Categories
AGENSI SELANGOR

Mangsa banjir manfaat masa di Pustaka Raja Tun Uda fokus belajar

SHAH ALAM, 20 DIS: Mangsa banjir terutama pelajar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan berteduh di Pustaka Raja Tun Uda di sini sejak Sabtu lalu untuk mengulangkaji pelajaran dalam suasana selesa.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Syifa Amirah Fauzi, 20, berkata bahan bacaan yang banyak dan suasana kondusif membantunya untuk fokus dalam pembelajaran.

Menurut pelajar dalam bidang forensik itu, dia sebenarnya datang pada Sabtu lalu untuk mengulangkaji pelajaran tetapi tidak boleh pulang ke rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Kampung Baru Hicom kerana jalan telah dinaiki air.

“Bayangkan saya tidak buat sebarang persediaan seperti pakaian tambahan, hanya bawa buku sahaja.

“Mujur ada bantuan pakaian, selimut dan makanan disediakan,” katanya yang menghargai usaha Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menjadikan Pustaka Raja Tun Uda sebagai tempat perteduhan mangsa banjir.

Pelajar universiti swasta Muhammad Bustamam Sohaimi. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI

Bagi pelajar perubatan universiti swasta, Muhammad Bustamam Sohaimi, 20, dia mendapatkan perlindungan di bangunan itu kerana bekalan elektrik di rumah sewanya di Seksyen 13 di sini terputus kerana banjir.

“Jadi sukar untuk mengulangkaji kerana komputer riba dan telefon perlu dicaj, jadi saya datang ke sini kerana ada pelbagai kemudahan.

“Boleh saya fokus belajar dan ikut kelas dalam talian,” katanya.

PPAS membuka Pustaka Raja Tun Uda di sini sebagai tempat berteduh kepada mangsa terjejas dalam bencana banjir yang melanda negeri ini sejak Sabtu lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Rangkaian perpustakaan awam Selangor dibuka bermula hari ini

SHAH ALAM, 11 SEPT: Pustaka Raja Tun Uda di sini dan semua rangkaian perpustakaan awam Selangor dibuka semula kepada pengunjung hari ini.

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan waktu perkhidmatan bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

Menurut PPAS, pengunjung perlu lengkap divaksin serta melebihi 14 hari selepas suntikan dos kedua.

Pengunjung juga diingatkan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan seperti melakukan saringan suhu, mengimbas kod QR SELangkah, mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka serta kerap mencuci tangan.

Selain itu, PPAS meminta pengunjung mengelak berada di ruangan sempit dan sesak manakala penggunaan lif terhad kepada empat orang sahaja.

PPAS memaklumkan pengguna di kawasan terjejas boleh menggunakan perkhidmatan BooksFly2U iaitu meminjam dan memulangkan buku menggunakan perkhidmatan e-panggilan menerusi talian 010-8491448 atau 03-55197667.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 03-55197667 atau melayari laman web www.ppas.gov.my atau Facebook, Twitter@selangorlibrary.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sumbang lebih 2,000 buku, Sultan prihatin perkembangan Pustaka Raja Tun Uda

SHAH ALAM, 29 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyumbang 2,080 nashkah buku kepada Pustaka Raja Tun Uda setakat ini.

Selangor Royal Office dalam kenyataan memaklumkan perpustakaan di Seksyen 13 di sini sangat dekat di hati baginda sejak ia dibuka kepada rakyat pada 2011.

“Baginda sentiasa mengikuti perkembangan perpustakaan ini dan sering menyumbang pelbagai idea bagi menjadikannya sebagai lokasi pilihan rakyat untuk menimba ilmu,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, Sultan Sharafuddin diiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak rasmi ke Pustaka Raja Tun Muda termasuk ke tingkat empat bangunan yang menghimpunkan koleksi buku sumbangan baginda.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sentiasa mengikuti perkembangan dan menyumbang pelbagai idea termasuk buku untuk kemajuan Pustaka Raja Tun Uda. Foto Facebook Selangor Royal Office

Sepanjang lawatan, taklimat disampaikan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berhubung perkembangan terkini pustaka berkenaan.

Selain Sultan Sharafuddin, kerabat Diraja Selangor turut menyumbang buku dan bahan ilmiah untuk manfaat pengunjung Pustaka Raja Tun Uda.

Sehingga November lalu, pustaka terbabit merekodkan 7.34 juta pengunjung dengan jumlah keahlian hampir 135,000 dan 1.28 juta nashkah pinjaman buku.

Categories
SELANGOR

Pustaka Raja Tun Uda sedia lebih 800 parkir kepada pengguna

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 2 JULAI: Pengunjung Pustaka Raja Tun Uda, di sini digalak menggunakan parkir bertingkat yang disediakan dan tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhammad berkata, pihaknya menyediakan hampir 700 parkir kereta, 100 parkir motosikal dan enam parkir bas yang siap dibina pada Februari lalu.

“Parkir berkenaan mula beroperasi pada 1 Mac lalu bagi mengurangkan jumlah kereta yang diletakkan di tepi jalan, justeru saya mengalakkan pengguna memanfaatkan kemudahan yang ada,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor pada Majlis Rumah Terbuka PPAS, di Kafeteria Pustaka Raja Tun Uda, hari ini.

Pada masa sama, Mastura berkata, pengguna hanya perlu membayar RM2 untuk caj parkir dan hasil terbabit akan digunakan untuk menampung kos penyeleggaraan parkir berkenaan.

“Kita juga meneruskan perkhidmatan ‘buggy’ kepada pengguna yang meletakkan kenderaan di tempat ini dan itulah tujuan kita mengenakan bayaran.

“kita mendapat komen positif daripada pengunjung dan mereka semua berpuas hati dengan sistem parkir dan perkhidmatan yang disediakan,” katanya.