Categories
SUKANKINI

Salah dinobat Pemain Terbaik Afrika

LONDON 15 DIS: Penyerang Liverpool dan Mesir, Mohamed Salah dinobatkan selaku Pemain Terbaik Afrika BBC buat kali kedua, selepas cemerlang membantu kelab dan skuad kebangsaan sepanjang musim 2018.

“Ia satu perasaan yang cukup bagus apabila menang kali kedua. Saya gembira dan mahu menang sekali lagi pada tahun depan,” kata Salah.

Pemain berusia 26 tahun ini mengenepikan cabaran Medhi Benatia, Kalidou Koulibaly, Sadio Mane dan Thomas Partey – sekaligus muncul pemain kedua yang menang dua kali selepas Jay-Jay Okocha.

Yaya Toure pernah muncul selaku pemain tunggal yang merangkul gelaran berturut-turut, diikuti Nwankwo Kanu yang turut dinobatkan selaku penerima anugerah Personaliti Sukan Afrika.

Salah, meledak 44 gol dalam 52 perlawanan untuk Liverpool musim lalu selepas berpindah dari Roma, dan terus membantu kelab Merseyside itu mara ke pentas akhir Liga Juara-Juara.

Prestasi baik Liverpool diteruskan pada musik ini dan jaringan tunggal Salah ketika berdepan Napoli berjaya memastikan Reds melangkah ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.

“Banyak kenangan yang indah pada musim 2018,” katanya.

“Saya menjaringkan gol dan membantu pasukan meraih mata penting untuk berada di puncak liga. Ia satu perasaan yang cukup hebat,”

Salah juga meledak dua kali untuk Mesir di pentas Piala Dunia di Russia.

Pada awal tahun ini, Salah meraih dua anugerah di England – Pemain Terbaik Tahunan dan Pemain Pilihan Penulis Sukan Bolasepak Tahunan.

Salah juga muncul pemenang Pemain Terbaik Tahunan CAF 2017, dan kini berada di kelompok 10 calon akhir bagi musim 2018 yang akan diumumkan pada Januari 2019

SUMBER: AFP

 

 

Categories
NASIONAL

Tun Dr Mahathir: Mereka yang salah tetap salah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 21 MEI: Individu yang melakukan kesalahan bertentangan dengan undang-undang tetap dianggap bersalah dan perlu diheret ke muka pengadilan.

Namun, kata Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, kesalahan itu perlu dibicarakan mengikut lunas undang-undang negara.

“Kita harus ingat, yang salah masih salah. Sebarang perbuatan salah perlu diuruskan mengikut undang-undang negara.

“Hanya dengan cara itu sahaja dapat dibersihkan pentadbiran negara. Apabila ia menjadi bersih, maka negara akan dikenali, efisien dan lebih maju.

“Ketika itu, akan pulih imej negara kita,” katanya ketika berucap pada pertemuan perdana menteri dan penjawat awam Jabatan Perdana Menteri, di Dataran Perdana Putrajaya, pagi ini.

Tun Dr Mahathir tidak menamakan individu terbabit yang dikaitkan dengan kes salah laku dan penyelewengan itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada siasatan dan serbuan pihak berkuasa terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang digulingkan rakyat, pada pilihan raya lalu.

Najib sebelum ini dikaitkan dengan kes salah laku penyelewengan kewangan syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad.

Kes berkenaan mendapat liputan meluas media berpengaruh seluruh dunia Najib dilapor bakal berdepan pendakwaan membabitkan kes salah laku berkenaan.

Categories
SELANGOR

Kesalahan perkataan ‘revocation’ oleh media

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 13 DIS: Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor meneliti keratan akhbar dan media berkenaan penggunaan ‘revocation’ sebagai terjemahan dalam Bahasa Inggeris bagi perkataan ‘pembatalan’.

Ia dinyatakan dalam Kenyataan Akhbar Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenaan penerimaan pemulangan kembali Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor oleh Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah kepada Sultan Selangor.

Perkataan yang tepat menurut Statut Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati dan Statut Darjah Kebesaran Mahkota Selangor Yang Amat Mulia bagi perkataan ‘membatalkan’ atau ‘pembatalan’ atau ‘batal’ ialah ‘annul’ atau ‘annulment’ atau ‘annuled’ bukan ‘revocation’ atau ‘revoked’.

Malah, penjelasan itu adalah untuk membetulkan tanggapan atau pemahaman yang tidak tepat berhubung perkataan yang diterjemahkan dalam media atau akhbar Bahasa Inggeris.

Ia menjelaskan bahawa sultan berkenan menerima pemulangan dan penyerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor dikurniakan dan memadamkan namanya daripada senarai daftar.