Categories
EKONOMI

Anjakan minda PKS jadi cabaran utama capai Revolusi Perindustrian 4.0

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Anjakan minda perniagaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menjadi cabaran utama untuk mengubah diri mereka agar selari dengan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Ketua Rantau ASEAN Internet Perkara (IoT) Perindustrian Advantech Co. Malaysia Sdn Bhd, Elvin Ng berkata, PKS keberatan untuk bergerak satu langkah ke depan, mungkin disebabkan masalah kewangan atau infrastruktur dalaman.

Bagaimanapun, beliau berkata Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 dikenali sebagai Industry4WRD yang dilancarkan bulan lepas, boleh membuka jalan bagi transformasi perniagaan ini kerana beliau percaya Malaysia masih berada di hadapan dari segi teknologi dan pembangunan bakat berbanding beberapa negara tertentu.

“IR 4.0 bukan prosedur operasi standard, ia adalah proses transformasi perniagaan dan ia bergantung kepada sejauhmana agresif dan inovatif (syarikat itu) dan inisiatif korporat yang diambil. Saya menjangka Malaysia akan mencapai IR 4.0 sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun,” katanya pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (PIKOM) baru-baru ini.

“Kami percaya IR 4.0 telah dimulakan sejak 2009 dan kita telah melalui pelbagai fasa kerjasama teknologi,” katanya kepada Bernama.

Ekosistem Co-Creation Advantech, kata Ng, adalah satu konsep untuk kejayaan IoT masa depan, kerana ia bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menyediakan penyelesaian yang memberi fokus pada domain untuk pelbagai aplikasi dan untuk mewujudkan ekosistem Industri 4.0 tempatan untuk mempercepat transformasi perindustrian.

“Ia adalah model perniagaan, konsep transformasi antara teknologi dan pemain tempatan yang mewujudkan perniagaan baru, supaya ia dapat membantu usahawan tempatan keluar dari Malaysia ke Asia Tenggara dan ke seluruh dunia,” katanya.

Setakat ini, Advantech Malaysia telah menubuhkan satu pusat kecemerlangan dan hab perniagaan di Bandar Utama, Petaling Jaya, kerana ia akan menyokong proses penciptaan bersama serantau, yang kini memberi tumpuan kepada Asia Tenggar, dan membawa hubungan ke Malaysia.

“Penciptaan bersama telah bermula dua tahun lalu dan kini kami telah menentukan 13 rakan kongsi penciptaan global dan sejak dua minggu lalu kami telah terlibat dengan dua lagi syarikat dari Malaysia,” tambahnya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Pelaburan dalam modal insan penting ke arah IR 4.0

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Pelaburan dalam modal insan penting kepada negara dalam usaha mereka ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), menurut duta Taiwan.

Pengarah Bahagian Ekonomi, Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia David Hsu berkata, seperti Taiwan, Malaysia juga perlu memberi tumpuan kepada memupuk dan melatih generasi muda untuk menerima IR 4.0.

“Kami tidak mempunyai tenaga buruh asing untuk memenuhi keperluan tenaga kerja mahir. Oleh itu, kami perlu bergantung kepada rakyat kami sendiri.

“Itu sebabnya kami perlu mencuba yang terbaik untuk membangunkan tenaga kerja dalam semua sektor,” katanya pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) di sini, semalam.

Bercakap kepada Bernama selepas itu, beliau berkata Taiwan kini menumpukan kepada merangka dan menambah subjek teknologi di sekolah vokasional selain meningkatkan sumber di universiti.

“Selain itu, kami perlu menggalakkan syarikat serta perusahaan kecil dan sederhana menjalankan latihan sambil bekerja dengan kerajaan Taiwan menyediakan bantuan kewangan kepada mereka.

“Kami menjadikan latihan sambil bekerja sebagai wajib dan mengenakan denda kepada mereka yang tidak melaksanakannya. Ini merupakan prinsip teras latihan di Taiwan,” katanya.

