Categories
AGENSI SELANGOR

Polis serbu tiga premis lombong matawang kripto guna elektrik curi

SERDANG, 9 DIS: Polis menyerbu tiga premis disyaki menjalankan aktiviti melombong matawang kripto menggunakan tenaga elektrik disambung secara haram di Bandar Kinrara, di sini, awal bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah berkata empat suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan ditahan dalam serbuan pada 5 November lepas, kira-kira pukul 10.20 pagi di Jalan PUJ 3 / 8 Taman Puncak Jalil yang turut disertai pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata TNB menganggarkan mereka kerugian kira-kira RM90,000 sebulan akibat pengoperasian tiga premis berkenaan yang membuat pendawaian sendiri bagi 240 mesin melombong matawang kripto yang berjaya dirampas.

“Siasatan mendapati sindiket ini sudah beroperasi dua bulan dan memerlukan tempoh empat bulan untuk menjana satu unit matawang kripto Bitcoin bagi satu mesin, yang bermakna mereka boleh menjana kira-kira RM17 juta jika terus beroperasi selama empat bulan,” katanya pada sidang media Op Api TNB, di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan juga mendapati setiap premis itu hanya mencatat bil elektrik tidak sampai RM1,000 sebulan hasil daripada pendawaian haram yang dilakukan.

Razali berkata semua suspek yang ditahan berumur 29 sehingga 54 tahun dengan salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan curi elektrik dan khianat serta pernah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula pada 5 November sehingga 12 November lepas sebelum dibenarkan dilepaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan juga mendapati ketiga-tiga premis rumah kedai dua tingkat yang terletak berdekatan itu disewakan daripada tiga pemilik berbeza dan pemilik-pemilik premis tidak mengetahui penyewa membuat kegiatan menyalahi undang-undang,” katanya.

Beliau juga menjelaskan mesin melombong matawang kripto berkenaan diimport dan berharga antara RM200 sehingga RM500 setiap satu manakala ketiga-tiga premis itu beroperasi 24 jam sehari sebelum kegiatan mereka terbongkar.

-BERNAMA