Categories
SELANGOR

40 Tahun Menanti Hak Milik Tanah Berakhir Hari Ini

SHAH ALAM 27 MEI : Impian Robani Affandi untuk mendapat hak milik tanah kebunnya di Kampung Bukit Cherakah akhirnya tercapai dan peneroka itu bersyukur kerana beliau sekarang mempunyai harta untuk diwarisi oleh kelima-lima ananknya.

Katanya, beliau kini tidak perlu bimbang lagi kerana dengan pemilikan itu masa depan anaknya juga terbela.

“Dengan hasil pertanian diatas tanah kebun inilah saya membesarkan anak-anak sehingga ke peringkat universiti. Ini semua untuk anak-anak saya.

?Sekurang-kurangnya saya mempunyai harta untuk diwarisi oleh lima orang anak saya dan isteri apabila saya tiada nanti,” katanya ketika ditemui, kata Robani, 49.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor di atas keprihatinan yang diberi kepada peneroka.

Robani antara 27 peneroka Kampung Bukit Cherakah yang mendapat surat hak milik tanah mereka hari ini yang disampaikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Rata-rata penerima melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana penantian mereka selama 40 tahun berakhir.

Penerima juga bergambar mesra dengan Menteri Besar sambil membawa sepanduk yang tertera ‘Tahniah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor’ atas penyerahan hak milik kepada peneroka.

Turut hadir MP Shah Alam, Khalid Samad, Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari serta Adun Meru, Dr Rani Osman.

Seorang penerima lain, Fouziah Ismail, 47, berkata beliau dan suami sudah berkali-kali memohon hak milik daripada pentadbiran Umno-BN dulu.

Katanya, keluarganya hampir berputus asa tetapi selepas kerajaan negeri bertukar tangan beliau bagaimanapun mencuba sekali lagi dan akhirnya berjaya.

“Sudah ramai yang dapat sebelum ini tetapi pemilihan yang layak hanya dipilih. Kami ini hanya peneroka yang tercicir,” katanya.

Dalam majlis terbabit, Abdul Khalid turut menyerahkan surat kelulusan lanjutan tempoh pajakan tanah ke 99 tahun bagi sekitar Petaling Jaya dan Shah Alam. Bagi fasa pertama seramai 183 menerima surat lanjutan pajakan.

Penerima, Ee Chew Lee, 66, berkata lanjutan itu membantu beliau dan keluarga dalam mengharungi kos sara hidup yang kian meningkat.

“Ia dapat menyelesaikan masalah rakyat memiliki hartanah dengan hanya membayar premium RM1,000,” katanya.

Sementara itu, Khalid dalam ucapannya berkata pegawai daerah di seluruh negeri perlu turun padang mengenal pasti peneroka asal yang masih belum mendapat hak milik tanah.

“Kita mahu mereka membantu peneroka ini kerana saya tidak mahu masih ada yang tercicir. Itu tanggungjawab kita untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Tambahnya, rakyat berhak mendapatkan hak milik tanah mereka.

“Jika ingin menjadi pemerintah kita perlu adil dan memberinya kepada semua bukan secara pemilihan,” katanya.