Hsu berkata IR 4.0 atau dinamakan Produktiviti 4.0 di Taiwan menggabungkan proses pertanian dan perniagaan.

“Kedua-duanya sama antara satu sama lain memandangkan matlamat akhir untuk menambah baik keseluruhan kapasiti ekonomi dan keupayaan supaya teknologi dan produk kami boleh bersaing di pasaran dunia,” katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu menyakinkan PKS mengenai keperluan untuk menukar mesin pembuatan mereka, memberi penerangan kepada mereka mengenai modal dan sumber, hubungan antarabangsa dan kaedah untuk memasarkan barangan mereka ke luar negara.

“Kami mengajar mereka cara untuk menyelesaikan masalah tersebut. Jika tidak, mereka tidak akan dapat memenuhi keperluan kerajaan,” katanya sambil menambah kerajaan Taiwan berusaha untuk menerapkan DNA ekonomi yang inovatif dalam corak pemikiran PKS.

Beliau berkata kerajaan Taiwan akan bekerjasama dengan Malaysia mengenai dasar IR 4.0, terutamanya tentang cara untuk mengintegrasikan rantaian bekalan dan mengoptimumkan proses pengeluaran.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI SAINS & INOVASI SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Wanita perlu mendepani Revolusi Industri 4.0

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 16 JUN: Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) yang membabitkan teknologi automasi dan penemuan pelbagai teknologi baharu, bakal merancakkan kemajuan landskap dunia moden.

Pendekatan itu perlu difahami sebagai sebahagian maklum balas lebih luas Malaysia terhadap kemunculan Industrial Internet of Things (IoT), termasuk dalam industri pembuatan, yang dikatakan menjadi salah satu termaju dalam IoT.

Di sini, konsep Industri 4.0 dan industri pembuatan berkomputer penuh yang tidak membabitkan manusia sudah bermula dan dijangka akan mengubah kehidupan dengan ketara.

Di Selangor, walaupun Kerajaan Persekutuan (sebelum ini dipegang Barisan Nasional) tidak mempunyai rancangan jelas untuk wanita dalam industri itu, namun Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengakui kepentingan merangka strategi.

Ia bagi wanita menghadapi Fasa Revolusi Perindustrian itu seterusnya. Perubahan itu akan menyebabkan kesan yang besar terhadap pasaran kerja, menjadikan banyak pekerjaan sedia ada tidak lagi relevan ketika pekerjaan baru sedang terhasil.

Ini akan berlaku disamping usaha Kerajaan Negeri untuk memajukan industri berasaskan pengetahuan dan berteknologi tinggi seperti yang digariskan dalam Belanjawan Negeri 2017.

Cabaran wanita hadapi

Di era globalisasi dan Industri 4.0 ini memperlihatkan peranan wanita semakin penting dan tidak ketinggalan dalam konteks arus pembangunan negara.

Namun, Forum Ekonomi Dunia menganggarkan kehilangan kira-kira 5.1 juta pekerjaan antara 2015 hingga 2020. Ia membabitkan 2.45 juta daripadanya ditanggung oleh wanita.

Bagi menghadapi cabaran ini, sudah tentu ia akan memberi kesan berkembar kepada pasaran buruh, merombak dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Pekerjaan rutin dalam pentadbiran dan industri pembuatan serta perkhidmatan terutamanya kerja yang boleh didigitalkan akan melanda.

Semestinya sebahagian besar pekerjaan baru yang diwujudkan akan berada dalam bidang teknikal dan memerlukan kemahiran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Pertumbuhan pekerjaan yang tinggi dalam bidang STEM kini mempunyai salah satu kadarpenyertaan wanita paling rendah dan menghadapi kesulitan dalam merekrut wanita.

Bagaimana wanita dan kanak-kanak perempuan mempunyai kepakaran dalam bidang ini juga sudah tentu mencabar.

Bagaimanapun, di Malaysia wanita kini membentuk 50-60 peratus daripada industri pengkomputeran di negara ini.

