Categories
AGENDA NASIONAL

Koleksi batik inderapura Raja Permaisuri dipamer sempena Hari Kraf Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Lebih 30 helai koleksi peribadi batik hasil sentuhan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan dipamerkan pada Hari Kraf Kebangsaan 2022 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur bermula esok hingga 7 Mac ini.

Pameran kali kedua Raja Permaisuri itu bertemakan Sentuhan Permaisuri: Explorasi dan Eksperimentasi Batik Inderapura akan mengetengahkan batik cantingan tangan dan cetakan blok oleh Seri Paduka menggunakan fabrik krep, sutera dan linen.

Pada sesi previu koleksi batik peribadi Tunku Hajah Azizah di Institut Kraftangan Negara (IKN) baru-baru ini, Pengarah Kanan IKN Abdul Halim Ali berkata keunikan koleksi itu adalah reka corak dan teknik batik tersebut dihasilkan secara eksperimental dan spontan Raja Permaisuri ketika mencanting.

Jelasnya, koleksi itu mempamerkan pelbagai teknik terap (batik blok), melukis dan mewarna batik yang digunakan Tunku Hajah Azizah berdasarkan pengalaman Seri Paduka termasuk beberapa teknik baharu boleh diangkat sebagai identiti batik Pahang.

“Antaranya ialah teknik sapuan warna secara berlapis dengan pola corak beragi dan berjalur seperti yang terdapat pada kain Tenun Pahang Diraja, selain teknik sapuan warna berlapis yang diolah secara vertikal, horizontal dan bersilang menghasilkan kesan tona warna berbeza.

“Gabungan teknik membatik yang berbeza secara eksperimental dan spontan inilah, Tunku Hajah Azizah menghasilkan satu identiti batik unik untuk negeri Pahang atau dikenali dengan nama Batik Inderapura,” katanya.

Beliau berkata bagi koleksi itu, kira-kira 14 batik dibuat secara berpasangan untuk dijadikan pakaian lelaki dan wanita, tiga bagi kemeja lelaki dan tujuh kain pasang wanita selain terdapat 10 kain skaf yang dilukis Seri Paduka ketika berada di London, United Kingdom turut dipamerkan.

Katanya lagi, selain koleksi batik Seri Paduka, rakaman video Tunku Hajah Azizah sepanjang proses menyiapkan kain batik itu turut akan ditayangkan kepada pengunjung.

Sementara itu, usahawan batik Yus Faizal Rahim bertindak sebagai pembantu Tunku Hajah Azizah ketika menghasilkan batik itu berkata Seri Paduka amat teliti dan tekun dalam setiap proses pembuatan koleksi tersebut, malah Raja Permaisuri akan berada seharian di bengkel batik di IKN untuk menyiapkan karya itu.

Beliau yang juga bekas graduan IKN berkata Seri Paduka menyiapkan setiap bahagian karya itu secara sendiri tanpa sebarang bantuan termasuk dalam pemilihan dan bancuhan warna serta reka corak batik.

“Tunku (Hajah Azizah) menyiapkan batik secara berterusan di setiap bahagian fabrik dan melapiskan warna satu demi satu pada batik sehingga berpuas hati dengan hasilnya. Sementara menunggu helaian batik yang diwarnakan menjadi kering, Seri Paduka akan menyiapkan helaian lain pula.

“Seri Paduka juga akan pastikan tiada pewarna yang digunakan itu dibazirkan, malah Tunku Hajah Azizah menggunakannya semula sehingga habis,” katanya.

Pameran Hari Kraf Kebangsaan 2022 dibuka setiap hari mulai esok, 10 pagi hingga 10 malam dan kemasukan adalah percuma.

Selain pameran, pelbagai aktiviti lain turut dilaksanakan termasuk seminar dan jualan produk daripada puluhan pengusaha dan usahawan kraf tangan tempatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, permaisuri kongsi gambar dua cucunda lelaki

SHAH ALAM, 3 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah berkenan berkongsi gambar dua cucunda yang selamat diputerakan baru-baru ini.

Istana Negara dalam perkongsian di Facebook turut berkongsi nama kedua-dua cucunda diberi nama Tengku Nuh Muhammad Shah Ibni Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser yang diputerakan Isnin lepas, manakala Tengku Aleya Norlini Tengku Abu Bakar Ahmad, semalam.

Menurut Istana Negara, Tengku Nuh Muhammad Shah adalah anakanda ketiga Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan.

