Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja Permaisuri Agong berkenan ke Majlis Santapan Malam Hari Wanita ke-57

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam Hari Wanita ke-57, di sini, malam tadi.

Tunku Azizah diiringi anakanda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Presiden NCWO, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Dalam titah ucapannya, Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan terima kasih Seri Paduka kepada semua wanita dari badan bukan kerajaan (NGO) sejak dahulu hingga ke hari ini terutama Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) kerana banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

“Anda telah begitu banyak memberi tunjuk ajar kepada saya sehingga saya mencapai kedudukan hari ini. Kami belajar sepanjang masa dan menjadi anggota persatuan pandu puteri telah membawa saya ke seluruh dunia. Terima kasih semua dari lubuk hati saya yang paling dalam,” titah Tunku Azizah.

Tunku Azizah turut bertitah berharap puteri Seri Paduka dapat menimba pengalaman dan pendedahan kerana puterinya turut akan menggalas pelbagai tanggungjawab wanita termasuk sebagai ibu dan pemimpin.

Terdahulu, Yeoh dalam sembah ucapannya berkata seramai 123,095 surirumah dan wanita telah mendaftar di bawah program Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) setakat 15 Ogos lepas, di mana i-suri merupakan salah satu daripada program yang dibangunkan kementerian itu bagi tujuan membantu golongan wanita.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 600 ahli NCWO itu, Yeoh turut melancarkan kempen ‘Keluarga Sejahtera’ bersempena sambutan Hari Wanita tahun ini bertemakan “Wanita Tonggak Keluarga dan Negara Sejahtera”.

Majlis santapan itu turut menyaksikan aktivis wanita veteran Datuk Ramani Gurusamy menerima Anugerah Pingat Tun Fatimah dari NCWO.

Raja Permaisuri Agong berkenan menyampaikan anugerah itu atas jasa baktinya berjuang untuk golongan tersebut.

NCWO merupakan badan bukan kerajaan yang dianggotai lebih 200 wakil NGO wanita dari seluruh Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hamparan merah sambut Agong di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN (Brunei), 18 OGOS: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba di Bandar Seri Begawan, Brunei untuk Lawatan Negara ke negara itu bermula hari ini sehingga 20 Ogos.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka tiba di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini kira-kira 1.10 tengah hari, diberi sambutan hamparan permaidani merah. Turut berangkat bersama, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ketibaan pasangan diraja itu disambut oleh Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Ibni Sultan Hassanal Bolkiah serta isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Pengiran Salleh Ab Rahaman.

Turut berada ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei selaku Menteri Pengiring, Datuk Seri Setia Dr Awang Abu Bakar Apong dan isteri, Datin Paduka Dayang Jahrah Mohamad.

Rombongan lawatan itu turut disertai Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, pegawai-pegawai kanan kementerian luar, Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri.

Seri Paduka kemudiannya melintasi barisan pasukan Kawalan Kehormat Setempat (static guard) Tentera Diraja Darat Brunei, yang terdiri daripada 26 anggota, diketuai Leftenan Mohd Yusof Ibrahim.

Brunei merupakan negara sulung yang dikunjungi Sultan Abdullah sejak ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Lawatan negara tiga hari Tuanku ke Brunei bertujuan mengukuhkan lagi hubungan diraja antara kedua-dua negara yang terjalin sejak 35 tahun lepas.

Bandar Seri Begawan turut dihiasai Jalur Gemilang bersama-sama bendera kebangsaan negara Brunei Darussalam sebagai tanda mesra mengalu-alukan kunjungan Seri Paduka.

Bagi memulakan lawatan, pasangan diraja berkenaan dijadual berangkat menghadiri majlis santapan bersama diaspora Malaysia di sini malam ini.

