Categories
AGENDA NASIONAL

Dua geng dadah berparang rebut kawasan ditahan, beberapa lagi diburu

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Polis menahan 14 individu sehingga tengah hari ini yang disyaki terlibat dalam kes pergaduhan bersenjatakan parang melibatkan anggota Geng 08 Sungai Besi Indah dan Geng 36 Bukit Belimbing di Taman Juara Jaya, Batu 9 Cheras pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata pihaknya bersama JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan JSJ IPD Serdang secara bersepadu menjalankan Ops Cantas bagi mengesan saki baki suspek.

“Motif kejadian adalah perebutan kawasan jualan dadah antara Geng 08 Sungai Besi Indah dari Serdang dan Geng 36 Bukit Belimbing dari Kajang.

“Menurut beliau geng dari Serdang itu diketuai lelaki tempatan dengan panggilan Sara 08 Sungai Besi Indah dengan orang kanannya dikenali sebagai Rajie 5000, manakala geng dari Kajang diketuai seorang lelaki tempatan dengan panggilan Tan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak JSJ Selangor mengenal pasti beberapa lagi individu yang boleh membantu siasatan berkaitan kes ini.

Sementara itu, kejadian pergaduhan itu turut tular menerusi video yang memaparkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang mencederakan sekumpulan lelaki yang lain.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pergaduhan sekumpulan lelaki pada 6.37 petang dan menahan empat suspek.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes, boleh berhubung mana-mana balai berdekatan atau Pegawai Penyiasat ASP Mohd Radzee Jamudi di talian 019-6655811,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan senjata serta Seksyen 148 kanun sama kerana memiliki senjata dan merusuh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas barisan hadapan PKRC MAEPS 2.0 tabah melangkah tahun baharu

SERDANG, 1 JAN: “Mungkin kerana saya berkorban, Allah permudahkan urusan saya,” kata seorang petugas barisan hadapan, Intan Rosmawannie Adlan, yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC MAEPS 2.0).

Intan Rosmawannie, 34, yang merupakan pegawai penyelaras Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) PKRC MAEPS 2.0 bekerja di di pusat itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada Mac 2020.

Terdahulu dari bulan Oktober hingga Disember 2019, beliau membuat persiapan menghadapi monsun timur laut, sebelum jangkitan Covid-19 pertama dikesan dalam negara awal tahun 2020, yang meletakkan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai penyelaras data bagi individu di bawah pengawasan (PUS) yang baru tiba dari luar negara.

Menurut Intan, beliau masih melaksanakan tugas yang sama di KLIA sehingga sekarang, sebagai tambahan kepada kedudukan beliau sebagai penyelaras NADMA bagi PKRC MAEPS pertama dari Mac hingga Julai 2020 dan PKRC MAEPS 2.0 sejak awal Disember 2020.

“Cuti panjang tiada langsung, sejak Okt tahun lepas (2019). Cuti yang dibekukan pun tidak ‘cair’ lagi,” kata ibu kepada dua anak itu secara berseloroh.

“Saya harap diberi kekuatan untuk meneruskan kerja di sini. Sepanjang bekerja, Alhamdulillah saya tidak pernah sakit atau demam walaupun tempat yang saya pergi semua berisiko tinggi dan saya juga tidak pernah kena swab test sebab tiada gejala,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Intan mengakui bahawa ia merupakan tempoh yang sukar bagi keluarganya kerana beliau tidak dapat bersama untuk tempoh yang panjang seperti sebelumnya, dan pada masa yang sama suaminya yang bekerja dalam industri penerbangan pula telah kehilangan pekerjaan November lepas.

“Saya datang kerja, orang selalu nampak saya ‘happy’, tapi sebenarnya saya sedih sangat, keluarga macam terabai. Kalau ikutkan, saya juga ‘down’, suami saya juga ‘down’ sebab tiada kerja. Selalu terfikir mengenai kewangan kami,” katanya.

Bagi Timbalan Pengarah 2 PKRC MAEPS 2.0 Kol Dr Aeriza Mohd Yusak pula, beliau berharap para petugas barisan hadapan akan diberikan kesihatan dan kekuatan dalam menempuh saat yang sukar ini, dan menurutnya mereka yang bertugas memerangi pandemik semasa tempoh yang sukar ini, tidak kira sama ada petugas barisan hadapan atau sebaliknya, mereka telah melakukan pengorbanan yang amat besar kepada negara.

“.. dari segi tenaga, mental, fizikal dan serba serbi, ia adalah pengorbanan kepada setiap kita. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah, dan saya harapkan semua daripada kami petugas di sini dan semua ‘frontliners’ untuk meneruskan kerja,” katanya.

Dr Aeriza, 42, yang juga Pakar Perubatan Keluarga di Jabatan Perubatan Tentera Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, sebelum ini ditugaskan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) pada bulan Jun lepas, sebelum ditukarkan ke PKRC MAEPS 2.0.

“Jadi tahun 2020 ini memang banyak yang berlaku dalam diri saya secara individu. Untuk PKRC MAEPS 2.0, ini lapangan baharu. Proses kerja dan pasukan sini semuanya baharu, jadi saya kena cepat adaptasi dengan apa yang baharu ini, supaya perjalanan menjadi lancar.

“Alhamdulillah, saya mempunyai suami yang sungguh memahami yang sokong saya daripada belakang, kerana tanpa dia sokongan ibu bapa, saya tidak akan sampai ke tahap saya berada hari ini,”katanya.

Terdahulu di PKRC MAEPS 2.0, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas) Datin Mastura Mohd Yazid melawat pusat kuarantin sementara, dan mengadakan mesyuarat dengan petugas barisan hadapan dari semua agensi.