Manakala, menurut laporan graduan STEM wanita di Asia Pasifik memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Ini bermakna hanya sedikit isu dengan kelayakan mereka merebut peluang pekerjaan yang ada.

Wanita perlu relevan dengan keperluan semasa

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Singapura, Josephine Teo Li Min pernah memaklumkan Industri 4.0 ini berkemungkinan besar menyaksikan lebih ramai wanita diambil bekerja memandangkan persaingan dalam pasaran tenaga kerja pada masa depan lebih kepada keperluan terhadap minda berbanding kekuatan fizikal.

Katanya, ini berdasarkan situasi semasa yang menunjukkan kebanyakan kerja-kerja manual yang memerlukan tenaga fizikal perlahan-lahan beralih kepada automasi, seiring perkembangan teknologi.

“Jika kita bersaing dari segi minda dan bukan tenaga fizikal, wanita tidak mempunyai kekurangan. Sekalipun kemajuan kecerdasan buatan dan robotik akan mempercepatkan proses automasi di tempat kerja, namun situasi itu tidak begitu menjejaskan peluang pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, usahawan terkenal yang merupakan Pengasas ChristyNg.com, Christy Ng berkata, wanita perlu merebut peluang dan menjadikan kegagalan sebagai pemangkin kejayaan, selain mempunyai pasukan pengurusan yang mahir selok-belok perniagaan.

Katanya, secara peribadi beliau berpendapat bekerja dalam pasukan yang mempunyai gandingan antara lelaki dan wanita boleh membuatkan perniagaan pergi lebih jauh.

“Keperluan ini menjadikan syarikat lebih utuh, berikutan masing-masing mempunyai kekuatan dalam mewujudkan persaingan kerana semua berusaha melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI).

“Yang penting pastikan diri sentiasa relevan dengan keperluan semasa dan manfaatkan sepenuhnya teknologi digital yang semakin berkembang hari ini,” katanya.

Beliau menyarankan, usahawan wanita turut disaran agar segera mengambil peluang dalam menguasai teknologi digital untuk memajukan perniagaan.

“Dengan menguasai e-dagang, mereka dilihat tidak lagi ketinggalan, malahan mampu bersaing secara sihat dengan pemain-pemain industri yang lain,” katanya.

Bagaimana Selangor tangani

Institut Wanita Berdaya (IWB) kini sedang merangka dan strategi bagi membolehkan wanita dapat dimajukan dalam bidang ini menerusi Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2017-2020.

Penasihatnya, Zuraida Kamaruddin berkata, ia termasuk bagaimana bilangan wanita dalam pengajian komputer boleh diterjemahkan dalam bidang yang sama.

“Pada masa sama, kerajaan juga perlu memikirkan kaedah untuk memastikan wanita dan kanak-kanak perempuan menceburi bidang STEM dengan mengintegrasikan pelajar perempuan ke mata pelajaran STEM.

“Juga melengkapkan mereka dengan set kemahiran yang lebih luas supaya dapat memajukan pemikiran kritikal, kebolehan menyelesaikan masalah kompleks dan kreatif,” katanya.

Zuraida berkata langkah pertama yang boleh dilakukan adalah mengadakan rundingan di seluruh negeri dengan semua pihak berkepentingan.

Katanya, langkah itu perlu dilengkapkan dengan kajian yang menyeluruh.

“Ia bertujuan mengetahui bagaimana Kerajaan Negeri boleh memberi sokongan kepada mereka yang terbabit sama ada sebagai pekerja, bos, pengamal, pembuat keputusan atau konsumer,” katanya.

Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2017-2020 itu juga mahu menggalakkan pelajar muda mewujudkan program mentor mentee.

Manakala, yang sedia ada dalam bidang STEM, perlu mempunyai peluang mencukupi untuk terus membina dan memperolehi kemahiran baru serta menerima galakan supaya terus berada dalam bidang itu.

 

 

Categories
SELANGOR

Siap sedia hadapi Revolusi Perindustrian 4.0

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 7 APR: Revolusi Perindustrian 4.0 yang menggabungkan pelbagai teknologi baru bakal memberikan kesan kepada cara kehidupan masyarakat di masa hadapan.