Sempena kunjungan itu juga, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong antara lain dijadual berangkat menghadiri Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap dan Majlis Santapan Diraja yang akan dihoskan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, selain melawat beberapa tempat bersejarah dan Jabatan Kerajaan di Bandar Seri Begawan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri berangkat ke Brunei

SEPANG, 18 OGOS: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Brunei hari ini, bagi mengadakan lawatan negara selama tiga hari.

Ini merupakan lawatan negara yang pertama oleh Sultan Abdullah sejak ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada kira-kira 10.55 pagi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador hadir mengucapkan selamat berangkat kepada baginda berdua.

Sebelum berangkat, Yang di-Pertuan Agong memeriksa barisan kehormat Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dengan diiringi tembakan meriam 21 das dan lagu Negaraku.

Lawatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ini bertujuan memperkukuh hubungan persahabatan serta kerjasama sedia ada antara Malaysia dan Brunei.

Turut mengiringi lawatan Seri Paduka berdua ke Brunei ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sempena lawatan pada kali ini, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan untuk menghadiri majlis santapan malam bersama rakyat Malaysia di Brunei malam ini.

Pada hari kedua lawatan negara, baginda berdua akan berangkat ke Istana Nurul Iman untuk menghadiri istiadat sambutan negara.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut dijangka dikurniakan darjah kebesaran Brunei oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Seri Paduka berdua kemudian dijadual untuk mengadakan lawatan ke Muzium Alat-Alat Kebesaran Diraja.

Dalam atur cara berasingan, Sultan Abdullah akan mengadakan lawatan ke Dermaga Kastam Diraja dan Kampong Ayer manakala Tunku Azizah akan melawat ke Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan dan Ibu Pejabat Persatuan Pandu Puteri Negara Brunei Darussalam.

Pada sebelah malam, pasangan diraja itu bakal menghadiri majlis persantapan diraja di Istana Nurul Iman.

Pada hari terakhir lawatan, Sultan Abdullah dijadual mengadakan lawatan ke Majlis Ugama Islam Negara Brunei Darussalam manakala Tunku Azizah akan melawat Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (W.I) Negara Brunei Darussalam di Tutong, sebelum baginda berdua berangkat pulang ke tanah air.

– BERNAMA

Categories
RENCANA

Agong mungkin guna tanjak, sampin almarhum ayahanda

PEKAN, 13 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkemungkinan akan mengenakan tanjak dan sampin almarhum ayahanda baginda pada istiadat pertabalan yang dijadualkan, pada 30 Julai ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, baginda berhasrat mahu melihat suaminya mengenakan persalinan yang dikenakan Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah semasa ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh pada 26 April 1979.

Demi merealisasikan hasrat itu, Tunku Azizah hari ini berkenan mencemar duli ke Istana Abu Bakar di sini bagi mencari persalinan itu untuk dibawa pulang ke Istana Negara bagi dipersembahkan kepada Sultan Abdullah

“Saya mahu mencadangkan baginda memakai persalinan ini untuk mengambil berkat ayahanda (Almarhum Sultan Ahmad Shah)… tapi baginda akan memakai muskat baharu kerana muskat yang ada tidak muat dengan baginda,” titah baginda kepada pemberita di Muzium Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.

Sultan Abdullah akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada istiadat yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara, dan menariknya ia diadakan pada Hari Keputeraan baginda.

Raja Permaisuri Agong seterusnya mengakui bahawa baginda telah mencari muskat, tanjak, sampin dan bengkung milik almarhum ayahanda mentua baginda, namun tidak menemuinya sebelum ini.

“Saya mencari di mana tanjak disimpan kerana hanya muskat disimpan di sini (Muzium Sultan Abu Bakar) tapi tiada siapa yang tahu… jadi hari ini saya ke Istana Abu Bakar dan melihat tanjak ada disimpan di situ, bersama sampin dan bengkung,” titah baginda.

Tunku Azizah bertitah, tanjak yang digunakan Almarhum Sultan Ahmad Shah mempunyai lambang Jata Negara di bahagian hadapan, berbeza daripada tanjak baharu yang tidak mempunyai jata itu.

