Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

UPSR mansuh sepenuhnya, PT3 tahun ini batal

SHAH ALAM, 28 APRIL: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini, kata Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau turut memaklumkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan.

Radzi mengumumkan perkara itu menerusi sidang media khas di sini hari ini.

“Selaras dengan pemansuhan UPSR, Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) bagi murid berkeperluan khas masalah pembelajaran juga dimansuhkan,” katanya.

Beliau berkata dengan pemansuhan UPSR, kaedah pentaksiran murid Tahun 6 akan diberi tumpuan pada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mulai tahun ini dan kemasukan ke asrama untuk  2022, akan berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

Menjelas lanjut, Radzi berkata keputusan pemansuhan UPSR itu dibuat setelah mendapat pandangan dan input menerusi pelbagai proses libat urus melibatkan lebih 1,700 peserta terdiri daripada guru, ibu bapa, murid serta kesatuan dan persatuan seluruh negara dalam pelbagai sesi yang diadakan.

Beliau berkata antara pandangan diperoleh dari sesi libat urus berkenaan daripada guru ialah apabila mereka terpaksa menghabiskan banyak masa di sekolah bagi memberi tumpuan untuk cuba menghabiskan sukatan pelajaran secepat mungkin bagi membolehkan latih tubi UPSR dapat dijalankan.

Malah katanya, ada guru-guru menceritakan bagaimana mereka terpaksa ‘mencuri’ masa mata pelajaran lain yang tiada peperiksaan khusus bagi membolehkan tumpuan diberi untuk murid-murid membuat persiapan UPSR, sekali gus mengurangkan ruang untuk guru menggunakan kreativiti dalam menyampaikan pengajaran di sekolah.

Ibu bapa pula, kata beliau, ada yang berkongsi bagaimana tumpuan kepada UPSR yang dianggap sebagai peperiksaan penting itu telah menyebabkan anak-anak mereka mendapat ruang terhad terhadap aspek lain dalam pendidikan memandangkan ada yang mula dihantar ke kelas tuisyen seawal Tahun 1.

Radzi berkata menerusi pertemuan dengan murid-murid, kebanyakan mereka melihat UPSR sebagai komponen untuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), namun ketika PKSK dilaksanakan tahun lepas untuk kemasukan ke SBP atau sekolah khusus, hanya satu per empat daripada keseluruhan murid Tahun 6 2020 menduduki peperiksaan itu.

“Jadi kita lihat bahawa sekiranya diberi pilihan tidak semua murid yang ingin menduduki peperiksaan khusus untuk ke asrama penuh,” katanya dan menambah, murid juga menghadapi tekanan menghadiri pelbagai kelas selepas waktu sekolah.

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul.

Mengenai PT3, beliau menjelaskan, asas utama dipertimbangkan untuk membatalkan peperiksaan itu tahun ini adalah setelah mengambil kira masa pelajar untuk membuat persediaan khususnya secara bersemuka di sekolah berikutan penularan Covid-19.

Sehubungan itu, beliau berkata kaedah pentaksiran bagi peperiksaan itu untuk tahun ini adalah sama seperti tahun lepas iatu menerusi PBS yang turut merangkumi komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikokemterik (PPsi).

“PT3 dibatalkan tahun ini namun pentaksiran ini kekal dalam sistem pentaksiran kebangsaan dan ini berbeza dengan UPSR yang dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021,” katanya.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

KPM tiada kaitan dengan UPSR, PT3 dalam talian

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Khas (UPSRx) dan Pentaksiran Tingkatan 3 Khas (PT3x) secara dalam talian seperti yang ditawarkan sebuah portal bukan di bawah kendalian Lembaga Peperiksaan dan tiada kaitan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

KPM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan perkara itu setelah pihaknya mendapati kedua-dua peperiksaan itu ditawarkan portal terbabit yang akan diadakan secara dalam talian pada bulan September dan Oktober.

KPM pada 15 April lepas mengumumkan bahawa peperiksaan UPSR dan PT3 bagi tahun ini dibatalkan.

“KPM memandang serius perkara ini kerana melanggar Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Untuk makluman, KPM telah mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang terlibat,” kata kementerian itu.

KPM menasihatkan agar orang ramai terutama ibu bapa kepada murid Tahun Enam dan Tingkatan Tiga merujuk portal rasmi KPM di http://www.moe.gov.my/ dan portal Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai peperiksaan yang dilaksanakan oleh kementerian.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

74,935 calon duduki PT3 di Selangor

SHAH ALAM, 2 OKT: Seramai 74,935 calon menduduki ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di 326 pusat peperiksaan di Selangor bermula semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Muhamad Radzi Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 267 pusat dibuka bagi sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.

“Sementara Pusat Sekolah Swasta Kementerian Pendidikan Malaysia (267), Pusat Sekolah Swasta Jabatan Agama Islam Selangor (21), Pusat Calon Persendirian (5) dan Pusat Tahanan (2),” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu lebih 400,000 pelajar di seluruh negara menduduki PT3 dengan kertas Bahasa Inggeris 1 dan 2 bermula pada Selasa.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB ucap selamat berjaya kepada calon PT3

SHAH ALAM, 2 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengucapkan selamat berjaya kepada calon yang menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), bermula semalam.

“Saya doakan semoga anda diberi kelapangan, kemudahan dalam menjawab dan diberi kesihatan serta kebijaksanaan.