Manakala Tengku Aleya Norlini pula adalah anakanda kedua Tengku Abu Bakar Ahmad dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri zahir takziah pemergian Tun Sakaran

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai yang meninggal dunia hari ini.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada masyarakat dan negara.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik di Facebook.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Sakaran yang berasal dari Semporna berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah kelapan bermula 1 Jan 1995 hingga 31 Dis 2002 dan sebelum itu pernah menjadi Ketua Menteri Sabah kelapan pada 1994.

Sakaran, 91, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Gleaneagles di Kota Kinabalu pada pukul 5.30 pagi tadi setelah dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital itu akibat jangkitan Covid-19. Beliau dimasukkan ke hospital itu pada 18 Ogos.

-BERNAMA

Foto. Facebook Bernama
Categories
AGENDA NASIONAL

Raja Permaisuri Agong zahir ucapan terima kasih kepada petugas hadapan wanita

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas kerja keras yang ditunjukkan pekerja wanita di negara ini, terutamanya petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik Covid-19.

Tunku Azizah bertitah petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor dan polis merupakan benteng negara dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19 dengan menabur khidmat secara penuh ikhlas, amanah, berkesungguhan dan bersemangat juang.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita buat semua rakyat dan wanita seluruh negara Malaysia.

“Semoga Hari Wanita tahun ini memberi keinsafan buat kita semua untuk terus berusaha menangani segala cabaran terutama musibah wabak Covid-19,” titah Tunku Azizah sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-59 secara maya, hari ini.

Majlis sambutan bertemakan ‘Wanita Berjuang Menghapus Covid-19’ itu adalah anjuran bersama Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).

Dalam titah ucapan itu, Tunku Azizah berharap masalah pendapatan, kesihatan fizikal dan mental, keselamatan serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan wanita diberi perhatian.

“Saya memandang berat tajuk forum yang dianjurkan NCWO sempena Hari Wanita tahun ini setelah kita melalui kesulitan wabak Covid-19, amat tepatlah masanya untuk kita bersama-sama mencari jalan untuk memulihkan negara dengan segera.

“Khususnya bagi meningkatkan kualiti hidup kaum wanita dan keluarga mereka dengan segera, seterusnya masyarakat sekeliling. Carilah jalan terbaik termasuk penggunaan teknologi untuk tingkatkan mutu kehidupan,” titah baginda.

Tunku Azizah turut berharap wanita diberi kemudahan dalam menjalankan tugas untuk memajukan kedudukan kaum wanita di negara ini.

Seri Paduka turut menzahirkan ucapan syabas kepada semua wanita yang telah memberi sumbangan sukarela semasa musibah Covid-19 melanda negara termasuk menyalurkan barang makanan, keperluan harian, khidmat kaunseling dan bantuan kepada warga emas, Orang Kurang Upaya serta kanak-kanak.

“Telah sampai ke pengetahuan saya bahawa sejak Perintah Kawalan Pergerakan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) wanita telah banyak beri sumbangan dalam membanteras wabak Covid-19.

“NCWO pula telah mengutip derma untuk membekalkan pakai pelindung diri bagi wad Covid-19 Pediatrik termasuk pakaian, sarung tangan dan kaki serta penutup muka. NCWO juga telah menyumbang alat bantuan pernafasan termasuk monitor, pelitup wajah dan kotak intubasi kepada beberapa hospital kita,” titahnya.

Dalam pada itu, semasa sesi webinar, Ahli Jawatankuasa Pengurusan NCWO Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata kajian mendapati satu daripada 100 wanita hamil dijangkiti virus Covid-19 di negara ini.

Katanya angka itu membimbangkan berikutan kebanyakan ibu mengandung yang meninggal dunia didapati tidak mengambil vaskin atau lengkapkan vaksinasi mereka.

“Individu yang meninggal dunia akibat Covid-19 adalah mereka yang ambil vaksin tidak lengkap, dua orang telah meninggal dunia. Ini bermakna individu yang meninggal dunia adalah mereka yang tidak mengambil vaksin.

“Ini kadang kala bukan kerana mereka tidak mahu divaksin sebaliknya pengaruh orang sekeliling seperti suami dan ibu,” katanya.

