Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

RAM Ratings jangka Bank Negara kekal OPR pada 1.75 peratus

KUALA LUMPUR, 5 MEI: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan berlangsung pada 6 Mei ini.

Agensi penarafan kredit itu berkata permintaan eksport kukuh, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang dijalankan dan pelbagai dasar fiskal serta monetari yang menyokong akan membantu dalam pemulihan ekonomi ketika ini.

“Paras kadar faedah sekarang adalah mencukupi untuk mengekalkan momentum pemulihan semasa,” kata RAM Ratings dalam satu kenyataan semalam.

Data terkini menunjukkan pemulihan yang lebih baik daripada yang dijangkakan untuk eksport.

RAM Ratings berkata keseluruhan indeks pengeluaran industri meningkat 1.5 peratus pada Februari berbanding secara purata sebanyak 2.8 peratus antara tahun 2018 dan 2019, disokong oleh sektor pembuatan.

“Ketika keadaan domestik Malaysia masih tidak berubah, kebangkitan global telah mendorong permintaan untuk barang-barang buatan kita, ia akan meningkatkan pengeluaran pembuatan Malaysia,” katanya.

Eksport melonjak 31 peratus pada bulan Mac dari 17.6 peratus pada bulan Februari, peningkatan itu adalah daripada segmen pembuatan yang mencatatkan pertumbuhan 35.8 peratus berbanding 20.9 peratus pada bulan Februari.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank di Malaysia kekal berdaya tahan depani krisis Covid-19

KUALA LUMPUR, 22 MAC: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) yakin bahawa bank-bank di Malaysia akan kekal berdaya tahan walaupun ekonomi terjejas akibat pandemik Covid-19.

RAM Ratings dalam satu kenyataan berkata ia mengekalkan unjuran stabil terhadap sektor perbankan tempatan yang disokong oleh asas yang kuat.

“Kami menjangka pengembangan pembiayaan akan mencapai sekitar tiga peratus pada tahun 2021 dengan pembiayaan isi rumah terus meningkat manakala pembiayaan perniagaan akan kekal pada kadar perlahan.

“Pembiayaan kenderaan dan rumah yang mencatatkan pertumbuhan kukuh tahun lepas akan terus mendapat manfaat daripada pelbagai insentif untuk pembelian kereta dan hartanah,” kata Ketua Bersama Penarafan Institusi Kewangan RAM Ratings, Wong Yin Ching.

Bagaimanapun, Wong berkata jangkaan itu tertakluk kepada risiko penurunan seperti kelewatan yang tidak dijangka dalam program vaksinasi atau gelombang baharu penularan Covid-19, yang mungkin memerlukan langkah pencegahan yang lebih ketat.

Menurut RAM Ratings, nisbah nilai kasar pinjaman yang terpaksa dilaraskan bank (GIL) sistem perbankan kekal stabil pada 1.60 peratus pada akhir Januari 2021, lebih tinggi daripada 1.51 peratus pada akhir Disember 2019.

Ia berkata nisbah itu berkemungkinan meliputi Bantuan Pembayaran Balik Bersasar (TRA) yang telah disediakan untuk peminjam perusahaan individu dan kecil dan sederhana berikutan penamatan moratorium pinjaman selama enam bulan yang bermula pada September 2020.

Selain itu, bank-bank kekal komited untuk membantu peminjam korporat menyusun dan menjadualkan semula pembayaran (R&R) pinjaman mereka.

Ia berkata data terbaru menunjukkan sekitar 13 peratus, antara tujuh peratus hingga 18 peratus untuk bank individu daripada lapan portfolio domestik bank tempatan terpilih berada di bawah TRA dan R&R.

“Berdasarkan jangkaan kami, nisbah GIL industri mungkin meningkat sekitar 2.3-2.5 peratus pada tahun 2021.

“Kami menjangka GIL akan mencapai paras kemuncaknya pada tahun 2022 selepas semua langkah bantuan sementara berakhir,” Ketua Bersama Penarafan Institusi Kewangannya, Sophia Lee.

Beliau berkata bank-bank secara pre-emptif membina penampan peruntukan mereka pada tahun 2020 bagi mendepani tempoh yang mencabar apabila kualiti aset asas mereka menjadi ketara pada separuh kedua 2021 atau 2022.

Agensi penarafan itu berkata pendapatan bank-bank di Malaysia pada tahun 2020 terjejas oleh peruntukan pre-emptif yang tinggi sebelum ini, kerugian pengubahsuaian dan penyusutan margin faedah bersih (NIM).

Ia berkata NIM terjejas teruk oleh Bank Negara Malaysia sebanyak 125 mata asas (bps) ditambah dengan caj pengubahsuaian.

“Pendapatan bank dijangka akan meningkat pada tahun 2021 dengan ketiadaan perbelanjaan pengubahsuaian dan NIM yang meningkat semula kerana deposit kebanyakannya akan dikenakan pada kadar yang lebih rendah,” katanya.

Ia berkata keuntungan keseluruhan cenderung terus mengalami tekanan oleh caj kemerosotan tinggi tetapi kedudukan kecairan sistem perbankan akan kekal stabil.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI

BNM dijangka kekalkan OPR pada 3.25 peratus

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.25 peratus memandangkan keperluan untuk mengimbangi antara tekanan aliran keluar modal dan sokongan pertumbuhan, kata RAM Ratings.

