Categories
NASIONAL

PH Sarawak mahu sambutan Hari Malaysia diadakan di Kuching

KUCHING, 8 Jun : Pakatan Harapan (PH) Sarawak akan mencadangkan kepada Kabinet Persekutuan agar sambutan Hari Malaysia, yang jatuh pada 16 Sept ini, diadakan di negeri ini, kata pengerusinya Chong Chieng Jen.

Chong, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata dengan mengadakan sambutan peringkat kebangsaan di sini juga dilihat seiring dengan semangat Perjanjian Malaysia (MA63) dan kepentingan diletakkan kepada pelaksanaannya.

“Ini signifikan sebagai simbol hari berkenaan, 16 Sept, sebagai sambutan peridngkat kebangsaan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sambutan peringkat kebangsaan yang pertama oleh Kerajaan PH diadakan di Sabah pada tahun lepas, melibatkan seluruh kabinet,” katanya pada persidangan akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat PH Sarawak di ibu pejabat DAP di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, yang juga Menteri Kerja Raya; pengerusi Amanah Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi dan pengarah operasi Bersatu Sarawak, Zakaria Bujang.

Chong, yang juga pengerusi DAP Sarawak, berkata PH negeri pada mesyuarat hari ini sebulat suara membuat keputusan untuk mencadangkan perkara itu kepada Kabinet.

Pada sambutan Hari Malaysia pada tahun lepas di Kota Kinabalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, usaha mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi bersama adalah selaras dengan MA63, yang kemudian melihat beliau membentangkan Pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan pada 9 April.

Bagaimanapun, rang undang-undang itu, yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat, gagal mendapatkan sokongan dua pertiga majoriti, terutama dari Anggota Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Chong berkata, anggota Jawatankuasa Pemandu Kabinet bagi MA63 pada pertemuan 17 Mei lepas dan bersama-sama Jawatankuasa Kerja bagi MA63 dan enam lagi kumpulan kelompok sedang berusaha ke arah pelaksanaan MA63. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

30,000 rakyat pelbagai kaum meriahkan Sambutan Hari Malaysia 2018

KOTA KINABALU, 17 SEPT: Sambutan Hari Malaysia 2018 di Padang Merdeka, dekat sini, malam tadi berlangsung penuh meriah serta semangat patriotik dengan kehadiran kira-kira 30,000 rakyat pelbagai kaum dan peringkat umur untuk bersama-sama memeriahkan acara bersejarah itu.

Sambutan ulang tahun pembentukan Malaysia ke-55 tahun ini juga cukup signifikan kerana berlangsung di lokasi yang mencatat sejarah pengisytiharan Malaysia pada 16 Sept 1963 selain buat pertama kalinya diraikan di bawah kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang baharu.

Pengunjung mula membanjiri dataran Padang Merdeka seawal jam 5 petang dengan penuh semangat mempamerkan rasa cinta kepada negara, dan mereka dihiburkan dengan persembahan nyanyian sementara menanti ketibaan tetamu jemputan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib tiba di lokasi sambutan kira-kira 8 malam.

Acara sambutan dimulakan pada jam 8.11 malam sejurus ketibaan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, dengan nyanyian Lagu Negaraku diikuti lagu negeri Sabah Tanahairku serta persembahan selamat datang berkonsepkan kepelbagaian etnik Malaysia melibatkan lebih 1,200 peserta.

Upacara sambutan diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Mohd Shafie sebelum Dr Mahathir dijemput untuk menyampaikan ucapan sekali gus merasmikan acara sambutan penuh bersejarah itu.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Seri Douglas Uggah Embas yang mewakili Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo; barisan menteri Kabinet Persekutuan dan negeri; serta ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri juga menghadiri sambutan itu.

Acara tersebut turut menarik perhatian pengunjung dengan tayangan video dokumentari khas mengenai sejarah pembentukan Malaysia diikuti acara menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2018.

Sambutan Hari Malaysia ke-55 turut dimeriahkan dengan acara memotong kek oleh Juhar bersama Dr Mahathir dan Mohd Shafie.

Acara disemarakkan lagi dengan perarakan masuk 50 peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Jabatan Penerangan Sabah diketuai Pengarahnya Norzawiyah Bulka bagi menyerahkan Jalur Gemilang kepada perdana menteri sebelum dipasang ke tiang bendera dan dinaikkan oleh sekumpulan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia.

Kemeriahan sambutan diteruskan dengan persembahan khas bertemakan Sayangi Malaysiaku merangkumi persembahan kebudayaan, tarian dan nyanyian yang terbahagi kepada tiga segmen utama iaitu Malaysia harmoni, warna-warni Malaysia dan Malaysia baharu.

Persembahan istimewa itu menterjemahkan kesatuan, kemuafakatan, serta keharmonian masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

SUMBER: BERNAMA

 

MBSA Menanam “Pokok Malaysia”

SHAH ALAM, 15 SEPT : Lebih 25,000 batang pokok telah ditanam di sekitar Shah Alam sejak program penanaman pokok ‘Shah Alam Trees For Life’ dimulakan dua tahun lalu.

Program anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu juga telah melibatkan 4,635 orang sukarelawan dari pelbagai agensi, kata Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat MBSA, Shahrin Ahmad.

Di dalam siri terbaru program tersebut, sebanyak 100 pokok ditanam di Kolam Takung Banjir, Seksyen 5, di sini.

Acara sempena hari Malaysia itu disertai kira-kira 150 peserta daripada Sime Darby Property Berhad, Ibu Pejabat Polis (IPK) Selangor, Kolej Sunway, dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti Eco Warriors dan Sunway Volunteer Society.

“Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, program kali ini memberikan sedikit kelainan berbanding program penanaman pokok yang lepas.

?Tahun ini, MBSA mengadakan acara menggantung tanda nama pada sebatang pokok yang diberi nama Pokok Malaysia sebagai simbolik pada Hari Malaysia,” katanya.

Antara pokok yang ditanam ialah Tabebuia Pentaphylla (Tecoma) dan Salix Babylonica (janda merana) yang memenuhi kawasan sekitar kolam takungan berkeluasa lima hektar.