Bercakap kepada media selepas lawatan itu Mastura berkata tahun 2020 merupakan tahun yang amat mencabar bagi seluruh rakyat Malaysia, terutama kepada petugas barisan hadapan yang berkhidmat kepada negara tanpa mengira waktu dan keselamatan sendiri.

Melihat kepada trend jangkitan Covid-19, beliau berkata rakyat Malaysia boleh membantu petugas barisan hadapan dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam memutuskan rantaian jangkitan, di samping menyuarakan empati.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis serbu tiga premis lombong matawang kripto guna elektrik curi

SERDANG, 9 DIS: Polis menyerbu tiga premis disyaki menjalankan aktiviti melombong matawang kripto menggunakan tenaga elektrik disambung secara haram di Bandar Kinrara, di sini, awal bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah berkata empat suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan ditahan dalam serbuan pada 5 November lepas, kira-kira pukul 10.20 pagi di Jalan PUJ 3 / 8 Taman Puncak Jalil yang turut disertai pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata TNB menganggarkan mereka kerugian kira-kira RM90,000 sebulan akibat pengoperasian tiga premis berkenaan yang membuat pendawaian sendiri bagi 240 mesin melombong matawang kripto yang berjaya dirampas.

“Siasatan mendapati sindiket ini sudah beroperasi dua bulan dan memerlukan tempoh empat bulan untuk menjana satu unit matawang kripto Bitcoin bagi satu mesin, yang bermakna mereka boleh menjana kira-kira RM17 juta jika terus beroperasi selama empat bulan,” katanya pada sidang media Op Api TNB, di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan juga mendapati setiap premis itu hanya mencatat bil elektrik tidak sampai RM1,000 sebulan hasil daripada pendawaian haram yang dilakukan.

Razali berkata semua suspek yang ditahan berumur 29 sehingga 54 tahun dengan salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan curi elektrik dan khianat serta pernah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula pada 5 November sehingga 12 November lepas sebelum dibenarkan dilepaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan juga mendapati ketiga-tiga premis rumah kedai dua tingkat yang terletak berdekatan itu disewakan daripada tiga pemilik berbeza dan pemilik-pemilik premis tidak mengetahui penyewa membuat kegiatan menyalahi undang-undang,” katanya.

Beliau juga menjelaskan mesin melombong matawang kripto berkenaan diimport dan berharga antara RM200 sehingga RM500 setiap satu manakala ketiga-tiga premis itu beroperasi 24 jam sehari sebelum kegiatan mereka terbongkar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor Dredging lancar dua projek lebih RM905 juta

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Selangor Dredging Bhd (SDB) merancang untuk melancarkan dua projek baharu di Singapura dan Selangor tidak lama lagi dengan gabungan nilai pembangunan kasar (NPK) sebanyak RM905.62 juta.

Pengarah Urusannya Teh Lip Kim berkata projek kediaman Myra di Singapura membabitkan NPK kira-kira $150 juta (RM455.62 juta) akan dilancarkan menjelang akhir tahun ini manakala vila kondominium di Serdang, Selangor, meliputi NPK sebanyak RM450 juta dan tarikh pelancarannya akan ditentukan kelak.

“Myra yang dijangka siap menjelang 30 Nov 2024, menawarkan ciri-ciri eksklusif menerusi 85 unit kediaman di bangunan setinggi 12 tingkat,” katanya kepada Bernama.

Menurut Teh, Myra yang juga antara pembangunan pegangan bebas terbaharu syarikat itu, direka khusus berteraskan prinsip sesuai didiami dan terletak 150 meter dari stesen MRT (Transit Aliran Massa) Potong Pasir.

Lokasinya juga strategik meliputi perancangan kawasan warisan sepanjang 4.2 kilometer yang merentasi pelbagai kawasan kediaman, rumah kedai warisan serta institusi pendidikan.

Pada jarak satu kilometer dari Myra pula terletak taman sepanjang 1.6 kilometer – Bidadari Greenway dan Bidadari Park.

Lebih menarik, Myra juga terletak di tengah-tengah inisiatif utama Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar republik itu yang bertujuan memperhebatkan lagi usaha menghijaukan Serangoon selain dijadikan kawasan yang mengehadkan penggunaan kereta serta mesra aktiviti berbasikal.

Menurut Teh, projek dengan binaan mukaan luaran bulat dan elemen praktikal bagi melindungi penghuninya, mendapat sentuhan reka bentuk oleh arkitek United Kingdom yang pernah meraih anugerah, Pitman Tozer Architects dan bekerjasama dengan JGP Architecture.

Selain itu, mengulas Hotel Maya milik syarikat itu di ibu negara, beliau berkata hotel berkenaan telah memulakan usaha pengubahsuaian untuk menjadikannya lebih menarik.

“Usaha pengubahsuaian itu akan dijalankan secara berperingkat dan dianggarkan 284 biliknya akan siap menjelang Jun 2021.

“Pada masa ini, sebanyak 60 bilik dengan pemandangan menarik bangunan KLCC dan sekitarnya, telah diubah suai. Tetamu boleh menginap mulai 1 Oktober dengan pakej menarik khusus untuk rakyat Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

RM8 juta bagi pembinaan SRA Balakong dan Selangor Selepas 4 Tahun – Salam Selangor

Episod 96

Sinopsis:

Serdang merupakan sebuah pekan di daerah Petaling Jaya dan terletak berdekatan dengan Balakong dan Seri Kembangan. Sekolah Rendah Agama Rakyat di Taman Tun Perak merupakan sekolah terbesar di Selangor yang telah beroperasi sejak 2012 . Kerajaan membelanjakan sekurang-kurang RM 8 juta untuk membina sekolah ini.

Tetamu :
1.Encik Alex Neo (Pegawai Khas DUN Balakong)
2. Hj Shamsuddin Sa’ari

sra