Firma penyelidikan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, walaupun inflasi keseluruhan diunjur meningkat tahun ini, kadar peningkatannya tidak dijangka menjadi titik pencetus, berbanding risiko penurunan pertumbuhan daripada konsolidasi fiskal, pasaran modal yang tidak menentu, ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan ketidakpastian berhubung Brexit.

Inflasi dijangka rendah pada -0.5 peratus pada Januari 2019 (Dis 2018: +0.2 peratus), dalam keadaan tekanan deflasi daripada komponen bahan api pengangkutan.

“Pada masa depan, inflasi keseluruhan dijangka meningkat kepada 2.0 peratus tahun ini, dipacu terutamanya daripada jangkaan kesan limpahan berterusan daripada pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan dan kesan asas rendah semasa tempoh tiga bulan tanpa Cukai Barang dan Perkhidmatan (Jun-Ogos 2018).

“Kesan itu dibayangkan terutamanya bagi komponen makanan, dan akan menjadi pemacu utama inflasi keseluruhan pada 2019,” katanya, lapor BERNAMA.

Categories
EKONOMI

RAM Ratings: Malaysia di hadapan berbanding pasaran kewangan Islam lain

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Malaysia di hadapan berbanding pasaran kewangan Islam lain dari segi kematangan dalam pembangunan ekosistem kewangan Islamnya, kata RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings).

Menurut RAM Ratings, ini berdasarkan dua laporan yang dihasilkan bersama Akademi Penyelidikan Shariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam untuk Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Pertubuhan Kerjasama Islam.

“Kajian pasaran itu, yang dilaksanakan di beberapa bidang kuasa, termasuk pembabitan yang komprehensif dengan pengawal selia dan peserta pasaran, yang memainkan tugas kritikal dalam menyokong cadangan dasar yang dicadangkan dalam laporan berkenaan,” kata firma berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan pertama, Tugas Sukuk dalam Pasaran Modal Islam (The Role of Sukuk in Islamic Capital Markets) adalah analisis komprehensif terhadap sebahagian peranan dimainkan Sukuk dalam pembangunan ekonomi negara dengan penilaian perbandingan dibuat antara matang (Malaysia) dan pasaran membangun (Emiriyah Arab Bersatu, Indonesia, Turki, Hong Kong) juga mereka yang masih baru (Nigeria)

Sementara itu, laporan Pengurusan Dana Islam (The Islamic Fund Management) mengulas mengenai pembangunan industri pengurusan dana Islam dan menganalisa faktor yang diperlukan untuk menyokong pertumbunan mampan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI SELANGOR

RAM Ratings: Selangor antara lima negeri miliki metrik ekonomi menggalakkan

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: RAM Ratings Services Bhd telah meletakkan kedudukan Selangor, Sarawak, Perak, Johor dan Pulau Pinang sebagai negeri-negeri yang kukuh, selepas menerima sokongan daripada metrik ekonomi yang mengalakkan.

Katanya, kelima-lima negeri itu mempunyai pengurusan kewangan yang mantap, dengan lebihan operasi yang berterusan termasuk rizab yang lebih besar.

Sebaliknya, agensi penarafan itu berkata, ada negeri yang diletakkan dalam kategori yang terendah, yang mempunyai jurang pembangunan yang signifikan dan kelemahan institusi yang ketara, mengakibatkan tunggakan yang besar dalam kutipan hasil serta pembayaran balik hutang.

“Apa-apa perbezaan antara negeri-negeri akan dipertimbangkan dalam laporan Kekuatan Tersirat Negeri RAM – penerbitan pertama seumpamanya ke atas negeri-negeri di Malaysia bagi memenuhi permintaan pasaran untuk pandangan ekonomi makro dan kewangan mengenai kesemua 13 negeri di negara ini,” katanya.

Laporan Kekuatan Tersirat Negeri dijual pada harga RM150 untuk satu salinan atau RM1,500 bagi kesemua 13 negeri.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

RAM Ratings: Inflasi September dijangka cecah 4.6%

KUALA LUMPUR 17 OKT: RAM Ratings menjangka kadar inflasi meningkat kepada 4.6 peratus pada September 2017, di tengah-tengah kenaikan harga minyak.

Peningkatan itu dijangka berada pada 0.9 mata peratusan lebih tinggi berbanding kenaikan 0.5 mata peratusan pada Ogos, kata agensi penarafan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kenaikan pantas harga pengguna disokong oleh harga petrol runcit yang tinggi pada purata RM2.19 seliter pada September (berbanding RM2.12 pada Ogos) susulan kenaikan tinggi harga minyak mentah global.

“Purata harga minyak mentah Brent melonjak kepada AS$56.15 setong pada September yang menjadi paras tertinggi sejak Julai 2015.

“Ini akan meningkatkan sumbangan komponen pengangkutan kepada keseluruhan inflasi pada September,” kata RAM.

Dalam keadaan ini, agensi penarafan itu mengekalkan inflasi keseluruhan pada 3.8 peratus yang diunjurnya bagi 2017.

“Keseluruhan harga pengguna dijangka meningkat pada kadar perlahan 3.5 peratus dalam separuh kedua 2017 memandangkan jangkaan sumbangan sederhana daripada komponen makanan dan pengangkutan apabila kesan asas rendah menghilang, terutamanya dalam suku keempat tahun ini,” kata RAM.

SUMBER: BERNAMA