Categories
AGAMA SELANGOR

25 masjid baru dibina, usaha popular konsep wakaf dipuji Sultan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 SEPT: Sebanyak 25 buah masjid baru yang telah dan bakal dibina di bawah Rancangan Pembangunan Malaysia Ke-11 (RMK-11) mencerminkan dasar kepedulian rakyat ditekankan Kerajaan Negeri.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda turut berkenan dengan usaha Kerajaan Negeri mempopularkan konsep wakaf bagi pembinaan masjid dan surau seiring dengan hala tuju dan matlamat Perbadanan Wakaf Selangor.

“Sebagai sebuah negeri yang menekankan prinsip kepedulian rakyat, Beta amat berkenan dengan usaha dan inisiatif dilakukan oleh Dato’ Menteri Besar, terhadap usaha meningkatkan kualiti dan prasarana masjid dan surau di Selangor.

“Selain pembinaan masjid atau surau dengan menggunakan peruntukan kerajaan, kini Selangor telah dapat melihat beberapa buah masjid dapat dibina dengan peruntukan 100 peratus dana wakaf atau sebahagiannya dana wakaf dan sebahagiannya peruntukan Kerajaan Negeri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Baginda turut menekankan pembinaan institusi keluarga yang mana memberi kesan besar terhadap pembangunan masyarakat.

Titah baginda, kerjasama antara agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, para ilmuan dan pertubuhan yang sentiasa berazam mencari penyelesaian terhadap sebarang isu dalam masyarakat haruslah dipuji.