“Saya akan minta tanjak dan sampin ini diikat semula (benang) bagi mencantikkan keadaannya untuk digunakan semula,” titah baginda.

Tunku Azizah bertitah persalinan pertabalan itu juga mempunyai nilai sentimental sendiri kerana pernah digunakan oleh dua Yang di-Pertuan Agong iaitu pada istiadat pertabalan 1979 dan 1984.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Permaisuri Agong berangkat ucap selamat jalan kepada jemaah haji

SEPANG, 6 JUL: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berangkat mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia yang akan berlepas ke Tanah Suci dari Kompleks Haji Sepang, di sini.

Di awal titah, Raja Permaisuri Agong memaklumkan bahawa baginda mewakili Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tidak dapat berangkat hadir kerana gering disebabkan bengkak di bahagian buku lali.

“Saya mewakili Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia yang gering kerana buku lali bengkak dan dinasihatkan oleh doktor supaya rehatkan kaki.

“Saya ingin sampaikan salam Tuanku yang minta maaf tidak dapat hadir atas faktor kesihatan. Seri Paduka ucapkan tahniah kepada yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah bagi musim haji tahun ini,” titah Tunku Azizah.

Dalam titah yang disampaikan Raja Permaisuri Agong menyampaikan pesanan Seri Paduka yang mahukan semua jemaah haji negara memberi tumpuan melaksanakan kesemua rukun and wajib haji yang dipelajari sepanjang kursus haji Lembaga Tabung Haji.

Tunku Azizah turut berkongsi pengalaman sendiri menunaikan ibadah haji yang disifatkan baginda sebanyak tiga setengah kali dan melalui pelbagai peringkat kemudahan dan keselesaan.

Menurut Raja Permaisuri Agong, kali pertama baginda menunaikan ibadah haji ialah ketika berusia 15 tahun yang baginda sifatkan sebagai haji ‘ekonomi’.

“Ketika itu tidak ada hotel, duduk di rumah ‘sheikh’, basuh baju sendiri dan tidur di lantai. Ketika itu sekeliling Kaabah masih lagi tanah dan mimbar yang tinggi dengan sedikit marble (marmar) untuk tawaf dan sa’ie,” titah Tunku Azizah.

Titah Raja Permaisuri Agong, kali kedua baginda menunaikan haji ialah pada 1992 yang disifatkan business class kerana sudah ada hotel.

“Kali ini lebih selesa,” titah baginda lagi.

Titah Tunku Azizah kali ketiga baginda menunaikan ibadah haji ialah pada musim haji 2006 di mana Aidiladha jatuh pada 1 Januari 2007.

“Ketika itu duduk di istana di atas bukit. Ini saya sifatkan first class. Hari Raya Haji pula jatuh pada 1 Januari 2007. Jadi saya sudah rasa duduk rumah sheikh, business class dan kemudiannya first class. Saya bersyukur kerana bemula dari bawah,” titah Raja Permaisuri Agong.

Titah Tunku Azizah, ibadah haji baginda yang setengah lagi ialah pada 1960 ialah di mana baginda berusia enam bulan dalam kandungan ketika kedua almarhum ayahanda dan bonda menunaikan ibadah haji.

Pada hari ini, seramai 483 jemaah haji terdiri daripada 200 lelaki dan 264 perempuan bersama 19 petugas berlepas ke Madinah melalui penerbangan keenam iaitu XY 5658.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dalam ucapannya berkata sehingga hari ini sebanyak 2,000 jemaah haji Malaysia sudah berada di Madinah.

Sejumlah 30,200 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan Rukun Islam kelima tahun ini menggunakan lebih 62 penerbangan sewa khas haji terus ke Tanah Suci bermula 4 Julai sehingga 4 Ogos 2019.

Mereka akan dibantu oleh 640 petugas daripada TH.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berangkat ke Majlis Santapan Aidilfitri di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Santapan Aidilfitri di Istana Negara.

