Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

EXCO: Langkah menyeluruh atasi banjir Selangor dibentang bulan ini

SHAH ALAM, 8 FEB: Kerja melibatkan kolam, saliran dan lokasi pelepasan air bagi mengatasi banjir menjadi fokus dalam pembentangan program pemukiman EXCO pada 23 hingga 25 Februari di Langkawi, Kedah.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata tindakan terhadap tiga komponen menjadi langkah jangka panjang dan menyeluruh mengurangkan risiko banjir atau memastikan ia tidak berulang lagi.

“Dato’ Menteri Besar minta saya bentangkan jalan penyelesaian menyeluruh termasuk sumber air. Kita dapatkan input dari semua pihak supaya tidak ketinggalan dalam mencari penyelesaian.

“Antaranya JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), LUAS (Lembaga Urus Air Selangor), Jabatan Mineral dan Geo Sains, Landasan Lumayan yang mengurus Sungai Klang serta pakar saliran bawah tanah,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian bantuan pascabanjir kepada lebih 700 kakitangan jabatan dan agensi bawah jawatankuasa tetap infrastruktur di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Selain menyebabkan kerosakan harta benda, seramai 13 individu turut terkorban.

Susulan itu Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi menjayakan program Bantuan Selangor Bangkit bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan wang tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

RM300,000 bina pengukuh cerun, saliran gerai MPS Batu Arang

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerajaan Negeri memperuntuk RM300,000 bagi projek pengukuhan cerun dan pembinaan saliran di gerai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Batu Arang, Rawang.

Ahli Dewan Negerinya, Chua Wei Kiat berkata projek itu bertujuan menangani isu keselamatan peniaga dan penduduk di kawasan berkenaan.

“Projek ini bermula pada 8 Julai dan sepatutnya siap 15 Oktober lalu namun dilanjutkan sehingga dua minggu lagi berikutan masalah penghantaran peralatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Skop kerja merangkumi pembinaan saliran cerun setinggi 110 meter dan pembaikan kawasan belakang gerai MPS,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pembinaan tandas di belakang gerai berkenaan dipercayai menjadi punca masalah sistem pengairan, selain insiden cerun runtuh kira-kira enam tahun lalu.

“Ketika itu saya yang masih menjadi ahli majlis MPS bersama ahli parlimen Selayang (William Leong Jee Keen) membuat aduan tetapi ada beberapa cabaran seperti kos agak tinggi dan kerja sukar dilaksanakan.

“Bagaimanapun saya bersyukur dan gembira kerana masalah lama dapat diselesaikan sekali gus memberi jaminan keselamatan kepada bukan penduduk malah peniaga dapat berniaga tanpa kerisauan,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

MPK, JPS diminta kaji semula kawasan saliran elak limpahan banjir

SHAH ALAM, 21 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta mengkaji semula kawasan saliran longkang dan sungai di Pelabuhan Klang bagi mengelak limpahan banjir jika berlaku fenomena air pasang besar.

Ahli Dewan Negerinya Azmizam Zaman Huri berkata insiden ban pecah di beberapa lokasi berikutan fenomena itu semalam menyebabkan air laut melimpah dan menjejaskan penempatan berhampiran.

“Dua kawasan ban pecah tersebut adalah di Kampung Pendamar dan Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.

Limpahan air laut susulan fenomena air pasang besar di Pelabuhan Klang pada 20 September 2020. Foto Pusat Khidmat Rakyat Pelabuhan Klang

“Manakala di Taman Selat Damai Pelabuhan Klang pula, terdapat beberapa kawasan menjadi laluan air masuk yang mengakibatkan air laut melimpah di sebahagian kawasan kejiranan di sana,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau menambah pihaknya menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan untuk membaiki ban pecah serta menambah baik fasiliti sedia ada bagi mengelak kejadian sama berulang.

Menurutnya, MPK melalui Jabatan Kejuruteraan turut menghantar jentera bagi membaiki kerosakan ban di Taman Teluk Gedung Indah sebagai usaha jangka pendek menutup rekahan dan lubang pecah.