Justeru kesedaran mengenai kepentingan pengambilan vaksin Covid-19 perlu dipergiatkan dalam kalangan wanita terutama mereka yang sedang hamil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Misbun

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Datin Latifah Sidek, isteri kepada legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek yang meninggal dunia semalam.

Istana Negara menerusi laman Instagram rasmi hari ini, memaklumkan Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarhamah dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan dalam suasana sedih serta pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” demikian menurut hantaran tersebut.

Menurut Istana Negara, Allahyarhamah mendirikan rumah tangga bersama Misbun pada 1987 dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu Misbun Syawal, Lia Murni, Misbun Ramdan, Lia Alifah, Lia Dewi Rubita dan Misbun Awalauddin.

Arwah sebelum ini dilaporkan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 10 Julai lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Raja Permaisuri Agong beri penghormatan terakhir Allahyarham Ungku Aziz

KUALA LUMPUR 15 DIS: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail di sini, malam ini.

Baginda yang tiba di perkarangan masjid berkenaan bersama pegawai pengiring kira-kira pukul 8.00 malam, meluangkan sedikit masa bersama dengan keluarga Allahyarham Ungku Abdul Aziz.

Turut kelihatan di masjid berkenaan adalah anak perempuan Allahyarham, Tan Sri Dr Zeti Akhtar, yang merupakan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad.

Ungku Abdul Aziz, tokoh akademik berusia 98 tahun, meninggal dunia pada kira-kira pukul 4.00 petang tadi, dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, malam ini.

Allahyarham dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Jan 1922.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong jalani rawatan di IJN, rakyat diminta doakan kesihatan – Istana Negara

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin bagaimanapun memaklumkan keadaan kesihatan Al-Sultan Abdullah adalah tidak membimbangkan dan Seri Paduka dijangka dibenarkan keluar dari IJN dalam waktu terdekat.

“Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke Wad Diraja IJN semalam, selepas Seri Paduka mengadu kurang selesa dengan kesihatan.

“Al-Sultan Abdullah telah dinasihatkan supaya diawasi oleh doktor ketika ini dan Seri Paduka tidak dalam keadaan yang membimbangkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Fadil berkata Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang tiba di Kota Bharu, Kelantan semalam dalam rangka lawatan peribadi bergegas pulang hari ini, untuk bersama dengan Al-Sultan Abdullah.

Beliau menjelaskan, Tunku Azizah membatalkan lawatan tersebut yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari sehingga esok.

Seluruh rakyat diseru untuk mendoakan semoga Al-Sultan Abdullah dikurniakan kesembuhan dengan segera serta dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan Selamat Hari Guru

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di seluruh negara.

Dalam ucapan itu, Seri Paduka Baginda berdua turut memetik tema hari guru peringkat kebangsaan tahun ini iaitu ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’.

Tema itu menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Seri Paduka Baginda berdua bertitah sedemikian melalui hantaran pada akaun Instagram dan Facebook Istana Negara.

Hari Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei setiap tahun dengan tema sambutan tahun ini Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Air tangan Raja Permaisuri Agong jamu petugas perubatan

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Keprihatinan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terhadap rakyat tidak boleh dinafikan, lebih-lebih dalam situasi wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Semalam, Raja Permaisuri Agong berkenan menyajikan nasi berlauk hasil air tangan baginda kepada petugas di Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya.

“Hari ini (semalam) saya masak untuk doktor, jururawat dan petugas di Hospital Sungai Buloh. Semoga Allah SWT merahmati dan melindungi mereka yang bertugas untuk negaraku Malaysia,” titah Raja Permaisuri Agong melalui hantaran di Instagram.

Antara menu yang dihasilkan oleh baginda ialah nasi putih, kari ayam, sayur goreng dan telur dadar yang dibungkus rapi dan diedarkan kepada petugas berkenaan.

Manakala nasi goreng ‘cheminahsayang’ dan sambal tumis bilis serta kek muffin menjadi menu untuk petugas CPRC.

Hantaran tersebut mendapat perhatian warga maya yang memuji keprihatinan Tunku Azizah terhadap petugas perubatan, yang berkorban masa dan tenaga bagi merawat pesakit Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Tunku Azizah kurnia sumbangan peribadi pada mangsa taufan Habigis

TOKYO, 22 OKT: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan mengurniakan sumbangan peribadi baginda kepada mangsa Taufan Habigis, yang membadai Jepun baru-baru ini.

Tunku Azizah mengurniakan sumbangan itu pada Majlis Perjumpaan Bersama Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) Jepun yang berlangsung di sebuah hotel di sini.

