Categories
AGENSI SELANGOR

Jais tunda tiga peperiksaan peringkat menengah ke suku pertama 2022

SHAH ALAM, 9 JULAI: Tiga peperiksaan awam peringkat menengah kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ditunda ke suku pertama 2022.

Pengarahnya memaklumkan penangguhan membabitkan Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran (SMATQ) dan Sijil Menengah Agama Turath dan Dakwah (SMATD).

“Sukacita dimaklumkan bahawa peperiksaan SMA, SMATQ dan SMATD bagi tahun 2021 ditangguhkan pelaksanaannya pada awal suku pertama 2022.

“(Ia) bagi membolehkan calon yang terlibat dapat menjalani peperiksaan ini dalam suasana lebih tenang dan selamat, Insya-Allah,” kata Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengisytiharan keputusan peperiksaan SMA, SMATQ dan SMATD 2020 secara maya hari ini.

Tiga peperiksaan terbabit dijadual berlangsung antara September hingga November tahun ini, namun ditangguhkan susulan situasi semasa Covid-19.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Usia 65 tahun bukan penghalang warga emas duduki SPM

SEREMBAN, 22 FEB: Usia bukan penghalang untuk menuntut ilmu. Itu yang dibuktikan seorang warga emas Salman Ahmad.

Meskipun usianya sudah menjangkau 65 tahun, Salman mempunyai keazaman yang tinggi untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) buat pertama kali hari ini.

Salman adalah antara 645 calon persendirian daripada keseluruhan 16,554 jumlah calon SPM 2020 di Negeri Sembilan yang menduduki peperiksaan itu bermula hari ini.

Beliau yang juga bekas Timbalan Pengarah Tourism Malaysia telah bersara pada 2012, berkata keputusan itu dibuat kerana ingin membuktikan kepada masyarakat khususnya golongan muda bahawa usia bukan penghalang untuk menimba ilmu dan memperoleh kejayaan.

“Dulu saya ambil peperiksaan Malaysia Certificate of Education (MCE) pada 1973, semua subjek dalam Bahasa Inggeris. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara dalam bidang Pentadbiran Awam. Sekarang saya ingin cabar diri saya untuk ambil SPM pula.

“Saya juga ingin beri contoh dan motivasi kepada anak cucu saya. Usia bukan penghalang untuk belajar, menuntut ilmu adalah proses sepanjang hayat,” katanya kepada pemberita selepas menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V di sini hari ini.

Salman berkata keinginan untuk menduduki peperiksaan awam itu timbul sejak tahun lepas, namun terpaksa menangguhkan hasratnya itu susulan penularan wabak Covid-19.

Anak jati Negeri Sembilan itu turut berkongsi persediaan bagi menghadapi SPM kali ini, beliau membeli beberapa buku ulang kaji sejak tahun lepas dan adiknya yang bertugas sebagai guru turut memberi tunjuk ajar serta mengikuti pembelajaran secara dalam talian jika ada kelapangan.

“Keluarga saya banyak beri sokongan dan galakan. Saya tidak malu, saya tidak hairan apa-apa orang kata, kata orang tua belajarlah sampai ke negara China dan dari buaian hingga ke liang lahad,” katanya.

Dalam pada itu, bapa dua anak itu berkata selain mengambil subjek Bahasa Melayu sebagai peringkat permulaan, beliau mengambil dua lagi mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris dan Sejarah selain berhasrat mengambil subjek lain tahun depan sekiranya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2020.

Malaysia mencatat sejarah apabila seramai 401,105 calon di seluruh negara menduduki peperiksaan SPM 2020 dalam norma baharu ketika negara masih ‘berperang’ dengan Covid-19 yang dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Hari pertama peperiksaan dimulakan dengan subjek Bahasa Melayu Kertas 1 pada 8 pagi dan Bahasa Melayu Kertas 2 pada 2 petang ini dengan sebanyak 48,014 pengawas peperiksaan ditugaskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya SOP.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PENDIDIKAN

Dua pelajar UiTM antara 10 terbaik dunia peperiksaan ACCA, CAT

SHAH ALAM, 5 FEB: Dua pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) melakar kecemerlangan apabila tersenarai antara 10 terbaik dunia dalam peperiksaan  Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Certified Accounting Technician (CAT) pada Disember lepas.

UiTM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan dua pelajar berkenaan adalah Fatin Najwa Azman, 22, pelajar semester kelima program ACCA dan Putera Aiman Abdul Rashid, 19, pelajar semester akhir program CAT.