Pengarah Kanan Nasional dan Penglibatan Strategik MIMOS Berhad, Mohd Mirza Mohamed Noor berkata, revolusi keempat itu akan lebih memfokuskan kepada teknologi robot, Internet of Things (IoT) bukan sahaja merevolusi perniagaan dan perkhidmatan tetapi hampir semua aspek kehidupan.

“Pada masa akan datang kita akan memiliki sebuah bandar pintar (Smart City) dengan proses automasi hasil bantuan perisian.

“Industri ini juga bakal meningkatkan kecekapan pengurusan dan sistem penyampaian kerana semua urusan dijalankan secara digital termasuk dalam keselamatan penjagaan rumah kita ada sistem yang boleh memberi maklum dengan cepat terus kepada kita mahupun polis jika berlaku sebarang kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan forum dalam Karnival STEM Education for the 4th Industrial Revolution di Da Men Hall Subang Jaya, semalam.

Karnival itu bersempena minggu Sains Negara Peringkat Negeri Selangor 2018 yang berlansung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 April.

Sekurang-kurangnya 40 booth daripada pelbagai organisasi termasuk universiti, pertubuhan profesional, syarikat swasta serta Persatuan Ibu, Bapa, Guru (PIBG).

Karnival itu juga salah satu inisiatif menerapkan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan, and matematik (STEM) kepada pelajar bermula di peringkat sekolah untuk meneruskan era ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian keempat.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan Selangor sedia menjadi perintis Revolusi Perindustrian 4.0 sebagai paradigma baru ekonomi selaras gagasan ‘Smart State’.

Katanya, ekonomi negara perlu mendapat suntikan baru melalui ekonomi berteraskan penguasaan teknologi tinggi melului inisiatif pendidikan untuk membawa modul pendidikan TVET ke dalam arus perdana pendidikan negara.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor sedia hadapi Revolusi Perindustrian Keempat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 SEPT: Kerajaan Negeri bersedia menghadapi cabaran global untuk lebih mampan mengharungi perubahan Revolusi Perindustrian Keempat yang akan mengubah cara pemikiran dan daya kerja penggiat industri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perubahan itu mendorong pelaksanaan agenda yang lebih berkesan merangkumi semua apsek demi manfaat jangka panjang ekonomi negeri.

“Saya perlu memaklumkan bahawa Selangor sudah membuat pelbagai persediaan untuk mengharungi cabaran Revolusi Perindustrian Keempat yang tentunya akan membawa dimensi perubahan baru kepada ruang ekonomi.

“Ini termasuk rangka kerja dan fokus untuk membangunkan reformasi pentadbiran negeri bagi menjadikan Selangor sebagai negeri pintar di rantau ini berteraskan kepada penggunaan teknologi baru,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Selangor Asean Business Conference 2017, di Setia City Convention Centre, di sini, hari ini.

ASEAN BUSINESS (6)Terdahulu, pakar ekonomi meramalkan perubahan tugas penggiat industri akan digantikan dengan tenaga robotik yang disifatkan lebih menjimatkan.

Perubahan itu bakal menyaksikan jutaan penggiat industri hilang pekerjaan terutama dalam sektor pengilangan.

Pola perubahan itu juga menyebabkan pekerja berkemahiran rendah khususnya di Malaysia dan nnegara Asean terdedah kepada kadar pengangguran tinggi jika teknologi automatik digunakan pada peringkat revolusi perindustrian itu.

Bagaimanapun, kata Mohamed Azmin, penjenamaan Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025 bakal memacu kepada pertumbuhan ekonomi negeri maksima yanng akan memberi pulangan baik kepada penjenamaan ekonomi negeri.

“Saya yakin dengan pertumbuhan ASEAN dan pengukuhan ekonomi Selangor akan meletakkan lebih banyak ruang untuk pembangunan selanjutnya,” katanya.