Terdahulu, baginda berdua menerima menghadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Seri Mahkota, Istana Negara.

Baginda kemudiannya berkenan bersantap bersama anggota kabinet kerajaan, kerabat, dif-dif kenamaan utama dan duta-duta asing di Dewan Santapan Utama, Istana Negara.

KUALA LUMPUR, 5 Jun — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bersalaman dengan tetamu yang hadir pada Majlis Ramah Mesra dan Santapan Raya bersama Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri di Istana Negara hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Baginda turut beramah mesra dan bersalam-salaman dengan para tetamu yang hadir usai majlis santapan yang berlangsung kira-kira sejam.

Awal pagi tadi, Sultan Abdullah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara di sini.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penghuni Sekolah Tunas Bakti nikmati air tangan Permaisuri Agong

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Penghuni Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi (STBSB) hari ini amat bertuah bakal menikmati bubur lambuk resepi istimewa Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai juadah berbuka puasa.

Kepakaran dan kelincahan baginda memasak bukan lagi asing memandangkan Tunku Azizah memang terkenal dengan hobi memasaknya.

Baginda yang tiba pada 10.15 pagi disambut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Rose Lena Lazemi serta warga kerja STBSB.

Sebaik saja mengenakan apron, Tunku Azizah terus menyingsing lengan untuk menyediakan dua kawah bubur lambuk ayam dan daging dengan dibantu Hannah serta beberapa warga kerja STBSB.

Antara bahan digunakan baginda adalah santan, lada hitam, halia, bawang dan kerisik.

Selepas tekun memasak kira-kira sejam, baginda berkenan meluangkan masa melawat bengkel kemahiran sebelum menyampaikan bantuan hari raya kepada penghuni STBSB yang berumur sembilan hingga 18 tahun.

Bantuan itu sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Ahmad Zaki Resources Berhad.

Bubur lambuk air tangan baginda itu turut disediakan dalam 100 bungkusan untuk diagih kepada penghuni sekolah tersebut sebagai juadah berbuka.

Sementara itu, Pengetua STBSB Muhammad Razmee Abd Razak menyifatkan kunjungan tersebut sebagai suatu rahmat apabila mendapat tahu ini merupakan hasrat dan inisiatif Tunku Azizah sendiri.

Ditanya berhubung maklum balas daripada penghuni sekolah itu apabila mendapat tahu mengenai kunjungan Tunku Azizah, Muhammad Razmee berkata kesemua mereka berasa amat dihargai lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini.

“Pada mulanya mereka tidak percaya apabila saya beritahu, sebab saya sering bergurau dengan mereka, sehinggalah ada raptai, baru mereka percaya,” katanya.

STBSB, menempatkan 118 penghuni lelaki merupakan institusi kanak-kanak di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 1970 itu ditubuhkan bagi tujuan pendidikan, latihan dan penahanan di bawah Seksyen 65 Akta Kanak-Kanak 2001.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Air tangan Raja Permaisuri Agong buat Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Ramadan tahun ini membawa kenangan indah bagi anak kebajikan Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengunjungi penghuni rumah berkenaan.

Kunjungan Raja Permaisuri Agong bersama anakanda Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Atiyatullah diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merangkap Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat.

Pada majlis itu, Raja Permaisuri Agong berbesar hati berkongsi air tangannya memasak bubur lambuk menggunakan resepi istimewa baginda sebagai juadah berbuka puasa untuk rumah perlindungan itu.

Baginda kemudian berangkat melawat kediaman rumah perlindungan itu yang menempatkan 117 kanak-kanak berbilang kaum yang kurang bernasib baik, berusia bawah 12 tahun.

Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyampaikan bantuan kepada 100 penerima daripada rumah kebajikan itu, sumbangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan serta Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB).

Pembukaan Mesyuarat Parlimen Ke-13

sinopsis: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah merasmikan istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-13