Categories
EXCO SELANGOR

Mohon kebenaran sebelum bina kuil, elak timbul isu

SHAH ALAM, 3 SEPT: Pihak yang mahu mendirikan kuil diminta memohon kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan sebarang isu pada masa akan datang.

Jawatankuasa khas agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (Limas) berkata kuil didirikan secara haram boleh dikenakan tindakan tegas termasuk perobohan sekali gus bakal menimbulkan masalah lebih besar.

“Permohonan merancang ini satu kewajipan malah memberi jaminan untuk jangka panjang. Jadi mesti ikut peraturan ditetapkan PBT.

“Kuil yang sah juga boleh diwartakan. Setakat ini Kerajaan Selangor sudah mewartakan hampir 300 kuil,” kata V Ganabatirau.

Beliau ditemui pada sidang media peruntukan rumah ibadat selain Islam di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

EXCO kebajikan masyarakat, pekerja dan kerajaan prihatin itu turut menasihatkan pihak yang mahu mendirikan kuil bersaiz kecil supaya bergabung antara satu sama lain.

“Ini lebih baik kerana tidak perlu mengeluarkan belanja tinggi malah pengurusan juga lebih mudah,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor benarkan rumah ibadat bukan Islam dibuka esok, fokus empat kriteria

SHAH ALAM, 18 JUN: Semua rumah ibadat selain Islam di Selangor kecuali zon merah dibenarkan beroperasi semula berkuat kuasa esok mengikut empat kriteria.

Kriteria meliputi pengunjung rumah ibadat, aturan logistik dan kapasiti maksimum, pematuhan penggunaan sistem SELangkah serta aliran pergerakan keluar masuk.

“Semua dibenarkan mengunjungi rumah ibadat kecuali individu bergejala Covid-19, warga emas, menghidap penyakit kronik serta kanak-kanak bawah 12 tahun,” kata EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud dalam sidang media di Dewan Annex hari ini.

Katanya, pegawai Covid-19 juga perlu ditempatkan untuk mengawal aliran pergerakan dan bilangan pengunjung bergantung kepada keluasan rumah ibadat.

Pada masa sama, Siti Mariah turut mengingatkan pihak pengurusan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) atau berdepan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

“Jika pihak berkuasa mengenal pasti rumah ibadat tidak mematuhi SOP, langkah pertama adalah memberi nasihat dan berhak menutup operasi jika kesalahan sama berulang,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

SOP baharu rumah ibadat bukan Islam dibentang Isnin

SHAH ALAM, 12 JUN: Tatacara Operasi Piawai (SOP) baharu bagi rumah ibadat bukan Islam akan dibentangkan Isnin ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembentangan terbabit termasuk mengambil kira waktu ibadat dan tambahan hari dibenarkan dibuka.

“Pusat ibadat sepatutnya dibuka 10 Jun lalu dalam sehari atau dua hari bergantung pada hari penting mereka. Dari segi jumlah kapasiti yang akan melaksanakan ibadat pula tidak melebihi 30 orang. Setakat ini, 171 rumah ibadat dibenarkan beroperasi.

“Namun dengan adanya perubahan SOP membabitkan rumah ibadat Islam, saya percaya akan ada proses sama untuk rumah ibadat bukan Islam,” katanya.

PKP Bersyarat digantikan PKP Pemulihan dengan menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberi bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos ini.

Categories
SELANGOR

Rumah ibadat bukan Islam terima RM3.67 juta

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 DIS: Tidak hanya bersandarkan kepada retorik politik semata-mata, Kerajaan Negeri komited membantu kebajikan rakyat melangkaui perbezaan agama dan bangsa.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi pemberian bantuan RM3.67 juta membabitkan 408 rumah ibadat bukan Islam, di seluruh negeri.

“Jumlah ini sebahagian dari RM6 juta peruntukan yang disalurkan untuk Persatuan Orang Bukan Islam di Selangor, sekali gus membuktikan kita bukan retorik menyokong kebebasan beragama tetapi beri makna sebenar dengan menghulurkan bantuan untuk aktiviti keagamaan.

“Selain itu, bantuan boleh digunakan bagi projek pembaikan pusat ibadat bukan Islam, sekali gus membuktikan Kerajaan Negeri sebagai sebuah kerajaan peduli rakyat untuk semua agama dan kaum,” katanya.

Beliau bercakap demikian kepada SelangorKini, pada Majlis Penyerahan Cek Bantuan Rumah Ibadat Bukan Islam, di Bangunan Annex, di sini.

Untuk rekod, bantuan di daerah Pentaling mencatatkan peruntukan tetinggi dengan RM724,400.

Sementara itu, Klang menerima RM716,000, Gombak (RM164,000), Hulu Langat (RM445,200), Sepang (RM142,400), Kuala Langat (RM235,000) dan Kuala Selangor (RM154,000).

Daerah Hulu Selangor pula menerima bantuan RM325,000 dan Sabak Bernam (RM301,600).

Pada masa sama, peruntukan turut disalur bagi penganjuran Perayaan Poh Toh sebanyak RM81,000 dan Persatuan Perkuburan (RM390,000).