Fatin Najwa mendapat tempat pertama di Malaysia dan kesembilan dunia bagi peperiksaan Audit and Assurance (AA) manakala Putera Aiman memperoleh tempat pertama di Malaysia dan kedua dunia bagi peperiksaan Maintaning Financial Records (FA2).

Dalam kenyataan sama, Dekan Fakulti Perakaunan, Prof Dr Haslinda Yusoff berkata kedua-dua pelajar tersebut amat komited dan berdedikasi dalam pelajaran ditambah suasana pembelajaran yang positif.

“Pihak fakulti amat proaktif dalam memupuk suasana pembelajaran yang berkesan. Sistem pengajaran dan pembelajaran yang efektif di UiTM merupakan kombinasi dalam kejayaan pelajar.

“Kejayaan ini juga turut membuktikan kecemerlangan bumiputera dalam bidang perakauan. Ia boleh dijadikan rangsangan bagi melahirkan lebih ramai profesional perakaunan bumiputera terbaik di dunia,” katanya.

Haslinda berkata kedua-dua pelajar berkenaan juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada semua warga UiTM untuk terus memberikan yang terbaik demi menjadikan universiti itu sebuah institusi pendidikan unggul dunia.

UiTM merupakan universiti awam pertama di Malaysia menerima ACCA Platinum Award sejak Julai 2011 dan terus berperanan sebagai institusi pengajian awam utama dalam mendokong pencapaian aspirasi negara untuk menghasilkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2030.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

KPM tiada kaitan dengan UPSR, PT3 dalam talian

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Khas (UPSRx) dan Pentaksiran Tingkatan 3 Khas (PT3x) secara dalam talian seperti yang ditawarkan sebuah portal bukan di bawah kendalian Lembaga Peperiksaan dan tiada kaitan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

KPM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan perkara itu setelah pihaknya mendapati kedua-dua peperiksaan itu ditawarkan portal terbabit yang akan diadakan secara dalam talian pada bulan September dan Oktober.

KPM pada 15 April lepas mengumumkan bahawa peperiksaan UPSR dan PT3 bagi tahun ini dibatalkan.

“KPM memandang serius perkara ini kerana melanggar Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Untuk makluman, KPM telah mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang terlibat,” kata kementerian itu.

KPM menasihatkan agar orang ramai terutama ibu bapa kepada murid Tahun Enam dan Tingkatan Tiga merujuk portal rasmi KPM di http://www.moe.gov.my/ dan portal Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai peperiksaan yang dilaksanakan oleh kementerian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA PENDIDIKAN

Peperiksaan batal, program matrikulasi sesi 2019/2020 ditamatkan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Peperiksaan Semester II Program Matrikulasi (PSPM) Kementerian Pendidikan (KPM) Sesi 2019/2020 yang dijadualkan pada 27 April hingga 4 Mei dibatalkan, setelah kementerian itu membuat penelitian ke atas situasi semasa wabak Covid-19 di negara ini.

Berikutan pembatalan itu, KPM memutuskan bahawa pengajian Program Matrikulasi KPM bagi Sesi 2019/2020 ditamatkan sepenuhnya bermula semalam.

KPM dalam satu kenyataan berkata berikutan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April, kementerian itu turut memutuskan bahawa keputusan peperiksaan Semester II akan digantikan dengan keputusan penilaian berterusan dilaksanakan bagi semester tersebut.

“Ini adalah selari dengan keputusan mesyuarat Majlis Dekan atau Pengarah Asasi Universiti Awam pada 24 Mac. KPM menyedari keputusan peperiksaan tersebut (Semester II) amat penting kepada para pelajar Program Matrikulasi Sesi 2019/2020 yang ia akan digunakan bagi permohonan ke Universiti Awam (UA) kemasukan Sesi 2020/2021.

“Justeru, keputusan akhir untuk pelajar Matrikulasi Sesi 2019/2020 adalah berdasarkan gabungan keputusan Semester I dan keputusan penilaian berterusan Semester II,” menurut KPM.

KPM meminta semua pelajar yang masih berada di kampus untuk terus kekal mematuhi arahan berkaitan selain pihaknya akan terus memantau keadaan pelajar secara dekat dan mengambil tindakan susulan untuk memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar adalah terpelihara.

“KPM terus komited dalam usaha mengawal penularan jangkitan Covid-19 termasuk dalam kalangan pelajar, pensyarah dan kakitangan Kolej Matrikulasi KPM,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA