Categories
AGENSI SELANGOR

Mais hargai 18 pelatih pusat perlindungan, bantu tingkat keyakinan diri

SHAH ALAM, 19 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memberi penghargaan kepada 18 pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam sebagai penyuntik semangat untuk terus mencapai kejayaan.

Setiausaha Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata inisiatif juga merupakan dorongan serta sokongan kepada pelatih untuk lebih berkeyakinan meskipun tinggal dalam pusat perlindungan.

“Masing-masing menerima anugerah berbeza yang dinilai dari segi sahsiah antaranya kejujuran, kebersihan, kehadiran, kepimpinan dan kerajinan selain berjaya dalam bidang kemahiran dan fardu ain.

“Penghargaan ini memberi peluang kepada mereka untuk membentuk sahsiah diri supaya menjadi insan lebih sempurna dan cemerlang,” katanya menerusi kenyataan.

Ahmad Shahir berkata pihaknya turut memberi penghargaan kepada 20 guru pembimbing yang menjadi tunjang utama kejayaan pelatih terbabit.

Anugerah disampaikan Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada majlis Hari Kecemerlangan ke-13 pusat perlindungan itu semalam.

Ahmad Shahir berkata pihaknya akan terus menganjurkan pelbagai program bermanfaat kepada semua pelatih supaya mereka kembali ke pangkal jalan termasuk bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan.

Categories
SELANGOR

Perkasa pelatih Baitul Ehsan dengan latihan kemahiran

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 13 JUL: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjalin kerjasama dengan Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) dalam usaha memperkasa pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Baktiar Hussin berkata, kerjasama bermula sejak 2015 itu khusus memperlengkap pelatih dengan latihan kemahiran ditawarkan di kolej berkenaan.

“Ia termasuk kemahiran memasak, menjahit dan sebagainya untuk mempersiapkan pelatih dengan ilmu, seterusnya membantu mereka dalam perancangan masa hadapan.

“Usahasama ini diharap menjadi satu tanda aras untuk disebar luas kepada kolej komuniti lain bagi menjalin kerjasama serupa bagi memberi manfaat belia Islam,” katanya pada sidang media, semalam.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Hari Kecemerlangan Pusat Perlindungan Baitul Ehsan, di sini.

Baktiar berkata, MAIS juga bakal menjalin Perjanjian Persefamanan (MoU) bersama Pejabat Kesihatan bagi menyalur perkhidmatan kaunseling dan nasihat kepada pelatih di pusat berkenaan.

“Perkhidmatan ini penting terutamanya kepada wanita yang melahirkan anak, kerana di sini terdapat kes kelahiran luar nikah.

“Kita tidak mahu abaikan mereka, sebaliknya kita mahu ibu dan anak menerima sokongan dan bantuan sewajarnya daripada mereka yang arif agar kesihatan ibu dan anak terjamin,” katanya.