Pada majlis itu, Tunku Azizah, Penaung Diraja WAGGGS, juga berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan 66 ahli Pandu Puteri Jepun.

Tunku Azizah dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berada di sini, selepas berkenan memenuhi undangan kerajaan Jepun untuk menghadiri Upacara Pertabalan Maharaja ke-126 mereka, Maharaja Naruhito di Istana Imperial hari ini.

Taufan Habigis yang membadai negara matahari terbit itu pada 12 Oktober lalu, dilaporkan mengorbankan lebih 70 mangsa.

Kejadian itu menyebabkan kerajaan Jepun memutuskan untuk menangguhkan acara perarakan Maharaja Naruhito yang sepatutnya berlangsung selepas tamat upacara pertabalan, kepada 10 November ini.

Maharaja Naruhito, 59, dimasyhurkan pada 1 Mei lalu, bagi menggantikan ayahanda baginda Maharaja Akihito, 85, yang melepaskan tahkta atas faktor kesihatan, sekaligus menjadi Maharaja pertama berbuat demikian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan Festival Busana Tradisional Kreatif Kuala Lumpur 2019.

Hadir bersama anakandanya, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah kira-kira pukul 2.45 petang, ketibaan Tunku Azizah di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) disambut dengan alunan muzik tradisional gamelan.

Baginda memasuki Dewan dengan diiringi isteri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datin Rabithah Zakariah, dan disajikan dengan persembahan tarian ‘selamat datang’ oleh artis budaya DBKL.

Tunku Azizah kemudiannya berkenan merasmikan festival itu dengan meletakan tangan baginda ke atas skrin sebagai gimik pelancaran.

“Sebagai seorang yang memartabatkan warisan tradisional, sudah tentu saya akan hadir (ke festival ini) kerana begitu minat dengan kraf dan warisan,” titah baginda ketika merasmikan festival berkenaan.

Tunku Azizah juga berkenan menerima persembahan tengkolok berwarna hitam bertekad benang emas yang direka khas sebagai tanda menjunjung kasih di atas kehadiran baginda ke majlis hari ini.

Terdahulu, Rabithah menyampaikan sembah ucapan menjunjung kasih mengalu alukan kehadiran baginda.

Selepas menyaksikan peragaan busana selama 30 minit, Tunku Azizah kemudiannya berkenan mencemar duli selama hampir setengah jam melawat ruang-ruang pameran yang memaparkan rekaan-rekaan hasil batik, songket serta hiasan tradisional, sebelum berangkat pulang.

Festival hari ini merupakan satu pertandingan fesyen yang berpaksikan kepada pakaian busana tradisional Malaysia dengan antaranya bertujuan untuk mengangkat, memartabatkan serta mengekalkan keunikan tradisi busana yang pelbagai dan unik.

Festival yang dicetuskan penganjurannya pada tahun 2017 itu dianjurkan bersama pereka fesyen Dwen Raha, bersempena Program Bulan Rekabentuk Kuala Lumpur 2019 (KUL Design Month 2019) untuk edisi tahun ini, dan acaranya dimeriahkan dengan kehadiran pereka tersohor dan ikon dalam bidang peragaan fesyen seperti Hatta Dolmat, Man Kajang, Shanell Harun, Shazreeyana Syukri dan Sanjeda John.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Tunku Azizah berkenan melawat Muzium Tekstil Jakarta

JAKARTA, 27 OGOS: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke Pameran ‘World Ikat Textiles 2019- Ikat: Ties That Bind’ di Muzium Tekstil, di sini.

Lawatan itu merupakan antara program Raja Permaisuri Agong yang mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam lawatan negara ke Indonesia, bermula semalam.

Tunku Azizah yang cukup meminati seni tekstil berkenan menyaksikan pameran itu yang menampilkan hampir 100 koleksi tenun dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Vietnam, dan Thailand.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Kwartir Nasional Gerakan Pramuka Indonesia serta ke Kongres Wanita Indonesia (Kowani).

Dalam rangka lawatan itu, Seri Paduka berdua turut dijadual berangkat ke Yogyakarta dan mengadakan pertemuan dengan Sultan Yogyakarta dan Gubernur Daerah Istimewa Yogyakarta, Sri Sultan Hamengkubuwono X serta melawat beberapa tempat bersejarah di sana.

– BERNAMA