dijalankan di Pusat Mediasi Mahkamah.

“Tiada perubahan bagi prosedur mediasi secara dalam talian, berbanding mediasi di Pusat Mediasi Mahkamah, melainkan perbezaan mod perhubungan, iaitu sesi mediasi secara dalam talian boleh dijalankan dengan menggunakan medium komunikasi melalui aplikasi yang dipersetujui oleh pihak-pihak, seperti Skype atau Zoom,” menurut kenyataan tersebut.

Bagi memudahkan orang ramai memahami tatacara pengendalian mediasi berkenaan, PKPMP mengeluarkan Prosedur Pengendalian Mediasi Secara Dalam Talian dan Prosedur Pengendalian Mediasi di Pusat Mediasi Mahkamah.

Kedua-dua prosedur berkenaan merangkumi tatacara pengendalian mediasi yang terbahagi kepada pra mediasi, semasa mediasi dan pasca mediasi.

Prosedur berkenaan berkuatkuasa mulai hari ini, mengikut kenyataan PKPMP itu.

Infografik berkenaan prosedur tersebut, boleh diakses melalui Portal Rasmi Badan Kehakiman Malaysia di pautan www.kehakiman.gov.my

-BERNAMA