“Perjuangan anda diiringi doa dan restu dari ayah dan ibu. Semoga berjaya dalam peperiksaan dan meneruskan kecemerlangan dalam kehidupan pada masa akan datang,” tulisnya di Instagram peribadinya, hari ini.

Di Selangor, seramai 74,935 calon menduduki ujian PT3 di 326 pusat peperiksaan bermula semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Muhamad Radzi Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 267 pusat dibuka bagi sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.

Sementara Pusat Sekolah Swasta Kementerian Pendidikan Malaysia (267), Pusat Sekolah Swasta Jabatan Agama Islam Selangor (21), Pusat Calon Persendirian (5) dan Pusat Tahanan (2).

Sementara itu lebih 400,000 pelajar di seluruh negara menduduki PT3 bermula semalam dengan kertas Bahasa Inggeris 1 dan 2.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ujian mendengar PT3 boleh ditangguh sehingga 31 Oktober

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Kementerian Pendidikan memaklumkan sekolah yang terjejas akibat jerebu boleh menangguhkan Ujian Mendengar Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Al-Lughah Al-Arabiah Al-Muasirah sehingga 31 Oktober.

Menurut kenyataan kementerian itu, sekolah di daerah atau kawasan yang mengalami tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 boleh menangguhkan ujian itu.

Namun ujian itu tetap diteruskan di daerah atau kawasan yang tidak terjejas jerebu mengikut tarikh ditetapkan iaitu selama tiga hari bermula esok dengan pemantauan ketat oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah.

“Berdasarkan pemantauan berterusan di seluruh negeri menerusi bacaan IPU sehingga 5.00 petang Ahad, kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak menunjukkan tahap bacaan IPU tidak sihat dan sangat tidak sihat.

“Kementerian amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh pihak sekolah, murid dan ibu bapa akibat masalah jerebu yang dihadapi,” menurut kenyataan itu semalam.

JPN, PPD dan pihak pengurusan sekolah di seluruh negara telah dimaklumkan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil ketika menjalankan ujian itu termasuk pemantauan maklumat bacaan IPU yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

-BERNAMA

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

EXCO rai pelajar bakal hadapi UPSR & PT3

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 13 SEPT: Lebih 100 pelajar diraikan dalam Program Pecutan Akhir Pentaksiran Ujian Tingkatan Tiga (PT3) dan Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Impian, di sini, hari ini.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, ia membabitkan 50 pelajar UPSR dan 52 pelajar tingkatan tiga dari sekolah sekitar Kajang, yang bakal menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.

Katanya, program itu memberi banyak manfaat kepada pelajar terutama mereka yang kurang berkemampuan untuk hadir ke tuisyen.

“Program ini amat bagus dan saya optimis ia dilaksanakan pada setiap tahun serta dibuat dengan lebih meluas lagi.

“Saya mengucapkan selamat berjaya kepada semua pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan akan datang,” katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program Pecutan Akhir PT3 dan UPSR.

Sementara itu, Guru Besar SK Saujana Impian, Khatijah Yusof menyambut baik pelaksanaan program terbabit yang memberi pendedahan meluas kepada pelajar.

“Menerusi program ini, pelajar diberi pendedahan lebih meluas daripada guru di sekolah yang berbeza kerana kita bergabung juga dengan beberapa sekolah sekitar Kajang,” katanya.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian, Massita Mohamed Sin berkata, menerusi program itu, pelajar dan guru dapat berinteraksi dengan lebih dekat kerana ia membabitkan beberapa pembahagian kumpulan.

“Jika di dalam kelas, kadangkala pelajar malu untuk bertanya mungkin disebabkan bilangan terlalu ramai, namun program ini mendekatkan pelajar dan guru,” katanya.

Antara sekolah terbabit menjayakan program ini adalah SMK Sultan Abdul Aziz Shah, SMK Taman Jasmin, SMK Jalan Bukit, SK Kantan Permai, SK Kajang, SJK (C) Sungai Chua dan SK Kajang.

Categories
NASIONAL

425,251 calon duduki ujian bertulis PT3 hari ini

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Seramai 425,251 calon menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di seluruh negara, bermula hari ini hingga 12 Oktober.

Daripada jumlah itu, 394,458 adalah calon sekolah kerajaan, 9,034 (calon sekolah agama negeri), 10,949 (calon sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan 2,540 (calon sekolah agama rakyat).

Manakala 1,091 adalah calon sekolah swasta yang tidak berdaftar dengan KPM, 544 (calon persendirian) dan 65 calon daripada sekolah integriti/ asrama akhlak serta tunas bakti, lapor BHOnline.

PT3 menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sejak 2014.

Sementara itu, di Selangor, seramai 75,473 calon menduduki PT3 di 332 pusat peperiksaan di negeri ini.

Categories
SELANGOR

Sekolah umum PT3 operasi seperti biasa esok

SHAH ALAM 13 DIS: Semua sekolah yang terbabit dengan pengumuman Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di Selangor  terus beroperasi seperti biasa, biarpun esok adalah cuti peristiwa sempena kemenangan pasukan Selangor membawa pulang Piala Malaysia, semalam.

Zainurin Pengarah PendidikanPengarah Pendidikan Selangor, Zainuren Mohd Nor, berkata semua sekolah itu akan beroperasi bagi mengeluarkan keputusan PT3 kepada calon, lapor BH Online.

Bagaimanapun, katanya, dalam satu kenyataan media di sini, semua pejabat dan institusi pendidikan di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Selangor dikehendaki bercuti seperti pengumuman yang dibuat.

EZY