Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong: Rukun Negara asas perpaduan nasional, pembentukan negara

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Rukun Negara yang lahir 50 tahun lepas sebagai asas kepada perpaduan nasional dan pembentukan negara ini, bukan sekadar untuk dijulang secara simbolik menerusi bacaan setiap kali negara menyambut Hari Kebangsaan, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebaliknya, titah baginda, roh dan semangat rukun negara hendaklah dihayati dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan seharian.

“Lima prinsip Rukun Negara adalah formula bagaimana rakyat yang berbilang bangsa, agama, budaya dan bahasa boleh mengatasi segala perbezaan serta kepelbagaian tersebut, seterusnya hidup secara rukun dan damai.

“Rukun Negara juga menuntut sebuah negara bangsa yang dibentuk atas keteguhan pegangan agama yang kukuh, manakala rakyat pula dituntut untuk mencurahkan taat setia kepada raja yang menjadi payung dan lambang kedaulatan negara,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian dalam Titah Diraja bersempena sambutan 50 tahun Rukun Negara dan Hari Kebangsaan 2020 yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan termasuk Bernama TV hari ini.

Sambutan itu berlangsung di Putrajaya.

Titah Al-Sultan Abdullah, prinsip teras terkandung dalam Rukun Negara bersifat sejagat dengan merentasi nilai murni semua bangsa, agama serta berupaya menjadi panduan hidup sebagai rakyat sebuah negara yang merdeka.

Oleh itu, prinsip tersebut seharusnya menjadi panduan serta amalan oleh semua pihak termasuk pemimpin negara, kerajaan dan rakyat Malaysia, titah Seri Paduka.

Pada masa sama Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati dan mempertahankan semua perkara dan hak keistimewaan yang disepakati sebelum ini dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Keadilan di negara ini adalah terikat kepada undang-undang yang wajib dihormati serta dipatuhi oleh setiap rakyat tanpa mengira pangkat dan darjat,” titah baginda.

Sementara itu dalam menyambut Hari Kebangsaan yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ tahun ini, Al-Sultan Abdullah mengucapkan tahniah kepada kerajaan yang amat prihatin dalam usaha mengukuhkan semula ekonomi negara selain terus membela kebajikan rakyat sepanjang negara berdepan pandemik Covid-19.

Yang di-Pertuan Agong juga merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat kerana menzahirkan daya tahan dan semangat prihatin yang tinggi dalam menghadapi cabaran itu.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara kali ini, Seri Paduka mengajak seluruh rakyat untuk menghargai serta menjaga kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi negara.

“Sesungguhnya keharmonian dan kerukunan hidup dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum merupakan tunjang kepada kekuatan negara.

“Beta berkeyakinan, jika semangat yang terkandung dalam Rukun Negara terus dihayati dan tersemat kukuh di setiap jiwa rakyat Malaysia, insya-Allah, negara kita akan terus kekal aman dan damai serta akan menjadi sebuah negara yang kukuh dan makmur dengan rakyat yang bersatu padu,” titah baginda.

Seri Paduka bersama-sama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mengambil kesempatan mendoakan supaya Malaysia terus dipelihara dan dilimpahi dengan keberkatan rezeki, kemakmuran, kesejahteraan rakyat serta keamanan dan perpaduan yang berkekalan.

Mengakhiri titah, baginda mengucapkan selamat menyambut Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara dan selamat menyambut Hari Kebangsaan 2020 kepada seluruh rakyat Malaysia.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Merdeka: Sekarang bukan zaman lima sen – Dr Lim Swee Tin

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: “Zaman saya dulu, pergi ke sekolah bawa lima sen sebagai duit poket, dua sen untuk beli kuih dan tiga sen untuk minuman. Generasi sekarang, bawa RM3 hingga RM5 ke sekolah.

“Kalau hendak jelaskan mengenai kemerdekaan dulu dan sekarang, kena ada caranya. Kalau salah, tidak masuk akal (tidak boleh difahami generasi sekarang),” kata sasterawan Dr Lim Swee Tin.

Lim membuat analogi dengan cara yang lebih berkesan bagi membolehkan generasi sekarang memahami dan menghayati makna Kemerdekaan negara yang dicapai oleh nenek moyang kita sejak 63 tahun lepas.

“Kita sudah merdeka lebih 60 tahun atau enam dekad, jarak antara generasi dulu dan sekarang agak jauh. Jarak yang jauh ini menyebabkan generasi muda tidak dapat memahami perjuangan dan pengorbanan itu,” kata pencinta sastera berusia 68 tahun, yang menerbitkan ribuan karya puisi, cerpen dan novel sejak 1973.

Menurut beliau, selama ini, unsur sentimen tentang perjuangan dan pengorbanan generasi lepas sentiasa digunakan untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

“Dulu, kita gunakan sentimen ini untuk kukuhkan patriotisme atau rasa cinta pada negara. Dulu kita benci Jepun, menentang penjajah Inggeris, kita hayati perjuangan Mat Kilau, Tok Bahaman, Tok Janggut dan ramai pejuang kemerdekaan lain.

“Dalam konteks semasa, kita boleh memperkasa semangat patriotisme itu melalui pencapaian rakyat Malaysia misalnya kejayaan Datuk Lee Chong Wei (bekas pemain nombor satu dunia) dan sebagainya.

“Kita perlu perubahan dari patriotisme bersandarkan sentimen kepada pencapaian,” katanya sambil menyifatkan dirinya bertuah kerana antara yang melalui detik-detik awal kemerdekaan negara.

Imbauan Sambutan Pada 1959

Berkongsi mengenai kemerdekaan, Lim mengimbau sambutan pada tahun 1959 (dua tahun selepas negara merdeka), ketika itu beliau berusia tujuh tahun.

“Saya masih ingat betapa gembiranya mengibarkan bendera kebangsaan ketika sambutan kemerdekaan. Di depan kami ada orang yang pegang kain rentang warna putih dengan tulisan ‘Merdeka’ di atasnya.

“Kami berarak kelililing kawasan kedai dan pasar, masa itu tiada perarakan besar-besaran seperti di Dataran Merdeka. Tapi itulah memori kemerdekaan yang masih terpahat diingatan saya,” katanya dengan bangga mengenang zaman kanak-kanak ketika tinggal di pekan Tawang, Bachok, Kelantan.

Lim berkata kemuncak memori kemerdekaannya, adalah ketika diundang mendeklamasikan puisi di Dataran Merdeka pada 1995, lokasi bendera Union Jack diturunkan dan laungan keramat ‘Merdeka’ bergema pada 31 Ogos 1957.

Anak jati Kelantan itu percaya semangat patriotisme harus dipupuk melalui medium intelektual selain mengubah penghayatan dari menggunakan sentimen kepada pencapaian rakyat Malaysia.

“Kita kena ada wacana intelektual yang berterusan dan tidak boleh ada jurang. Pemupukan semangat patriotisme tidak seharusnya bermusim,” katanya.

Perkasa Penghayatan Rukun Negara

Dalam pada itu, Lim menyambut baik usaha Kementerian Perpaduan Negara untuk memperkasakan Rukun Negara di institusi pendidikan negara.

“Sebagai warganegara kita kena faham sejarah tanah air. Pejuang terdahulu adalah nenek moyang kita. Kita harus menganggap perjuangan generasi lalu sebagai perjuangan nenek moyang kita,” tambahnya.

Lim yang juga penerima SEA Write Award 2000 iaitu anugerah tertinggi kesusasteraan dari Kerajaan Thailand berkata semua pihak perlu mempunyai sikap ‘celik akal’ kepada sejarah bangsa dan menjaga sensitiviti dengan sikap saling menghormati dan bertolak ansur.

-BERNAMA