Categories
AGENDA SUKANKINI

Seorang lagi positif Covid-19 di Akademi Badminton Malaysia

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Seorang individu didapati positif Covid-19 selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melaksanakan saringan ketiga ke atas 91 atlet, jurulatih dan kakitangan sokongan di Akademi Badmintion Malaysia (ABM) di Bukit Kiara semalam.

BAM dalam satu kenyataan hari ini berkata atlet dan pegawai yang berada di ADM akan terus berada dalam tempoh pengasingan kendiri menurut protokol kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara dan Institut Sains Sukan (ISN) sehingga diberitahu kelak.

Setiap orang di dalam BAM mendoakan kesemua atlet (terkesan) sembuh dengan segera,” kata kenyataan itu.

Enam pemain di ABM disahkan positif Covid-19 pada 17 April, dan pada 23 April BAM mengesahkan lapan lagi pemain simpanan didapati positif jangkitan virus itu dalam saringan pada 20 April.

Kesemua 14 pemain yang didapati positif dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dengan empat daripada mereka dibenarkan pulang ke rumah semalam.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata tiada masalah kepada skuad senior kebangsaan untuk kembali berlatih pada Selasa (27 April) jika tiada lagi kes Covid-19 dilaporkan di ABM.

Skuad badminton negara, yang berhenti berlatih minggu lepas perlu kembali melakukan persiapan unutk Olimpik Tokyo yang dijadualkan pada Julai ini selain kejohanan-kejohanan lain yang menyumbangkan mata untuk melayakkan diri ke temasya sukan itu, antaranya Terbuka Malaysia dari 25 hingga 30 Mei dan Terbuka Singapura (1 hingga 6 Jun).

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Bekas pemain bantu Selangor juarai Piala Malaysia lima kali meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Shah Alias Norbit meninggal dunia di kediamannya di Taman Keramat di sini pada usia 68 tahun, semalam.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang memaklumkan berita sedih itu menerusi akaun Twitternya, mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham yang pernah beraksi di posisi tengah serta kedua-dua sayap kanan dan kiri bersama skuad kebangsaan dan Selangor.

Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), yang sempat melawat arwah yang menderita akibat kencing manis dan darah tinggi bagi tempoh yang agak lama pada tengah hari semalam, turut mengucapkan takziah menerusi Twitter.

Allahyarham yang pernah mewakili negara dalam beberapa perlawanan penting dan menjadi jurulatih beberapa pasukan negeri, dilaporkan meninggal dunia pada jam 6.15 petang.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengucapkan takziah atas pemergian arwah Mohd Shah yang pernah membentuk jentera serangan negara bersama Allahyarham Datuk Mohd Mokhtar Dahari serta pemain adik-beradik Isa dan Ali Bakar pada saingan Pestabola Merdeka dan Sukan SEAP 1975.

“Lincah menggelecek di garisan tepi sebagaimana abangnya Zulkifli, Mohd Shah terkenal dengan larian deras serta tipu helah menggunakan tumitnya atau ‘back-heel’ bagi mengelirukan lawan selain dianugerahkan dengan kepandaian menghidu peluang, bermula dengan jaringan tunggal yang membantu Selangor menjuarai Piala Burnley pada 1970.

“Mohd Shah turut diberi penghormatan menyarung jersi negara ketika kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal bertandang ke tanah air pada Mei 1975. Pasukan negara menang 2-0 pada perlawanan 11 Mei di Stadium Merdeka dan seri 1-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada perlawanan 17 Mei,” menurut perkongsian FAM di laman Facebook rasminya.

Mohd Shah juga pernah membantu Selangor muncul juara Piala Malaysia sebanyak lima kali dalam enam penampilan di final, termasuk menjaringkan gol pada final 1971 dan 1972.

Allahyarham kemudian menabur bakti sebagai jurulatih di peringkat remaja untuk membantu skuad Piala Presiden Selangor muncul juara sebanyak dua musim tanpa kalah pada 1994 dan 1995, selain berkhidmat lama selaku penolong jurulatih skuad senior Selangor di bawah khidmat jurulatih Datuk M. Chandran, Bernd Schumm, Ken Worden, Ken Shellito, Datuk K. Rajagobal dan Steve Wicks.

Sebagai jurulatih, beliau telah mengendalikan Melaka, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Putrajaya, Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan wanita kebangsaan ke Sukan SEA Korat 2007.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

PKPB: Fasiliti sukan komersial dibenar operasi 19 Okt, patuhi SOP – KBS

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengeluarkan garis panduan tatacara operasi piawai (SOP), membabitkan fasiliti sukan komersial dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang dibenarkan beroperasi semula bermula Isnin ini.

KBS dalam kenyataan media menyatakan, fasiliti tersebut perlu mematuhi arahan termasuk tiada sentuhan badan dengan penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik, manakala tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik.

Menurut kenyataan itu, aktiviti di padang bola sepak dan gelanggang futsal hanya untuk tujuan latihan sahaja dan terhad kepada maksimum 10 peserta pada satu-satu masa, dan setiap pengusaha perlu menjadualkan pelaksanaan latihan sekiranya terdapat ramai peserta, dengan mengehadkan jumlah tidak melebihi jumlah maksimum itu.

KBS memaklumkan bahawa pelaksanaan operasi di gimnasium dan dewan badminton pula, perlu mengikut SOP sebelum ini khususnya mengenai larangan perkongsian peralatan, sanitasi peralatan yang kerap dan penjadualan slot untuk memastikan kawalan bilangan pengguna pada satu-satu masa.

Sementara permainan dan kejohanan yang melibatkan sentuhan badan masih dilarang buat masa ini.

“Bagi memastikan pematuhan terhadap SOP ini tidak diambil mudah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri akan sentiasa melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara semalam memutuskan pemilik dan pengusaha fasiliti sukan komersial dalam kawasan PKPB iaitu padang bola sepak komersial, gimnasium dan gelanggang futsal, termasuk dewan badminton komersial, dibenar beroperasi semula mulai 19 Oktober.

-BERNAMA